Sahabat Tanpa Suara

Mati Itu Pasti...

Sunday, April 30, 2017

Kelmarin aku mendengar satu berita kematian, muda lagi arwahnya. Aku mengenali arwah sejak dari zaman persekolahan namun kami tidak pernah bertegur sapa. Bukan satu batch pun, dia muda dari aku beberapa tahun. Dengarnya arwah tiada sebarang penyakit kritikal, arwah meninggal ketika tidur. Allahu, mudahnya kematian...

Aku tidak pergi menziarahi jenazah. Jujurnya sudah agak lama aku tidak pernah pergi atau menziarahi mana2 kematian atau jenazah. Ya, aku tau itu satu masalah. Tapi bagi aku masalah yang lebih besar adalah aku akan terbawa2 dengan suatu perasaan yang tak dapat dijelaskan, setiap kali selepas menziarahi sebarang kematian. Aku akan menjadi trauma, perasaan down selama  beberapa hari dan kadang2 akan terbawa2 hingga ke dalam mimpi. Ini bukan satu jenaka, aku tak pasti jika ada melibatkan unsur2 mistik atau sekadar masalah emosi aku, tetapi aku kira ini adalah sesuatu yang perlu aku atasi sendiri.

Namun percayalah, aku tidak pernah melupai akan kematian. Menjadi seorang pesakit/ bekas pesakit kanser, perkataan "MATI" adalah antara perkataan atau bayangan yang paling sering bermain di fikiran kami2 ini. Berada di dalam group fb mahupun whatsapp yang berkaitan dengan kanser, berita tentang kematian adalah satu perkara yang agak lumrah, seperti tiada apa yang hendak dihairankan sudah.

Ya, ucapan takziah, Al-Fatihah dan doa2 akan mengiringi si mati. Namun yang hidup tetap akan meneruskan kehidupan. Perjuangan si mati sudah sampai ke penghujungnya, ALLAH telah menjemput mereka, done. Namun apabila mengenang kembali perjuangan mereka ketika hidupnya, membuatkan kita bangga dan menambahkan semangat kita yang masih hidup ini.

Sebenarnya kematian bukanlah sesuatu yang perlu ditakutkan sangat. Ianya adalah janji ALLAH dan ianya adalah satu KEPASTIAN. Kematian hanyalah satu proses perpindahan dari satu alam ke alam yang lain. Seperti mana yang kita telah lalui sebelum ini dari alam roh ke alam rahim dan ke alam dunia. Proses seterusnya adalah alam kubur sebelum kita ke alam akhirat yang kekal abadi.

Apa yang perlu ditakuti adalah BEKALAN kita disana nanti. Jika dahulu aku sering meminta agar dipanjang umur dan diberikan kesihatan yang berpanjangan. Asyik2 minta panjang umur, minta sihat. Sampai lupa kalau hidup lama2 pun tapi amalan tak cukup apa gunanya! Bak kata lagu sepohon kayu daunnya rimbun la kan, lebat bunganya serta buah...🤔🤔🤔

Sekarang aku 'twist' sikit permintaan itu dengan berdoa agar diberikan umur yang berkat dan amalan yang diterima. Tak kisahlah sampai ke mana umur aku ini, yang penting aku dapat manfaatkan sepenuhnya segala sisa2 usia yang masih berbaki ini. Dan yang paling penting semoga amalan2 aku mencukupi untuk dijadikan sebagai bekalan di SANA kelak.

"Live free, die hard"


Read more...

Cuti-cuti Melaka

Friday, April 28, 2017

Assalamualaikum...

Hari ini tiba-tiba aku rasa nak buat posting pasal percutian. Waa ala-ala travel blog gitu, boleh...?

Baru-baru ni aku bawa family bercuti ke Melaka. Kali ini kitorang menginap di Swiss-Garden Hotel Melaka. Apa yang bestnya Swiss-Garden Hotel ni? Haa ni aku nak bagitau.

Firstly, Swiss-Garden Hotel ni terletak betul-betul tengah bandar Melaka. Nak cari memang takkan sesat punya. Lagi-lagi kalau pakai waze, tarak hal punya. So bila berada di tengah-tengah town ni, excess kemana-mana akan menjadi mudah.

Tempat paling best yang berhampiran pastilah Dataran Pahlawan di Bandar Hilir Melaka. Kalau menaiki kereta memang tak sampai 10-15 minit. Satu lagi tempat menarik yang berhampiran adalah Pirate World Melaka. Yang ini memang paling dekat, kat depan hotel sahaja!


Yang paling bestnya, kalau korang rasa nak menaiki cruise, di hadapan Swiss-Garden ni ada tempat jualan tiket dan hentian untuk Cruise Melaka, so korang memang tak perlu nak berasak-asak, beratur panjang sampai lenguh-lenguh kaki untuk membeli tiket di hentian utama Cruise Melaka.


Eh korang tau tak puncak PALING TINGGI di negeri Melaka? Haaa sebenarnya di Swiss-Garden Hotel inilah terletaknya menara tertinggi di Melaka. Berkembar dengan Swiss-Garden Hotel ini adalah bangunan The Shore dan disinilah terletaknya menara tertinggi di negeri Melaka. Di menara ini boleh layan pemandangan 360 bandar Melaka, layan pulak masa sunset, memang syok. Lepas tu berjalan pulak melintasi jambatan transparent, waa mendebarkan gitu...



Selain itu di bangunan the shore ini juga terletaknya The Shore Marine Life, bawa anak2 tengok hidupan laut, memang terkesima la budak-budak ni semua. Kikiki...


Lastly jom tengok apa yang ada di Swiss-Garden Hotel ini sendiri pulak. Ok di Swiss-Garden Hotel ini korang boleh menginap di bilik yang harganya bermula dari RM204 untuk satu malam. Dengan keluasan bilik 32 kaki persegi, korang boleh memilih samada untuk satu katil king atau dua katil single. Kemudahan-kemudahan lain termasuk wifi percuma, parking percuma, peti sejuk, peti besi dan lain-lain kemudahan yang asas. Tapi paling seronok adalah Swiss-Garden Hotel memiliki kolam yang mesra kanak-kanak. Haha yang ini memang heavenla bagi anak-anak aku, terutamanya si Shahmin ni.



Oklah, aku cerita detail sangat nanti buat spoil korang pulak nanti. So apa kata korang try sendiri percutian di Swiss-Garden Hotel ini nanti. Aku pasti berbaloi-baloi-baloi beb.

Herm kebiasaanya korang tempah hotel bagaimana? Walk in? Oh that is so not IT la beb, 😅😅😅. Orang sekarang semua main booking online je kan, berlambak-lambak servis pencarian hotel di internet sekarang ni. Apa, trivago? Oh sori, bagi aku trivago hanya gah kerana iklan di astro sahaja. Nak yang lebih convinient dan mudah? Aku akan suggest laman web Traveloka. Acer kome semua cuba guna Traveloka tu. Lebih mudah, lebih menjimatkan masa. Kalau memang berhajat nak menginap di Swiss-Garden Melaka ni boleh terus booking bilik anda disini>>

Read more...

Seminar Hentikan Jenayah Kanak2

Tuesday, April 25, 2017

Petang semalam, hanya beberapa saat lagi sebelum mesin punch card mengetik ke pukul 5, aku dipanggil oleh pegawai atasan aku:

"Aok ada nak kemana2 besok?"

"Err takde rasanya boss." Aku jujur menjawab.

"Bagus, besok aok boleh ke Kuantan? Ada Seminar Jenayah Seksual Kanak2. Aok ke sana sebagai Pegawai Aduan dan wakil kepada PPD Bentong."

Ok, sebagai seorang penjawat awam yang berdedikasi tinggi aku akur dan patuh. Sementelah lagi puas aku pikir dalam masa yang sesingkat itu, apa alasan yang aku patut beri untuk mengelak; tapi tak dapat nak pikior!

Maka sesudah subuh pagi tadi aku pun bergerak menuju ke Kuantan. Sangkaku aku akan tidur sepanjang seminar tersebut, rupa2nya sangkaan aku meleset. Banyak info dan input yang aku dapat sebenarnya.

Meh aku kongsikan beberapa fakta yang aku rasakan agak menarik dan mengejutkan.

1. Mangsa bagi kes jenayah seksual yang banyak dilaporkan bukan kanak2 perempuan tetapi kanak2 lelaki. Ya, termasuk kes liwat!

2. Pelaku2/ penjenayah2 seksual tersebut sering terdiri dari orang yang rapat dengan mangsa seperti sepupu, bapa saudara dan datuk mangsa!

3. Statistik meningkat setiap tahun!

4. Antara medium yang dikenali paling banyak menyumbang kepada jenayah seksual kanak2 adalah media sosial wechat!

Tanda2 kanak2 yang menjadi mangsa jenayah seksual:

1. Kanak2 murung, mood tidak menentu, sering mengigau di waktu malam.

2. Kanak2 akan menjadi kuat melawan, mempunyai sifat tiada keyakinan diri.

3. Benci pada kaum lelaki.

Tips yang boleh kita boleh amalkan sebagai ibu bapa:

1. Sering berkomunikasi dengan anak2. Ambil tahu perkembangan pembesarannya.

2. Bagi anak2 yang telah pandai melayari media sosial, ibu bapa perlu pastikan mereka tahu apa yang anak2 sering layari.

3. Ini satu tips yang aku rasakan paling penting dan sebagai ibu bapa kita MESTI AMALKAN. Jika selama ini kita tidak pernah amalkan, sekarang adalah masanya. PELUK ANAK KITA!

Ya, peluk mereka dengan penuh kasih sayang. Sentiasa terangkan kepada mereka kenapa kita peluk mereka. Dalam masa yang sama terangkan, siapa yang BOLEH, siapa yang TIDAK BOLEH peluk mereka. Terangkan juga BATAS2 dalam pergaulan.

Oklah, cukuplah aku berkongsi setakat ini sahaja. Perasmi pun dah nak sampai ni, YABhg. Tok Puan Indera Dato' Sri Rosmah binti Mansor tu.

Semoga apa yang dikongsikan dapat dijadikan manfaat buat semua. Terutama kita2 yang mempunyai anak2 yang sedang membesar.



Read more...

Menghadapi Cabaran

Thursday, April 20, 2017


Dalam jiwa seorang manusia, ALLAH telah bekalkan dengan satu semangat pemandiri dan semangat juang untuk bangkit dari apa jua ujian, musibah, cabaran mahupun kegagalan. Dalam filem2 Hollywood, aku suka menonton filem2 tentang watak2 hebat yang meskipun ditimpa pelbagai ujian dan kegagalan, bangkit dan tanpa putus asa berhadapan dengan cabaran hidup masing2.

The Beautiful Minds, Pursuit of Happyness, 127 Hours, Eddie The Eagle dan banyak lagi filem2 yang segenre. Aku minat dan jadi bersemangat setiap kali menonton filem2 sedemikian, watak2 tersebut sentiasa cekal, minda 1st class dan sentiasa tidak pernah berputus asa menghadapi cabaran hidup.

Itu paparan dan watak2 benar yang menjadi inspirasi yang dijelmakan ke dalam filem. Namun watak2 tersebut semestinya terlalu besar dan jauh dari aku sendiri. Di dunia aku ini, watak2 yang terasa dekat dan aku pernah berinterasi sendiri dengan mereka, turut memberikan kesan dan inspirasi yang sama kepada aku.

Aku pernah terkesan dengan perjuangan seorang wanita yang kehilangan sebelah kakinya akibat penyakit, bangkit melawan dan kini dia berusaha membantu orang lain pula dengan melakukan kerja2 amal dan tulisan2nya yang memberi inspirasi.

Aku pernah merasa kagum dengan semangat seorang anak muda yang suatu ketika pernah terlantar di wad hospital akibat penyakit yang membawa maut, bangkit lalu menjelajah seluruh negara demi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penyakit mautnya itu. Dengar2nya, next planning untuk merentas ke seluruh dunia pula!

Aku pernah merasa terkesima apabila berhadapan dengan seorang guru yang pernah diserang stroke berat dan hampir lumpuh sebahagian badan, kini kembali mendidik anak bangsanya; meskipun dalam pergerakannya yang agak terbatas.

Semua cerita di atas menjadi pendorong dan inspirasi untuk aku bangkit berhadapan dengan cabaran dan dugaan aku sendiri.

3 tahun lepas, aku telah diuji dengan dugaan yang paling besar dalam hidup aku. Akibat kanser yang aku hadapi, aku telah kehilangan suara, ye total lost, MUTE! Setahun lebih aku hidup dalam dunia aku sendiri, cuba menyesuaikan diri dengan hidup baru, cuba menyerap segala tekanan yang mendatang, cuba merancang strategi untuk bangkit menghadapi cabaran terbesar dalam hidup aku ini.

Aku berpegang teguh dengan janji ALLAH: "disebalik setiap kesukaran, adanya kemudahan".

Dengan izinNYA juga, aku bangkit dan melakukan sesuatu yang tidak pernah terjangka akan aku lakukan. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku mendapat peluang ini. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku berjaya dalam berdepan dengan dengan cabaran yang aku kirakan sangat2 besar ini.

Mungkin bagi manusia normal, bercakap di depan khalayak bukanlah sesuatu yang sukar pun, semua orang boleh buat. Well, itu manusia biasa, aku ni dah kategori manusia LUAR biasa. 😅😅😅

Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang membantu, secara langsung atau pun tidak. Tidak mampu untuk aku senaraikan kesemuanya tetapi anda tahu siapa anda.

Next challenge, sudah ada yang mencabar aku untuk bermain gitar dan menyanyi di depan khalayak pula. Semasa bersifat manusia normal pernah jugalah aku lakukan, tetapi sebagai seorang laryngectomee, seperti sesuatu yang mustahil. Namun itulah yang dinamakan cabaran, kan?

Orait, cabaran diterima! Tungguuuu...

Read more...

Peluang Kedua

Friday, April 14, 2017


Semalam aku berpeluang mengikut beberapa orang pegawai untuk lawatan ke sekolah dalam penjara, Sekolah Intergriti (W) Bentong. Apa, tak percaya? Tak pernah dengar sekolah dalam penjara? Ok tak payah nak terkejut sangat, aku pun baru semalam juga tahunya.😅😅😅

Seperti biasa kehadiran aku hanyalah sekadar anggota picisan dan pelengkap korum semata2. Tak banyak peranan dan sumbangan yang dapat aku berikan. Tetapi secara peribadi aku bersyukur dan amat berterima kasih kepada pegawai yang sudi mengajak aku menemaninya ke program tersebut. Besar pengajaran yang aku dapat di dalam sana.

Sampai ke saat aku menulis status ini, masih terbayang2 dalam ingatan aku ini wajah si gadis berusia 21 tahun itu. Bukan kerana raut wajahnya yang manis, tetapi kisah disebalik wajah itu sendiri. Bagaimana seorang gadis kecil yang wajahnya sebegitu manis dengan tutur suaranya yang sebegitu lembut boleh dijatuhi hukuman bersalah atas satu tuduhan berkomplot untuk membunuh!!?

Aku tak berhajat untuk bercerita panjang berkenaan kes tersebut, takut2 melanggar apa2 akta or kesalahan jenayah, tak pasal2 jadi penghuni sana pula! Cuma aku nak highlightkan kisah gadis itu sendiri.

Tahun ini tahun terakhir dia berpeluang untuk mengambil peperiksaan SPM. Aku dapat lihat bagaimana bersungguhnya pegawai2 pendidikan yang terbabit berusaha memastikan si gadis mendapat full privilage yang dapat pihak pendidikan tawarkan.

Menurut guru yang mengajarnya sejak dia dimasukkan ke dalam penjara itu, si gadis mempunyai peluang yang cerah untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM nanti. Malah jika betul gaya dan usahanya tidak mustahil untuk si gadis ini melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat universiti. Malah itu jugalah yang sedang diusahakan oleh semua pegawai2 pendidikan yang terbabit ini. Untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang tertinggi.

Ini merupakan satu peluang yang sangat baik buat si gadis untuk memperbetulkan haluan hidupnya yang mungkin telah agak terpesong selama ini. Ini ada PELUANG KEDUA buatnya dalam hidup, setelah dia melakukan kesilapan dalam kehidupannya yang lalu.

Apabila aku menyebut tentang peluang kedua, sudah tentu bukan setakat si gadis tersebut yang mendapatnya, malah semua banduan2 di dalam penjara tersebut. Selain meninjau keadaan dalam Sekolah Integriti ( W), sempat juga aku meninjau aktiviti2 utama banduan2 wanita di dalam penjara tersebut. Mereka memandang aku, dengan 1 pandangan yang sukar aku jelaskan. Yela, pandangan orang bersalah. Aku pula memandang mereka, dengan pandangan yang sehabis upaya aku untuk menunjukkan yang aku tidak 'menghakimi' mereka.

Apa yang telah mereka lakukan sebelum ini, merupakan 1 kesilapan lampau. Kini, mereka ditempatkan di penjara ini, menerima hukuman atas apa jua kesalahan yang telah mereka lakukan. Disinilah tempat mereka mendapatkan peluang kedua, peluang untuk memperbetulkan apa jua kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini. Semoga selepas keluar nanti mereka dapat memanfaatkan sisa2 umur mereka, dan lebih menghargai hidup dan nyawa yang ALLAH kurniakan ini.

Seketika aku pun berfikir, aku juga tidak jauh beza dengan mereka sebenarnya. Bukanlah dari segi jenayah yang mereka lakukan, tetapi dari sudut peluang kedua yang telah ALLAH berikan kepada aku. Seperti mana mereka, aku juga telah mendapat peluang kedua dalam hidup, setelah ALLAH memberikan aku kesembuhan dari penyakit kanser. Insha Allah, pastinya aku akan lebih menghargai hidup ini, dan cuba memanfaatkan segala sisa2 umur yang aku ada ini.

Yes, penjara bukan sahaja semata2 tempat penjenayah menerima hukuman, tetapi juga merupakan satu 'sekolah' untuk kehidupan.

Read more...

ProjekHasut Masuk Sekolah

Wednesday, April 12, 2017

"Cikgu datang bukan untuk menilai kamu, cikgu datang bukan untuk menghukum kamu. Tetapi cikgu datang untuk membantu kamu, keluar dari kepompong maut; yang kamu sangkakan syurga dunia, adalah neraka sebenarnya."

"Cikgu tahu usaha  ini tidak akan berjaya 100%. Namun bukan angka yang cikgu target. Cikgu disini hanya sebagai pemudah cara, berkongsi pengalaman dan menawarkan khidmat bantuan. Di akhirnya, kamu sendiri yang akan tentukan - bebaskan diri kamu, atau terus terjerumus ke lembah maut."

P/s: Semoga usaha kecil aku ini dapat dijadikan sebagai ilmu yang dimanfaatkan dan bakal menjadi bekalan yang akan aku bawa ke sana kelak. Amin...




Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP