Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Catatan Bloger.... Show all posts
Showing posts with label Catatan Bloger.... Show all posts

Kenapa Aku Menjadi Seorang Guru

Tuesday, May 16, 2017

Menjadi guru bukanlah cita2 utama aku semenjak dari dulu lagi. Kalau minat pun ianya adalah disebabkan oleh beberapa orang cikgu aku yang aku nampak cool dan macho je di mata aku sebagai seorang pelajar suatu ketika dulu.

Tapi ada 1 detik yang telah menjadi turning point kepada aku dan membuatkan aku 'melekat' dan bangga menjadi seorang guru:

Tahun pertama menjadi guru, jiwa memang tengah panas membara. Dalam satu kelas ni ada budak cina buat perangai, aku panggil dia berdiri atas kerusi, bila aku berpaling dia mengomel dalam bahasa Mandarin:

"#$!#!% punya cikgu!"

Darah aku menyirap, aku berpaling, aku panggil dia turun. Tanpa sebarang amaran aku angkat tangan, satu back hand yang padu aku lepaskan. Sasaran aku ke mukanya, namun dia mengelak. Back hand padu aku singgah di lehernya, melekat kesan merah kat leher budak cina ni.

"Kamu jangan ingat cikgu tak paham apa kamu cakap tadi! Cikgu bukan bodoh! Cikgu tau Bahasa Mandarin!"

Jerkah aku dalam bahasa ibundanya itu.

Keesokkan harinya dia tak bersekolah. Puas hati aku, sunyi sikit kelas tanpa kehadirannya. 2-3 hari dia tak datang, tiada apa2 kerisauan yang aku rasakan. Namun bila sampai ke hari isnin berikutnya dia masih tiada, mula timbul kebimbangan di hati aku.

Kuat sangat ke penangan aku hari tu? Ke tempat tu sensitif, memang aku target nak back hand tang muka tapi sebab dia mengelak tu yang terkena ke bahagian leher tu!

Sedang hati aku risau, datang seorang rakan guru memanggil aku:

"Sul, PK HEM panggil. Ada parent nak jumpa katanya."

Jeng jeng jeng! Suspen terus aku! Ni mesti kes back hand akulah ni!

Sampai di bilik PK HEM, SAH! Budak cina tu ada di sebelah PK HEM aku, dan bersama2 mereka ada seorang wanita agak tua yang aku kira pastinya nenek kepada budak cina tersebut.

"Shamsul, shamsul, what have you done?"

Sambil geleng2 kepala PK HEM aku bertanya. Aku buat2 tak paham, buat2 muka blank. Padahal dalam hati cuak giler bhai.

"Ini aunty Wang, nenek kepada Chong Chee Oon ni, dia kata sudah seminggu Chong tak mau pergi sekolah. Dia kata Chong takut nak pergi sekolah sebab ada seorang cikgu ni sangat2 garang. Bila saya tanya siapa cikgu tu, dia cakap nama cikgu Shamsul.

Shamsul, Shamsul, you garang sangat yea...?"

Kali ni aku betul2 blank. Setakat itu je ke? Kenapa dia tak tanya aku kes back hand tu?

Aku menoleh kepada Chong, dia dari tadi tunduk tak angkat2 kepala. Aku menoleh pula pada neneknya. Neneknya senyum tawar tak berkata apa.

PK HEM aku bersuara lagi:

"Macam ni Shamsul, aunty Wang ni kurang fasih Bahasa Malaysia. Semuanya Chong yang ceritakan pada saya. Saya still kurang jelas. So saya nak you cuba comunicate dengan aunty Wang ni. You boleh berbahasa Mandarin kan? Hari tu masa lapor diri you cakap you pernah belajar di SJKC kan?"

Aku senyum pada aunty Wang, mengambil tempat duduk berhadapan dengannya. Dalam otak aku ligat memutar apa alasan aku nak bagi pada aunty tua ni. Lalu dalam Mandarin aku bertanya:

"Hai aunty, apa khabar? Sudah sarapan?"

Aku mulakan dengan ayat2 manis membeli jiwa. Mula2 aunty Wang agak terkejut mendengar aku berbahasa Mandarin. Tiba2 dia bersuara, terhampur kata2nya, bertali arus. Ibarat M-16 memuntahkan pelurunya!

"Cikgu, cikgu ke yang garang itu? Apa cikgu sudah buat sama cucu saya? Cikgu, ini budak banyak nakal punya budak tau! Dia emak sudah mati, dia bapak sudah lari tak tau mana pergi. Sekarang saya jaga dia hari2, saya punya hati banyak sakit!"

Adui mampoi la aku kali ni!

"Cikgu, ini budak banyak nakal! Hari2 saya marah sama dia, hari2 saya pukul sama dia. Tapi dia tarak takut sama saya. Minggu lepas dia balik rumah, kemudian dia cakap dia sudah tak mau sekolah. Dia cakap dia sudah takut sama 1 orang cikgu! Saya jadi banyak hairan. Dia mana pernah takut sama orang lain punya! Itu pasal saya mau jumpa cikgu, mau tanya sendiri apa yang cikgu sudah cakap sama dia, apa yang cikgu sudah buat sama dia."

Aik, lain macam je...

Tiba2 suara aunty Wang sebak, menyambung percakapannya:

"Saya tak tau apa cikgu sudah buat sama ini budak, tapi saya mau terima kasih banyak2 sama cikgu. Sekurang2nya sudah ada orang yang dia takut. Saya mau dia terus sekolah, walaupun saya tahu dia bukan pandai punya budak tapi saya mau dia habiskan juga sekolah. Kalau dia berhenti sekarang saya takut dia mesti kawan sama itu samseng2 punya budak. Biarlah dia habis sekolah jugak, sudah habis sekolah nanti dia boleh tolong saya jual strawberi sahaja."

Suara aunty Wang makin sebak, dari kelopak mata tuanya sudah ada tanda rintik2.

"Cikgu, cikgu tolonglah ajar cucu saya. Saya tak kira apa cikgu mau buat sama dia. Cikgu mau marah, cikgu mau hantam pun takpa. Yang penting dia mesti kasi habis dia punya sekolah. Saya tak tau apa cikgu sudah buat sama dia tapi mesti cikgu sudah buat sesuatu yang betul!"

Aiyak aunty, you make me wanna cry also la.

Aku ketandusan idea. Tak tau nak respon macamana.

"Ah Chong mari sini, minta maaf sama ini cikgu. Janji lain kali tak mau buat lagi. Lepas ini mesti mau terus sekolah, ini cikgu mesti ajar kamu baik2, ajar kamu jadi orang baik."

***********************************

Hari2 berikutnya Chong terus bersekolah seperti biasa. Nakal? Ye, dia masih nakal. Tetapi di hadapan aku kenakalannya terkawal. Itu adalah tahun pertama dan tahun terakhir aku mengajar kelas Chong.

Tapi aku tetap mengikuti perkembangannya sehingga dia mengambil SPM dan menamatkan persekolahan.

Beberapa tahun lepas aku singgah di Pasar Malam Berinchang seorang peniaga strawberi cina menyapa aku. Teka siapa? Haha, mesti korang semua ingat Chong kan? Sori, bukan. Tetapi seorang pelajar cina lain, juga merupakan salah seorang bekas anak murid aku. Dapat jugalah diskaun pembelian aku kali itu.

So Chong dimana? Wallahualam, sejak tamat persekolahan aku tidak pernah bertemu lagi dengannya. Mesti korang bayangkan aku berjumpa dengan Chong lalu dia menangis2 memohon maaf dari aku kan? Huhu, mungkin dalam filem endingnya sebegitu, tapi dalam real life, inilah ending bagi kisah aku. Apa korang ingat cerita aku ini macam filem ka?🤔🤔🤔

Apa2 pun peristiwa Chong dengan aunty Wang pasti melekat dalam memori seumur hidup aku, kenangan membahan budak sehingga kantoi dengan neneknya. Tapi di akhirannya, ia memberikan satu kesan dan impak yang positif kepada aku dan juga Chong.

SELAMAT HARI GURU 2017.
SEKALI GURU SELAMANYA GURU.


Read more...

Seminar Hentikan Jenayah Kanak2

Tuesday, April 25, 2017

Petang semalam, hanya beberapa saat lagi sebelum mesin punch card mengetik ke pukul 5, aku dipanggil oleh pegawai atasan aku:

"Aok ada nak kemana2 besok?"

"Err takde rasanya boss." Aku jujur menjawab.

"Bagus, besok aok boleh ke Kuantan? Ada Seminar Jenayah Seksual Kanak2. Aok ke sana sebagai Pegawai Aduan dan wakil kepada PPD Bentong."

Ok, sebagai seorang penjawat awam yang berdedikasi tinggi aku akur dan patuh. Sementelah lagi puas aku pikir dalam masa yang sesingkat itu, apa alasan yang aku patut beri untuk mengelak; tapi tak dapat nak pikior!

Maka sesudah subuh pagi tadi aku pun bergerak menuju ke Kuantan. Sangkaku aku akan tidur sepanjang seminar tersebut, rupa2nya sangkaan aku meleset. Banyak info dan input yang aku dapat sebenarnya.

Meh aku kongsikan beberapa fakta yang aku rasakan agak menarik dan mengejutkan.

1. Mangsa bagi kes jenayah seksual yang banyak dilaporkan bukan kanak2 perempuan tetapi kanak2 lelaki. Ya, termasuk kes liwat!

2. Pelaku2/ penjenayah2 seksual tersebut sering terdiri dari orang yang rapat dengan mangsa seperti sepupu, bapa saudara dan datuk mangsa!

3. Statistik meningkat setiap tahun!

4. Antara medium yang dikenali paling banyak menyumbang kepada jenayah seksual kanak2 adalah media sosial wechat!

Tanda2 kanak2 yang menjadi mangsa jenayah seksual:

1. Kanak2 murung, mood tidak menentu, sering mengigau di waktu malam.

2. Kanak2 akan menjadi kuat melawan, mempunyai sifat tiada keyakinan diri.

3. Benci pada kaum lelaki.

Tips yang boleh kita boleh amalkan sebagai ibu bapa:

1. Sering berkomunikasi dengan anak2. Ambil tahu perkembangan pembesarannya.

2. Bagi anak2 yang telah pandai melayari media sosial, ibu bapa perlu pastikan mereka tahu apa yang anak2 sering layari.

3. Ini satu tips yang aku rasakan paling penting dan sebagai ibu bapa kita MESTI AMALKAN. Jika selama ini kita tidak pernah amalkan, sekarang adalah masanya. PELUK ANAK KITA!

Ya, peluk mereka dengan penuh kasih sayang. Sentiasa terangkan kepada mereka kenapa kita peluk mereka. Dalam masa yang sama terangkan, siapa yang BOLEH, siapa yang TIDAK BOLEH peluk mereka. Terangkan juga BATAS2 dalam pergaulan.

Oklah, cukuplah aku berkongsi setakat ini sahaja. Perasmi pun dah nak sampai ni, YABhg. Tok Puan Indera Dato' Sri Rosmah binti Mansor tu.

Semoga apa yang dikongsikan dapat dijadikan manfaat buat semua. Terutama kita2 yang mempunyai anak2 yang sedang membesar.



Read more...

Menghadapi Cabaran

Thursday, April 20, 2017


Dalam jiwa seorang manusia, ALLAH telah bekalkan dengan satu semangat pemandiri dan semangat juang untuk bangkit dari apa jua ujian, musibah, cabaran mahupun kegagalan. Dalam filem2 Hollywood, aku suka menonton filem2 tentang watak2 hebat yang meskipun ditimpa pelbagai ujian dan kegagalan, bangkit dan tanpa putus asa berhadapan dengan cabaran hidup masing2.

The Beautiful Minds, Pursuit of Happyness, 127 Hours, Eddie The Eagle dan banyak lagi filem2 yang segenre. Aku minat dan jadi bersemangat setiap kali menonton filem2 sedemikian, watak2 tersebut sentiasa cekal, minda 1st class dan sentiasa tidak pernah berputus asa menghadapi cabaran hidup.

Itu paparan dan watak2 benar yang menjadi inspirasi yang dijelmakan ke dalam filem. Namun watak2 tersebut semestinya terlalu besar dan jauh dari aku sendiri. Di dunia aku ini, watak2 yang terasa dekat dan aku pernah berinterasi sendiri dengan mereka, turut memberikan kesan dan inspirasi yang sama kepada aku.

Aku pernah terkesan dengan perjuangan seorang wanita yang kehilangan sebelah kakinya akibat penyakit, bangkit melawan dan kini dia berusaha membantu orang lain pula dengan melakukan kerja2 amal dan tulisan2nya yang memberi inspirasi.

Aku pernah merasa kagum dengan semangat seorang anak muda yang suatu ketika pernah terlantar di wad hospital akibat penyakit yang membawa maut, bangkit lalu menjelajah seluruh negara demi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penyakit mautnya itu. Dengar2nya, next planning untuk merentas ke seluruh dunia pula!

Aku pernah merasa terkesima apabila berhadapan dengan seorang guru yang pernah diserang stroke berat dan hampir lumpuh sebahagian badan, kini kembali mendidik anak bangsanya; meskipun dalam pergerakannya yang agak terbatas.

Semua cerita di atas menjadi pendorong dan inspirasi untuk aku bangkit berhadapan dengan cabaran dan dugaan aku sendiri.

3 tahun lepas, aku telah diuji dengan dugaan yang paling besar dalam hidup aku. Akibat kanser yang aku hadapi, aku telah kehilangan suara, ye total lost, MUTE! Setahun lebih aku hidup dalam dunia aku sendiri, cuba menyesuaikan diri dengan hidup baru, cuba menyerap segala tekanan yang mendatang, cuba merancang strategi untuk bangkit menghadapi cabaran terbesar dalam hidup aku ini.

Aku berpegang teguh dengan janji ALLAH: "disebalik setiap kesukaran, adanya kemudahan".

Dengan izinNYA juga, aku bangkit dan melakukan sesuatu yang tidak pernah terjangka akan aku lakukan. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku mendapat peluang ini. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku berjaya dalam berdepan dengan dengan cabaran yang aku kirakan sangat2 besar ini.

Mungkin bagi manusia normal, bercakap di depan khalayak bukanlah sesuatu yang sukar pun, semua orang boleh buat. Well, itu manusia biasa, aku ni dah kategori manusia LUAR biasa. 😅😅😅

Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang membantu, secara langsung atau pun tidak. Tidak mampu untuk aku senaraikan kesemuanya tetapi anda tahu siapa anda.

Next challenge, sudah ada yang mencabar aku untuk bermain gitar dan menyanyi di depan khalayak pula. Semasa bersifat manusia normal pernah jugalah aku lakukan, tetapi sebagai seorang laryngectomee, seperti sesuatu yang mustahil. Namun itulah yang dinamakan cabaran, kan?

Orait, cabaran diterima! Tungguuuu...

Read more...

Tersuntik Tanpa Sedar

Wednesday, March 15, 2017

Aku mula2 menulis dalam blog dulu adalah sekitar tahun 2008. Tujuan utamanya konon2 nak jana pendapatan. Orang lain boleh dapat bengong2 pun RM2-300 sebulan melalui iklan nuffnang or seumpamanya, aku punya pencapaian: RM60 dalam setahun. Dem...!

Aku ni jenis cepat fed up, last2 aku tulis ikut sedap aku je. Rasa rajin nak menulis, aku tulis. Sampai masa malas aku, maka naik sawanglah blog aku tu.

Semasa aku dalam 'peperangan' melawan kanser, memang aku tidak terasa langsung keterujaan untuk menulis. Sehinggalah aku kembali pulih, aku mula menulis sedikit demi sedikit. Niat asal saja2 nak kongsikan apa yang telah aku lalui sepanjang berperang dengan penyakit maut tersebut.

Suatu hari aku dihubungi oleh penulis sebuah majalah kesihatan. Minta aku berkongsi pengalaman dalam majalah kesihatannya. Dengan berbesar hati aku menerima tawaran tersebut. Maka keluarlah cerita 'tanpa suara' buat pertama kalinya dalam media cetak.

Melalui penulisan di blog aku rasakan capaian kepada pembaca aku agak terhad. Lebih2 lagi aku hampir tidak mengenali langsung siapa yang membaca kisah2 aku di dalam blog. Lalu aku mula beralih menulis di fb pula. Kali ini pembacanya aku rasakan lebih direct, terus kepada rakan2 yang aku kenali, samada secara fizikal atau pun melalui maya sahaja.

Tak lama selepas aku berkongsi kisah aku, seseorang menghubungi aku melalui private messenger, dia berterima kasih banyak2 sangat kepada aku. Katanya tulisan aku telah banyak menyuntik semangat kepada bapanya yang juga sedang berperang dengan penyakit kanser. Berbunga2 rasanya hati aku, bila ada yang mendapat semangat setelah membaca catatan2 aku di media sosial ini.

Sehingga ke hari ini, banyak juga nasihat2 dan kata2 semangat yang telah aku sampai kepada mereka2 yang menghubungi aku, secara direct dalam posting2 aku, mahu pun melalui private messenger.

Seronok, puas, terharu, bangga. Itu antara perasaan bercampur baur yang aku dapat rasakan. Tapi paling utama, semoga setiap apa yang aku kongsikan, dapat dijadikan sebagai ilmu yang dimanfaat dan dapat menjadi bekal aku di sana kelak.

Aku sendiri sebenarnya banyak mendapat suntikan semangat dari media sosial. Melalui bacaan kisah2 wira dan wirawati yang berjuang melawan kanser. Seorang demi seorang aku hubungi mereka menyatakan rasa penghargaan aku kepada mereka.

Seperti juga aku, respon mereka terharu, seronok, puas dan berbangga. Dapat berkongsi pengalaman dan sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada mereka2 yang memerlukan.

Kepada mereka2 ini, sekalung kudos kuucapkan. Teruskanlah penulisan anda, kita tidak akan pernah tahu siapa yang bakal kita tersuntik tanpa sedar, kelak.

Read more...

Salam Ramadhan...

Wednesday, June 17, 2015

Assalamualaikum...


Perkataan yg indah adalah ALLAH
Lagu yg merdu adalah AZAN
Media yg terbaik adalah AL-QURAN
Senam yg sihat adalah SOLAT
Diet yg sempurna adalah PUASA
Kebersihan yg menyegarkan adalah WUDHU
Perjalanan yg indah adalah HAJI
Khayalan yg baik adalah ingat akan  DOSA dan TAUBAT
Mudah-mudahan di bulan yg suci ini hadir membawa iman dan takwa...

Hermmm nampaknya ini tahun pertama aku berpuasa sebagai seorang laryngectomee... Insha Allah aku telah bersedia... Sesungguhnya aku bersyukur kerana masih diberi umur dan kesihatan untuk menyambut ramadhan kali ini... Semoga aku dapat menjadikan ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan-ramadhan yang sebelumnya... 

Pada sahabat-sahabat maya semua, Selamat Menyambut Ramadhan... Maafkan sekiranya ada yang terkhilaf sepanjang persahabatan kita di alam maya ini... Pose tau jangan tak pose... Nanti tak boleh dapat duit raye... Kui kui kui...

Read more...

Homestay Penang...

Wednesday, June 3, 2015

Assalamualaikum...


Dalam entry sebelum ini aku ada menceritakan trip aku berjalan-jalan ke Penang bersama keluarga besar RamSal aku kan...? And masa tu aku berjanji akan membuat satu post khas berkenaan dengan kediaman kami di sana... So aku buat entry ini khas untuk mempromosikan homestay ni pada korang semua... Kalau ikutkan aku, aku akan katakan highly recommended... Rumahnya luas, terletak di taman perumahan yang baru, bersih, dan paling penting tuan rumah dia tak berkira dan tak banyak songeh...

Cumanya ia bukan terletak di dalam pulau, jarak perjalanan dari homestay ke dalam pulau melalui jambatan pertama biasanya akan memakan masa sekitar 15 ke 30 minit... Bergantung kepada pemanduan anda... Kalau Schumacher aku budget dalam 5 minit setengah boleh sampai dah, kikiki buat lawak sikit... Oklah bagi sesiapa yang berhajat tu sila-silakanlah ye...Lets cekidout...


Seperti yang aku katakan tadi, ianya terletak di taman perumahan yang baru, jadi rumahnya pun agak baru dan bersih... Cumanya tuan rumah di tak upgrade/ buat apa-apa renovation berbanding dengan jiran-jirannya... Yelah bukan dia nak duduk pun kan, so aku rasa benda-benda tu tak menjadi priority baginya...


Ini ruang tamu dia, memang besar bagak kan... Sesuai sangat nak bergelemak anak-beranak sedara mara... Perabot dia pun tak banyak bagi aku sesuai juga untuk budak-budak bermain... Tv disediakan tapi minta maap chanel astro takde la... Kalau nak tengok juga kenalah punggah decoder dan piring sendiri ek...


Ini dapur dia, disediakan dapur memasak lengkap dengan periuk belanga kuali kuala pinggan mangkuk semua... Siap ada peti ais dan mesin basuh... Aku ada cadang kat tuan rumah kalau boleh sediakan bibik sorang lagi cun kan...


Rumah ni ada 4 bilik, 1 di bawah dan 3 di tingkat atas... Keempat-empat bilik dilengkapi dengan air cond... Ini bilik di tingkat bawah... 2 katil bujang bersama almari dan cermin solek... Just nice...


Ini pula adalah 3 bilik di tingkat atas... Bilik utama dengan katil queen, almari dan meja solek... Siap ada tilam bujang spare dia bagi... Oh ye, walaupun ada air cond, kipas siling turut dipasang oleh tuan rumah... Bilik 2 dan 3 juga hampir sama kelengkapannya, air cond, katil queen dan meja solek... Dua bilik ini berkongsi 1 bilik air...

Ok itu sahaja untuk kali ini, ini merupakan entry paling cepat aku pernah buat... 7 minit setengah dah siap... So sekali lagi aku ulang kalau korang ada berhajat ke Penang, dengan keluarga yang besar, tak kisah berada di luar pulau, makanya ini adalah homestay yang sangat sesuai untuk anda... Harga aku taknak sebutlah kat sini, korang call je nombor kat atas tu... Tapi serius, harga yang diberi nanti memang boleh 'adjust'... Cuma janganlah adjust sampai nak duduk free, agak-agakla der... Kikiki...






Read more...

Cuti-cuti Penang...

Saturday, May 9, 2015

Assalamualaikum...

Entri kali ni ala-ala travelling blog... Nak cerita pasal jalan-jalan, coti-coti Malaysia... Rilek ek bro Muhammad Khairuddin Lim, cilok jap niche blog hang, Kaki Travel... Kikiki... Kali ini destinasi yang dipilih adalah nun ke Pulau Mutiara, Pulau Pinang... Tarikhnya 2-4 Mei yang lepas... Moralnya: kalau jiwa tak cukup kental jangan bercuti ke Pulau Pinang dalam hari-hari cuti umum...

Har har har kenapa aku cakap macam tu...? Pasti korang semua dah cukup maklum kan, Penang di musim cuti... Hermmm mesti masak dalam jem punya, sebab tu jiwa kena kental beb, kalau tak kompom percutian jadi hambar...

Percutian kali ini aku dengan keluarga besar, RamSal family... Anak beranak Ramli dan Salmah... Ramli tu bapak aku, mak aku Salmah, singkatan jadi RamSal... Kikiki... Ok straight to the poit jom tengok apa aktiviti kami di Penang... Mai mai mai... Bak hang...


Destinasi pertama, seawal pagi jam 8 kami dah keluar... Tujuannya Bukit Bendera... Walaupun dah beberapa kali ke Penang sebelum ini tapi kalau nak taunya inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke Bukit Bendera ni... 


Umat manusia punyalah ramai... Nak beli tiket dah setengah jam beratur, campur waktu menunggu train aku ingat ada dekat-dekat sejam lebih jugak... Tapi sebab dah beramai-ramai ni, banyaklah ceritanya, kira enjoy jelah... Tak terasalah boring menunggu tu...


Tapi bila sampai ke atas tu barulah aku sedar, hermmm berbaloi juga menunggu lama, beratur bersesak-sesak dan berhimpit-himpit dalam train... Indah pemandangan di atas ni rupanya kan...


Petang tu cadangannya adalah ke Pantai Batu Feringhi, nak bagi bebudak ni main pantai... Malangnya hajat tak kesampaian, apa kes...? Jem tahap gaban la bak hang... Dari terus tersangkut kat dalam jem kami decide untuk berpatah sahaja ke Persiaran Gurney... Takpelah at least dapat gak tengok pantai... Huhuhu... Tapi kat sini pun tak lama, sebabnya jalan nak ditutup sempena perarakan, untuk perayaan hari Wesak la kot...


Malam tu kami pi pekena mee udang di Ida Mee Udang Sungai Dua... Glamer juga kedai mee ni, kalau tengok fb page dia siap ada gambar-gambar retis lagi bak hang... Tapi yang penting makanan dia best... Bagi tekak kami la... Kata wife aku udang dia memang fresh... Aku tak tau sebab aku sebenarnya dah quit makan makanan-makanan laut ni... Setakat jamah-jamah je... Tapi buktinya udang itu betul-betul segar adalah ipar aku yang yang resdung tidak terbersin-bersin keesokkan harinya walaupun dia membedal 2 pinggan mee udang malam tu... Oooo gitu rupanya bak hang...


Hari berikutnya adalah sessi mencari jeruk... Haa ini pun mesti rutin korang jugak kalau pi Penang kan... So kedai mana korang pergi...? Nanti, biar aku jawab, Jeruk Madu Pak Ali...? Huh memang kesitulah tujuan asal kami tapi kerana terdapat sedikit insiden melibatkan keluarga besar kami dengan pekedai di situ so kami beralih arah... Naa tu dia D' Jeruk Kita... Taukeh peramah, pilihan jeruk yang banyak dan paling besh harga boleh berlebih kurang... Camtulah berniaga pakcik kan, janganlah bila kedai dah besaq, banyak cawangan, untung juta-juta; pelanggan diabaikan, layanan pun acuh tak acuh je, siap tinggikan suara pulak... Kami ni datang dari jauh bak hang, tak baik gitu naa.... 


Haa inilah taukeh dia... Pakcik ni memang terbaik bak hang... Tanya camana pun dia layan, baik punya ada... Steadylah pakcik moga bisnes berkembang maju naa...


Ok next apa lagi...? Dah masuk tengahari so masa untuk lunch... Mana lagi, nasi kandaqla bak hang... Mana mana mana...? Line Clear...? Dah try... Kayu...? Dah try... Haa ini belum... Hameediyah... Rupa-rupanya inilah pioneer nasi kandaq kat Malaysia ni... Aku tak tahulah betul ke tak, tapi tagline kedai dia: the oldest nasi kandar in Malaysia...


Tak kisah la apa pun yang pasti nasi kandaq dia layannn... Punyalah layan sampai tak sempat nak snap gambar... Sedar-sedar dah licin... Kikiki... Harga pun boleh tahan taklah melampau sangat... Majoriti kami amik nasi beriani, kuah campur, ayam madu dan sayur purata harga masing-masing semua bawah RM10... Oklah tu kan...


Satu lagi tempat wajib pergi di Penang ini mana lagi kalau bukan Padang Kota Lama, betul...? Herm cadangnya nak melawat sekali ke dalam kubu Fort Cornwallis, tapi masing-masing dah penat berjalan... So lepak-lepak jelah, sambil menikmati angin laut...


Di Padang Kota Lama ni sudah pastilah makanan yang wajib dicuba adalah pasemboq... Disini memang femes juga pasemboq dia kan... Sebenarnya ini kali pertama juga aku try pasemboq Penang ni... Pada asasnya rasa dia sama je pun dengan pasembor-pasembor di kedai-kedai mamak kat tempat kita tu pun... Cuma aku rasa di sini kuah kacang dia lain sikit... Memang kaw punya pekat dia bagi... Pedas dia pun semacam... Tapi keseluruhannya: beshhh... Tapi mahal rupanya pasemboq kat sini ek... Sepinggan ni jejak dekat-dekat RM40 woo... Har har har... 


Setiap yang bermula pastinya ada pengakhirannya kan... Begitu jugalah trip kami kali ini berakhir sudah, maka tibalah masanya untuk angkat kaki dan lambung... Terlanjur dah sampai ke Penang memang kami bercadang untuk mencuba kedua-dua buah jambatan... So arah pulang kami mengikuti jambatan kedua Pulau Pinang yang baru dibuka baru-baru ini...


Agak lengang jambatan kedua ni berbanding dengan jambatan pertama, aku tak tahu kenapa... Dari segi jarak memang aku rasa panjang jambatan ini lagi, sempat jugalah mengantuk... Toing toing... Dari segi rekabentuknya juga agak unik kerana jambatan ini melengkok di tengah-tengahnya... Aku tak pasti atas sebab apa team binaannya membinanya sebegitu... Atas sebab estatik kah, atau cantikkah atau ergonomik kah, aku tak pasti... Yang aku pasti kalau ada yang bertanya, memang aku boleh menjawab sebegini: "ye, aku dah lalu jambatan kedua Pulau Pinang... Bak hang..." Ngeh ngeh ngeh...

Oh ye, aku tak cerita pun dimana kami menginap kan... Haa memang aku sengaja tak cerita disini, sebabnya aku nak buat 1 lagi entri khas untuk tempat penginapan kami tu... Puas hati sangat-sangat rumah tu, besar, selesa, bersih... Tuan rumah tak banyak songeh dan tak berkira... So tunggu next entri ok, tunggu naa, bak hang...














Read more...

3D Art Gallery...

Wednesday, March 25, 2015

Assalamualaikum...

Apa...? PD lagi...? Bukan baru-baru ni dah ronda sana ke...? Haa inilah akibatnya jika trip pertama tu tiada kepuasan, so kenalah repeat balik, kih3... Tapi kali ini aku datang dengan bala tentera yang lebih besar... Serangan utama kami adalah ke 3D Art Gallery, Lukut Port Dickson... 

Ini serba sedikit maklumat berkenaan 3D Art Gallery ni, bagi sesiapa yang berminat dan masih belum berkesempatan ke sana, aku strongly suggest untuk ke sana... Lebih-lebih lagi yang ada anak-anak kecil tu... Sebenarnya untuk merekalah yang seronoknya... Bagi aku untuk orang dewasa takdelah apa-apa yang menyeronokkan sangat pun... Cuma agak kagum jugalah dengan lukisan-lukisan 3D yang terdapat disana... Dan pastinya kita akan seronok bila melihat anak-anak seronok kan, barulah beronok-ronok namanya...

3D Art Gallery ini terletaknya di Lukut Port Dicson... Bagi mereka yang dah biasa ke PD memang takde masalah rasanya... Tapi kalau tak biasa boleh ikut guide mudah ini... Kalau korang ikut hiway Seremban PD (yang kena tol RM3.20 tu), sebelum sampai ke simpang PD sila ambil exit Lukut... Lepas masuk susur tu akan ada traffic light, kalau merah sila berhenti, kalau hijau bolehlah ambil simpang ke kanan...

Jalan terus dan kira-kira dalam 10-15 minit korang akan nampak pasaraya besar Giant di sebelah kiri... Terus masuk simpang kiri tersebut, jangan singgah ke Giant kerana itu bukan agenda anda ok... Stick to the plan...

Jalan terus, bersebelahan dengan pasaraya Giant tersebut anda akan melihat sebuah hotel 3 bintang... The Guest and Spa Hotel... Nice hotel ni, hotel baru rasanya... Disinilah aku menginap dalam trip aku sebelum ini...

Anda dah sampai pun... Betul-betul di hadapan hotel tersebutlah terletaknya 3D Art Gallery ini... Tak susah kan...? Ianya berada dalam bangunan rumah kedai 3 tingkat... Tempat ni tak sibuk pun, parking pun tiada masalah...

Harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak... Kanak-kanak dibawah ketinggian 90cm adalah percuma... Bersebelahan dengan kaunter tiket ada disediakan tempat mengukur ketinggian... Sebelum beli tiket, sebut nama aku... Insha Allah diorang tak kenal dan anda tidak akan mendapat apa-apa diskaun... Kuang3...

Satu pesanan aku sebelum korang ke sana: tak perlulah pakai kasut atau selipar yang cantik dan mahal-mahal... Kerana di dalam sana, tidak dibenarkan untuk memakai sebarang kasut atau selipar... Tetapi jangan risau kerana ada disediakan tempat menyimpan kasut dangan bayaran RM2 sahaja...

Aktiviti utama di sana...? Apa lagi, ambil gambar ajelah... Selain merasa kagum dan seronok dengan seni lukisan 3D yang disediakan... Aku tak berapa pasti tapi aku agak ada tidak kurang dari 50 jenis lukisan yang terdapat di sana...

Well korang dah tengok antara sebahagian dari lukisan-lukisan 3D yang ada di sana kan... So macamana...? Berminat...? Kalau berminat bolehlah masukkan lawatan ke 3D Art Gallery sebagai satu dari agenda lawatan anda ke PD nanti ye... Harap posting ini dapat sedikit sebanyak membantu...


Read more...

BAHAGIA...

Friday, February 27, 2015

Assalamualaikum...


Bagaimana anda mendefinasikan 'BAHAGIA'...? Kalau mengikut quote di atas mudah sahaja: BERSYUKUR atas segala yang kita ADA... As simple as that... Tapi aku tak nak terhadkan definasinya di situ sahaja, ianya bebas mengikut persepsi kita masing-masing...

Well, ini salah satu dari momen-momen BAHAGIA aku... Apa lagi kalau bukan meluangkan masa bersama dengan isteri dan anak-anak... Ianya bukanlah percutian 5 bintang... Buat kesekian kalinya aku ke sini, mungkin untuk kali yang ke 7 atau 8, atau mungkin lebih... Tunggulah mana tau ada rezeki besok-besok boleh bercuti ke kepulauan Caribbean pulak kan... Hee3...

Mood yang tak berapa 'segar' nak menulis panjang-panjang... Biar gambar sahaja berbicara... Ngee...

Lokasi           : Pantai Teluk Kemang Port Dickson...
Masa             : 21-22 Feb 2001...
Penginapan   : The Guest Hotel and Spa Port Dickson...








p/s: Baru aku sedar rupanya selama ini aku suka, suka sangat-sangat situasi matahari terbenam... Orang cakap orang macam aku ni romantik ek...? Aku percaya tu, hua3...

Read more...

Belasungkawa...

Friday, February 13, 2015

Assalamualaikum...


Sebenarnya aku dah schedulekan 1 entry lain pada pagi ini tetapi perkhabaran ini membuat aku menundakan entry tersebut... Just aku nak turut sama dalam perkhabaran sedih ini... Pastinya semua telah maklum yang tok guru kesayangan kita Tuan Guru Nik Aziz telah pun meninggal dunia malam semalam... Aku tengok dalam bloglist aku pun dah penuh entry berkenaan pemergian beliau...

Aku tak berniat nak menulis panjang berkenaan ini... Tiada apa pun yang aku nak ulas... Sekadar berkongsi kesedihan bersama anda semua... Sebenarnya aku ada pernah menulis 1 entry berkaitan beliau, boleh baca disini>>... Dan mungkin kalau masih ada yang tidak tahu, aku pun baru juga tahu rupa-rupanya Tok Guru selama ini mengidap penyakit kanser prostat... Hermmmm...

Semoga beliau tenang bersemadi disana, mengadap Sang Pencipta... Secara peribadi aku merasakan biarlah Tok Guru 'berehat', cukuplah perjuangan beliau di atas muka bumi ini... Semoga perjuangan beliau tidak terhenti disini, sesungguhnya perjuangan memartabatkan agama tidak harus ada titik noktahnya...

Al Fatihah...

Read more...

Anak...

Monday, February 9, 2015


Assalamualaikum...

Sepanjang beberapa bulan aku bergelar sura rumah sepenuh masa ni ada beberapa perkara yang aku perasan berkenaan dengan budak-budak ni... Bukanlah bermakna selama hari ini aku tak pernah cakna terhadap pembesaran anak-anak yang berdua sebelum ini cumanya kali ini bersama-sama dengan Syafi ni aku yang menguruskannya dari pagi sehingga ke lewat petang... Biasanya pada waktu petang baru aku serahkan shift penjagaan pada mamanya... Aku tahu perkara tersebut memang lumrah bagi budak-budak kecil yang akalnya masih belum sempurna, cuma kadang-kadang aku terfikir mengapa itu yang mereka 'pilih' untuk dilakukan... Aku yakin bukan anak aku sahaja yang sedemikian, anak-anak korang macamana...? Ini antara perkara-perkara yang agak 'memeningkan' aku:

1. Mereka cenderung untuk membahayakan diri sendiri, contoh:
  • pantang jumpa benda atas lantai, pasti benda itu end up kat dalam mulut dia... Antara benda yang aku pernah korek keluar dari dalam mulut dia adalah duit siling, guli, tayar lori mainan... Kadang-kadang tu dengan lori-lori sekali ada dalam mulut dia...! Fuh bahayo...
  • mereka tertarik kepada peralatan tajam, aku betul-betul tak faham benda ni... Cuba letak dua benda dihadapan mereka, mainan dengan pisau, agak-agak mana yang diorang capai dulu... Pilihan anak aku, aku dah tahu... Acer teka... Huhuhu...
  • bermain-main di tangga... Ini masalah bagi mereka yang berumah 2 tingkat... Cer bagitau sikit kat mana feveret port mainan anak-anak korang...? Seluas-luas ruang tamu itu masih belum memadai untuk menarik minat dia untuk stay lama main kat situ... Ada apa kat tangga tu yang menarik sangat bagi dia, aku pun tak paham... Sekarang ni aku ada pasang adan, cuma kadangkala apabila abang dan kakaknya naik ke bilik mereka dan lupa menutup adan tersebut, pasti si Syafi akan mengikut mereka ke atas... Yang bestnya dia naik turun nak sama laju je dengan abang dan kakaknya... Haiii tak padan dengan kecik budak ni...!
2. Mereka cenderung untuk menguji kesabaran tahap dewa kita, contoh:
  • Setiap pagi selepas mengantar abangnya Shahmin ke sekolah, aku akan balik ke rumah bersama Syafi... Memberinya susu dan kemudian dia akan tidur semula... Sebaik dia bangun biasanya dia akan bermain-main dahulu... Kemudian baru aku mandikan dia, dandan dia, touch up dia... Dia pun bersih, comel dan wangi... Lepas tu agak-agak apa jadi...? Dia beyakkk...! Arghhhh...
  • Sebelum solat kita dah 'pesan' kat dia: ayah nak solat ye, adik main kat tepi ni ye, ada mainan ni ye, jangan kacau ayah nak solat ye... Ok dia ralik main dengan mainan-mainan dia kita pun solat... Tengah-tengah solat masa kita nak sujud, cer teka siapa terpacul depan muka kita...? Lepas tu sejadah akan terus jadi port mainan dia... Astaghfirullah...
  • Time makan dia kena ada kerusi sendiri, kerusi kanak-kanak tulah, ok fine itu takde hal lah... Cuma kebelakangan ni dia dah tak nak makan bersuap... Dia nak ada pinggan sendiri, cawan sendiri, makan pun nak sendiri... Hermm nanti aku nak ajar dia kemas sendiri-sendiri... Tak daya dah ayah ni, tiap kali ko makan minum sendiri mesti 'banjir' dapur tu ko kerjakan...!
Well itu semua sebahagian dari pe'el anak aku, Syafi namanya... Stress, ye memang stress, menjaga budak-budak ni memang stress...  Tapi ianya segera hilang apabila kita dapat melihat senyumannya, gelak tawanya, keletahnya... Bila kita acah dia tergelak, kita agah lagi mengilai-gilai dia... Bila kita kejar dia lari, terkedek-kedek dia berlari, cute sangat kita tengok... Bila kita terkenangkannya kita pun akan senyum sendiri... Semua keletah-keletah itu memadamkan stress yang ada, menukarkannya kepada satu perasaan bahagia, sememangnya tak terucap dengan kata-kata... Aku ingat lagi ketika aku bekerja dahulu, antara perkara yang aku tuju dahulu sebaik sampai ke rumah apabila pulang dari kerja adalah anak-anak... Melihat keletah mereka dapat sahaja menghilangkan keletihan... Sungguh...

Sesungguhnya anak-anak itu merupakan antara anugerah ALLAH, anugerah yang tak terhingga nikmatnya... Selain dari itu aku juga dapat merasakan yang anak-anak juga merupakan ujian dari ALLAH sebenarnya... Untuk menguji sejauh mana kesabaran kita dalam membesarkan mereka, mendidik mereka, menjadikan mereka insan yang berguna- di dunia dan pastinya di akhirat kelak...

Seorang sahabat yang aku anggap bijak, pernah menasihati aku pada ketika aku dalam kesakitan dahulu, dia mengingatkan aku antara perkara yang menjadi BEKAL untuk kita 'diSANA' kelak adalah doa dari anak yang soleh... Maka tanyanya:"Sejauh manakah kau sudah menyediakan anak yang soleh itu...?"

Read more...

Diet Orang Utan...

Wednesday, February 4, 2015


Assalamualaikum...

Manusia perlu makan untuk kelangsungan hidup... Manusia memang suka makan, manusia tertarik kepada makan-makanan, kalau tak percaya buka fb kawan-kawan korang... Paling tidak mesti ada satu dua pos pasal makanan... Korang pun mesti ada kan..? Hehee jangan tipu... Ada pulak tu yang hari-hari update pasal makan, dah macam expert makanan dah... Ada pulak yang buat blog pasal makanan, glamer lagi, traffic beribu-ribu masuk setiap hari...

Show dalam tv pun orang boleh buat pasal makanan... Rating tinggi memanjang, kalau tidak takkan semua stesyen-stesyen tv ada program masakan masing-masing... Ada stesyen tv yang buat pulak pertandingan masak-masak, berlumba-lumba orang nak masuk... Dah menang jadi pulak celebriti, terkenal satu negara, bila mulut kuat pulak celoteh bertambah-tambah meletopnya... Pastu ada pulak lagi rancangan pasal makan-makan... Yang ini lagi best, siapa dapat jadi hos dia memang 'makan tak sudah'... Serata tempat diorang redah, dari restoran-restoran terhebat sampailah ke warong-warong tepi jalan... Punyalah kita suka pasal makanan ni... Begitulah kuatnya pengaruh makanan pada kita...

Satu masa dulu aku suka sangat makan-makan ni... Boleh kata semua jenis makanan aku bedal... Dari makanan mamak bawa ke western, aku xde pantang... Pantang aku satu je, pantang nampak... Asal teringin je order... Aku mungkin kedekut dari segi perbelanjaan benda-benda lain tapi kalu pasal makanan biasanya memang aku pejam sebelah mata... Tapi make surelah poket ada isi dulu kan... Nanti tak pasal-pasal pulak kena cuci pinggan, kes naya gitu bai... Sungguhpun begitu aku tiada masalah obesiti, kolestrol mungkin agak tinggi tapi biasanya terkawal... Aku tiada masalah diabetes, kandungan gula dalam badan aku terkawal, tekanan darah sentiasa menunjukkan bacaan yang cantik, sentiasa dalam range yang selamat... 

Tapi tanpa diduga, aku tiba-tiba disahkan sebagai pesakit kanser... Fuh banyak benda yang berubah dalam hidup aku... Sudah pasti yang paling banyak mengalami perubahan adalah amalan pemakanan aku... Aku sudah tidak boleh lagi mengamalkan gaya pemakanan lama aku... Aku dah tak boleh ikut sedap hati nak membedal apa sahaja... Aku dah tak boleh main pantang nampak aje, malah perlu berpantang dengan erti kata berpantang yang sebenar-benarnya pantang... Ye, jika aku ingin kekal sihat atau ingin mengawal sel-sel kanser dalam badan aku ini dari terus 'bermaharajalela', nak tak nak aku kena berpantang... 

Sebelum ini aku sudah pernah menulis entri berkaitan pemakanan sihat ini, ok hari ini aku nak share sikit lagi... Secara umumnya makanan-makanan yang 'bahaya' kepada pesakit-pesakit kanser adalah protein dari haiwan... Ini termasuklah ikan, ayam dan daging... Hei bukankah itu semua lauk asasi semua manusia...? Well sad but true, itu pantang yang utama... Selain itu...? Gula putih, susu dan semua produk tenusu termasuklah kek, pastri, biskut, cookies, aiskrim dan seumpamnya... Semua jenis makanan segera dari pakcik KFC dan makcik Mekdi... Semua jenis makanan tin termasuk buah-buahan dalam tin, sardin, kari segera dan seumpamanya... Hermmm apa lagi, ada lagi cuma buat masa ini, ini sahaja yang aku senaraikan dulu...

Bila tengok semua list tu mesti syereeemmm je kan... So apa pulak yang kita nak makan...? Nah disinilah lahirnya satu diet yang aku namakan diet orang utan... Ini merupakan diet yang benar-benar selamat: buah-buahan dan sayur-sayuran... Sebenarnya aku dapat diet ni dari seorang sahabat yang berkongsi pengalamannya dalam group fb yang aku join beberapa bulan yang lepas... Beliau kini di tahap 4 breast cancer, namun menolak untuk semua rawatan moden dan kini berikhtar mengubati sendiri penyakit kansernya dengan mengamalkan pemakanan sihat sahaja... Impressive bukan...? Aku doakan beliau berjaya, dari sudut hati aku yang paling ikhlas... Aku nakkk sangat tengok beliau berjaya, supaya aku boleh canangkan kepada seluruh dunia yang perubatan moden bukanlah satu-satunya cara untuk mengubati penyakit kanser...

Kembali kepada aku, aku masih dalam peringkat beginner...  Jujur aku katakan aku ni bukanlah seorang yang kuat berpantang... Huhuhu... Buat masa sekarang aku masih lagi mengambil beberapa makanan yang 'terlarang' seperti ayam dan ikan... Malah kadangkala 'terbeli' juga aku aiskrim dan biskut-biskutan... Cuma setakat ni aku 'berperang' untuk mengambilnya dalam kuantiti yang sangat-sangat minima... Dalam masa yang sama aku sedang memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan aku... Memang, buat permulaan terasa sangat-sangat akan kekurangan nikmatnya dalam pemakanan, hilang sedapnya, hilang thrillnya...

Namun sedikit demi sedikit aku cuba, aku cuba untuk meninggikan imaginasi, mempelbagaikan cara pengambilan... Belajar, belajar semula dengan mencari, mencuba resepi-resepi baru... Akhirnya sedikit demi sedikit tekak aku mula menerima, menerima seadanya... Dan kini aku teringat kata-kata seorang sahabat pada suatu ketika dulu, seorang yang aku anggap 'tiada taste' dalam pemakanan:

"Ala Sham apa nak hairan sangat dengan lauk-pauk masakan yang sedap-sedap tu... Paling kuat rasa dia sampai ke tekak je Sham... Lepas dari tekak dia masuk perut, dalam perut tu semuanya sama je Sham... Jadi tahik belaka...."

Kini aku setuju... Juki, aku setuju dengan hang...










Read more...

Latest Edition...

Tuesday, January 6, 2015

Assalamualaikum...


Hari ini aku nak memperkenalkan aku punya latest edition, yang ketiga... Muhammad Syafi Hani, dilahirkan di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru KL pada 23/09/2013... Dah setahun lebih pun umurnya... Yelah sebelum ni aku sibuk 'bertarung' dengan penyakit, blog ni pun terabai jer... So kali ini ada kesempatan bolehlah aku nak selit sikit cerita pasal si Syafi...

Menurut orang yang mengandungkannya (orang rumah aku ler) ini merupakan pengalaman yang paling tough... Bermula dari saat mengandungkannya, hinggalah ke proses memberanakkannya, hinggalah ke proses membesarkannya... Si Syafi ini by far the toughest one...


Ramai yang cakap Syafi ada iras muka mamanya... Bulu mata dia lentik, hidungnya terletak, mulutnya comel sahaja... Well i got no problem with that... Tak kisahlah apa orang nak cakap pun, tetapi bagi aku kalau dia hencem tu memang menurun dari bapak dia la tu... Ngeh3...


Syafi memang sangat-sangat gemar makan... Setakat ni kalau disua ke mulutnya apa sahaja, pasti dia tak menolak, tak pernah lagi dia menolak... Dia tak berapa menggemari orang yang tidak dikenalinya, tetapi cara paling mudah untuk 'mengumpan' dia, adalah dengan menghulurkan makanan kepada dia... Selagi ada makanan di tangan korang selagi itu dia akan 'melekat' dengan korang...


Ini antara cabaran terhebat dan terkini dari Syafi... Jika kehendaknya tidak ditunaikan dia akan menangis, menjerit, meniarap dan hikmat tertinggi dia sampai berguling-guling diatas lantai... Kalau dengan mama bolehlah mama pujuk, tetapi dengan aku so sori, bolayan... Ini aksi terbaru dia di IOI Mall Putrajaya...


Aku sangka gaya tidur ini hanya kebetulan dan seketika sahaja... Rupanya gaya tidur ini agak sering dilakukannya... Cer teka gaya siapa yang dia adapt tu...? Haa bapak dia la weh... Herm cute jer kan... Kalau tengok bapak dia tidur lagiii cute... Kwa kwa kwa...


Sungguhpun dia merupakan yang paling lasak dalam 3 beradik setakat ini, ternyata dia juga merupakan yang paling berani setakat ini... Ini aksi Syafi bersama mesin vacum (ceh macamlah korang tak kenal kan)... Apa yang aku nak tunjuk adalah keberanian dia berbanding abang dan kakaknya... Kalau abang dan kakaknya dulu, ketika sebaya ini; bila terdengar sahaja bunyi vacum pasti diorang mencicit lari... Menyorok sampai ke bawah katil... Tapi dia, dengan selamba mencapai vacum dan meniru aksi mamanya mevacum lantai... Har har har thats my boy...

Satu entry memang tak cukup untuk menceritakan perihal si Syafi... Well nampaknya aku save dulu cerita-cerita lain... Kita jumpa di entry akan datang sahaja... Daaa...


Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP