Sahabat Tanpa Suara

Aksi Kemuncak... Undisputed Champion...

Sunday, February 27, 2011


Hari Jumaat lepas berlangsunglah acara gilang gemilang kemuncak Kejohanan Olahraga SEMUDRA yang ke-88. Dikatakan kejohanan ini merupakan antara yang termeriah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini tahun ke 3 aku di SEMUDRA dan memang aku merasakan hari sukan kali lebih meriah berbanding 2 edisi yang lepas. Mungkin salah satu sebabnya kerana kali ini diadakan acara untuk guru-guru. Dan mungkin juga lebih meriah kerana group aku yang menang... Hee hee jangan marah haa...

Tahun ini aku tidak mewakili sebarang rumah kerana aku telah diserap ke Majlis Sukan SEMUDRA. Jadi aku berlari untuk Majlis Sukan sahaja, berlawan dengan group guru-guru yang mewakili rumah sukan masing-masing. Acaranya 4x50 meter. Cukuplah tu, nak lari 100 meter tak larat bang... Inipun dah sakit-sakit urat aku satu badan, yelah dah berapa lama tak berlari, sekali lari habis kudrat aku perah hari tu... Nasib baik menang, kalau tidak malulah jadi ahli majlis sukan... Hu hu...

Berbalik kepada kejohanan sukan, sekalung tahniah aku ucapkan kepada juara keseluruhan tahun ini iaitu Rumah PERKASA (seperti dalam gambar di atas). Tahniah kepada semua atlit, guru-guru dan semua ahli rumah tersebut samada yang terbabit secara langsung atau pun tidak. Apa yang aku nampak, kemenangan tersebut adalah hasil kerjasama sepasukan, bukan semata-mata kerana guru-gurunya, bukan juga semata-mata kerana atlit-atlitnya...


Bagi acara Perbarisan Kehormat, sekalung tahniah buat Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) yang telah menjuarai acara tersebut buat kesekian kalinya. Ini merupakan kemenangan pasukan tersebut untuk tahun yang ke 10 berturut-turut...! Undisputed Champion...! Isyh isyh siapalah cikgunya kan...? Haa ni nak bagitau ni, akulah cikgunya... Har har jangan marah lagi haa... Tapi aku tak nak ambil kredit sepenuhnya untuk kemengan 10 tahun berturut-turut tu, kerana aku baru membimbing pasukan ini sejak 3 tahun lepas. Memang aku mewarisi satu pasukan yang ahli kadetnya berdisiplin, gigih berlatih dan kuat semangatnya. Syabas kalian...!

Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang, bagi yang kalah ini bukan pengakhiran bagi segala-galanya. Tingkatkan usaha, giatkan latihan... Jumpa lagi di tahun hadapan. Hip hip hooreey...! Hip hip hooreey...! Hip hip hooreey...!

Read more...

Aksi Bermula...

Wednesday, February 23, 2011

Pergh... 2 hari blog aku terbiar sepi tanpa apa-apa update. Mujur ada gak member-member yang online dan tinggalkan komen-komen pada entry lepas. Bila tengok statistik ada lagi pengunjung ke blog ni, Alhamdulillah... Ada ke silent reader untuk shamdisini...? Hu hu... Apa-apa pun thanks bebanyak kepada semua yang sudi drop by kat sini. Insyallah kejap lagi aku jejaki kalian pulak...

Sehari dua ni aku memang sibuk. Balik rumah dekat nak Maghrib. Zohor dan Asar aku di sekolah saja, tak sempat balik rumah pun... Makanya ni aku nak bagitau SATU DUNIA: jangan kata kerja cikgu kat Malaysia ni dari pukul 7:30 pagi sampai 2:30 petang saje ye...! Cewah baran la pulak...

Sebenarnya sehari dua ni aku sibuk dengan sukan sekolah, acara saringan telah bermula dari hari Isnin lepas. Esok akan diadakan raptai penuh dan Kejohanan Olahraga akan berlangsung Jumaat ini. Jadi sejak dari Isnin aku sibuk dengan kerja-kerja kesukanan. Dalam masa yang sama aku juga perlu menyiapkan pasukan unit beruniform yang akan terlibat dalam perbarisan pada hari Kejohanan kelak.

Olahraga merupakan antara jenis sukan yang paling aku minati. Suka aku tengok bakat-bakat muda yang menyerlah di padang. Daripada acara larian, lompatan sehingga ke lontaran semua menarik minat aku. Cuma satu yang aku memang fail dari dulu, larian jarak jauh. Jangan ajaklah aku ni berlari jarak jauh, somput... Sebab itu aku tak pernah hayat menamatkan acara merentas desa semasa sekolah dulu.

Tapi kalau bahagian pecut, haa ini championnya, langkah kecik je tapi berdesup perginya... Ceh up sikit...! Tapi seriously, aku memang antara jaguh pecut yang menyerlah semasa di sekolah dulu. Masalahnya aku hebat di peringkat sekolah sahaja, di peringkat daerah kecundang memanjang... Badi..! Ada je sebab untuk aku kalah, demamlah, spike tertanggallah, terjatuhlah... Dari tahun ke tahun ada je masalahnya.

Pengalaman paling best aku rasa semasa mewakili zon Alor Akar (tak berapa pasti nama zon) di MSSM Daerah Kuantan, ketika aku di tingkatan 4. Aku berpeluang berlari bersebelahan dengan jaguh remaja yang paling menyerlah ketika itu, Azmi Ibrahim di stadium Darul Makmur. Fuh siapa tak kenal Azmi masa tu, idola remaja Malaysia dalam sukan pecut ketika itu..!

Yang kelakarnya, pertandingan tersebut memang tak seimbang langsung. Tak ada sesiapa pun antara pelari peringkat daerah ni yang mampu memberi cabaran kepada Azmi, termasuklah aku. Bayangkanlah, kami yang lain ni berlari bermati-matian, tapi si Azmi ni lari rileks je... Siap pandang-pandang belakang lagi. Jarak dia meninggalkan kami semua hampir 20 meter...! Har har har... Tapi masa tu dia memang down to earth punya budak, selesai berlari dia bersalaman dengan kami semua, maklumlah baru-baru nak naik... Cuma bintang Azmi tak berkelip lama. Namanya tenggelam selepas kemunculan jaguh pecut Sarawak, Watson Nyambek...

Hari ini aku tengok, bakat Malaysia dalam acara pecut makin tiada, kali terakhir atlit pecut yang menonjol adalah Nazmizan dalam Sukan Sea 2003 di Vietnam. Agak-agaknya bilalah kita dapat melahirkan atlit macam 'kilat' kat dalam gambar tu...? Atau pun itu hanyalah impian yang mustahil semata-mata...?

Read more...

Wang Bukan Segala-galanya... Namun Segala-galanya Memerlukan Wang...

Sunday, February 20, 2011

Pagi tadi aku membeli sarapan, 3 bungkus nasi lemak dengan lauk ayam goreng dan 1 bungkus mihun goreng lauk ikan sardin. Jumlah semua RM15... Hem teringat aku masa di sekolah rendah, aku membantu mak menjual nasi lemak. Hingga pernah pada suatu ketika, beg sekolah aku bukan dipenuhi buku tetapi dengan nasi lemak. Harga sebungkus nasi lemak pada ketika itu, 20 sen sahaja...

Selesai bersarapan aku ke stesyen minyak. Nak buat apa lagi, isi minyak keretalah, stok untuk seminggu aku berulang-alik kerja. Melayang lagi RM70 untuk satu tangki penuh Toyota SE Ltd buruk aku tu. Teringat pulak aku kira-kira 10 tahun lepas semasa mengisi minyak buat kali pertama untuk kereta pertama aku ketika itu, Iswara Aeroback; isian penuh baru RM40...

Petang tadi aku sempat bersembang dengan jiran sebelah. Sembang-sembang kosong je. Aku bercerita hasrat aku untuk membeli rumah dalam masa terdekat ini. Katanya eloklah disegerakan niat itu, kerana harga rumah akan naik semakin tinggi setiap tahun, dan aku amat meyedari hakikat itu. Beberapa hari lepas aku berjumpa dengan seorang rakan yang bercerita tentang rakannya yang menjual rumah kediamannya. Rumah tersebut yang dinilai RM90k pada 5 tahun yang lepas telah dijual dengan harga RM130k seminggu dua yang lepas. Bermakna kenaikan rumah tersebut adalah RM8k setahun...!

Baru sebentar tadi aku membayar bil astro. Kenaikan caj perkhidmatan sebanyak 6% menjadikan bayaran bulanan aku meningkat RM7 sebulan. Tapi nak buat macamana, nafsu besar. Nak tengok sukan, movie bla bla... Bil elektrik pula kian bertambah setelah aku masukkan aircond dan heater mandian beberapa bulan lepas. Kalau dicampur bil air, telefon, streamyx bla-bla.., bil utility aku boleh mencecah RM400 sebulan... Tak campur lagi perbelanjaan bulanan seperti makanan (ada yang naik jugak di awal tahun baru-baru ini...), bayaran pinjaman pelajaran, kereta, duit lampin, susu anak-anak bla bla...

Kemudian aku mencongak kenaikan gaji tahunan aku. Sebagai guru bergred DG41 kenaikan aku tak sampai RM100 setahun. Termenung juga aku memikirkan, apa akan jadi di masa-masa hadapan. Pada ketika kos sara hidup semakin meningkat tetapi tidak sepadan dengan peningkatan pendapatan. Terfikir juga aku, sedangkan aku yang mungkin tergolong dalam golongan pertengahan mula terasa lemas dengan kenaikan ini; bagaimana pula dengan golongan bawahan...? Mungkin sampai masanya aku mengurangkan nafsu dan keinginan untuk bermewah (sedangkan aku tak rasa langsung hidup aku sekarang ini mewah...), ataupun sudah sampai masanya aku mencari sumber pendapatan ke-2...?

Betul kata-kata hikmat ini, walaupun aku tak tahu dari mana asalnya:

"Wang Bukanlah Segala-galanya... Tetapi Segala-galanya Memerlukan Wang..."

Read more...

Bagaimana Memproses Petroleum

Saturday, February 19, 2011


Pernah tak anda terfikir dari mana datangnya gas yang kita gunakan untuk memasak, atau petrol yang kita gunakan untuk kenderaan kita? Tahukah anda bahan api yang digunakan oleh kapal terbang adalah kerosin ataupun dalam bahasa yang biasa minyak tanah? Tahukah juga anda bahawa bitumen atau tar yang digunakan untuk membuat jalan itu melalui proses yang sama dalam menghasilkan lilin...?

Ha aku ada sikit info berkaitan sains ni (used to be my favourite subject), jom kita tengok... Untuk general knowledge kitalah, boleh juga kita cerita kat anak cucu kita kelak:

Petroleum terbentuk berjuta-juta tahun dahulu daripada hidupan laut yang mati, kemudian tertimbus oleh lumpur dan pasir. Apabila hidupan laut mati , bangkai mereka tenggelam ke dasar laut, kemudian ditimbus oleh sedimen . Melalui tindakan bakteria , pereputan separa berlaku dalam keadaan kekurangan oksigen. Penguraian seterusnya di bawah suhu dan tekanan yang tinggi akhirnya menghasilkan petroleum dan gas asli.

Proses Penyulingan Petrolium:

Hidrokarbon dalam petroleum diasingkan melalui proses penyulingan berperingkat. Semasa penyulingan berperingkat , petroleum dipanaskan dalam sebuah menara pemeringkat . Hidrokarbon dengan takat didih yang lebih rendah meruap terlebih dahulu , naik ke bahagian atas menara lalu dikondensasikan dan diasingkan. Hidrokarbon dengan takat didih yang lebih tinggi akan terkumpul di bahagian bawah menara dan dikondensasikan sebagai cecair.

Hasil Penyulingan Berperingkat:

# Gas-gas petroleum (takat didih paling rendah): Dicairkan di bawah tekanan dan digunakan sebagai gas untuk memasak.

# Petrol: Digunakan sebagai bahan api untuk kereta dan kenderaan ringan.

# Nafta: Sumber bagi pembuatan plastik, dadah, dan kain sintetik dalam industri petrokimia dan sebagai pelarut

# Kerosin: Digunakan sebagai bahan api untuk pesawat terbang serta untuk pemanasan dan pencahayaan (lampu kerosin )

# Diesel: Digunakan sebagai bahan api untuk kenderaan berat seperti bas , lori dan kereta api.

# Minyak pelincir: Digunakan sebagai pelincir untuk mengurangkan geseran

# Parafin: Digunakan untuk membuat lilin,bahan penggilap dan bahan pencuci

# Minyak Bahan Api: Digunakan sebagai bahan api dalam kapal , mesin kilang dan stesen jana kuasa

# Bitumen (takat didih paling tinggi): Digunakan untuk membuat jalan raya dan bahan kalis air.

Sumber: www.sabah.edu.my

P/S: Aku pernah berhasrat untuk bekerja di dalam bidang O&G selepas menggenggam Bacelor Kejuruteraan Mekanikal namun sehingga kini hasrat tersebut berkubur begitu sahaja...

Read more...

Dia Masih Gilakan Aku...

Friday, February 18, 2011

Diam tak diam dah 5 tahun aku mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, hari ini cinta aku pada isteriku masih sama. Ibarat kata Awie:

"Kau masih kuncintai, sungguh...
Dari hari pertama kau ku nikahi
..."

Dan aku lihat dia pun masih gilakan aku, maklumlah badan aku masih maintain, ala-ala badan Ben Ashaari gitu. Cuma tang perut Bro Ben kalah dengan aku. Hua hua...

Sepanjang 5 tahun ini beberapa perkara aku amalkan dalam hubungan kami suami isteri. Just nak share dengan korang:

1. Hormati Pendapatnya:

Terus terang aku katakan semasa bujang aku 'kurang' menghormati wanita. Bagi aku, pendapat atau idea aku mesti lebih baik dari kaum hawa... Selepas aku bernikah aku belajar untuk menghormati pandangan isteriku. Ternyata wanita juga punya idea dan pendapat yang bernas...

2. Tarikh-tarikh Penting:

Ini merupakan kelemahan aku dan aku percaya ramai lagi lelaki-lelaki di luar sana sebegini. Jangan begitu beb, wanita suka kita mengingati tarikh-tarikh penting ni. Hari lahir dia, hari ulang tahun perkahwinan, kalau boleh dia nak kita ingat tarikh 1st time dating... Hari ini, ic dia pun aku dah hafal...

3. Beri Pujian:

Ini pula favourite diorang. Aku kadang-kadang tak faham gak, dah bertahun kahwin, dia masih nak dengar puji-pujian dari aku. "Ye sayang, awak makin hari makin cantik"...

4. Kerja-kerja Rumah:

Tolong bro, kerja rumah bukan tanggung jawab isteri sahaja ok. Lebih-lagi lagi jika kedua-dua bekerjaya. Ringan-ringankan sikit tulang tu. Nanti boleh dapat 'upah'... Hik Hik...

5. Bercuti Bersama:

Aku baca banyak pendapat motivasi rumah tangga, bercuti bersama dapat merapatkan lagi hubungan suami isteri. Aku percaya, dan memang aku amalkan. Tak perlukan percutian yang grand atau memakan belanja besar. Yang penting pilih tempat berehat yang 'strategik'...

6. Ciuman Sayang:

Bukan 'ciuman sayang' yang anu anu tu... 'Ciuman sayang' tanda sayang... Ini pesanan dari Dato' Dr Fadzilah Kamsah. Setiap pagi sebelum keluar bekerja aku cuba pastikan dia mencium tanganku. Aku pula mencium pipinya. Mana tau itu ciuman terakhir kan...

7. Layan Dia Sebagai Manusia:

Isteri bukan semata-mata 'teman tidur'. Oleh kerana dia merupakan insan yang paling banyak menghabiskan masa bersama kita, maka secara tak langsung dia merupakan 'best friend' kita. Jadikanlah dia tempat untuk kita mengadu, dalam masa yang sama jadilah juga pendengar yang setia...


P/S: Aku bukan nak mendabik dada mengatakan kami pasangan paling bahagia di dunia... Adatlah alam rumah tangga, ada masanya bergolak juga. Tapi perlulah bersikap terbuka dan sentiasa bertoleransi...

P/S 2: Aku bukan takut isteri ok... Cuma isteri aku je tak berapa nak takut kat aku... Huhu...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP