Sahabat Tanpa Suara

AdiWidget

Tuesday, September 28, 2010

Salam blogging...

Hari ini aku round-round the block nak usha-usha the blog...hua hua saje jalan-jalan tengok blog orang. Aku terjumpa satu lagi widget yang aku rasa cool. Dari blog adiwidget aku persembahkan:- http://adiwidget.blogspot.com/. Aku tengok-tengok berkenan pulak, tup aku terus pacakkan dalam blog aku ni. Kalau korang tengok kat sebelah bawah kiri blog ni sekarang ada gambor kartun serupa Cikgu Seman tengah menyembur-nyembur air liur dia berkata-kata: Awas bla...bla... ha itu aku ambik dari adiwidget la tu.

So kat sini aku saje nak promote korang supaya jenguk-jenguk blog adiwidget ni. Caranya senang aje. Klik je kat tulisan aku yang dah ada link adiwidget ni. Atau pun klik aje kat gambor cikgu seman tu. Then pilih je gambor-gambor yang korang berkenan. Respek gak aku kat mamat adiwidget ni. Yela bagi aku bukan senang gak nak wat benda-benda widget ni. Tapi dia punya blog penuh da dengan gambor-gambor kartun siap dengan dialog-dialog yang spontan lagi.

Korang mesti ingat aku ada kena-mengena dengan mamat adiwidget ni sebab promote blog dia. Tak, aku tak kenal pun adiwidget ni. Saje tolong promote. Lagi pun aku rasa ianya cool dan boleh dibuat sebagai penarik blog kita sendiri. Pada si adiwidget: teruskan kerja bagus ko ni. Kalu dah maju tolong promote blog aku plak. hua hua...

Read more...

Nombor 1

Sunday, September 26, 2010


Fakta Berkenaan Nombor 1:

# Nabi Adam merupakan manusia nombor 1 yang dicipta oleh Allah S.W.T.

# Setiap nombor yang didarab dengan nombor 1 adalah nombor itu sendiri. Dari segi istilah matematik, nombor 1 adalah faktor bagi nombornya sendiri, kuasa duanya sendiri, kuasa tiga dan seterusnya sendiri. Nombor 1 adalah produk sifar bagi apa-apa nombor yang didarab dengannya. Seperti tidak melakukan sebarang proses darab kepada nombor berkenaan.

# Bangunan nombor 1 tertinggi di dunia, Burj Dubai telah dibuka kepada umum mulai 4 Jan 2010. Bangunan kebanggaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mencatat ketinggian 800 meter dengan lebih 160 tingkat. Terdapat juga beberapa kenyataan yang mengatakan bahawa puncak menaranya boleh dilihat dari sejauh 95 km.


# Penyanyi nombor 1 Malaysia, Dato' Siti Nurhaliza dikatakan sebagai artis yang menerima bayaran paling mahal untuk sesuatu persembahan. Bayaran yang dikenakan untuk penampilan beliau adalah RM40k untuk setengah jam ataupun RM70k untuk satu jam.

# Nombor 1 yang paling mahal diletakkan di nombor plat kereta di Malaysia setakat hari ini adalah TAY 1 yang dibida pada harga RM220,000.

# Masyarakat Cina menganggap nombor 1 sebagai nombor kemakmuran, keutuhan diri, kekuatan, keberanian dan kekuasaan. Rumah bernombor 1 akan sentiasa makmur. Tetamu
suka datang kerana suasana yang tenteram, damai dan tenang.

# SYAITAN ialah musuh nombor 1 bagi seseorang mukmin seperti yang difirman oleh Allah SWT di dalam Surah Faatir ayat ke enam yang bermaksud:"Sesungguhnya syaitan ialah musuh kepada kamu, maka jadikanlah dia musuh. Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka."

# Konsep Gagasan 1Malaysia didakwa oleh sesetengah pihak sebagai mempunyai kaitan dengan konsep 1Israel.(kenyataan politik???)

Read more...

Ecover Jualan

Friday, September 24, 2010

Ini merupakan satu link affiliate, berikut adalah petikan dari sales letter:


Rakan-Rakan Sekalian,

Jika anda ingin membuat duit dengan mudah di internet, anda boleh menjual produk digital tidak kiralah sama ada anda menjual produk yang anda tulis sendiri ataupun produk jualan semula. Ini kerana kosnya sangat rendah tetapi keuntungannya sangat lumayan selain ia mudah diuruskan.

Hampir setiap hari, ada sahaja pelancaran produk digital dibuat oleh para Internet Marketer dalam dan luar negara. Ia cukup untuk membuktikan bahawa perniagaan produk digital sangat popular di internet ini. Malahan jika anda mempunyai produk Jualan Semula (MRR), anda boleh menjualnya dengan sekelip mata sahaja!

"Tetapi...Tidak Semua Mampu Menjualnya!"



"Ini Adalah Penyelesaiannya"


Photoshop Ecover Action Script Ecover Jualan merupakan tool terkini dalam pembikinan reka bentuk ecover. Ia merupakan produk terbaru di pasaran yang belum pernah dihasilkan oleh sesiapapun.Ini kerana ia dihasilkan 'from scratch' eksklusif oleh saya sendiri dan belum diperkenalkan atau dijual di peringkat global.

Hanya dengan beberapa klik sahaja, anda mampu menghasilkan ecover yang kelihatan profesional seolah-olah anda menempah dari designer profesional jika anda menggunakan Action Script Ecover Jualan Kami!Percayalah Bahawa Apa Yang Anda Bakal Dapatkan Dengan Action Script ECover Jualan Adalah Berbeza 100% Daripada ECover Action Script Biasa!

Dapatkan sekarang>>

Read more...

Pedang Nabi S.A.W

Thursday, September 23, 2010


Nabi Muhammad S.A.W merupakan seorang Ketua Negara Islam yang pertama di dunia. Namun selain menjadi ketua negara, Baginda pernah juga turun ke medan perang untuk mempertahankan agama suci Allah S.W.T. Ini terbukti bukan sahaja dengan riwayat-riwayat malah bukti fizikal pedang Nabi juga boleh dilihat hingga ke hari ini. Walaupun terdapat pertikaian yang mengatakan pedang tersebut terlalu mewah sedangkan Nabi adalah seorang yang sangat bersederhana dan sebagainya, tetapi bukanlah isu itu yang hendak dibangkitkan. Di bawah adalah riwayat para Sahabat berkenaan pedang Baginda:

Anas meriwayatkan, maksudnya:"Hujung pegangan pedang Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak." [Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Baihaqi dan Abu Syaikh]

Hud Bin Abdullah Bin Sa'id meriwayatkan dari datuknya, dia berkata, maksudnya:"'Rasulullah S.A.W memasuki kota Mekah pada hari Fathu Makkah 'penaklukkan kota Mekah' dengan membawa pedang yang (di hujung pegangannya) ada emas dan perak.' Thalib bertanya tentang apa yang dimaksudkan dengan perak yang ada di pedang Baginda. Hud menjawab, 'Hujung pegangan pedang Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak.'"

Ibnu Sirin meriwayatkan, maksudnya:"Kubuat pedangku dengan bentuk yang sama dengan bentuk pedang Samurah Bin Jundab. Samurah mengatakan bahawa bentuk pedangnya sama dengan bentuk pedang Rasulullah S.A.W. Pedang Samurah itu sendiri sama dengan bentuk pedang Bani hanifah."

Wallahualam bissawab...

Read more...

Bagaimana Menghadapi Temuduga Pekerjaan

Sunday, September 19, 2010

Temuduga pekerjaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam proses mendapat sesuatu pekerjaan (kecualilah syarikat itu ayah kita yang punya..:P). Dalam sesuatu temuduga, first impression selalu memainkan peranan yang amat penting. Hampir semua penemuduga biasanya akan menilai seseorang itu melalui penampilan pertamanya. Maka jika anda sedang atau akan menghadapi sebarang temuduga pekerjaan, disini terdapat beberapa tips untuk anda.

Sebelum Temuduga
1. Buat research anda. Selidik serba sedikit berkenaan syarikat berkenaan, majikannya dan bidang tugas yang anda pohon.
2. Nyatakan dengan jelas matlamat anda. Setelah membuat kaji selidik berkenaan kerja yang dipohon, bersedia untuk membuat penerangan mengapa anda berminat dan mengapa anda layak untuk pekerjaan tersebut.
3. Dapatkan buku atau rujukan berkaitan soalan-soalan yang biasa ditanya ketika temuduga. (berlambak-lambak dipasaran)
4. Tidur awal pada malam sebelum temuduga.
5. Pastikan pakai pakaian yang bersesuaian dengan bidang kerja yang dipohon. Bezakan antara pakaian formal, separuh formal atau kasual.
6. Pastikan membawa bekalan alat tulis. Sekurang-kurangnya sebatang pen bersama buku catatan kocek. Resume jangan LUPA!

Ketika Temuduga
1. Sampai awal di tempat temuduga. Pastikan anda telah tahu jalan ke tempat tersebut bersama dengan jarak dan masa anggaran untuk sampai. Biasanya semak dulu jalan ke tempat tersebut sebelum hari temuduga.
2. Bersedia sebaik sampai. 'Buang' segala yang tidak patut di rumah. Bukan di tempat temuduga baru nak sibuk mencari bilik air.
3. Perkenalkan diri dengan jelas dan berkeyakinan. Jawab segala soalan dengan keyakinan. Pastikan anda mempertahankan jawapan yang diberi. Selalunya penemuduga akan melakukan provokasi terhadap jawapan yang kita beri. Kadangkala saja nak menguji tahap keyakinan kita.
5. Pastikan ada eye contact ketika sessi soal jawab atau perbincangan.
6. Bertanyakan soalan-soalan berkaitan. Soalan-soalan sepatutnya telah disediakan lebih awal. Tunjukkan yang anda sangat-sangat berminat dan mengambil tahu berkenaan kerja yang dipohon.
7. Jujur. Jadi diri anda sendiri. Mohon maaf jika tidak dapat menjawab soalan. Katakan yang anda pasti akan mencari jawapannya jika dibei peluang kali kedua.
8. Ucapkan kata-kata hikmat seperti 'i am a fast learner', 'saya mempunyai kelemahan iaitu tidak boleh duduk diam', 'saya amat bersedia untuk bekerja keras dengan pengawasan yang minima' atau seumpamanya. Walaupun bunyinya klise tapi percayalah, ianya ada memberi kesan.
9. Berterima kasih. Pastikan anda 'menutup' temuduga tersebut dengan kata-kata harapan dan ucapan terima kasih kepada semua penemuduga.

Selepas Temuduga
1. Lakukan tindakan susulan. Anda boleh menulis surat susulan kepada syarikat berkenaan.
2. Recap apa-apa kelebihan yang anda miliki unuk mengingatkan mereka kepada anda.
3. Ulangi jawapan yang anda gagal menjawab ketika temuduga dengan jawapan yang betul.
4. Nyatakan yang anda masih amat berminat dengan kerja tersebut.
5. Pastikan surat anda ringkas, padat dan penuh berhemat.

Selamat berjaya...

Read more...

Sepetang Di Cameron Highlands

Saturday, September 18, 2010


Kelmarin kami berkonvoi ke Cameron Highlands. Bukan melawat sesiapa pun. Saje jalan-jalan. Kami ikut jalan Sg Koyan- Pos Betau- Ringlet. Ini kali ke-2 aku menggunakan jalan tersebut. Yang pertama dalam bulan 6 yang lepas. Pada masa itu ada sebahagian jalan berhampiran Ringlet masih belum ditar sepenuhnya. Kali ini keseluruhan jalan sudah siap ditar. Kecuali di bahagian selepas Pos Betau terdapat sedikit lencongan akibat tanah runtuh. Masa keseluruhan perjalanan cuma 2 jam setengah. Berbanding ketika aku menggunakan jalan Batang Kali- Tapah- Cameron, perjalanan menggunakan laluan itu mengambil masa hampir 4 jam. Kalau aku bawa kereta macam orang gila pun bolehlah sampai dalam 3 jam lebih-lebih sikit. So, sekarang orang-orang Pahang dah ada laluan sendiri untuk ke Cameron Highlands. Berbanding sebelum ini yang terpaksa menempuh negeri Perak atau Kelantan dulu kalau nak ke sana.


Fuh, seperti biasa Cameron memang sentiasa menggamit memori aku. Untuk pengetahuan korang, Cameron tempat pertama aku diposting sebagai guru pada tahun 2005. Pada 2009 aku telah ditukarkan ke Raub atas kapasiti opsyen aku. Sebenarnya aku budget nak duduk lama kat Cameron. Aku rasa ianya memang sesuai dengan jiwa aku. Tenang, hijau, sejuk... Tapi dah takde rezeki, nak buat macamana.


Jalan punya jalan, boleh pulak terserempak dengan Abg Man. Cikgu sekolah lama aku merangkap tuan rumah sewa aku masa kat Cameron dulu. Dapatlah sembang-sembang kejap. Tapi nak lama-lama tak dapatlah sebab bawa family. Sorilah Abg Man, nanti ada masa kita sembang lagi. Lagipun lepas ni mungkin lebih keraplah kami naik Cameron sebab jalan pun dah cantik sangat dah.


3 tempat sahaja kami singgah. Selepas jamak Zohor dengan Asar di masjid Tanah Rata, kami terus ke pasar malam di Brinchang. Tapi tak lama di sana sebab hujan. Aku bawa pulak ke Arked Peladang. On the way balik kami singgah di Bharat Tea pekena teh Cameron. Pukul 6.30 kami gerak dan sempat jamak Maghrib dan Isyak di Masjid Sg Koyan.

Read more...

Remaja Dan Gejala So-sial

Wednesday, September 15, 2010

Gambar hiasan semata-mata

Bila aku katakan aku adalah seorang anti gejala so-sial bermakna aku memang anti dengan kejadian-kejadian so-sial yang berlaku lewat kebelakangan kini. Gejala buang anak, budak sekolah dicekup ber**en, hisap dadah, mat rempit dan yang sewaktu dengannya, cukup untuk menimbulkan kebencian yang amat sangat. Mereka yang terlibat dengan gejala-gejala ini kebanyakannya adalah dari golongan remaja. Dan lebih daripada itu mereka ini adalah terdiri daripada para pelajar sekolah. Memang menyakitkan hati sungguh. Namun aku nak tekankan disini: membenci gejala so-sial bukan bermakna membenci golongan pelaku gejala so-sial ini. Bukan juga menyalahkan golongan pelaku-pelaku ini semata-mata. Ini pendapat aku.

Aku mengajar di sekolah menengah. Pelanggan-pelangan aku adalah remaja yang berumur di antara 13 hingga 18 tahun. Aku berjumpa dengan golongan ini hampir setiap hari. Aku sering mendengar masalah mereka. Aku melihat perkembangan fizikal mental mereka. Aku memerhatikan tingkah laku mereka. Sekurang-kurangnya 5 hari seminggu. Nak kata pakar tak lah pulak tapi sekurang-kurangnya aku mint golongan ini diberikan pertimbangan yang lebih adil daripada terus menyalahkan mereka 100 peratus. Menurut teori kaunseling zaman remaja adalah zaman yang dipenuhi dengan pelbagai masalah, antaranya:

1. ketidakstabilan emosi,
2. mempunyai daya fantasi, khayalan yang tinggi,
3. mudah untuk berekperimentasi,
4. mudah untuk bereksplorasi,
5. kecanggungan dalam dalam pergaulan dan gerakan,
6. kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang baru,
7. kecenderungan untuk membentuk kelompok dan kegiatan berkelompok,
8. perasaan kosong dalam jiwa akibat kurangnya bimbingan,
9. perasaan menentang dan tidak ingin terikat dengan sesuatu dan
10. kegelisahan dalaman akibat tidak dapat memenuhi semua keinginan diri.

Nah kita tengoklah sendiri masalah-masalah dalaman yang dialami oleh manusia yang bernama remaja. Mereka sebenarnya amat-amat perlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam meniti usia remaja mereka. Aku antara yang terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu di atas tanggungjawab dan peranan aku sebagai seorang guru. Sorilah pada mana-mana guru yang terasa tetapi aku amat tidak bersetuju dengan sesetengah golongan guru yang menggunakan teknik 'tengking, maki, belasah' yang bagi aku sudah amat-amat ketinggalan zaman. Budak-budak sekarang dah tidak boleh terima teknik pengajaran seperti itu. Mereka akan lebih hormatkan kita jika kita pandai 'menghormati' mereka.

Bagi aku sendiri aku melayan pelajar-pelajar aku secara santai sahaja. Bagi diorang gelak-gelak dan terasa enjoy ketika belajar. Tetapi dalam masa yang sama kena tunjukkan juga ketegasan kita. Jangan sampai kepala kita dipijaknya pulak. Apa-apa pun kita kena ingat yang mereka ni semua budak-budak lagi. Macam-macam mana pun psiko dia tetap bawah kita juga. Namun tindakan disiplin masih perlu untuk menyelesaikan kes-kes tertentu. Itu aku tidak nafikan keperluannya.

Kesimpulannya bagi aku remaja kini bukanlah seperti remaja 20 tahun dahulu. Perkembangan dunia dan persekitaran hari ini menjadikan mereka lebih terdedah dan lebih cepat matang. Kita sebagai orang dewasa dan telah melalui zaman yang dipanggil remaja seharusnya lebih bijak dalam menangani sebarang masalah yag berkaitan dengan mereka. Semua pihak seharusnya memainkan peranan dalam menghindari gejala so-sial yang berlaku hari ini dan bukannya hanya menyalahkan satu-satu pihak atau golongan tertentu sahaja.

Read more...

Blog Paling Cute


Tadi aku tengah round-round the block, checking out the blog. Saja tengok-tengok blog orang. Aku terjumpa sesuatu yang aku rasa nak share dengan korang yang terbaca post ini. Ada satu gadjet yang aku rasa cool gak untuk dicuba. 'The Cutest Blog On The Block'. Kiranya untuk make up kita punya blog background. Ada banyak pilihan di situ. Terus aku cuba dua tiga jenis. Lawa gak aku rasa. So aku pun gunalah satu. Bagi sape-sape yang perasan, background aku sebelum ni kan ke putih je, tapi sekarang sudah tidak lagi. Sudah ada kaler gitu. Hua hua...

Tapi dah pasang benda ni ada jugak kontranya. Aku rasa dah jadi slow plak nak paparkan keseluruhan blog aku ni. Lagi satu takut plak nanti orang cakap jiwang plak. Tapi bab tu aku tak kisah sangat. Memang aku jiwa sentimentol pun. Apa-apa pun terpulanglah pada korang untuk mencubanya.Korang dah try nanti korang experiencekanlah sendiri ye. Cara nak guna senang saja.

1. Korang masuk link ini.

2. Klik ke backgroud.

3. Pilih ikut format blog korang samada dalam blogspot, wordpress atau sebagainya. Macam aku ni pilih Blogspot Backgroundslah.

4. Then pilihlah background yang bersesuaian dengan jiwa korang. Pilih dan ikut je step dia yang diberi dalam simple english.

Semudah itu sahaja. Selamat mencuba...

P.S: aku tak pasti berapa lama aku nak pakai gadjet ni. Kalau masa korang baca ni background blog aku putih je, bermakna aku dah removelah tu.

Read more...

Raya 2010

Tuesday, September 14, 2010

Pejam celik pejam celik dah masuk hari ke-5 kita menyambut Syawal tahun ini. Hari ini baru aku ada sedikit masa untuk online. Alhamdulillah setakat ini semuanya yang dirancang berjalan dengan lancar. Seperti raya tahun-tahun lepas jugak, program raya tahun ini tak jauh berbeza. Menyambut raya bersama keluarga aku, keluarga mertua dan saudara-saudara terdekat sekitar kampung pada pagi raya. Selepas solat jumaat, kami sekeluarga bertolak ke kampung abah di sungkai Perak. Balik ke Bentong pada raya ke-3, raya ke-4 dan ke-5 untuk menziarahi saudara mara dan sahabat handai. Besok dah ada senarai rumah lain untuk diziarahi lagi. Hui syoknya raya...

Inilah 'Dunia Kecil' aku. Tahun ini post dalam rumah pulak. Space kecik jadi gambar pun berhimpit-himpit.


Me and my wife. Tahun ni tak dapat pakai pakaian sedondon. Puas cari tak jumpa jubah yang match.


Shahmin tak nak lepaskan lolipop dia.


Ini adik beradik aku dunia akhirat, Insyallah. Dari kiri- Long, Ateh, Ngah dan aku.


Shahmin dan Qaseh (anak adik aku) berdamai sempena hari yang mulia ini. Kalau tidak diorang ni kategori musuh abadi jugaklah.


Shahmin tengah mengira collection tahun ini.


Shahmin bersama Atuk dan Wan.


Salam Lebaran, semoga dimurahkan rezeki dan diberkatkan kehidupan. Insyallah jika dipanjangkan umur, berjumpa lagi kita di Syawal tahun hadapan.

Read more...

Salam Lebaran

Thursday, September 9, 2010


Maka hari ini genaplah hari ke-30 semua ummat berpuasa. Tibalah sudah hari yang dinanti-nantikan. Besok dah tak payah nak menahan lapar dahaga dah. Rasa lapar je boleh mencekik; rasa dahaga boleh menogak terus. Macam-macam ada besok - ketupat, lemang, rendang (feveret ni), serunding, air bandung, air siren (sirap + oren), air gas berbotol-botol... Wah meriah sungguh perut di hari raya ini... Kalau masa kecik-kecik dulu time inilah masa yang paling sesuai untuk menge'pau' orang-orang kampung. Zaman aku kecik dulu dapat 50 sen satu rumah dah kira orait lah tu. Hasilnya tau ke mana? Apa lagi pergi main 'tikam' la kat kedai Marry...

*************************************************************************************

Suatu Kisah Di Pagi Raya

Pada pagi suatu raya seorang bapa duduk termenung di tepi rumah. Anak lelakinya menghampiri dan menegurnya. Lalu bapanya bertanya sesuatu kepada anaknya. Dijawab oleh anaknya. Ditanya lagi perkara yang sama, dijawab dengan jawapan yang sama oleh anaknya. Ditanya lagi oleh bapanya dengan hal sama, lalu si anak berkata dengan nada yang tinggi: "ayah ni tak dengar ke buat-buat tak dengar!!!" Lalu si ayah mengeluarkan diari arwah isterinya lalu memberi anak membaca diari tersebut. Si anak lalu membaca diari arwah ibu. Kisah yang dicatatkan oleh arwah ibunya adalah berkenaan dengan keletahnya semasa kecil yang bertanya soalan yang sama berulang-ulang kali kepada bapanya. Namun dek kasih sayang bapanya, dijawab pertanyaan anaknya tanpa rasa jemu atau pun marah. Segera si anak menyedari kesilapannya lalu memohon ampun kepada bapanya.

Haa tau kisah apa tak? Ala iklan Raya Petronas 2008. Yang 'burung murai tu'... Gentle aku cakaplah, aku memang sebak tiap kali tengok iklan ni. Lebih-lebih lagi anak aku sekarang ini yang dah nak masuk 3 tahun dah mula menyoal macam budak dalam iklan tu. Tanya benda yang sama berulang-ulang. Kadang-kadang baran gak aku tapi nak buat macam mana kan. Layan jela. Berbalik kepada kisah dalam iklan tadi, bagi aku moral of the story: sentiasa ingat kepada orang tua. Jangan derhaka. Walaupun minta ampun bukan setakat di hari raya sahaja, tetapi ambilah keberkatan Syawal untuk memohon keampunan dan minta dihalalkan segala makan minum kita yang telah ditanggung oleh mereka selama mereka membesarkan kita...

*************************************************************************************

Sedih Meninggalkan Ramadhan, Gembira Menyambut Syawal.

Apa pun kisahnya Syawal tetap merupakan bulan kemenangan bagi seluruh ummat Islam yang telah berkorban dan beribadah dengan penuh kekusyukan dan keinsafan sepanjang Ramadhan yang lalu. Perasaan sedih seharusnya ada kerana terpaksa meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Apatah lagi jika mengenangkan mungkin ini merupakan Ramadhan yang terakhir untuk kita. Namun jika dipanjangkan umur dapatlah kita berjumpa lagi dengan Ramadhan ke 1432 Hijrah pula. Dan Syawal pula haruslah disambut dengan penuh kesyukuran. Cukuplah menyambutnya dengan sambutan yang paling sederhana. Sederhana dari segi hiasan, pakaian, makanan dan sebagainya. Bukan apa, sebulan kita dah 'berpuasa' dari segi segala-gala hal. Tiba hari raya hilang semua yang kita 'puasa'kan selama sebulan itu- rugikan.


Dari aku sekeluarga kepada semua yang membaca post ini: Salam lebaran, maaf zahir batin, selamat hari raya, semoga bergembira bersama oarang-orang yang tercinta...

Read more...

Bagaimana Bumi Terbentuk

Monday, September 6, 2010

Siapa tak tahu planet tempat tinggal kita sekarang adalah planet apa? Ya jawapannya planet bumi. (Apa punya soalan la...) Bumi merupakan salah sebuah daripada planet di dalam sistem solar. Planet bumi merupakan satu-satunya planet yang sesuai untuk dihuni oleh manusia kerana faktor-faktor geologi dan persekitarannya. Planet bumi dianggarkan telah berusia selama 4.6 bilion tahun. Tahukah kita bagaimana bumi terbentuk?

Proses pembentukkan bumi telah bermula sejak puluhan bilion tahun dahulu. Mengikut 'Big Bang Theory' pada asalnya terdapat segumpulan kabut raksasa yang berputar disekeliling paksinya. Putaran yang maha kuat itu menyebabkan bahagian-bahagian kecil dan ringan terlempar ke luar manakala bahagian-bahagian yang besar terkumpul di bahagian pusat putaran tersebut. Pada suatu ketika gumpalan tersebut telah meletup dengan ledakan yang sangat kuat lalu menghasilkan awan bintang yang terdiri daripada gas, debu dan plasma. Awan bintang ini juga dipanggil sebagai 'nebula'. Dalam jangka masa yang berbilion-bilion tahun, 'nebula' tersebut membeku dan membentuk suatu galaksi yang dipanggil sebagai Galaksi Bima Sakti. Dari galaksi ini terbentuklah Sistem Suria di mana matahari bertindak sebagai pusat tenaga bagi sistem tersebut. Sementara itu, bahagian ringan dan kecil yang terlempar ke bahagian luar tadi mengalami kondensasi lalu membentuk gumpalan-gumpalan yang dingin dan memampat. Akhirnya gumpalan-gumpalan tadi akan membentuk planet-planet di sekitar matahari termasuklah planet bumi yang kita diami sekarang ini.

Dalam pada itu, planet bumi terus berkembang dan berevolusi sehingga menjadi seperti yang wujud ke hari ini. Secara umumnya terdapat 3 tahap dalam proses terbentuknya bumi sehingga menjadi tempat yang sesuai untuk didiami manusia.

1. Pada peringkat awal, bumi hanya merupakan planet homogen dan belum mengalami sebarang pelapisan atau kewujudan unsur-unsur bumi.
2. Pembentukkan pelapisan struktur bumi di mana unsur-unsur yang berat seperti besi dan seumpama dengannya akan tenggelam dan unsur-unsur ringan akan timbul menghampiri permukaan.
3. Akhirnya bumi akan membentuk 5 lapisan iaitu teras pepejal, teras cecair, mantel bawah, mantel atas dan kerak bumi.


Manakala perubahan-perubahan yang berlaku kepada bumi sehingga ke hari ini adalah disebabkan oleh-faktor perubahan iklim dan cuaca bumi.

Read more...

Cincin Rasulullah

Saturday, September 4, 2010

Diriwayatkan yang Rasulullah S.A.W ada memakai cincin pada ketika hayatnya. Cincin Baginda diperbuat dari perak dan mempunyai ukiran bertulis tiga perkataan iaitu رسول ,الله dan محمد. Cincin tersebut juga ada berfungsi sebagai cop mohor yang mewakili Baginda. Berikut adalah antara hadis-hadis yang terkumpul berkenaan cincin Baginda S.A.W:

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Cincin Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak, dan batu cincinnya berasal dari Habsyi." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad]

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Ketika Rasulullah S.A.W hendak mengirim surat ke negara asing, Baginda memperoleh maklumat bahawa negara asing tidak akan menerima surat yang tidak bercop mohor. Baginda lalu memerintahkan untuk dibuatkan cincin. Maka saya seakan-akan melihat warna putih cincin itu di telapak tangan Baginda." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, abu Dawud dan Ibnu Sa'd]

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Tulisan (ukiran) yang ada di cincin Rasulullah S.A.W adalah kata محمد satu garis, kata رسول satu garis dan kata الله satu garis." [Riwayat Tirmidzi dan Bukhari]

Read more...

Panduan Web Advance

Friday, September 3, 2010

Ini merupakan sebuah link affiliate, berikut adalah petikan dari sales letter:


BEBERAPA FAKTA MENGENAI PERNIAGAAN INTERNET!

#Pasaran yang luas - Jumlah pengguna internet di Malaysia telah mencecah 14 juta pada tahun 2007 manakala jumlah pengguna internet di seluruh dunia mencecah 3 billion pengguna. Oleh itu, peluang memasarkan produk menjadi lebih cerah. Sumber - www.internetworldstats.com

#Tiada batasan masa - Anda tentukan sendiri pukul berapa hendak menguruskan perniagaan internet anda. Ingin bercuti? Anda boleh melayari internet di mana-mana anda suka. Anda bebas mengatur masa perniagaan anda.

#Kos murah - Anda boleh memulakan perniagaan internet pada kos paling minima mengikut kemampuan anda. Bukan seperti memulakan perniagaan konvensional di luar sana yang memerlukan anda mengeluarkan modal menyewa kedai dan sebagainya.


Pakej ini dinamakan sebagai PanduanWeb Advance Edition. Ia merupakan versi advance Pakej Panduan asas Website Perniagaan dan Pakej Panduan Membina Web Jualan v2 sebelum ini. Format ebook adalah PDF iaitu buku maya yang hanya boleh dibaca melalui komputer menggunakan perisian khas Adobe Acrobat Reader. Ebook mengandungi 120 muka surat yang lengkap dengan tutorial bergambar bagi memudahkan proses pembinaan web jualan. Pakej yang lengkap dengan video tutorial. Dijamin membantu newbie mencipta web jualan profesional dan mampu membuat jualan.

Baca selanjutnya>>

Read more...

Mencari Lailatul Qadar

Thursday, September 2, 2010

Malam Lailatu Qadar adalah malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Gambar hiasan.


Malam semalam adalah malam ke 23 Ramadhan. Aku dah terdengar ada orang yang telah bertemu dengan Lailatul Qadar. Tak perlulah aku sebut siapa orangnya tetapi aku mempercayai orang tersebut. Katanya dia tengah bertadarus Quran pada ketika itu. Jam hampir-hampir 4 pagi. Katanya suasana pada ketika itu sangat hening. Cuaca tidak sejuk dan tidak panas. Dia tidak nampak tetapi katanya dapat merasakan seakan-akan cahaya bulan sangat-sangat menyinar. Tiba-tiba dia terasa seakan-akan terdengar suara memberi salam; antara kedengaran dengan tidak. Dia sekadar menjawab salam tersebut di dalam hati. Dia berhenti membaca lalu bangun mendirikan solat sunat. Pada ketika itu dia merasakan suatu perasaan yang bercampur-baur. Sayu, tenang, rasa dibelai, ingin tersenyum tetapi terasa pula hendak menangis. dari cara dia bercerita kepada aku, aku merasakan tersangatlah syahdunya. 'Alhamdulillah' kataku dalam hati. Aku tumpang bersyukur je. Aku kat mana masa tu? Hah tengah lena diulit intanlah. hem agak-agak bilalah aku dapat tergolong dalam golongan 'terpilih' tu...

Lailatul Qadar adalah malam yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di bulan Ramadhan ini. Ianya mempunyai kelebihan yang sangat besar. Berdasarkan firman Allah S.W.T, maksudnya:"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar". Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu. Sebab itulah malam Lailatu Qadar dikatakan adalah malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

Ambillah kesempatan dimalam yang penuh keberkatan ini untuk mendapat keredhaan Ilahi. Gambar hiasan


Ok cukuplah setakat itu dulu untuk tazkirah malam ini ye. Bukan niat aku untuk tunjuk terer or what ever. Sekadar peringatan untuk diri aku dan sesiapa yang 'terbaca' post ini. Malam istimewa ini bukan datang setiap hari. Hanya sekali dalam setahun. Dan yang akan dapat menikmatinya hanyalah orang-orang bertuah yang bersungguh-sungguh ingin mencarinya. Semoga aku akan terjumpa juga Ianya satu ketika nanti. Amin ya rabbul Alamin.

Read more...

PageRank

Wednesday, September 1, 2010


Mesti ramai dah tau pasal benda alah ni. Bagi yang dah tau senyap-senyap haa... Dan janganlah ketawakan aku. Aku baru je tau tadi. So, benda ni untuk aku share dengan orang-orang 'bar' sahaja. Orang-orang 'lam' just baca dan kalau ada apa-apa kesilapan tolong-tolonglah tegur ye. Dari apa yang aku baca dari blog-blog 'otai', dapat aku rumuskan yang pagerank ini adalah satu tanda aras atau pun pengukur sejauh mana terkesannya sesebuah blog atau web itu kepada enjin carian google. Semakin tinggi pagerank sesebuah blog itu, maka semakin besarlah terdedahnya ia kepada pengesanan enjin carian google. Semakin senang ia dikesan oleh enjin carian google, secara tak langsung ia akan menarik lebih trafik kepada sesebuah blog itu.

Faktor yang mempengaruhi pagerank ni ada banyak, antaranya isi kandungan itu sendiri; perlulah asli, keunikkan perkataan yang digunakan, banyaknya perkataan yang sama diulang etc. Benda-benda ini pulak berkait rapat dengan SEO. Apa itu SEO? haa itu cerita lain. Lain kali jela aku cerita. Aku pun tak abis study lagi. Hua hua...

Tapi benda-benda yang aku mention kat atas tadi adalah khas untuk mereka-mereka yang inginkan blognya supaya mendapat perhatian. Mempunyai trafik yang ramai bermakna glamourlah sikit kan. Lepas tu bila banyak trafik maka banyak jugalah potensi untuk klik-klik kan. Banyak klik-klik maka banyaklah masyuknya kan... Erm semuanya terpulang kepada individu masing-masing. Sebabnya aku tahu memang ada pulak segolongan blogger yang memang tak mengejar langsung benda-benda ni. Niat diorang berblogging semata-mata kerana minat, ikhlas nak berkongsi, atau apa-apa sajalah niat diorang. Mana aku tahu kan...

Ok, sini aku bagi link untuk korang check pagerank korang (kalau nak la). Klik aje sini. Atau sini. Atau sini. Ada banyak sebenarnya, ni aku bagi antara yang paling popular dan aku rasa senang digunakan. Kalau nak yang lagi detail boleh klik sini. Tapi korang kena ikut arahan sikit guna bahasa Inggeris. Kat sini juga ada penerangan berkenaan dengan nombor-nombor ranking yang korang akan dapat. Aku dah check aku punya. Kurang asam. Dia bagi 0!!! Hampeh betul!! Maknanya blog aku ni belum listed pun lagi. Aiseh kena pulak aku cari kaedah untuk melistedkan blog aku ni dulu. Tunggu result dia kat next post pulak. Selamat mencuba...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP