Sahabat Tanpa Suara

Bos Aku Garang Woo...!

Tuesday, March 29, 2011

Semalam aku layan Bos (baca bapak) aku ke kedai mamak, pekena mi goreng mamak. Kesnya dia tinggal berseorangan kerana Mem (baca mak) aku mengikut Kak Long aku ke Kuantan atas urusan sambung belajarnya. Selepas membuat pesanan kami berdua bersembang kosong. Agak lama juga kami menunggu 2 pingan mi goreng walau pun pelanggan tidak seramai mana dalam kedai mamak tersebut. Sesampai pelayan membawa 2 pinggan mi goreng, tak semena-mena Bos aku bersuara:

"Korang ni nak berniaga ke apa? Lama pakcik perhatikan korang, mi goreng ni dah siap masak lama dah sebenarnya. Yang korang duk melepak kat tepi kedai berborak-borak... Mentang-mentanglah bos korang takde ye...!"

Agak keras juga suaranya. Terkedu aku tengok muka budak tu. Aku pun terkedu sebenarnya, tak sangka gak aku Bos aku boleh sound budak tu...

"Bukan apa, pakcik nak pesan je, kalau nak berniaga buat betul-betullah. Kedai ni pun baru je bukaknya kan, tak eloklah buat pelanggan macam ni... erm oklah, pergilah buat kerja kamu balik..."

Kendur sikit suara Bos aku kali ini, tak segarang mula-mula tadi. Budak pelayan tu tersenyum kelat sambil berlalu... Aku malas nak menambah, malas nak komen apa-apa. Mi dah sampai, aku pun sodok aje...

Bos aku memang garang sebenarnya, dalam membesarkan kami adik beradik, begitulah kaedahnya. Garang dan tegas. Terutama dengan anak-anak lelaki. Jujur aku katakan ni, antara aku dengan Bos aku, kami hanya berbual secara dua hala semenjak aku masuk belajar di universiti. Sebelum dari itu hampir tiada perbualan dua hala. Yang ada hanya berbentuk satu hala, atau lebih kepada arahan...!

"Uda, pergi mandi, lepas tu sembahyang, mengaji...!"

"Uda, sudah-sudah main tu, pergi buka buku...!"

"Uda, tutup tv tu, pergi masuk tidur...!"

"Uda, nasi dah siap, pergi makan...!"

Eh yang bab makan tu sebenarnya, tak perlu tunggu arahan dah... Pandai-pandai sendiri je...hee... Begitulah tatacara hidup aku sekeluarga. Mujur sifat bengis dan garang Bos aku diimbangi dengan sifat Mem aku yang lembut dan penyabar. Pada Memlah tempat kami adik beradik mengadu apa-apa ataupun nak bergurau senda.

Sehingga kini, kebengisan Bos aku semakin berkurang bersama meningkatnya usia. Kini selalu dia ucapkan betapa itulah caranya dia dibesarkan oleh ibu bapanya dulu. Malah lebih teruk lagi. Penampar penerajang memang hampir lali. Bos aku pernah bercerita berkenaan cara dia dibesarkan, agak tragis kisah dia sebenarnya. nantilah aku peluang aku ceritakan...

Apa-apa pun kami adik beradik tidak pernah menyalahkan dia di atas kaedahnya mendidik kami dulu. Malah bersyukur kerana melalui kaedahnya itulah kami adik-beradik menjadi 'orang' seperti hari ini. Steady Bos, we all still loving you...


P/S: Bos aku dulu garang woo. Masa kecik-kecik dulu, sepupu-sepupu baya aku paling takutkan dia. Dengar je suara Pak Long semua menyorok bawah meja... Har har har...

Read more...

Alalalala Long...!

Sunday, March 27, 2011

Malam tadi aku sempat menonton sebuah drama melayu dalam Astro Oasis, Janji Yang Satu. Dilakonkan oleh Zamarul dengan Jue Aziz (kalau tak silap aku). Kisahnya si Zamarul dengan Jue ni sepasang suami isteri yang terlalu mengejar kekayaan sehingga menjebakkan diri mereka ke kancah keALONGan (wah apa punya bahasa tu)... Bapa si Zamarul yang dilakonkan oleh Anjang Aki (kenal tak..?) merupakan seorang bapa yang mengambil berat namun merasa sangat kecewa berikutan sikap anaknya itu yang telah hilang pedoman hidup dek kerana terlalu mengejar kemewahan dunia...

Aku agak jarang sebenarnya menonton drama melayu ni. Bukan tak menonton langsung tetapi berdasarkan occation. Biasanya aku menonton drama melayu ni bila kami berkumpul adik beradik bersama-sama orang tua kami. Sebenarnya selain di meja makan, kaca tv juga merupakan antara medium tempat kami sekeluarga bergelemak (spend time together-gether...). Kalau dulu masa aku kecil-kecil, ingat lagi aku bila ada tayangan filem hindustan pasti penuh adik-beradik aku dengan orang tua kami depan tv melayan cerita hindustan. Sebab tu aku kenal sangat hero heroin zaman-zaman itu seperti Amitha Bachan (masa muda remaja, sekarang dah otai giler!), Shashi Kapoor, Vinod Khana, Dhramendra, Hema Malini dan lain-lainnya...

Berbalik kepada cerita melayu tadi, si Zamarul yang terlalu mengejar kekayaan telah menceburi skim cepat kaya dengan meminjam daripada Along. Akhirnya kerana tidak mampu membayar hutang Along tersebut, dia telah ditangkap bersama-sama isterinya, diikat kaki dan tangan lalu dibakar hidup-hidup oleh geng-geng Along itu. Namun atas kekuasaan Allah, Zamarul terselamat juga setelah membaca beberapa potong doa yang pernah diajar oleh bapanya...

Klise kan cerita tersebut, tapi real. Memang benda-benda yang diceritakan itu sinonim dengan Melayu. Skim Cepat Kaya, MLM (bukan semua), Along dah seperti nak menjadi budaya dengan masyarakat kita dah hari ini. Bukan aku nak mengata orang, aku nak mengata aku sendirilah ni... Semasa bekerja di Port Klang dulu aku pernah juga terjebak dengan benda-benda mengong ni, sebabnya aku sendiri jugalah yang mengongnya..! Tapi aku bersyukur juga kerana aku tidak terjebak jauh, masih ada ruang untuk aku berpatah balik... Kerugian yang dialami pun tidaklah sebesar mana kerana pelaburannya pun kecil-kecilan je. Cuma bila difikir-fikir balik sekarang ini aku merasa: "kenapalah aku sampai ke tahap itu dulu ek...?"

Tapi biasalah, kuasa duit. Memang membuatkan orang buta. Buta hati, buta akal, buta pertimbangan. Tak mampu dah nak berfikir dengan waras. Kalau difikirkan logiknya, macamanalah duit yang kita sendiri tak tahu dilaburkan macamana, boleh beranak pinak sehingga menjadi berpuluh-puluh kali ganda dari pelaburan asal. Kalau difikir-fikir dengan akal yang rasional memang nonsence! Bulsit (bak kata Husin HMLBK)...!

Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang... Bagi aku moral of the story sangat jelas:

1. Tiada jalan singkat untuk berjaya.

2. Jangan lupakan bekalan akhirat dalam kita mengejar hal-hal duniawi.

3. Jauhi MEREKA... Mereka itu BUKAN NAK TOLONG, mereka itu ALONG...!

Read more...

Salahkan PPSMI...!

Friday, March 25, 2011

Masih nak bercerita pasal SPM, aku percaya antara topik bualan yang masih hangat di sekolah-sekolah. Hari ini semua guru mendapat salinan keputusan penuh setiap subjek. Perbezaan antara keputusan 2009 dengan 2010. Kembang juga hidung aku sepanjang hari ini. Menerima ucapan tahniah dari rakan-rakan hasil keputusan cemerlang subjek aku. Laa korang tak tahu lagi ke...? Nah baca kat sini, boleh kembang lagi hidung aku ini...!

Pagi tadi aku sempat bersarapan bersama rakan-rakan guru, kali ini special sikit sebab disertai dengan GPK 1. Bila masuk cerita tentang keputusan SPM yang keluar kelmarin, har har aku lah yang menjadi tumpuan... Apa lagi kasi up lah sikit... har har... Namun dalam seronok-seronok tu ada juga cerita yang kurang sedap didengar. Antaranya adalah masih ramai pelajar aliran sains yang lemah atau gagal dalam mata pelajaran math dan sains tulen (Fizik, Kimia, Biologi), lebih-lebih lagi pelajar Melayu...

Selain mengajar MPV (yang mendapat keputusan cemerlang... ceh up lagi...!), aku turut mengajar subjek Fizik. Secara keseluruhannya peratus kelulusan meningkat tahun ini, tetapi bila aku perhatikan analisis secara terperinci, memang ramai students aku yang tak dapat score subjek tersebut. Dalam erti kata yang mudah, kuantiti naik tetapi kualiti turun. Lebih menyedihkan aku, ada students aku yang mendapat A's dalam BM, Sejarah, Agama tetapi hanya mendapat D, atau E malah ada yang gagal terus, G dalam subjek math dan sains tulen...!

Mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan pendapat aku ini, atau mungkin kalian akan berkata aku sengaja mencari alasan; tetapi bagi aku yang berada di lapangan ini, sebab utamanya tak lain tak bukan: KEGAGALAN DASAR PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris)...! Sejak dasar ini dilaksanakan dari awal lagi, aku antara yang tidak bersetuju. Malaslah aku nak ulas isu ini secara panjang lebar kerana isu ini pun sudah nak basi dah, lagipun dasarnya pun nak ditamatkan tahun hadapan, bagus sangatlah tu... Dan jangan ada pula yang nak ajak aku berdebat isu PPSMI ini, kerana aku dah puas berdebat... Isu ini bukan semata-mata isu pendidikan malah boleh menjebakkan debat ke arah politik... Ops tak mahu... Bukan di blog ini ok...

Bagi mereka yang menyokong dasar tersebut dan merasakan satu kerugian jika dasar tersebut ditamatkan: jangan risau, kita bukan nak jadikan anak-anak kita ini bodoh Bahasa Inggeris, kita cuma nak memperbetulkan strateginya. Kerana strategi dari PPSMI ternyata gagal dan silap...! Apa yang perlu kita buat adalah memantapkan penguasaan anak-anak ini dalam subjek Bahasa Inggeris itu sendiri, bukan dengan menganiaya mereka dengan memaksa mereka menguasai 2 subjek/ kemahiran dalam 1 masa.


P/S: Tak suka dan tak setuju sama sekali dengan anggapan: mereka-mereka yang menguasai Bahasa Inggeris lebih bijak/ hebat dari mereka-mereka yang kurang bagus dalam bahasa tersebut...!

Read more...

SPM... Ei Betul Ke...?!!!

Wednesday, March 23, 2011

Malam tadi aku tidur dalam debaran. Debaran aku terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Mimpinya aku membelasah 3 orang student aku yang bakal mendapat keputusan SPM 2010 mereka hari ini. Aku jarang mengingati mimpi-mimpi, tapi mimpi malam tadi agak jelas. Bagaimana aku bertemu dengan mereka bertiga dalam keadaan yang mencurigakan, seolah-olah sedang membuat satu kesilapan besar...! Aku tangkap mereka, ikat kaki tangan mereka dan mula membelasah mereka, seorang demi seorang. Yang anehnya seorang pun tidak melawan, malah tidak bersuara langsung untuk merayu atau memohon simpati...! Apa yang mereka lakukan hanyalah memandang aku dengan pandangan sayu memohon belas...

Pagi tadi aku ke sekolah seperti biasa. Lepas minum aku masuk ke kelas, menjalankan P&P seperti biasa. Keputusan rasmi SPM dijangka keluar sekitar jam 10 ke atas. Eh aku pulak yang semakin berdebar. Maklumlah ini keputusan SPM yang pertama bagi aku untuk subjek MPV di sekolah ini...

Jam 1020 pagi kelas aku tamat, masih tiada tanda-tanda keputusan rasmi telah dikeluarkan. Aku terus menuju bengkel. Dalam perjalanan ke bengkel telefon aku berbunyi, tertera nama Lan, seorang lagi guru MPV:

"Sham, rekod Sham MPV...! Tak pernah dapat GPMP serendah ini (GPMP = Gred Purata Mata Pelajaran. Lagi rendah lagi baik tau!). Ada sorang budak dapat A+ tu...! Sejarah...!"

"Ei biar betul Lan... Ko jangan main-main..."

"Baliklah bengkel, result ada depan aku ni...!"

Dalam tak sedar aku berlari menuju ke bengkel. Di bengkel sudah ada beberapa orang guru, termasuk Din, guru ICT. Nama pun guru ICT, awal-awal dia dah 'cilok' keputusan penuh dari GPK kami, sedut ke dalam pendrivenya. Jadi kami antara manusia terawal mengetahui keputusan penuh di sekolah kami...

Terus aku semak keputusan penuh mata pelajaran MPV, Menservis Motosikal:

Jumlah calon = 18 orang, A+ = 1, A = 3, A- = 8, B+ = 5, E = 1...

Peratus kelulusan = 100%. GPMP = 2.2

Alamak ada jugak yang dapat E, kesian budak ni. Puas dah aku cuba adjust dia dari dulu lagi tapi tak berjaya aku. Tapi kira oklah tu, ada juga subjek yang lulus, MPV dengan Sains. Subjek lain semua lingkup...! Naya betul...

Tapi secara keseluruhan, keputusan ini memang agak mengejutkan. Ini merupakan keputusan terbaik sejak mata pelajaran MPV diperkenalkan di sekolah ini. Nah sekarang, siapa kata budak-budak MPV tak boleh pakai? Budak-budak ini telah membuktikan. Yang lebih membanggakan majoriti mereka lulus hampir semua mata pelajaran. Kalau yang gagal pun kebanyakkannya dalam mata pelajaran ENGLISH dan MATH... Erm klise kan... Apa-apa pun syabas dan tahniah korang semua... Cikgu banggo dengan korang...!(walaupun aku komfem budak-budak ni tak pernah pun terbaca blog aku ni... hu hu...)

Berbalik kepada mimpi aku tadi. Kesemua 3 budak yang aku belasah dalam mimpi aku tu mendapat A's. Dan salah seorang dari mereka adalah satu-satunya pelajar yang mendapat A+ tersebut, sekaligus mencipta rekod dalam sejarah mata pelajaran MPV di sekolah ini...!

KENAPE...? TAK PERCAYE KE...?!!!


P.S: Syabas dan tahniah juga kepada semua yang mendapat keputusan SPM mereka hari ini. Samada yang berjaya atau pun tidak... Bagi yang berjaya: This is just the beginning... Bagi yang kurang berjaya@gagal: This is not the end of the world...

Read more...

Berkatkah...?

Monday, March 21, 2011

Yeah sesudah seminggu berlepak-lepak bercuti sakan, hari ini kembali menunaikan tanggungjawab. Kerja aku hari ini seperti biasa, tiada yang luar biasa. Cuma kejutan dari SU Kurikulum yang memaklumkan supaya markah P1 perlu dimasukkan ke dalam sistem selewat-lewatnya hari esok. Wah 2 hari je...? Takpe, aku punya markah dah beres, bila-bila masa boleh key in...

Suasana di bengkel agak meriah, maklumlah dah seminggu tak berjumpa, macam-macam cerita keluar. Bila keluar cerita lucu, pecah ketawa masing-masing. Mujur bukan di bilik guru, kalau tidak pasti ada yang menegur. Satu perkara yang menjadi kebiasaan di mana-mana sekolah, guru-guru bengkel (samada KH, Lukisan, MPV atau seumpamanya) biasanya agak gila-gila, kecoh atau pun orang kata jenis 'hu ha hu ha'... Maaf kalau tak betul tapi dari pengalaman aku, aku nampak begitu. Tapi sungguh pun hu ha hu ha bukan bermakna kami tak buat kerja tau...!

Cerita pasal kerja ni teringat aku akan satu artikel yang pernah aku baca berkenaan keberkatan dalam pendapatan kita. Menurut artikel tersebut antara tanda-tanda hilang keberkatan pada rezeki adalah seperti:

- Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak dan bertimbun.

- Harta yang diperoleh menerusi jalan tidak baik mudah habis dan terhakis tanpa diduga dan tidak disedari seperti kereta rosak dan kena saman.

- Berasa sombong dan tamak hingga bernafsu untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga terlupa dan tidak mementingkan ibadah.

- Berasa kedekut dan enggan bersedekah atau mengeluarkan zakat kerana menganggap perbuatan itu merugikan.

- Sering ditimpa bencana dan musibah yang tidak disedari seperti anak sakit, duit hilang, barangan rumah rosak walaupun baru dibeli. Ini kerana setiap perbuatan mungkar akan mendapat laknat daripada Allah.

Aku bukan nak mengajar orang atau nak mengata sesiapa, aku cuma nak bercerita berkenaan dengan diri aku. Aku mula memasuki alam pekerjaan pada tahun 2001, tapi bukan sebagai guru. Sebelum menjadi guru aku terlebih dahulu bekerja di sektor swasta. Kalau mengikut ijazah pertama aku, aku sepatutnya bergelar production engineer. Namun atas sebab-sebab teknikal (panjang kalau nak cerita, jadi aku ringkaskan saja), dalam surat perjawatan aku, aku hanya bertaraf supervisor. Namun tugas aku tetap merangkumi keseluruhan production line dan gajinya juga lumayan. Ahh apa aku nak kisah pasal pangkat, yang penting gajinya masyuk... Jika aku masih disana pada hari ini, pastinya gaji aku sekarang lebih sekali ganda dari gaji aku sebagai seorang guru pada hari ini.

Namun di sana aku kurang merasa ketenangan hidup. Malah sering kali aku merasa tanda-tanda seperti di atas. Mungkin disebabkan beberapa perkara yang aku lakukan, atau mungkin kerana cara hidup yang aku amalkan pada ketika itu. Kadang-kadang aku rasa macam Maher Zain pulak, wooppss...! Sehinggalah pada suatu ketika aku merasakan aku perlu STOP dan REFRESH. Kebetulan pada ketika itu aku mendapat tahu yang KPLI sedang dibuka, dan Kak Long aku beria-ia ingin aku memohonnya...

2005, secara rasminya aku bergelar seorang guru. Ya, guru bukan pilihan pertama yang aku inginkan sebagai kerjaya aku pada mulanya. Namun sehingga ke hari ini, dengan sejujurnya aku akui, aku sayang kerjaya ini dan amat-amat bersyukur kerana diberi peluang di dalam bidang ini. Walaupun tidak akan semewah seperti kerjaya pertama aku tetapi aku yakin, keberkatannya ada. Lebih-lebih lagi apabila setiap pagi ada sahaja orang-orang yang akan mendoakan kesejahteraan aku. Tak percaya? Setiap kali aku masuk ke kelas pasti semua pelajar akan bangun dan mengucapkan:

"SELAMAT SEJAHTERA CIKGU..."

Read more...

Kuantan: From Zero To Hero...

Saturday, March 19, 2011

Sebelum ini aku ada bercerita tentang diri aku yang nerd dan skema ketika di sekolah sehingga menyebabkan aku menjadi mangsa buli. Namun sejak aku bersekolah di SM Teknik Kuantan, segala-galanya berubah. Hidup tanpa pengawasan ibu bapa membuatkan aku rasa sangat bebas. Sementelah lagi berada di bandar besar, nak kata aku kena shock culture; yup aku terpaksa mengaku...

Pada mulanya pengalaman pertama hidup di asrama dan berjauhan dari keluarga amat memeritkan. Aku ingat lagi malam pertama di asrama, aku tidur bersama linangan air mata. Layanan dari senior juga menakutkan. Pada ketika itu SM Teknik (seluruh Malaysia) memang terkenal dengan kes ragging junior. Di sekolah dan asrama aku tidak terkecuali. Bayangkan setiap senior dan junior mempunyai undang-undang yang berbeza, setiap junior pula mempunyai tugas-tugas khas seperti menghantar makanan senior, membasuh baju senior, mengemas katil senior dan sebagainya. Malah laluan untuk senior dan junior juga berbeza, senior mempunyai laluan shortcut manakala setiap junior terpaksa melalui jalan yang jauh untuk ke mana-mana. Tengking herdik usah cakaplah, dah jadi makanan harian. Kes pukul pun ada sebenarnya tapi tidak dihebohkan... Aku percaya memang pihak sekolah cuba untuk membendung kegiatan tersebut namun apakan daya, warden hanya 2 orang, nak mengawal pula mungkin lebih kurang 300-400 orang pelajar.

Mujurlah aku ada kisah menarik bagaimana aku dapat berbaik-baik dengan senior. Dulu kan aku ada cerita yang aku ni kaki video games. Entah macamana suatu hari tu ada senior bercerita berkenaan video games, rupa-rupanya mereka pun sedang 'gila' permainan tersebut. Aku pun mula menyampuk dengan hormatnya. Respon mereka baik, aku diajak ikut mereka pada suatu hujung minggu. 'Pot' mereka rupa-rupanya di Teruntum Kompleks (sekarang dah hidup segan mati tak mahu je komleks ni aku tengok...). Apa lagi aku pun tunjuk skill ler. Mereka kagum dengan 'ketereran' aku. Wah aku terus diterima menjadi geng mereka. Pada ketika itu 2 TC yang diharamkan oleh senior kepada junior untuk berjalan-jalan adalah Teruntum Kompleks dan Teluk Cempedak. Namun aku mempunyai 'lesen besar' kerana aku join geng-geng senior.

Tahun pertama aku di Kuantan memang membuatkan aku 'hanyut'. Aku mula belajar menghisap rokok. Hampir setiap malam pasti aku 'fly' asrama, lepak kat kedai luar. Bukan buat apa pun, minum limau ais secawan, koci sebungkus, sambil tengok tv. Asap rokok berkepul-kepul. Bila dapat duit biasiswa, langkah aku semakin panjang. Ke mana lagi kalau tak ke bandar. Pot kami ketika itu Teruntum Kompleks la. Sesekali kami ke Odeon (sekarang ni Kuantan Parade tak silap aku) tengok mak nyah. Tak pun kami melepak di stesyen bas lama (berhampiran sungai Kuantan), layan A.B.U (tahu tak apa ni...?).

Pelajaran aku entah kemana. Keputusan peperiksaan memanjang merah je. Yang membuat aku lebih naik tocang adalah aku tidak pernah 'kantoi' kes-kes besar. Seingat aku, aku hanya pernah ditangkap sekali kerana merokok dan sekali kerana ponteng kelas. Aku sangkakan aku akan terlepas selama-lamanya. Mana tahu yang kegiatan aku selama ini rupa-rupanya dalam perhatian warden. Walaupun aku tidak tertangkap, namun warden mempunyai rekod kegiatan aku dan rakan-rakan hasil maklumat dan intipan pengawas-pengawas asrama (yang aku panggil anjing warden pada ketika itu).

Hasilnya ketika cuti akhir tahun tingkatan 4 aku mendapat surat dari sekolah mengatakan aku tidak layak untuk menduduki asrama pada tahun berikutnya. Pergh ini merupakan satu tamparan buat aku. Jika tidak dapat duduk asrama bagaimana aku nak meneruskan pelajaran di sana. Aku bukan ada saudara mara di Kuantan. Nak duduk menyewa pasti tidak dibenarkan oleh orang tua aku. Namun aku masih diberi peluang untuk merayu, dengan syarat membawa kedua-dua orang tua aku untuk berbincang dengan pihak sekolah.

Ketika 'mengadap' pihak pentadbiran sekolah, mereka membongkar segala kegiatan aku kepada kedua-dua orang tua aku. Pastinya mereka terkejut, mana mereka sangka anak yang mereka lihat begitu skema semasa di kampung melakukan bermacam-macam salah laku disiplin. Pada mulanya mereka menolak untuk mempercayainya tetapi apabila mendengar pengakuan dari mulut aku sendiri barulah mereka menerima kenyataan: yang anak mereka ini telah berubah sama sekali. Berlinangan air mata mak aku dalam pejabat sekolah. Muka bapak aku pulak aku tengok merah semacam, mujur depan orang, kalau kat rumah ni komfem aku dah dapat 'ubat'...! Aku pula merasa sangat-sangat bersalah, bersama malu yang teramat-amat.

Tapi nak buat macamana, nasi dah jadi bubur... Apa perlu aku buat adalah menanam azam untuk meninggalkan segala salah laku disiplin dan menjadi lebih baik untuk tingkatan 5 nanti... Agak-agak apa pulak kisah aku di tingkatan 5...? Kalau nak tahu, tunggguuu...

Perhatikan anak-anak anda tu... Kadang-kadang depan mata kita, pijak semut pun tak mati. Tapi bila di belakang kita...? (Berkata berdasarkan pengalaman... Hu hu hu...)

Read more...

Nak Marah Siapa...?

Thursday, March 17, 2011

Aku nak marah tapi tak tau kat siapa...! Dah lama nak marah tapi aku pendamkan sahaja. Aku dapat terima akan pertambahan manusia dan kenderaan di atas muka bumi ini, tetapi kenapa kemudahan dan prasarana tetap berada di takuk lama. 30 minit aku dihabiskan semata-mata nak mencari parking. Urusan di bank hanya memakan masa 10 minit sahaja. Total masa yang terbuang 3 kali ganda dari masa yang sepatutnya digunakan. Di mana time efficiencynya..! Pergh kalau dalam dunia korporat ni dah kira rugi juta-juta ni...!

Keadaan jalan turut membuatkan aku senak otak. Kalau diikutkan taraf dah Majlis Perbandaran. Segala jenis cukai pastinya sudah naik, tetapi kenapa perkara asasi seperti jalan masih belum sempurna. Lopak sana sini, bila hujan mula naik air. Memang menyusahkan...! Beberapa hari lepas aku terpaksa menukar tayar kereta, padahal bunga masih cantik, baru je tukar tak sampai setahun. Sebabnya tayar aku bengkak, terbonjol macam belon. Tunggu masa je nak meletup. Pastinya kerana terlanggar jalan yang berlubang, tertekan betul aku...! Mujur juga perasan awal, kalau meletup tengah drive..? Pasti ada yang ingat aku drink and drive...!

Traffic jem..? Tok sah cakaplah, padahal bandar kecik je. Tapi jemnya dah macam kat KL pulak. Semua orang tahu yang puncanya dimana. Sudah dikenal pasti pun bottle necknya di 2 tempat sahaja: depan bangunan The Store dan jambatan Kg. Baru. Namun tak ada apa-apa pun tindakan yang dibuat. Susah sangat kot...

Mungkin aku ni rakyat yang tidak bersyukur. Tidak memahami masalah kerajaan, setempat mahu pun pusat. Yang aku tahu komplen sahaja, dah macam pembangkang pulak...! Tapi aku berfikir balik, memanglah kerja aku sebagai rakyat kena komplen, dan kerajaanlah yang sepatutnya bertindak mengikut komplen rakyat. Kerajaan dilantik untuk menyelesaikan masalah rakyat, kalau tak mampu janganlah tergila-gilakan jawatan tersebut...!

Aih dah melalut dah aku ni, macam blog politik pulak...! Hee... Tidak tidak, belum sampai masa aku nak cerita pasal politik lagi. Ini bukan komen politik cuma komplen dari seorang rakyat marhaen, yang mendambakan kehidupan yang lebih convenience... Kepada sesiapa yang bertanggungjawab, tolonglah... dengarlah keluhan kami ini... tunaikanlah tanggungjawab anda... Sesungguhnya anda merupakan golongan pertama yang akan di soal di Hari Pengadilan kelak...


Gambar ni aku rembat dari satu blog politik... Malaslah nak bagi backlink... Tapi korang yang cerdik mesti tau apa cerita di sebalik gambar ni kan...? Hem takkanlah nak tunggu ada YB meninggal baru nak baik pulih prasarana setempat kot...! Takkan kita sebagai rakyat marhaen ini perlu mendoakan kematian seorang yang bergelar YB pulak...?!!

Read more...

PUT...

Wednesday, March 16, 2011


Sudah beberapa hari aku membiarkankan blog ini tidak berupdate. Blog rakan-rakan pun tidak ku jengah. Kiranya 2,3 hari ini aku mendapat one way traffic je. Thanks pada kengkawan. Jangan risau lepas ni aku jengah korang balik, bagi balik traffic kat korang 2,3 kali untuk sehari ini...


Sebenarnya sejak Ahad lepas aku berada di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia. Musim cuti kan... Itulah keistimewaan cikgu ni, sekolah cuti kita pun cuti ler... Jangan marah ha. Tapi aku tahu ada juga cikgu-cikgu yang sibuk dengan bermacam-macam tugas di sekolah, walaupun sedang bercuti. Syabas untuk kalian... Di Putrajaya, aku menumpang menginap di rumah Kak Ngah aku, yang bekerja di Kementerian Pertanian. Seperti biasa rumahnya akan penuh dengan orang tua aku, keluarga Kak Long, keluarga aku dan keluarga adik aku. Tapi tak kisah, memang keluarga kami suka bergelemak beramai-ramai sebegini...

Walau pun ini merupakan kali yang ke berapa puluh kali dah aku ke sini, namun Putrajaya tetap menawan hati aku. Aku memang meminati persekitaran di sini, terus terang aku katakan aku cemburu dengan penduduk di sini. Kawasan persekitarannya permai, pemandangannya indah, kehidupan penduduknya kelihatan makmur. Aku rasa ada rakan-rakan blogger yang menetap di Putrajaya kan...? Hem bestlah korang... Cuma menurut Kak Ngah aku, kos sara hidup di sini agak tinggi. Biasalah sis, sekarang ni 1Malaysia, semua kos naik maa...


Petang semalam aku sempat buat pertama kalinya melayari Putrajaya Cruise. Kami dibawa belayar selama 20 minit sambil melihat pemandangan pusat pentadbiran dari tasik buatan manusia Putrajaya, sambil diberi penerangan berkenaan bangunan-bangunan di pusat bandar. Oh rupa-rupanya baru aku tahu yang reka bentuk bangunan PICC itu mengambil ilham dari kepala tali pingang DYMM Agong. Betul ke tidak aku tak tahulah... Kalau pemandu pelancong tu kelentong, maknanya kena kencinglah kitorang semua dalam cruise tu (termasuklah korang yang sedang membaca ni...!) Hu huuu...


Kali ini aku sempat bersembahyang di Masjid Sultan Mizan atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi, rupa-rupanya masjid ini tidak menggunakan sebarang kemudahan penghawa dingin, ia menggunakan sistem penyejukan dengan kaedah pengaliran air. Bagaimana? Entah aku pun tak tahu... Satu lagi kelainan binaan masjid ini ialah ianya tidak berdinding. Yang menjadi benteng antara ruang solat dengan luar hanyalah kolam air di sekelilingnya. Hem memang lain dari yang lain...


Selain daripada itu tak banyak dah tempat-tempat kami berjalan, sebabnya cuaca tidak mengizinkan, hujan dan mendung je... Namun tempat wajib pergi tetap pergi seperti Alamanda, Taman Warisan dan kolam renang Presint 11. Hem teringin pulak aku memohon pertukaran ke Putrajaya. Agak-agak ada tak cikgu-cikgu yang sudi bertukar suka sama suka...? Ahak ahaks...

Read more...

Selamat Jalan Sahabat...

Saturday, March 12, 2011

Hari Jumaat baru ini merupakan hari sedih buat semua warga sekolah aku. Salah seorang guru telah pergi selama-lamanya, dipanggil untuk mengadap Illahi. Guru tersebut merupakan antara guru senior yang aku hormati, cikgu Halim Anuar Bin Isa...

Lebih kurang jam 10.45 malam Jumaat, seorang guru sedang melaksanakan tugas-tugas keguruan, menanda kertas soalan peperiksaan. Tiba-tiba dadanya diserang sakit yang amat, terasa seperti dicucuk-cucuk. Dia rebah tidak sedarkan diri. Tanpa melengahkan masa, anak-anaknya mengejarkannya ke hospital namun disahkan telah meninggal dunia dalam perjalanan... Arwah meninggalkan seorang balu dan 6 orang anak. Umur arwah baru mencecah 46 tahun ini...

Begitulah lebih kurang cerita yang berlaku menurut isteri dan anak-anak arwah. Sesampai di sekolah pada pagi Jumaat itu, terus aku menuju ke rumah arwah bersama-sama beberapa rakan guru yang lain, yang tak berkesempatan melawatnya di hospital malam sebelumnya. Terbujur kaku jenazah arwah di tengah rumah. Betul-betul sedih aku rasa...

Bercerita sikit berkenaan arwah, arwah sememangnya dikenali sebagai seorang yang panas baran dan kepala angin. Dalam daerah tempat kami mengajar ni, dikatakan hanya 3 buah sekolah menengah sahaja yang arwah tak sempat masuk. Semuanya gara-gara masalah dengan pentadbir ler... Bukan sekali-kali aku nak memburukkan arwah, cuma terkenang sikapnya yang paling benci dengan hipokrasi dan birokrasi. Arwah seorang yang straight to the point, kalau dia tak suka dia akan sound direct. Mungkin itu antara sebab arwah kurang diminati oleh pentadbiran. Tapi itu semua cerita masa mudanya.

"Dah tua-tua ni, aku pun dah slow dah. Sekarang ni aku buat kerja aku je. Masuk kelas ngajor, pastikan budak dapat apa yang kita ajar, pastikan mereka lulus dalam peperiksaan..." Itu antara kata-kata yang sering diucapkan oleh arwah.

Namun sikap arwah terhadap pelajar berlainan sama sekali. Arwah sangat-sangat rapat dengan pelajar. Ini terbukti dengan kehadiran bekas-bekas pelajar arwah. Dari hospital, ke rumah arwah, sehinggalah ke tanah perkuburan; dipenuhi dengan bekas-bekas pelajar. Pelajar di sekolah juga ramai ke rumah arwah pagi itu, 2 trip bas sekolah... Teringat juga aku yang arwah pernah hampir bergaduh dengan seorang guru disiplin yang menuduh pelajarnya tanpa bukti yang kukuh. Nasib baik dia tak tinjunya cikgu tu... Bang Halim, Bang Halim...

Satu yang aku terkilan adalah perbualan terakhir aku dengan arwah melalui telefon. Pada hari Isnin minggu yang sama, aku bertugas sebagai guru membuat jadual relief (jadual ganti) bagi guru-guru yang tidak hadir ke sekolah, samada yang bercuti mahu pun keluar sekolah untuk kursus-kursus atau seumpamanya. Aku meletakkan nama arwah sebagai guru ganti pada hari tersebut. Arwah menghubungi aku melalui telefon:

"Hai bro... Dah 2 minggu berturut-turut ni aku dapat relief ni... Relief ni kau bagilah cikgu-cikgu muda tu bebanyak sikit... Cikgu tua macam aku ni bagilah rileks sikit bro..."

"Ok, ok Bang Halim, awak punya pasal minggu dengan aku jamin awak tak dapat relief..."

Terbukti kata-kata aku tepat sekali. Itulah merupakan kelas reliefnya yang terakhir, yang sempat aku bagi padanya... Mulai minggu depan dia dah tak perlu masuk ke kelas relief lagi... Malah dia dah tak perlu ke sekolah lagi... Kerana dia bakal menempuh suatu kehidupan yang lain, di ALAM BARZAKH...

Semoga roh arwah dicucuri rahmat... Ditempatkan bersama-sama orang yang beriman... Selamat jalan Bang Halim...

Read more...

Semoga Tiada Sebarang Aral...

Thursday, March 10, 2011


Kelmarin aku ronda-ronda Taman Bentong Makmur, kawasan perumahan yang memang aku dan isteri idamkan untuk memiliki sebuah kediaman di sini. Beberapa bulan lepas aku ada ke pejabat pemaju untuk bertanya fasa terbaru pembinaan yang kini dalam lebih kurang 30% siap. Malangnya harga yang disebut terlalu mahal buat kami. Bayangkan teres 2 tingkat berkeluasan 22' x 80', 4 bilik tidur dan 3 bilik air berharga sekitar RM280k! Tak mampulah weh...

Sedang kami meronda di fasa kedua terbaru yang siap sepenuhnya kira-kira 3-4 tahun lalu kami terjumpa signboard berikut:

"FOR SALE MR CHEE 016$#@%^&*"

Apa lagi, aku terus mencapai telefon dan bercakap dengan MR CHEE. Dipendekkan cerita, dia meletakkan harga rumah tersebut RM185k... Berikut sedikit maklumat berkenaan rumah tersebut:

Jenis rumah: Teres 2 tingkat. 4 bilik tidur, 3 bilik air.

Keluasan: 20' x 70'.

Menurut tuan rumah lagi, dia tidak pernah pun menduduki rumah tersebut. Dia hanya sempat menyewakannya kepada seorang polis berkeluarga berketurunan Melayu. Polis tersebut hanya mendiami rumah tersebut kira-kira 6 bulan sahaja sebelum dia ditukarkan ke daerah lain. Menurut tuan rumah lagi dia ingin menjual rumah tersebut kerana dia kini bekerja dan menetap di KL dan mungkin akan membeli rumah di sana. Semalam aku sempat meninjau ke dalam rumah (kunci rumah dipegang oleh adiknya yang tinggal di kejiranan yang sama). Memang betul apa yang dikatakannya. Rumah tersebut memang seolah-olah tidak berpenghuni langsung. Dindingnya putih bersih tiada sebarang kotoran. Memang cukup memuaskan hati...

Antara sebab lain yang membuatkan aku dan isteri betul-betul berminat adalah:

1. Kawasan perumahan tersebut mempunyai nilai pasaran yang baik dan berpotensi untuk masa hadapan kerana kedudukannya yang tidak jauh dari Pusat Bandar Satelit Bentong.

2. Harga yang ditawarkan amat berpatutan dan mampu milik bagi kami. Anggaran kami memang ingin mencari yang dibawah RM200k.

3. Kedudukan perumahan tersebut di tengah-tengah antara rumah orang tua aku dan rumah mertua aku. Kira fairlah untuk aku suami isteri kan... ;P

Baru sebentar tadi aku appoint seorang lawyer yang direkemankan oleh seorang rakan guru yang juga ada membeli rumah baru-baru ini. Setelah berbincangkan serba sedikit, kami menetapkan esok, selepas Jumaat akan diadakan pertemuan antara aku, tuan rumah dan lawyer. Segala-galanya akan dibincangkan esok termasuk harga sebenar jualan, deposit, pinjaman aku dan sebagainya... So, wish me good luck for tomorrow ok, semoga esok tiada sebarang aral...

Read more...

Saya Dah Tak Dara...

Tuesday, March 8, 2011

Perghhh memang kontroversial betul tajuk entry aku petang ni... Just nak tanya kalian pernah ke kalian mendengar pengakuan kamikaze tersebut dari mulut seorang anak gadis belasan tahun yang berstatus pelajar...? Ya pelajar... Berbaju kurung putih kain berwarna biru... Bertudung sambil menyandang beg sekolah... Setiap pagi menuju ke sekolah dengan niat untuk menuntut ilmu...

Atau pernah tak kalian mendengar pengakuan:

"Ala kami bukan buat apa-apa pun... Kami ringan-ringan je..." atau

"Saya sayang kat dia... Sebab itulah saya bagi..."

Masyallah... Nauzubillahi min zalik...

Sebenarnya aku pun tak pernah dengar pengakuan tersebut secara live. Hee... Cumanya menurut rakan-rakan guru senior yang suatu ketika dulu memegang tampuk disiplin sekolah mempunyai pengalaman menangani masalah-masalah yang membabitkan dialog di atas. Antara kes gempar yang pernah melibatkan pelajar sekolah menurut mereka:

1. Keruntuhan rumah tangga akibat si suami bermain kayu tiga dengan pelajar sekolah tingkatan 3... Aduyai semak otak aku mendengarnya...

2. Aduan seorang pelajar perempuan yang dia sudah lewat 'datang bulan'. Lalu rakan guru tersebut membeli pregnancy tester. Mujurlah naik 1 jalur sahaja. Kalau tidak ke Melaka dah budak tu... Hu hu...

3. Kes bergaduh sesama rakan perempuan kerana berebutkan pakwe... Alamak pendeknya akal...

4. Aksi terlarang yang sempat dimuat naik ke dalam You Tube... Namun sekarang dah dideletekan...

5. Rakaman-rakaman aksi yang amat melampau samada yang melibatkan individu mahu pun berpasangan. Malah terdapat juga aksi beramai-ramai...!

Dasyattt...! Bak kata Nazmi Raja Lawak. Namun itulah hakikatnya. Aku bukan sengaja nak mengada-adakan cerita atau sengaja nak memanaskan suasana, cuma sekadar ingin berkongsi rasa bimbang dan seram terhadap perkembangan anak-anak muda sekarang ini. Lebih-lebih lagi bila aku kini pun mempunyai anak gadis yang comel lote. Macam manalah agaknya perkembangannya 10 atau 15 tahun lagi. Jika melihatkan senario hari ini, agak tenat juga aku nak mengawal pergerakkannya kelak...

Ini pesanan untuk diri aku sendiri dan nekad aku untuk menunaikannya, juga kepada kalian semua (yang sudi membaca): peliharalah anak-anak kita, jangan sampai kita hilang kawalan terhadap mereka. Sesungguhnya anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih umpama kain putih), lalu ibu bapanya yang mencorakkan mereka samaada menjadi pengikut agama yahudi, nasrani mahupun majusi (penyembah api)...

Antara penyumbang utama gejala-gejala yang merosakkan hari ini. Hiburan melampau dan promosi gaya hidup cara barat...!

P/S: Tadi jalan-jalan blog member baru tau yang hari ini 8 Mac merupakan Hari Wanita Sedunia... Selamat dan salute aku untuk semua wanita-wanita di seluruh dunia... Sesungguhnya tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia...!

Read more...

Aku Nerd, Sering Dibuli...

Sunday, March 6, 2011


Aku dilahirkan sebagai seorang budak yang skema dan baik. Ehem hem... bukan nak up tapi ini memang diakui sendiri oleh kedua-dua orang tua aku. Semasa bayi memang tidak susah nak membesarkan aku, tak banyak kerenah kata mereka. Aku membesar di kuarters JKR, seingat aku tak ramai budak-budak sebaya aku. Jadi masa aku banyak dihabiskan di rumah sahaja, membesar di bawah ketiak mak aku. Semasa di tadika, tak banyak 'memori indah' yang dapat aku ingat. Mungkin memang tiada sebab hatiku tak teruja langsung untuk bersekolah ketika itu. Malah aku tak menamatkan pun sesi persekolahan tadika. Sebab itu aku takde gambar sesi graduasi tadika...

Sebelum aku memasuki sekolah rendah, keluarga aku berpindah. Rumahnya kami duduki hingga ke hari ini. Di perumahan ini aku berjumpa ramai rakan-rakan sebaya. Aku jadi suka berkawan, dan ramai kawan juga sukakan aku. Lebih-lebih lagi aku champ dalam banyak permainan kampung. Tuju gambar dengan selipar, main getah, konda kondi, chop bola tenis... Siapa yang geng dengan aku mesti juara punyalah... Di sekolah, keaktifan aku sama naik. Aku bersekolah rendah di sekolah cina, tapi ketika aku memasuki sekolah ada beberapa pelajar 'senior' melayu di sekolah tersebut. Aku tak rasa keseorangan sangat.

Sehinggalah aku berada dalam darjah 3 atau 4 (aku tidak berapa ingat), kenakalan aku agak menjadi-jadi. Sehingga pada suatu hari aku dan rakan-rakan yang bermain di rumah jiran telah secara tidak sengaja memecahkan cermin tingkap rumahnya. Kami bertempiaran lari ketakutan, masing-masing tidak mahu mengaku siapa yang buat. Sampai ke rumah aku disambut oleh bapaku dengan getah paip. Aku tak tahu macamana cerita tersebut boleh sampai kepadanya dengan begitu cepat. Hari itu aku merasa penangan yang paling 'kaw' yang tak pernah aku dapat selama ini. Kesakitannya membuatkan aku betul-betul serik...!

Sejak itu aku jarang keluar rumah. Mungkin juga disebabkan ketika itu aku memasuki tahap 'baligh'. Selepas bersunat kan hormon-hormon kita turut berubah, suara menjadi kasar, badan aku membesar agak ketara. Personaliti aku turut berubah, aku menjadi pendiam. Semakin kurang minat untuk bergaul dengan rakan-rakan. Hidup aku hanya di rumah, menonton tv dan membaca buku. Mungkin juga itu antara faktor aku memakai cermin mata seawal umur 12 tahun.

Di sekolah, aku mula menerima tekanan. Di kala budak-budak sebaya aku semakin lasak, aku pulak menjadi semakin skema. Akhirnya aku sering menjadi mangsa buli. Lebih-lebih lagi tinggal aku sahaja pelajar melayu di sekolah tersebut kerana pelajar-pelajar melayu senior sebelum ini sudah menamatkan sekolah rendah. Pernah suatu ketika aku menjadi 'kuda tunggangan', mengangkat pelajar senior dari tingkat bawah ke tingkat 2 sekolah. Namun kejadian tersebut tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa.

Memasuki sekolah menengah, ceritanya tak jauh berbeza. Cuma aku sudah tidak menjadi mangsa buli lagi kerana aku merupakan seorang pengawas sekolah. Namun sikap aku yang skema masih menebal. Aku tidak suka berkawan, baik di sekolah mahupun di rumah. Hidup aku hanyalah buku dan tv di rumah. Satu-satunya benda nakal yang aku buat adalah, tanpa pengetahuan ibu bapa aku, aku sering ke kedai permainan video games di bandar. Memang menjadi hobi dan kegilaan aku main games 20 sen tu. Pergh di hadapan video games itulah aku tempat melepaskan segala perasaan geram aku, kecewa aku dan keghairahan aku...

Selepas tamat SRP (yang digantikan oleh PMR sehingga hari ini), aku mendapat tempat di SM Teknik Kuantan. Di Kuantan kehidupan dan perangai aku berubah 100%. Hidup tanpa pengawasan ibu bapa membuat aku menjadi 'naik tocang'. Aku mula belajar merokok. Masalah disiplin yang lain mula aku lakukan baik di sekolah mahupun di asrama. Hem panjang pulak ceritanya... Next time sajalah kita cerita ye...



Tu dia... Gambar aku masa di tingkatan 1 (dalam bulatan merah). Cermin mata besaq cermin tebai tu... har har har...

Read more...

APC Punya Cerita...

Thursday, March 3, 2011

Semalam sekolah aku mengadakan mesyuarat, di akhir mesyuarat puan Pengetua mengumumkan 10 guru yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010. Tahniah aku ucapkan kepada mereka. Terutama cikgu R, semalam dia menerima APC, hari ini mendapat tawaran untuk jawatan Ketua Bidang. Kegembiraan berganda... Syabas friend..! Ternyata segala usaha dan kerja yang anda buat selama ini di'pandang'. Kepada cikgu M, usah peduli apa orang kata, kau layak mendapatnya. Rezeki anak dalam kandungan isteri kau tu...

Aku..? Masih belum ada rezeki lagi. Walaupun dah masuk tahun ke-7 perkhidmatan tapi takdo apo-apo lagi. Lebih-lebih lagi dalam sekolah besar macam ni. Purata masa bagi seseorang guru untuk mendapat APC di sekolah ini lebih kurang antara 6 ke 7 tahun. Aku disini baru masuk tahun ke 3. Itulah malangnya bila bertukar ni. Aku yakin jika masih di sekolah lama pasti aku dah dapat RM1000 tu... Cewah... Bukanlah maksudnya aku mengejar sangat RM1000 tu, cuma kalau ada anugerah rasa bersemangatlah sikit ye tak...?

Tapi memang sikap sesetengah manusia tu kan, aku betul-betul tak faham... Kenapalah suka sangat nak mempertikaikan rezeki orang...? Keluar je dari mesyuarat aku terdengar seorang guru senior membebel:

"Patut cikgu S tu tak layak dapat APC tau...! Memang dari segi senioriti dia dah layak, tapi tahun lepas kan dia banyak buat slack...! Unit uniform dia lintang pukang! P&P dia pun bukan bagus sangat...!"

Aduyai... Terus aku sound:

"Rileksla bang... Apa nak pertikai-pertikai orang ni...! Abang tu bagus sangat ke...? Janganlah duk sibuk mempertikaikan orang. Nanti orang pulak sibuk pertikaikan kita..! Macamlah kita ni bagus sangat...!"

Cikgu senior tu senyap je... Memanglah dia senyap, dia tak dengar pun apa aku cakap. Aku sound dia dalam hati je...! Gila ko nak sound cikgu senior taraf-taraf gaban macam dia tu, cari pasal je...!

Tapi secara peribadi memang aku tak berapa gemar akan sikapnya yang sebegitu. Walaupun aku menghormatinya sebagai guru senior dan aku akui dia seorang guru yang... erm kira best jugaklah. Tapi janganlah kita suka sangat mempertikaikan orang. Kita pun bukan sempurna, ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Lagipun panel pemilih tu bukannya orang-orang bahalol yang membuat keputusan tanpa memikirkan sebaik-baiknya calon yang layak... Betul...?

Beginilah sepatutnya tempat kerja bagi seorang pekerja yang cemerlang...! Setuju tak...? Hu hu hu...

P/S: Satu perkara sering membuat aku tertanya-tanya, pilihan mana yang lebih baik:

1. Kita menerima segala tugasan dan tanggungjawab yang diberi, buat dengan sebaik mungkin dan menghadapi risiko melakukan kesilapan dan dipertikaikan orang, atau

2. Tolak segala tanggungjawab yang diberi dengan alasan tak mampu buat, duduk senyap-senyap dan buat kerja sendiri sahaja. Tak perlu tanggung sebarang risiko, play safe...

Yang mana satu anda akan pilih...?

Read more...

Abang Dah Pandai Berkawan... Adik Dah Meniarap...

Tuesday, March 1, 2011


Hujung minggu lepas aku ke KL, saje berjalan-jalan. Dah sampai KL tak sah la kalau tak singgah satu kompleks ni. Sebut nama pasti 1 Malaysia tau. Kompleks apa lagi, SOGO le. Kebetulan ada buat jualan warehouse clearence pulak, apa lagi, gaji baru masuk tu... Semasa menunggu mama memilih pakaian budak-budak di tingkat 4, aku melayan si Shahmin di bilik permainan. Ada perubahan yang dapat aku lihat telah berlaku kepada Shahmin. Dia sudah pandai berkawan...

Sesuatu yang agak merisaukan aku tentang Shahmin selama ini adalah kesukaran untuknya bermain bersama-sama dengan rakan-rakan sebayanya. Dia boleh bertegur, bergelak tapi bab kongsi mainan memang sukar. Pernah kejadian sebelum ini, di tempat yang sama dia menangis membentak-bentak... Kesnya kerana tak mahu berkongsi duduk dalam 1 kereta mainan. Siap dia suruh aku halau pulak budak yang tengah main kereta tu...

"Ayah... tengokla dia ni... dia kacau... Ayah... marahla dia..."

Isy takkanlah aku suka-suka nak marah anak orang pulak kan...? Sekali bapak budak tu marah pulak aku camana...? Tak ke kes naya...? Tapi kejadian yang aku sempat snap baru-baru ini sedikit melegakan aku. Yelah tahun depan Shahmin dah masuk 5 tahun, walaupun dia lahir bulan Disember tetapi aku dan isteri dah bercadang nak masukkanya ke tadika tahun hadapan... Risau juga aku kalau dia terus berperangai begitu. Takut juga aku kalau-kalau tak ada yang nak berkawan dengannya pulak nanti...


Satu lagi kejadian yang mengujakan berlaku semalam, sebaik aku balik dari sekolah aku nampak Iffa terlentang di atas sofa depan rumah. Sekoyong-koyong kepalanya mengeletar, bontotnya dah terangkat, badannya dah mengiring... Perlahan-lahan badannya tertiarap... Yup Iffa dah mula nak meniarap. Bulan ini Iffa baru masuk 4 bulan, aku tak pasti kategori cepat ke tidak. Yang aku ingat Shahmin dulu agak lambat progresnya... Yang aku kelakar dalam masa nak meniarap tu, mulut dia punyalah bising..UU AA UU AA... ntah hapa-hapa yang dingomelnya... Kelakar aku tengok...

Melihat proses pembesaran anak-anak di depan mata merupakan sesuatu yang sangat-sangat bernilai bagi aku. Aku mengabadikan kenangan-kenangan indah ini di dalam blog aku ini supaya suatu masa kelak (selagi blog ini tak diterminate, atau selagi talian internet masih hidup) dapat aku imbas kembali-saat-saat indah ini...

P/S: Percaya tak kalian kalau aku katakan aku teringin menjadi suri rumah sepenuh masa...? No joke friend...! Aku sanggup mandikan anak-anak, buatkan susu, tidurkan mereka, melayan bermain bla bla... Tapi suri rumah yang bergred 41 ke ataslah... Ataupun suri rumah yang berpendapatan tak kurang dari pemegang ijazah... Hehehee...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP