Sahabat Tanpa Suara

Flashback Part 6: Cemas di Mid Valley

Tuesday, March 31, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 5 disini>>

**********

Sudah genap sebulan kini aku menangguhkan rawatan radioterapi dan kemoterapi... Alhamdulillah, aku sangat-sangat bersyukur dengan perkembangan terkini aku... Rawatan alternatif yang aku jalani kini nampaknya seperti memberi hasil yang positif... Lebih lega lagi apabila pemeriksaan dengan doktor 2 minggu lepas juga menghasilkan keputusan yang agak melegakan... Menurut pemerhatian doktor, sungguhpun ketumbuhan di tekak aku itu tidak mengecut, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak membesar... 

Selain hasil dari rawatan alternatif yang aku jalani sekarang ini, satu lagi faktor yang aku rasa 'membantutkan' pembesaran ketumbuhan tersebut adalah cara pemakanan aku... Semenjak dikenal pasti sebagai pesakit kanser, aku telah menghentikan pengambilan makanan-makanan yang berisiko... Terutamanya makanan fast food, junk food dan yang sewaktu dengannya... Malah kini aku sudah tidak ambil daging, lembu mahu pun ayam... Sumber protein aku kini hanyalah dari ikan, itu pun dengan masakan kukus atau singgang sahaja, selebihnya adalah sayur-sayuran dan buah-buahan...

Satu lagi yang aku sentiasa syukuri adalah aku tidak merasa sebarang kesakitan, direct dari ketumbuhan tersebut atau pun indirect... Kecuali sedikit 'healing crisis' akibat pengambilan supplement dari kaedah alternatif yang aku amalkan sekarang ini... Namun menurut pencipta supplement tersebut ianya adalah perkara biasa dan lama-kelamaan 'healing crisis' tersebut akan turut hilang, bersama-sama dengan ketumbuhan tersebut...

Hubungan aku dengan Sang Pencipta juga aku rasakan semakin 'rapat'... MengadapNya di sepertiga malam, bermunajat kepadaNya, berzikir memujiNya, memohon keampunanNya; ternyata memberikan aku kekuatan dalaman, ketenangan, kelazatan... Sesuatu yang tak pernah lagi aku alami selama ini... Sebab itu aku kadangkala merasakan betapa untungnya juga aku ditimpa penyakit ini...

Satu perkara yang agak ketara yang dapat dilihat pada fizikal aku kini adalah penurunan berat badan aku... Ramai yang menegur aku kelihatan lebih kurus, ye itu aku akui... Namun ianya tidak merungsingkan aku, malah sedikit menggembirakan... Berat badan dan fizikal aku kini kembali pada keadaan aku di zaman bujang dahulu... Dengan ketinggiaan 172cm dan berat 65kg, BMInya cukup sempurna... Kalau orang pompuan ni pastinya sangat-sangat teruja kan...? Sweet and solid, hehehe... 

Aku tidak terlalu runsing berkenaan berat badan yang menurun ini, mungkin kerana aku telah menerima hakikat yang aku memang berpeyakit... Dan hakikatnya juga pesakit kanser seperti aku memang akan kehilangan berat badan mereka, lebih-lebih lagi dalam kes aku kini yang telah berhenti makan sebarang jenis daging, merah mahupun putih... 

Kehidupan seharian aku...? Baik-baik sahaja, tiada yang membebankan... Aku kini dalam cuti barah selama 2 tahun... Seperti mana yang aku pernah ceritakan sebelum ini, memang aku tidak bercadang untuk menghabiskannya sekali gus... Jika ada rezeki aku pulih sepenuhnya dalam masa terdekat ini; hasil dari rawatan alternatif ini, pasti aku akan terus sambung kerja... Jadi dengan banyaknya masa yang terluang ini aku juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan aku...

Kini rutin aku adalah seperti seorang suri rumah sepenuh masa... Kerja utama aku adalah menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah, pergi ke pasar, memasak dan mengemas rumah... Selain itu boleh kata setiap hari kini aku ada masa untuk melawat orang tua aku, yang mana ini merupakan satu perkara yang amat membahagiakan aku juga...

Aku juga kini lebih kerap keluar berjalan, bersama keluarga kecil aku tentunya... Boleh kata setiap hujung minggu aku akan membawa mereka keluar... Paling tidak ke shopping-shopping kompleks sekitar KL... Memang menjadi kegemaran aku dari dulu adalah berjalan-jalan di shopping-shopping kompleks, window shopping sambil melihat pelbagai telatah dan kerenah manusia... Yang sentiasa sibuk ke hulu ke hilir dengan tujuan masing-masing... Aku seronok tengok semua itu, semua kesibukan itu, ianya membuatkan aku terasa 'hidup'...

Dan kebiasaannya aku akan bermalam di KL sahaja... Memang pada ketika ini perbelanjaan aku agak boros... Duit laju je keluar dari poket, takde dah aku rasa nak berjimat-jimat sangat dah... Duit bukan boleh bawa ke kubur pun, itu yang sentiasa bermain dalam fikiran aku... Buatnya sampai ajal aku dalam masa terdekat ni, aku tak naklah kempunan pulak kan... Huhuhu... 

Pendek kata aku rasa selesa, tenang dan bahagia... Kanser yang 'bersarang' dalam tekak aku tak pernah membebankan aku... Aku masih dapat merasai kenikmatan hidup, malah kadang kala aku rasa lebih bahagia daripada sebelum ini...

22/10/2014... Aku akan ingati tarikh ini, mungkin bagi kebanyakan orang lain terutamanya yang beragama Hindu akan mengingati tarikh ini sebagai hari perayaan Diwali mereka, tetapi tarikh ini melekat dalam kepala hotak aku kerana pada hari inilah sesuatu berlaku kepada aku dan renteten dari itu memaksa aku untuk mengambil satu keputusan yang drastik; yang akhirnya merubah kejadian anatomi aku, buat selama-lamanya...

Minggu ini adalah minggu cuti Deepavali, aku telah merancang satu percutian yang agak panjang bersama isteri dan anak-anak... Rancangannya malam pertama di KL, kedua ke Port Dicson dan seterusnya ke Melaka, dan kalau keadaan mengizinkan teringin aku lajak terus sampai ke JB... Jarang benar aku merancang percutian selama dan sejauh ini... 

Malam pertama, sesudah check in hotel kami keluar semula... Destinasinya Mid Valley Megamall, salah satu tempat feveret kami sekeluarga... Selalu kami ke sini, tempatnya besar dan luas... Kedainya banyak, bermacam jenis barangan dan jenama ada untuk belian mahupun sekadar untuk menjamu mata sahaja... Malam itu aku membeli beberapa helai pakaian, untuk aku, wife dan anak-anak... Semua dapat bahagian masing-masing... Dan juga sepasang beg travel jenama Crocodile, berwarna ungu... Banyak juga aku berhabis hari ini, mungkin paling banyak dalam satu hari selama ini...

Usai membeli belah, makan dan sebagainya kami bergerak pulang ke hotel... Aku agak kepenatan, tetapi dek kerana gembira, kepenatan itu tidak terasa... Kini aku faham kenapa orang pompuan suka bershopping, ianya betul-betul buat kita gembira kan, lupa segala kesedihan dan sebarang masalah yang ada... Cumanya bila terkenang budget yang dah burst, terus datang masalah lain pulak... Huhu...

Setiba di parking kereta aku memasukkan semua barangan ke dalam bonet kereta, satu persatu... Pada ketika itulah aku mula terasa semacam 'something wrong' dengan pernafasan aku... Aku tarik nafas panjang-panjang, terasa KOSONG...! ALLAHU AKBAR...! Bagaimana aku nak definasikan kosong itu...? Rasanya seperti kita menarik nafas tetapi tiada oksigen yang masuk, sebaliknya hanya udara kosong semata-mata... Beberapa ketika itu aku tercungap-cungap, peluh dingin mula aku rasa di atas dahi, kaki aku merasa kebas, sejuk secara tiba-tiba, lutut aku terasa longgar, lemah... ALLAHU AKBAR...! PANIK MENYERANG...!!!

Seumur hidup aku tak pernah aku merasa secemas ini...! Adakah ajal aku sudah sampai...? Beginikah rasanya berhadapan dengan malaikat maut...? Aku masukkan beg yang terakhir ke dalam bonet kereta... Terus masuk ke dalam kereta, tutup pintu, aku memandang isteri aku...

"Ayang, abang rasa tak boleh nak bernafas... Abang rasa macam nak matila... Abang tak nak mati lagi... Tak nak kat Mid Valley ni...!!!"

"Abang... Tenang bang, rileks... Abang penat kot, banyak jalan tadi kot... Abang bawa bersandar dulu, tarik nafas pelan-pelan..."

Aku menurunkan seat aku separuh baring, cuba bertenang... Aku menarik nafas panjang, perlahan-lahan... Isteri aku mengurut-ngurut dada aku... Aku nampak mulutnya terkumat-kamit, aku tak dengar pula apa yang dibacanya... Buat beberapa ketika masih terasa kosong, tapi aku masih bernyawa... Aku pejam mata, istighfar, mengucap... Alhamdulillah mulut aku lancar lagi untuk mengucap...

Ternyata ajal aku masih belum sampai, dalam beberapa ketika aku dapat kembali bernafas seperti biasa... Allahu akbar, apa ke bendalah tadi tu...? Apakah puncanya...? Setelah tenang kami kembali ke hotel untuk bermalam... Aku berbincang dengan isteri dan kami mengambil keputusan untuk membatalkan percutian panjang kami... Dia yang beria-ria meminta kami untuk balik ke rumah... Takde makna katanya nak bercuti, jalan jauh-jauh tapi dalam hati bimbang sepanjang masa...

Isnin berikutnya adalah appointment dengan doktor... Sepanjang tempoh menunggu appointment tersebut beberapa kali juga aku diserang sesak nafas seperti yang berlaku di Mid Valley... Namun Alhamdulillah aku berjaya menghadapinya dengan tenang... Syukur juga serangan tersebut tidak lama dan tidak pernah berpanjangan... Paling lama pun dalam 2-3 minit sahaja... Tapi hati aku tetap risau, apalah agaknya yang tidak kena ni...? Mungkin hanya Dr Mawaddah yang boleh jawab nanti... Harap-harap beliau ada jawapannya...

***** Tamat Part 6 *****

Petikan Part 7: Alternatif Yang Gagal...

"Saya minta maaf cikgu, tapi apa yang saya boleh katakan disini, nampaknya rawatan alternatif yang cikgu amalkan tu tak mendatangkan hasil yang baik... Malah jika dilihat dari skop tadi, tumor dah semakin membesar... Sudah semakin hampir menutupi saluran pernafasan cikgu... Saya yakin itulah puncanya cikgu mengalami kesesakan nafas dalam beberapa hari ini..."

Penjelasan Dr Mawaddah jelas: rawatan alternatif yang aku pilih sebelum ini telah gagal untuk mengecutkan ketumbuhan di dalam tekak aku ini... Bukan sahaja ianya tidak mengecut malah ianya telah semakin membesar... Wow, memang mengecewakan... 2 minggu lepas segala-galanya kelihatan begitu sempurna sekali, dan hari ini...? Nampaknya sekali lagi aku KECEWA... Sekali lagi aku usaha aku GAGAL... Di manalah silapnya usaha aku kali ini...?

So, apa langkah aku seterusnya...? Patutkah aku putus asa sahaja...? Pasghah...? Berseghah...? 

Aku akan ceritakan selanjutnya dalan Part 7 nanti ye... Stay tune...

Read more...

3D Art Gallery...

Wednesday, March 25, 2015

Assalamualaikum...

Apa...? PD lagi...? Bukan baru-baru ni dah ronda sana ke...? Haa inilah akibatnya jika trip pertama tu tiada kepuasan, so kenalah repeat balik, kih3... Tapi kali ini aku datang dengan bala tentera yang lebih besar... Serangan utama kami adalah ke 3D Art Gallery, Lukut Port Dickson... 

Ini serba sedikit maklumat berkenaan 3D Art Gallery ni, bagi sesiapa yang berminat dan masih belum berkesempatan ke sana, aku strongly suggest untuk ke sana... Lebih-lebih lagi yang ada anak-anak kecil tu... Sebenarnya untuk merekalah yang seronoknya... Bagi aku untuk orang dewasa takdelah apa-apa yang menyeronokkan sangat pun... Cuma agak kagum jugalah dengan lukisan-lukisan 3D yang terdapat disana... Dan pastinya kita akan seronok bila melihat anak-anak seronok kan, barulah beronok-ronok namanya...

3D Art Gallery ini terletaknya di Lukut Port Dicson... Bagi mereka yang dah biasa ke PD memang takde masalah rasanya... Tapi kalau tak biasa boleh ikut guide mudah ini... Kalau korang ikut hiway Seremban PD (yang kena tol RM3.20 tu), sebelum sampai ke simpang PD sila ambil exit Lukut... Lepas masuk susur tu akan ada traffic light, kalau merah sila berhenti, kalau hijau bolehlah ambil simpang ke kanan...

Jalan terus dan kira-kira dalam 10-15 minit korang akan nampak pasaraya besar Giant di sebelah kiri... Terus masuk simpang kiri tersebut, jangan singgah ke Giant kerana itu bukan agenda anda ok... Stick to the plan...

Jalan terus, bersebelahan dengan pasaraya Giant tersebut anda akan melihat sebuah hotel 3 bintang... The Guest and Spa Hotel... Nice hotel ni, hotel baru rasanya... Disinilah aku menginap dalam trip aku sebelum ini...

Anda dah sampai pun... Betul-betul di hadapan hotel tersebutlah terletaknya 3D Art Gallery ini... Tak susah kan...? Ianya berada dalam bangunan rumah kedai 3 tingkat... Tempat ni tak sibuk pun, parking pun tiada masalah...

Harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak... Kanak-kanak dibawah ketinggian 90cm adalah percuma... Bersebelahan dengan kaunter tiket ada disediakan tempat mengukur ketinggian... Sebelum beli tiket, sebut nama aku... Insha Allah diorang tak kenal dan anda tidak akan mendapat apa-apa diskaun... Kuang3...

Satu pesanan aku sebelum korang ke sana: tak perlulah pakai kasut atau selipar yang cantik dan mahal-mahal... Kerana di dalam sana, tidak dibenarkan untuk memakai sebarang kasut atau selipar... Tetapi jangan risau kerana ada disediakan tempat menyimpan kasut dangan bayaran RM2 sahaja...

Aktiviti utama di sana...? Apa lagi, ambil gambar ajelah... Selain merasa kagum dan seronok dengan seni lukisan 3D yang disediakan... Aku tak berapa pasti tapi aku agak ada tidak kurang dari 50 jenis lukisan yang terdapat di sana...

Well korang dah tengok antara sebahagian dari lukisan-lukisan 3D yang ada di sana kan... So macamana...? Berminat...? Kalau berminat bolehlah masukkan lawatan ke 3D Art Gallery sebagai satu dari agenda lawatan anda ke PD nanti ye... Harap posting ini dapat sedikit sebanyak membantu...


Read more...

Sepetang Bersama Bakal-bakal Doktor...

Wednesday, March 18, 2015


Assalamualaikum...

Semalam aku berada di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, untuk pemeriksaan kali yang ke-4 selepas pembedahan aku... Pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan biasa sahaja, skop ke dalam tekak untuk melihat kondisi dalam tekak aku dan memeriksa bahagian tengkuk untuk memeriksa keadaan kelenjar... Alhamdulillah, syukur aku ke hadrat Illahi, pemeriksaan mendapati kondisi kedua-dua bahagian clear, normal dan tiada apa-apa yang perlu dikhuatiri... Aduan aku berkenaan lenguh-lenguh tengkuk yang sering aku alami kebelakangan ini juga menurut doktor perkara biasa sahaja... Lenguh-lenguh biasa jer tu, boleh jer bawa pergi berurut katanya... 

Sebenarnya aku dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan pada pagi semalam, jam 930 sepatutnya... Namun beberapa hari lepas doktor yang bertanggungjawab ke atas kes aku ni, Dr Mawaddah telah menghubungi aku dan mengatakan dia ingin meminda masa tersebut ke waktu petang, waktu dia mempunyai kelas... Dia ingin meminta pertolongan aku sikit katanya... Dia ingin meminta jasa baik aku untuk ditemuramah oleh sebahagian dari pelajar-pelajarnya di hospital nanti... Well aku memang tiada masalah bab-bab tu, kerana aku merasakan doktor tersebut 'berhak' sangat untuk meminta aku berbuat sedemikian memandang aku telah banyak terhutang budi kepadanya...

Sementelah pula memang aku merasakan agak seronok berbuat demikian... Aku rasa seronok disoal jawab, aku seronok berkongsi pengalaman aku... Lebih-lebih lagi kalau pengalaman aku itu dapat membantu pembelajaran mereka... Sekurang-kurangnya aku merasakan yang aku ada sedikit sebanyak 'menyumbang' kepada dunia perubatan... Besar juga maknanya benda-benda tu kan...?


Tapi aku tak menyangka pula yang datang hari tu adalah begini keadaanya... Aku sangkakan sekumpulan pelajar dalam 5-6 orang sepertimana yang biasa aku hadap semasa aku di dalam hospital dahulu... Sekali nah kau, satu kelas tu...! Tak ke gelabah juga dibuatnya...!!! Tapi aku buat cool jelah... Lagipun yang nak menjawab nanti bukan aku pun... Dah tentulah miss madam aku yang sentiasa setia menemani aku ni... Hua3...

Pada permulaannya memang aku nampak dia agak gementar, yelah memanglah cikgu dah biasa mengadap pelajar-pelajar tapi bila berhadapan dengan 50 lebih orang bakal-bakal doktor yang mengajukan soalan demi soalan memang goyang jugalah kan... Tapi itu memula je, lama-kelamaan aku tengok dia makin ok dan ok... Siap boleh buat lawak-lawak lagi lepas itu... 


Sessi yang sepatutnya mengambil masa dalam setengah jam (konon-kononnya) berlarutan lebih daripada 50 minit... Suka pulak diorang ni bertanya macam-macam... Isteri aku pula aku rasa dapat menjawab dengan baik... Sesekali dia tak dapat jawab dia bertanya juga kepada aku, bertanya aku betul ke apa yang dia jawap tu...? Oklah tu, betul lah tu...

Aku tak dapatlah nak detailkan setiap soalan mereka tetapi secara umumnya apa yang mereka tanyakan adalah seperti berikut:

1. Apakah kehilangan terbesar yang aku rasakan dan bagaimana aku menghadapinya:

Kehilangan paling besar sudah tentulah keupayaan aku untuk bersuara... Tentunya aku merasa sedih dan kesal... Namun semua itu nak tak nak memang aku kena hadapi, dan Alhamdulillah setakat ini memang aku berjaya menghadapinya... Bagaimana...? Dengan redha pada ketentuan Allah, bersyukur dan mengadu hanya padaNYA...

2. Saat-saat bilakah yang paling ditakuti...? Adakah aku merahsiakan perkara ini dari sesiapa...? Siapakah yang paling awal mengetahui berkenaan penyakit aku ini...?

Saat-saat yang paling menakutkan bagi aku adalah pada ketika menunggu keputusan biopsi... Dalam masa-masa 'ketidak tentuan' itu memang perasaan aku selalu tertekan... Aku sangat-sangat mengharap supaya keputusan negatif tapi dalam masa yang sama hati selalu terdetik mengatakan keputusan positif... Tetapi sebaik keputusan diumumkan, Alhamdulillah aku dapat menerimanya... (Dah cerita dah kan sebelum ni)...

Sebaik keputusan diketahui, orang pertama yang maklumkan adalah Kak Ngah aku, kemudian Kak Long dan adik aku... Aku maklumkan melalui whatsapp sahaja, rasa tak tergamak nak berhadapan dengan mereka... Aku ingat diorang kuat, rupa-rupanya; ceh menangis gak... Huhuhu... Keesokkan harinya kami berempat beradik berkumpul di rumah aku dan detik-detik berkongsi kesedihan pun bermula...

Pada peringkat permulaan memang aku merahsiakan dari mak dan abah aku... Perkara terakhir yang ingin aku lakukan adalah merisaukan mereka dengan penyakit aku ini... Dahlah mak aku sendiri ada sakit jantung, abah aku pula darah tinggi, nak memikirkan hal aku pula... Tapi akhirnya mereka tau juga, melalui kakak-kakak aku... Agak mengejutkan aku penerimaan mereka sangat-sangat positif... Aku risau mereka akan terlalu bersedih sehingga memudaratkan kesihatan mereka sendiri tetapi nampaknya mereka menghadapinya dengan tenang-tenang sahaja...

Adakah aku merahsiakan dari isteri aku...? Tidak... Mana mungkin... Dialah yang menemani aku, menjadi sumber kekuatan aku... Dari peringkat permulaan sehingga ke hari ini...

3. Bagaimana aku menguruskan kehidupan seharian aku dengan 'kekurangan' aku sekarang ini dan bagaimana pula dengan dengan pekerjaan aku:

Life goes on, itu aku pegang sangat-sangat... Nak tak nak, susah ke tidak, kehidupan memang harus diteruskan... Kita yang menentukan bagaimana kehidupan kita seterusnya... Samada kita nak terus meratapi dengan kekurangan yang kita ada atau kita bangkit, bangkit dan terus berjuang untuk hidup... Sukar memang agak sukar pada permulaannya, tapi itulah kelebihan manusia ni, Allah menjadikannya makhluk yang boleh adapt, yang boleh menyesuaikan diri dengan sebarang evolusi... Demikian jugalah aku, aku perlu adapt, terima kekurangan diri dan teruskan kehidupan... Tetapi sudah tentulah dengan sokongan manusia-manusia lain di sekeliling aku...

Berkenaan pekerjaan pula, buat masa ini aku masih dalam cuti barah selama 2 tahun... Tapi aku juga dalam permohonan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk jawatan kumpulan 'pool'... Dengan perjawatan tersebut, aku layak untuk memohon diringankan beban kerja... Mungkin aku akan diberi tugas-tugas pengurusan berbanding dengan tugas-tugas pengajaran... Sebaik sahaja permohohan tersebut diluluskan aku akan terus masuk kerja...

4. Bagaimana penerimaan keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling:

Penerimaan keluarga aku kategorikan sebagai cemerlang, gemilang dan terbilang... Tiada apa yang lebih yang aku rasa aku boleh minta lagi... Perhubungan dengan saudara-mara dan rakan-rakan buat masa ini memang agak terhad... Jika mereka datang ke rumah menziarah aku akan layan dengan semampu yang boleh... Tapi untuk aku keluar bersosial dengan mereka sekarang ini memang aku tidak berbuat demikian lagi, mungkin bila aku 'bersuara' semula... Lagi pun aku ni bukanlah kaki sosial sangat pun...

Berkenaan dengan masyarakat sekeliling pula, aku tak memikirkan sangat... Mana yang tau taulah, tak jadi hal bagi aku... Jiran-jiran aku memang mengetahui pun... Ada yang bereaksi terkejut ada juga yang buat biasa je... Hakikatnya hari ini berpenyakit kanser bukanlah lagi satu perkara yang 'taboo'... Di kampung aku sahaja ada lebih 6 orang yang aku ketahui diserang kanser... Rileks je memasing...

5. Apakah perancangan aku yang seterusnya, ubat-ubatan yang diambil dan gaya hidup selepas ini:

Perancangan seterusnya adalah: untuk terus HIDUP... Hidup dengan penuh kenikmatan, bersyukur dengan apa yang dimiliki dan terus berdoa kepada Illahi agar kehidupan aku terus dirahmati... Aku tidak diberi sebarang ubat oleh pihak hospital tetapi aku ada mengambil beberapa makanan tambahan untuk kesihatan... Selain itu teruskan amalan pemakanan yang sihat, jauhi dari perkara dan makanan yang memudaratkan... Cuba untuk terus mengamalkan gaya hidup yang sihat dan akhir sekali bergembira... Enjoy your life...


Sudah hampir satu jam mereka bertanyakan soalan, akhirnya Dr Mawaddah terpaksa menghentikan mereka... 

"Ok cukuplah sampai sini sahaja nanti tak dapat pula saya nak periksa pesakit saya ni..." katanya sambil kemudian meminta pelajar-pelajarnya menyiapkan laporan berkenaan sessi tersebut... Sambil mengucapkan terima kasih kepada aku dan isteri dia meminta pelajar-pelajarnya memberi tepukan kepada kami... Chewah, gemuruh sungguh tepukan mereka... 

"Thanks guys wish you all good luck, all the best and may you all become an excellent doctor, some day..." aku hanya mampu mengucapkannya dalam hati...





Read more...

3 Pilihan...

Tuesday, March 10, 2015


Assalamualaikum...

Secara anatominya aku sekarang berbeza dengan kalian-kalian semua... Secara fizikalnya beberapa fungsi organ aku dan 'geng' yang senasib dengan aku tidak akan sama dengan kalian-kalian semua yang normal... Ye, kami tidak lagi mampu bernafas melalui 2 lubang hidung dan mulut seperti kalian... Kami tidak lagi dapat bertutur seperti kalian yang menggunakan pita suara... Kami juga tidak lagi boleh menghidu secara spontan seperti kalian... 

Well itu adalah nasib kami, itulah kekurangan kami sekarang ini... Bukan aku mohon simpati, tetapi sekadar ingin berkongsi... Namun semua itu insha Allah, tidak akan menjadi penghalang kami untuk terus menikmati hidup ini...  

Secara peribadinya, aku rasa aku sudah berjaya melepasi fasa kesedihan dan kehampaan... Aku kini dalam fasa pemulihan dan pembelajaran... Secara fizikalnya semua luka-luka akibat pembedahan kini sudah pulih... Kecuali parut dileher yang masih agak jelas kelihatan, tapi aku rileks je... Kalau sesiapa tanya boleh je aku jawap nanti: kesan kena tetak masa aku jadi pailang geng double7 dulu... Ngeh3... 

Aku juga kini masih dalam fasa pembelajaran... Walaupun aku kira aku telah lulus dalam belajar menerima 'kekurangan' aku ini, tapi banyak lagi yang aku belum kuasai... Aku masih belajar bagaimana untuk menangani masalah selsema, aku masih belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan masyarakat sekeliling, aku masih belajar untuk adapt dengan keadaan sekeliling aku...

Dan paling ketara kini aku sedang giat belajar dan berlatih untuk bertutur semula... Ye, aku sedang berlatih untuk bercakap semula... Sebenarnya terdapat 3 kaedah untuk aku dan 'geng' senasib aku untuk bertutur semula... Meh sini aku cerita serba sedikit 3 pilihan yang kami ada itu:

1. Esophagus Speech:

Satu teknik yang terbaik, namun paling sukar untuk dipraktik... Tekniknya adalah dengan 'menarik' angin dari dalam perut, simpan di bahagian belakang tekak dan lepaskan bersama-sama dengan pertuturan... Pada peringkat awal kebiasaan seseorang itu hanya mampu melafazkan satu atau dua patah perkataan sahaja dalam satu-satu sela nafas... Tapi bila dah mahir, nah boleh tengok macam dalam video bawah ni... Ni dah level-level oldtimer dah ni... Untuk makluman teknik inilah yang sedang aku praktikkan sekarang ini... Pencapaiannya...? Hermmm tak sampai 10% dari apa yang korang tengok dalam video tu... Huhuhu...



2. Tracheoesophageal Puncture atau TEP

Ini adalah kaedah yang menjadi pilihan paling popular setakat ini... Kerana ianya tidak memerlukan sebarang kemahiran yang tinggi utuk dipraktikkan... Pada dasarnya satu alat yang dipanggil Tracheoesophageal Puncture atau TEP akan dimasukkan kedalam lubang stoma (lubang pernafasan yang disambung terus ke paru-paru)... Fungsi TEP tersebut adalah sebagai 1-way valve, ianya akan menarik udara dari paru-paru, mengalirkannya ke bahagian tekak dan melepaskannya bersama-sama dengan pertuturan... Kelebihan teknik ini adalah ianya tidak perlukan latihan yang banyak atau kemahiran yang tinggi, iannya agak mudah untuk dipraktikkan... 

Cumanya kaedah ini ada kelemahannya sendiri iaitu perlu ditukarkan setiap 1-2 tahun, setiap pertukaran akan melibatkan pembedahan dan kos... Selain itu pengguna juga harus menanggung risiko kebocoran, malah ada juga kes dimana pengguna tertelan TEP tersebut...! Gulp... Tapi kata doktor ianya tidaklah merbahaya kerana TEP tersebut biasanya akan keluar bersama dengan najis bila kita 'melabur'... 

Untuk makluman juga aku telah pun dijadualkan untuk menjalani pembedahan memasukkan TEP ini pada bulan Mei nanti... Namun aku masih belum memuktamadkan keputusan aku, semuanya bergantung pada progress esophagus speech yang sedang aku praktis sekarang ini...

Sumber: google image

3. Electrolarynx

Yeah ini pilihan yang ketiga, juga merupakan pilihan yang agak popular... Ianya juga mudah untuk dipraktikkan dan tiada pula sebarang pembedahan atau maintenance seperti pemasangan TEP... Kos yang terlibat hanya sekali iaitu untuk pembelian alat yang dipanggil electrolarynx tersebut... Nak tau kaedahnya...? Pernah tengok cerita Ong Bak, alah cerita action Thailand lakonan Tony Jaa tu... Perasan tak bagaimana ketua gangster tu bercakap...? Macam robot kan...? Huhuhu gitulah kekdahnya... 

Mula-mula tengok cerita tu memang agak kelakar tengok ketua gangster tu tapi pada ketika itu aku tak tahu apa-apa langsung berkenaan 'menatang alah' tu... Mana tau rupa-rupanya ianya bakal berkait rapat dengan kehidupan aku... Huhuhu...


Sumber: google image

Namun ini adalah pilihan aku yang terakhir... Doa-doakan aku berjaya dengan pilihan pertama aku, atau paling tidak dengan pilihan yang kedua kelak...



Read more...

Tahini...

Wednesday, March 4, 2015


Assalamualaikum...

Pernah dengar TAHINI...? Jujurnya, aku pun baru tau... Korang tak tau...? Takpe, tunggu, ni aku nak ceritalah ni...

Semenjak berpenyakit kritikal ni, antara perkara yang aku sering 'gugel' dan gali-gali maklumat adalah berkenaan amalan pemakanan sihat... Kerana terjadinya penyakit-penyakit merbahaya ini, antara punca utamanya adalah dari amalan-amalan pemakanan yang tidak sihat dan berdasarkan maklumat-maklumat yang digali selama ini aku membuat kesimpulan yang untuk menyembuhkan atau mengelakkan penyakit-penyakit merbahaya ini, caranya adalah melalui pemakanan yang sihat juga...

Dalam entri yang lepas-lepas aku dah cerita yang aku sekarang dalam proses untuk memperbaiki amalan pemakanan aku... Antara kaedah pemakanan yang sihat adalah dengan memperbanyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, itu yang aku panggil Diet Orang Utan tu... Tapi bukanlah maksudnya kita kena makan buah-buahan dan sayur-sayuran sahaja, yang paling penting kita perlu tahu apa itu piramid makanan dan dari situlah kita olah apa yang patut kita makan dan apa yang kita patut tidak makan...

Berbalik kepada tahini tadi, bukan sesuatu yang rare sangat sebenarnya... Tahini sebenarnya hanyalah hasil kisar bijian bijan atau bahasa omputihnya sesame seeds... Ye bijan, yang mak kita selalu buat kueh bom tu... Ermmm tetiba pulak teringat kueh bom mak aku, feveret Kak Ngah aku tu... 

Antara campuran yang boleh kita campur kisar di dalamnya termasuklah bawang putih, minyak zaitun, air perahan lemon atau pun air putih sahaja... Aku dah buat, sonang bobonar... Meh tengok niha...


So basically tahini ini adalah sos kisar bijian bijan... Untuk apa dan bagaimana cara makan atau hidangannya...? Ok kebiasaanya tahini akan dijadikan sebagai:
  • dressing untuk sebarang bentuk salad sayur-sayuran, lebih sedap dicampur dengan minyak zaitun, perahan lemon atau cuka buah...
  • perisa tambahan untuk sayuran yang digoreng...
  • bahan utama untuk resepi hummus (nanti bila aku buat benda alah ni aku buat 1 entri)...
  • pengganti mayonis untuk semua resepi yang melibatkan mayonis...
Apa pula kelebihan tahini ni...? Nah senarainya:
  • kaya dengan sumber mineral seperti phosphorus, lecithin, magnesium dan zat besi...
  • kaya dengan vitamin E dan pelbagai jenis vitamin lagi termasuk vitamin B1, B2, B3, B5 dan B15...
  • membantu proses nyahtoksin dari dalam badan...
  • membantu sistem pencernaan...
  • menggalakkan proses pertumbuhan sel-sel baru...
  • mencantikkan kulit dan menguatkan otot...
  • kandungan mineral yang bersifat alkali, membantu meneutralkan asid dalam badan...
  • sumber protein yang sangat baik...
Cara-cara nak buat, semudah mengorek hidung:

1. Dapatkan bijian bijan di kedai mamak berhampiran... In my case aku guna yang organik, al maklumlah orang berpenyakit... Mahal sikitla dari yang biasa...

2.Bagi yang kurang gemar rasa mentah, boleh panggang dulu diatas kuali... Bab ni aku kurang mahir sikit, terpulanglah pada korang nak semasak mana...

  
3. Masa untuk mengisar... Sebaiknya kisarlah guna pengisar khas untuk bijirin, barulah boleh dapat hasil yang betul-betul fine dan halus...
4. Waktu kisar ini bolehlah dicampur sekali dengan 1-2 ulas bawah putih, lebih kurang 2 sudu teh minyak zaitun, garam secukup rasa dan sedikit air, bergantung tahap kecairan yang korang mau...

5. Done... Nampak aku punya testur tu kurang memuaskan... Walaupun dah agak lama dikisar tapi nampak masih belum cukup fine sebenarnya sebab aku guna pengisar biasa ajer... Tapi sebagai percubaan pertama aku kira ok sesangat dah... Rasa dia, ermmm sejujurnya ini bukanlah selera tekak aku tapi, aku kira bolehlah... Hee3...



Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP