Sahabat Tanpa Suara

The Best Soldier...

Thursday, April 30, 2015


Assalamualaikum...

Nampaknya setakat ini aku masih berjaya mengekalkan momentum untuk terus menulis... Walaupun tak sekerap yang aku target pada permulaannya tetapi tidak juga tersasar dari target minima aku iaitu 1 post untuk setiap minggu... Pada ketika aku berhenti menulis sebelum ini, (atas dasar sakit aku pada ketika itu) aku tak terfikir langsung untuk menyambung semula menulis di dalam blog ini... Aku kirakan blog ini akan terus berkubur begitu sahaja...

Namun setelah pulih dari pembedahan awal tahun ini, aku merasakan banyak pulak masa yang terluang... Sementelah aku sedang bercuti panjang ni... Saje-saje bukak balik blog, tengok post-post lama; datang pulak keinginan untuk menulis balik... Bukan nak tulis apa sangat, just nak share pengalaman, apa yang telah aku alami selama ini...

Selain itu ada lagi beberapa sebab yang membuat aku menyambung hasrat untuk menulis ini... Yang pertamanya adalah dengan sedikit harapan; kot-kot ada; boleh memberi semangat atau sumber inspirasi kepada sesiapa yang berkenaan... Fuh macam besar sangat hasrat tu kan... Hee3...

Ketika aku dalam 'peperangan' melawan kesakitan dulu, antara yang menjadi bahan pembakar semangat aku adalah kata-kata, bahan-bahan bacaan, kisah-kisah orang-orang hebat yang berjuang; berjuang atas pelbagai alasan... Samada berjuang untuk orang yang tersayang, berjuang untuk negara dan agama, hatta berjuang melawan penyakit-penyakit kronik... Kisah-kisah sebeginilah yang menjadi pembakar semangat aku, menjadi sumber inspirasi untuk aku terus hidup dan berjuang melawan kesakitan... Dan sememangnya ia agak berkesan...

Dalam pada itu aku juga ada join sebuah group fb Cancer Survivor (Malaysia), dimana ahli-ahli group tersebut adalah samada mereka yang telah bebas kanser, masih berjuang melawan kanser dan ada juga yang telah 'terkorban' sepanjang peperangan besar itu... Di situ mereka membincangkan pengalaman-pengalaman mereka dan penyakit masing-masing... Perghhh dari situ juga aku sedar rupa-rupanya masih ramai yang lebih teruk nasibnya berbanding aku ini...

Aku tak tahu kenapa, mungkin norma manusia memang macam tu kot, bila mereka dapat tahu yang ada orang yang senasib dengan mereka atau bernasib lebih teruk, kelegaan akan datang kepada mereka... Aku tidak mengatakan kepada orang lain, aku akui aku sendiri bersifat demikian... Dan hakikatnya ingatlah, jika kita berasakan nasib kita ini buruk; sebenarnya ada yang nasibnya lebih teruk dari kita di luar sana nun...

Sebab yang kedua adalah aku merasakan aku kini mempunyai satu tanggungjawab baru, tanggungjawab sosial untuk menerangkan kepada khalayak apakah punca-punca utama yang boleh menyebabkan seseorang itu diserang kanser... Secara spesifiknya dalam kes aku ini adalah disebabkan oleh tabiat buruk aku yang lepas itu tabiat merokok... Aku rasa aku bertanggungjawab menyebarkan akan bahayanya rokok ini kepada orang ramai... Menjadi hasrat aku juga untuk memerangi tabiat buruk ini dan menerangkan akan bahayanya rokok ini... Bahawasanya rokok ini memangnya sesuatu yang merbahaya dan tidak boleh dianggap enteng sama sekali...

Buat masa ini aku rasa blog ini merupakan satu medium yang agak sesuai... Selain dalam blog ini aku dah mula 'sound' kengkawan, samada dari dalam fb, group whatsapp atau sebarang kesempatan yang ada... Memang aku tahu nak berhenti merokok ini merupakan satu perkara yang teramat-amat payah... Takpelah, kalau mereka tak boleh berhenti pun at least dapat menimbulkan kegerunan buat mereka pun kira oklah kan...

Manakala yang ketiganya sudah tentulah sebagai kenang-kenangan aku sendiri... Dari dulu aku menganggap yang blog ini merupakan sebuah diari umum kehidupan aku... Di dalamnya aku sisipkan kisah-kisah kegembiraan aku, kisah suka duka kehidupan aku... Sudah pastinya tidak secara menyeluruh namun bagi aku ianya cukup, kiranya macam sebuah memoir la... Ngee...

Dan bila aku sudah tiada kelak, boleh jugalah anak-anak aku mengimbas balik kisah-kisah lama ayah mereka... Biar mereka juga tahu bahawasanya ayah mereka ini juga merupakan seorang pejuang... Cuma buat masa sekarang ini tak tahu lagi di mana dan bagaimana akhirnya perjuangan ini...

Aku quote dengan izin (dari salah seorang fighter dalam group Cancer Survivor yang aku join):

"ALLAH choose only the BEST soldier to FIGHT the HARDEST battle..."


Read more...

Bakti Dan Legasi...

Wednesday, April 22, 2015

Assalamualaikum...

Selepas aku disahkan dengan penyakit yang membawa maut ini, selain mencari penawar dan berjuang untuk terus hidup; satu perkara lagi yang paling aku utamakan sudah tentulah memperbaiki hubungan dengan yang Maha Esa... Bertaubat dengan kesungguhan yang maksima dan dalam masa yang sama beribadat dengan penuh kesungguhan dan ketaatan... Mencari redhoNya dalam apa jua keadaan dan sentiasa berdoa agar aku dapat istiqomah dalam melaksanakannya...

Namun nasihat dari seorang sahabat menyentapkan aku seketika... Mengingatkan aku akan sesuatu yang aku hampir-hampir terlupa... Pada mulanya aku agak bingung memikirkan apakah yang dimaksudkannya... Sehingga memerlukan ianya dikupas dan diterang supaya jelas...

"Ye dalam keadaan kau ini, perkara yang paling penting adalah hubungan kau dengan DIA serta persediaan apa yang bakal kau hadapi disana kelak... Tapi kau jangan pulak lupa beberapa perkara yang menjadi jambatan selamat untuk kau ke sana... Sesuatu yang boleh menyumbang ketika kau berada disana nanti... Aku bagi contoh, 2 darinya adalah BAKTI dan LEGASI..."

Harus aku akui yang aku sepatutnya mula belajar untuk menghormati sahabat yang seorang ini... Walaupun dahulunya aku sering memandang remeh kepadanya tetapi dengan berlalunya masa, aku dapat rasakan dia sudah tidak seperti dulu... Wisdom datang kepadanya...  Yela, manusia berubah kan... Tetapi kadangkala ada juga kata-katanya yang aku tak faham dan tak terfikir aku akan metaforanya... Lantas aku menggesanya agar straight to the point...

"Ei kemonlah aku bukan orang bahasa... Otak orang teknikal ni mana sama dengan otak orang bahasa macam ko..."

Orait, dipendekkan cerita begini penerangannya:

BAKTI:

BAKTI yang dimaksudkan adalah berbakti kepada kedua orang tua... Sememangnya dalam Islam sendiri terlalu banyak pesanan samada dari Rasulullah bahkan dari firman Allah sekali pun berkenaan keperluan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ini... Jadi secara ringkasnya cara mudah untuk mendapat lubuk pahala hanyalah dengan berbakti kepada kedua orang tua...


Aku petik disini:

Firman Allah s.a.w. bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"
(Surah al-Israk, ayat 23)

Herm kalau macam tu syukur Alhamdulillah, memang itu merupakan satu perkara yang telah, sedang dan akan sentiasa aku lakukan... Insha Allah... Sungguhpun aku tahu segala apa yang aku lakukan tidak mampu sama sekali untuk menandingi apa yang telah mereka korbankan untuk membesarkan aku dan adik beradik, tapi aku tetap berharap sekurang-kurang dapat sedikit sebanyak menyenangkan mereka... 

Jujur aku katakan pada ketika ini tujuan aku hanya satu: untuk memenuhi apa sahaja kehendak mereka... Sebagaimana mereka menunaikan apa sahaja kehendak aku pada suatu ketika dahulu... Tapi yelah mana yang terdayalah kan... Syukur orang tua aku memang jenis tak banyak kerenah... Sebenarnya mereka ni jenis yang agak susah nak minta apa-apa dari anak-anak... Kadang-kadang aku pun tak faham, aku nak hantar ke pasar pun kadang-kadang diorang menolak... Lebih selesa bermotosikal kata mereka... Hermmm...

Sehingga ke hari ini, memandangkan aku masih dalam cuti dan jarak kediaman aku dengan rumah mereka tak sampai sejengkal pun; boleh dikatakan setiap hari aku akan bertandang ke rumah mereka... Memang tak banyak yang dapat aku lakukan untuk mereka, nak bersembang pun aku dah takde suara; namun menghabiskan masa bersama mereka, makan bersama, ke pasar bersama, lepak-lepak, baring-baring dah cukup memberi kepuasan kepada aku... Aku dapat merasakan mereka pun sama... Pada saat-saat sebegini aku yakin, samada di pihak aku mahu pun di pihak mereka; akan redho samada mereka yang akan 'pergi' dahulu atau pun aku...

LEGASI:

Kata sahabatku itu lagi, LEGASI adalah peninggalan kamu... Apa yang kau tinggalkan di dunia ini, yang boleh menyalurkan bekalan kau tanpa putus-putus di sana kelak... Aku segera teringat pesan nabi ini:

"Apabila seseorang itu meninggal dunia
maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara, 
1. sedekah jariah 
2. ilmu yang dimanfaatkan dan 
3. anak soleh yang mendoakan untuknya..."

Ooo itu yang dimaksudkan dengan LEGASI... Ye sememangnya aku tahu amalan aku masih jauh dari mencukupi, sedekah jariah tak seberapa pun... Ilmu yang dimanfaat, sebagai seorang guru aku rasa adalah sedikit kelebihannya... Cuma harap-harap adalah antara anak-anak murid aku tu yang memanfaatkan sebarang ilmu yang telah aku curahkan pada mereka selama ini... Jangan mereka pergunakan ke jalan yang sebaliknya sudahlah... Huhuhu...


Doa dari anak yang soleh, ye itulah yang perlu aku usahakan sekarang ini... Mereka kini di depan mata, akulah yang perlu berusaha untuk membimbing mereka... Moga-moga mereka dapat menjadi anak yang soleh dan solehah...

Bercerita berkenaan anak-anak ini, aku menjadi sebak... Serius, aku sebak... Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika mereka membesar tanpa seorang ayah nanti... Aduh... Betul, memang aku tak sepatutnya berfikiran sebegitu... Tapi perasaan sebegitu bukan boleh diminta-minta datangnya mahu pun dicegah-cegah... Sesekali memang ianya akan datang... Piuuushhh, melayang-layang, terawang-awang je rasa perasaan tu... Tapi aku tahu aku tak boleh layan sangat, okey bebeh, bolayan...

Buat masa ini sudah tentunya tumpuan aku pada Shahmin, anak sulung aku... Pada dialah terletaknya harapan besar aku... Bakal menggalas tanggungjawab, membantu mamanya menjaga adik-adiknya... Paling utama mendoakan aku disana kelak... Harus diingat yang hanya doa dari dia dan adik-adiknya sahajalah yang 'laku' dan akan terus difowardkan kepada aku nanti...

Dalam pada itu aku sentiasa berhasrat, aku ingin menjadi seperti Luqman al Hakim... Manusia bijak yang namanya disebut dalam al-Quran... Bagaimana dia sentiasa memberi nasihat dan kata-kata yang baik dalam mendidik anaknya... Allahu, kalaulah aku dapat menjadi sebegitu... Allahu, jadilah aku sebegitu...

Selain itu aku sentiasa berdoa ke hadrat Illahi agar kanser aku yang telah dibuang ini tidak akan muncul-muncul kembali... Aku berdoa agar aku terus kekal cancer-free... Aku berdoa agar aku dipanjangkan usia, sekurang-kurangnya sehingga dapat aku melihat kesemua anak-anak aku mampu berdikari... Tapi dalam masa yang sama terus mencuba untuk menyediakan minda dan akalku, agar sentiasa bersedia atas segala kemungkinan...

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku 
ku serahkan pada Allah tuhan seru sekelian alam..."








Read more...

17 Fakta Yang Semua Orang Patut Tahu Berkenaan Kanser...

Wednesday, April 15, 2015


Assalamualaikum...

Kanser... Kanser... Kanser... Takde cerita lain ke...? Well dah nama pun pesakit kanser, so banyaklah aku nak cerita pasal penyakit ni kan... Hehee jangan marah haa... Lagi pun ini sebenarnya maklumat umum, bukan khas untuk pesakit kanser sahaja... Bagi aku semua orang patut tahu ini semua... So mari kita tengok 17 fakta tersebut... Lets cekidout:

#1: Penyelidik kanser di seluruh dunia bersetuju yang SEPARUH dari kematian yang berpunca dari penyakit kanser atau yang berkaitannya boleh DICEGAH... Dalam tahun 2015 ini dijangkakan seramai 1.6 juta kematian melibatkan kanser - maka jika kita dapat menyelamatkan separuh darinya, ia akan merupakan satu permulaan yang amat baik...

#2. Kanser merupakan 1 NAMA bagi lebih daripada 100 jenis penyakit... Kanser sebenarnya berpunca daripada sel-sel abnormal yang bercambah dan merebak tanpa dapat dikawal oleh sistem tubuh, dalam masa yang sama ianya MEMBUNUH sel-sel baik yang diperlukan oleh badan... Kebanyakkan akan 'menghasilkan' tumor/ ketumbuhan kecuali kanser darah...

#3. Hanya sebilangan kecil dari penyakit kanser (kurang dari 5%) adalah berpunca dari GENETIK... Walau bagaimanapun gaya hidup, pemakanan, kediaman dan faktor persekitaran dari keluarga kitalah yang banyak menyumbang dan memainkan peranan...

#4. Daripada semua di atas, faktor persekitaran merupakan faktor yang PALING menyumbang kepada risiko diserang kanser... Udara yang kita sedut, air yang kita minum, makanan yang kita jamah semuanya sangat penting... Oleh kerana kediaman dan tempat kerja merupakan 2 tempat yang paling banyak masa kita dihabiskan disana maka kebersihan di 2 tempat ini haruslah menjadi keutamaan...

#5. Lebih daripada 90% punca kanser paru-paru adalah dari ROKOK... Bukan dari tembakau sebenarnya tetapi bahan kimia yang dicampur untuk menghasilkan produk tembakau tersebut... Berhenti merokok adalah satu-satunya usaha yang patut anda lakukan sekarang ini... Kanser paru-paru meragut 1 NYAWA setiap 30 SAAT di serata dunia...

#6. Kekurangan waktu tidur - kurang dari 6 jam setiap hari, meningkat risiko seseorang itu diserang kanser usus... Satu kajian mendedahkan mereka yang bekerja pada waktu malam lebih terdedah kepada risiko ini... Tidur yang secukupnya amat penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan mengurangkan risiko diserang kanser...


#7. Setiap hari, lebih dari 40 kanak-kanak didiagnos sebagai pesakit kanser - lebih dari 14,000 setiap tahun di negara U.S sahaja... Kanser (atau lebih tepat RAWATAN KANSER, iaitu radioterapi dan kemoterapi) merupakan pembunuh nombor 1 kanak-kanak disana...

#8. Makanan yang mempunyai label sodium nitrate dan potassium nitrade adalah makanan yang paling harus dielakkan sekali... Penyediaannya dalam suhu yang tinggi akan menghasilkan KARSINOGEN yang menyebabkan kanser... Termasuk dalam makanan-makanan tersebut adalah dari makanan segera seperti sosej...

#9. Secara globalnya, setiap 1 daripada 8 kematian adalah disebabkan oleh KANSER... Malahan kematian akibat kanser melebihi kombinasi kematian akibat malaria, tibi dan AIDS... Kanser lebih banyak menyerang di negara-negara membangun...

#10. Kanser yang paling banyak menyerang kaum wanita adalah kanser PAYUDARA... Selain itu kanser yang lebih banyak membabitkan kaum wanita juga adalah kanser servik dan usus...

#11. Kanser paru-paru, prostat dan perut merupakan kanser yang paling banyak menyerang LELAKI... Peratus survival untuk kanser paru-paru secara umumnya hanyalah 20%... Jika anda seorang merokok di tempat kerja yang bertoksin, peluang anda untuk pulih menjunam ke 3% sahaja...

#12. Mereka yang berumur 55 tahun ke atas mempunyai risiko yang lebih TINGGI untuk diserang kanser... Lebih kurang 77% daripada pesakit kanser di seluruh dunia adalah dari kumpulan usia ini...

#13. Kajian mendedahkan OBESITI juga meningkatkan risiko kanser... Ianya juga mengurangkan peluang survival jika sesorang pesakit kanser itu dalam masa yang sama mengalami masalah obesiti...

#14. Anda mungkin tidak akan mengalami sebarang SIMTOM untuk kanser ovari, paru-paru dan usus sehinggalah ianya telah MEREBAK ke seluruh anggota tubuh anda yang lain... Satu-satunya cara untuk mengesan dengan lebih awal hanyalah dengan melakukan pemeriksaan berkala...

#15. Kanser kulit kini dikesan lebih kerap... Jumlah yang dikesan sebagai pesakit kanser kulit sehingga ke hari ini MENINGKAT saban tahun... Antara punca yang sering disebut adalah terdedah kepada sinaran cahaya matahari namun kajian menunjukkan ianya tidak TEPAT sepenuhnya...

#16. Sel-sel sihat di dalam badan mempunyai keupayaan untuk memusnahkan diri sendiri (self-destruct). Saintis menggelarkan proses ini sebagai APOPTOSIS di mana sel-sel sihat ini akan mengesan sebarang kerosakan padanya dan akan memusnahkan dirinya sendiri demi untuk melindungi keseluruhan sistem... Namun dalam kes sakit kanser, proses ini TIDAK berlaku dan sehingga ke hari ini saintis masih belum menemui jawapan mengapa...

#17. Terdapat makanan yang dapat MENYEMARAKKAN proses APOPTOSIS ini... Antaranya adalah teh hijau, buah-buahan berries, kunyit, avocado, bawang putih...

p/s: Ambil tahu, ambil berat... Amalkan gaya hidup sihat dan jauhi faktor-faktor yang meningkatkan risiko...


Read more...

Nikmatnya Merokok

Thursday, April 9, 2015


Assalamualaikum...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok menyebabkan aku mula teringin untuk mencuba seawal usia 14 tahun... Bila tengok rakan-rakan yang mengisap nampak cool je, macho je... Pernahla aku cuba-cuba, sepambab kata budak-budak dulu... Namun ianya tidak melekat, tidak menjadi tabiat... Ketakutan aku pada bapak aku melebihi segala-galanya... Giler, kalau dapat tahu ke dia aku hisap rokok kompom belakang aku akan birat dengan getah paip... Aku tidak menjadi perokok, tidak sehingga beberapa tahun kemudiannya...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok membuatkan aku mula merokok dengan syoknya ketika aku bersekolah di Kuantan, SM Teknik, sekolah berasrama penuh ketika itu... Duduk di asrama, berjauhan dari kedua orang tua membuatkan aku rasa sungguh bebas... Warden dan undang-undang asrama tidak banyak dapat menyekat aktiviti terlarang aku dan rakan-rakan... Prinsip masa tu: undang-undang dicipta untuk dilanggar... Jiwa remaja, mana takut... Setakat kena selibas dua rotan di punggung; malah penampar kapit warden pun tak mampu 'menggoyangkan' aku n the gang...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok, aku mula menjadi seorang perokok tegar ketika bergelar mahasiswa... Ku sangkakan di universiti inilah tempatnya untuk aku berhenti merokok, tapi dugaan aku meleset... Di tempat yang so called menara gading ini rupanya kehidupan lagi bebas... Mana ada orang nak bising-bising pasal kau, apa kau nak jadi, jadilah... Kau nak terlentang, nak telingkup, kau punya suka... Janji study kau ok, kalau study lingkup memang good byelah kan... Ooo gitu rupanya... Makanya hubungan aku dengan rokok tak pernah terputus, malah tautannya semakin erat...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok, ketika di alam pekerjaan aku dan rokok tidak dapat dipisahkan lagi... Waktu kerja aku merokok, waktu rehat merokok, lepak dengan kawan merokok, memandu merokok... Senang cerita waktu tidur je aku berhenti merokok...

Duit yang terbang akibat perbelanjaan rokok tak pernah membebankan aku... Datanglah teori apa pun, boleh kawin 4 ke, boleh beli Ferrari ke pebenda ke, i dont care... I love to smoke... Smoking make me feel good... Arghhh nikmatnya merokok...


Ye merokok membazir, merokok mendatangkan penyakit, merokok menyebabkan nafas dan badan berbau busuk, merokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah memberi risiko kepada orang sekeliling... Aku sedar semua itu tapi yelah pada ketika itu pemikiran aku hanya 1: ada aku kisah...? Duit aku, badan aku, nafas aku; aku punya hal lah kan...

Sehinggalah aku didiagnos sebagai seorang pesakit kanser... Perghhh bayaran cash aku dapat... Mungkin ada sebab-sebab lain yang menyumbang seperti pemakanan, gaya hidup, stress dan sebagainya tapi secara peribadi aku lebih berat merasakan ianya memang berpunca dari tabiat merokok aku itu... Sekarang baru aku nak percaya, baru nak menyesal... Hermmm dah terantuk baru nak tengadah...

Tapi takpe, ini takdir aku, yang tangan aku sendiri mencorakkannya... Sendiri cari pasal so sakarang sendiri mau tanggungla... Nak tak nak aku kenalah terima, dan aku dah pun belajar menerimanya... Kini aku nak merasai satu nikmat yang baharu pula... Sesuatu yang jauh lebih baik dan sepatutnya aku nikmati dari dulu lagi... Kini aku merasai pula Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya Tidak Merokok

Nikmatnya tidak merokok, tanpa aku sedari sebenarnya aku telah menjimatkan perbelanjaan aku lebih kurang sebanyak rm300-400 setiap bulan... Patutlah aku kuat berjalan sekarang...

Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya tidak merokok, sekarang aku rasakan yang aku dapat bernafas dengan lebih segar... Takde tersekat-sekat seperti yang pernah kadangkala aku rasai dulu... Nafas sudah tidak berbau, tidur malam yang lebih selesa dan rasa lebih segar...

Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya tidak merokok, kini tiada lagi rungutan dari orang sekelilingku... Takde lagi yang komplen bau busuklah, sesak nafas dengan bau rokoklah,buang duitlah dan yang sewaktu dengannya... Kini aku pulak yang rasa nak marah bila tengok orang merokok depan aku... Wei nak minta penyakit tu pergi sorok-sorok sikitla, kang dengan orang- orang sekeliling kau dapat penyakit sekali...

Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya tidak merokok, sudah tentulah nikmat yang terbesar bagi aku adalah aku dapat menjauhkan diri dari 1 lagi perkara HARAM... Sori guys yang still mengisap itu, memanglah ada yang cakap hukum merokok ni ada 3: HARUS, MAKRUH dan HARAM... Memanglah dulu aku pun guna pakai 2 hukum yang 'menyebelahi' kita tu... Tapi hakikatnya bila diteliti, memang merokok boleh menyebabkan 1001 jenis penyakit; lebih-lebih lagi dalam konteks aku ketika ini... Makanya sekarang ini aku amat-amat bersetuju dengan pendapat jumhur ulama yang mengatakan rokok itu adalah HARAM...

p/s: Moga tulisan ini sedikit sebanyak dapat memberi 'ilham' dan dorongan untuk kalian-kalian yang masih merokok tu untuk berhenti terus merokok... Atau paling tidak pun percayalah, ini testimoni hidup dari aku: MEROKOK SEMEMANGNYA MERBAHAYA...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP