Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Dunia Kecil. Show all posts
Showing posts with label Dunia Kecil. Show all posts

Cuti-cuti Penang...

Saturday, May 9, 2015

Assalamualaikum...

Entri kali ni ala-ala travelling blog... Nak cerita pasal jalan-jalan, coti-coti Malaysia... Rilek ek bro Muhammad Khairuddin Lim, cilok jap niche blog hang, Kaki Travel... Kikiki... Kali ini destinasi yang dipilih adalah nun ke Pulau Mutiara, Pulau Pinang... Tarikhnya 2-4 Mei yang lepas... Moralnya: kalau jiwa tak cukup kental jangan bercuti ke Pulau Pinang dalam hari-hari cuti umum...

Har har har kenapa aku cakap macam tu...? Pasti korang semua dah cukup maklum kan, Penang di musim cuti... Hermmm mesti masak dalam jem punya, sebab tu jiwa kena kental beb, kalau tak kompom percutian jadi hambar...

Percutian kali ini aku dengan keluarga besar, RamSal family... Anak beranak Ramli dan Salmah... Ramli tu bapak aku, mak aku Salmah, singkatan jadi RamSal... Kikiki... Ok straight to the poit jom tengok apa aktiviti kami di Penang... Mai mai mai... Bak hang...


Destinasi pertama, seawal pagi jam 8 kami dah keluar... Tujuannya Bukit Bendera... Walaupun dah beberapa kali ke Penang sebelum ini tapi kalau nak taunya inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke Bukit Bendera ni... 


Umat manusia punyalah ramai... Nak beli tiket dah setengah jam beratur, campur waktu menunggu train aku ingat ada dekat-dekat sejam lebih jugak... Tapi sebab dah beramai-ramai ni, banyaklah ceritanya, kira enjoy jelah... Tak terasalah boring menunggu tu...


Tapi bila sampai ke atas tu barulah aku sedar, hermmm berbaloi juga menunggu lama, beratur bersesak-sesak dan berhimpit-himpit dalam train... Indah pemandangan di atas ni rupanya kan...


Petang tu cadangannya adalah ke Pantai Batu Feringhi, nak bagi bebudak ni main pantai... Malangnya hajat tak kesampaian, apa kes...? Jem tahap gaban la bak hang... Dari terus tersangkut kat dalam jem kami decide untuk berpatah sahaja ke Persiaran Gurney... Takpelah at least dapat gak tengok pantai... Huhuhu... Tapi kat sini pun tak lama, sebabnya jalan nak ditutup sempena perarakan, untuk perayaan hari Wesak la kot...


Malam tu kami pi pekena mee udang di Ida Mee Udang Sungai Dua... Glamer juga kedai mee ni, kalau tengok fb page dia siap ada gambar-gambar retis lagi bak hang... Tapi yang penting makanan dia best... Bagi tekak kami la... Kata wife aku udang dia memang fresh... Aku tak tau sebab aku sebenarnya dah quit makan makanan-makanan laut ni... Setakat jamah-jamah je... Tapi buktinya udang itu betul-betul segar adalah ipar aku yang yang resdung tidak terbersin-bersin keesokkan harinya walaupun dia membedal 2 pinggan mee udang malam tu... Oooo gitu rupanya bak hang...


Hari berikutnya adalah sessi mencari jeruk... Haa ini pun mesti rutin korang jugak kalau pi Penang kan... So kedai mana korang pergi...? Nanti, biar aku jawab, Jeruk Madu Pak Ali...? Huh memang kesitulah tujuan asal kami tapi kerana terdapat sedikit insiden melibatkan keluarga besar kami dengan pekedai di situ so kami beralih arah... Naa tu dia D' Jeruk Kita... Taukeh peramah, pilihan jeruk yang banyak dan paling besh harga boleh berlebih kurang... Camtulah berniaga pakcik kan, janganlah bila kedai dah besaq, banyak cawangan, untung juta-juta; pelanggan diabaikan, layanan pun acuh tak acuh je, siap tinggikan suara pulak... Kami ni datang dari jauh bak hang, tak baik gitu naa.... 


Haa inilah taukeh dia... Pakcik ni memang terbaik bak hang... Tanya camana pun dia layan, baik punya ada... Steadylah pakcik moga bisnes berkembang maju naa...


Ok next apa lagi...? Dah masuk tengahari so masa untuk lunch... Mana lagi, nasi kandaqla bak hang... Mana mana mana...? Line Clear...? Dah try... Kayu...? Dah try... Haa ini belum... Hameediyah... Rupa-rupanya inilah pioneer nasi kandaq kat Malaysia ni... Aku tak tahulah betul ke tak, tapi tagline kedai dia: the oldest nasi kandar in Malaysia...


Tak kisah la apa pun yang pasti nasi kandaq dia layannn... Punyalah layan sampai tak sempat nak snap gambar... Sedar-sedar dah licin... Kikiki... Harga pun boleh tahan taklah melampau sangat... Majoriti kami amik nasi beriani, kuah campur, ayam madu dan sayur purata harga masing-masing semua bawah RM10... Oklah tu kan...


Satu lagi tempat wajib pergi di Penang ini mana lagi kalau bukan Padang Kota Lama, betul...? Herm cadangnya nak melawat sekali ke dalam kubu Fort Cornwallis, tapi masing-masing dah penat berjalan... So lepak-lepak jelah, sambil menikmati angin laut...


Di Padang Kota Lama ni sudah pastilah makanan yang wajib dicuba adalah pasemboq... Disini memang femes juga pasemboq dia kan... Sebenarnya ini kali pertama juga aku try pasemboq Penang ni... Pada asasnya rasa dia sama je pun dengan pasembor-pasembor di kedai-kedai mamak kat tempat kita tu pun... Cuma aku rasa di sini kuah kacang dia lain sikit... Memang kaw punya pekat dia bagi... Pedas dia pun semacam... Tapi keseluruhannya: beshhh... Tapi mahal rupanya pasemboq kat sini ek... Sepinggan ni jejak dekat-dekat RM40 woo... Har har har... 


Setiap yang bermula pastinya ada pengakhirannya kan... Begitu jugalah trip kami kali ini berakhir sudah, maka tibalah masanya untuk angkat kaki dan lambung... Terlanjur dah sampai ke Penang memang kami bercadang untuk mencuba kedua-dua buah jambatan... So arah pulang kami mengikuti jambatan kedua Pulau Pinang yang baru dibuka baru-baru ini...


Agak lengang jambatan kedua ni berbanding dengan jambatan pertama, aku tak tahu kenapa... Dari segi jarak memang aku rasa panjang jambatan ini lagi, sempat jugalah mengantuk... Toing toing... Dari segi rekabentuknya juga agak unik kerana jambatan ini melengkok di tengah-tengahnya... Aku tak pasti atas sebab apa team binaannya membinanya sebegitu... Atas sebab estatik kah, atau cantikkah atau ergonomik kah, aku tak pasti... Yang aku pasti kalau ada yang bertanya, memang aku boleh menjawab sebegini: "ye, aku dah lalu jambatan kedua Pulau Pinang... Bak hang..." Ngeh ngeh ngeh...

Oh ye, aku tak cerita pun dimana kami menginap kan... Haa memang aku sengaja tak cerita disini, sebabnya aku nak buat 1 lagi entri khas untuk tempat penginapan kami tu... Puas hati sangat-sangat rumah tu, besar, selesa, bersih... Tuan rumah tak banyak songeh dan tak berkira... So tunggu next entri ok, tunggu naa, bak hang...














Read more...

Bakti Dan Legasi...

Wednesday, April 22, 2015

Assalamualaikum...

Selepas aku disahkan dengan penyakit yang membawa maut ini, selain mencari penawar dan berjuang untuk terus hidup; satu perkara lagi yang paling aku utamakan sudah tentulah memperbaiki hubungan dengan yang Maha Esa... Bertaubat dengan kesungguhan yang maksima dan dalam masa yang sama beribadat dengan penuh kesungguhan dan ketaatan... Mencari redhoNya dalam apa jua keadaan dan sentiasa berdoa agar aku dapat istiqomah dalam melaksanakannya...

Namun nasihat dari seorang sahabat menyentapkan aku seketika... Mengingatkan aku akan sesuatu yang aku hampir-hampir terlupa... Pada mulanya aku agak bingung memikirkan apakah yang dimaksudkannya... Sehingga memerlukan ianya dikupas dan diterang supaya jelas...

"Ye dalam keadaan kau ini, perkara yang paling penting adalah hubungan kau dengan DIA serta persediaan apa yang bakal kau hadapi disana kelak... Tapi kau jangan pulak lupa beberapa perkara yang menjadi jambatan selamat untuk kau ke sana... Sesuatu yang boleh menyumbang ketika kau berada disana nanti... Aku bagi contoh, 2 darinya adalah BAKTI dan LEGASI..."

Harus aku akui yang aku sepatutnya mula belajar untuk menghormati sahabat yang seorang ini... Walaupun dahulunya aku sering memandang remeh kepadanya tetapi dengan berlalunya masa, aku dapat rasakan dia sudah tidak seperti dulu... Wisdom datang kepadanya...  Yela, manusia berubah kan... Tetapi kadangkala ada juga kata-katanya yang aku tak faham dan tak terfikir aku akan metaforanya... Lantas aku menggesanya agar straight to the point...

"Ei kemonlah aku bukan orang bahasa... Otak orang teknikal ni mana sama dengan otak orang bahasa macam ko..."

Orait, dipendekkan cerita begini penerangannya:

BAKTI:

BAKTI yang dimaksudkan adalah berbakti kepada kedua orang tua... Sememangnya dalam Islam sendiri terlalu banyak pesanan samada dari Rasulullah bahkan dari firman Allah sekali pun berkenaan keperluan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ini... Jadi secara ringkasnya cara mudah untuk mendapat lubuk pahala hanyalah dengan berbakti kepada kedua orang tua...


Aku petik disini:

Firman Allah s.a.w. bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"
(Surah al-Israk, ayat 23)

Herm kalau macam tu syukur Alhamdulillah, memang itu merupakan satu perkara yang telah, sedang dan akan sentiasa aku lakukan... Insha Allah... Sungguhpun aku tahu segala apa yang aku lakukan tidak mampu sama sekali untuk menandingi apa yang telah mereka korbankan untuk membesarkan aku dan adik beradik, tapi aku tetap berharap sekurang-kurang dapat sedikit sebanyak menyenangkan mereka... 

Jujur aku katakan pada ketika ini tujuan aku hanya satu: untuk memenuhi apa sahaja kehendak mereka... Sebagaimana mereka menunaikan apa sahaja kehendak aku pada suatu ketika dahulu... Tapi yelah mana yang terdayalah kan... Syukur orang tua aku memang jenis tak banyak kerenah... Sebenarnya mereka ni jenis yang agak susah nak minta apa-apa dari anak-anak... Kadang-kadang aku pun tak faham, aku nak hantar ke pasar pun kadang-kadang diorang menolak... Lebih selesa bermotosikal kata mereka... Hermmm...

Sehingga ke hari ini, memandangkan aku masih dalam cuti dan jarak kediaman aku dengan rumah mereka tak sampai sejengkal pun; boleh dikatakan setiap hari aku akan bertandang ke rumah mereka... Memang tak banyak yang dapat aku lakukan untuk mereka, nak bersembang pun aku dah takde suara; namun menghabiskan masa bersama mereka, makan bersama, ke pasar bersama, lepak-lepak, baring-baring dah cukup memberi kepuasan kepada aku... Aku dapat merasakan mereka pun sama... Pada saat-saat sebegini aku yakin, samada di pihak aku mahu pun di pihak mereka; akan redho samada mereka yang akan 'pergi' dahulu atau pun aku...

LEGASI:

Kata sahabatku itu lagi, LEGASI adalah peninggalan kamu... Apa yang kau tinggalkan di dunia ini, yang boleh menyalurkan bekalan kau tanpa putus-putus di sana kelak... Aku segera teringat pesan nabi ini:

"Apabila seseorang itu meninggal dunia
maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara, 
1. sedekah jariah 
2. ilmu yang dimanfaatkan dan 
3. anak soleh yang mendoakan untuknya..."

Ooo itu yang dimaksudkan dengan LEGASI... Ye sememangnya aku tahu amalan aku masih jauh dari mencukupi, sedekah jariah tak seberapa pun... Ilmu yang dimanfaat, sebagai seorang guru aku rasa adalah sedikit kelebihannya... Cuma harap-harap adalah antara anak-anak murid aku tu yang memanfaatkan sebarang ilmu yang telah aku curahkan pada mereka selama ini... Jangan mereka pergunakan ke jalan yang sebaliknya sudahlah... Huhuhu...


Doa dari anak yang soleh, ye itulah yang perlu aku usahakan sekarang ini... Mereka kini di depan mata, akulah yang perlu berusaha untuk membimbing mereka... Moga-moga mereka dapat menjadi anak yang soleh dan solehah...

Bercerita berkenaan anak-anak ini, aku menjadi sebak... Serius, aku sebak... Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika mereka membesar tanpa seorang ayah nanti... Aduh... Betul, memang aku tak sepatutnya berfikiran sebegitu... Tapi perasaan sebegitu bukan boleh diminta-minta datangnya mahu pun dicegah-cegah... Sesekali memang ianya akan datang... Piuuushhh, melayang-layang, terawang-awang je rasa perasaan tu... Tapi aku tahu aku tak boleh layan sangat, okey bebeh, bolayan...

Buat masa ini sudah tentunya tumpuan aku pada Shahmin, anak sulung aku... Pada dialah terletaknya harapan besar aku... Bakal menggalas tanggungjawab, membantu mamanya menjaga adik-adiknya... Paling utama mendoakan aku disana kelak... Harus diingat yang hanya doa dari dia dan adik-adiknya sahajalah yang 'laku' dan akan terus difowardkan kepada aku nanti...

Dalam pada itu aku sentiasa berhasrat, aku ingin menjadi seperti Luqman al Hakim... Manusia bijak yang namanya disebut dalam al-Quran... Bagaimana dia sentiasa memberi nasihat dan kata-kata yang baik dalam mendidik anaknya... Allahu, kalaulah aku dapat menjadi sebegitu... Allahu, jadilah aku sebegitu...

Selain itu aku sentiasa berdoa ke hadrat Illahi agar kanser aku yang telah dibuang ini tidak akan muncul-muncul kembali... Aku berdoa agar aku terus kekal cancer-free... Aku berdoa agar aku dipanjangkan usia, sekurang-kurangnya sehingga dapat aku melihat kesemua anak-anak aku mampu berdikari... Tapi dalam masa yang sama terus mencuba untuk menyediakan minda dan akalku, agar sentiasa bersedia atas segala kemungkinan...

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku 
ku serahkan pada Allah tuhan seru sekelian alam..."








Read more...

3D Art Gallery...

Wednesday, March 25, 2015

Assalamualaikum...

Apa...? PD lagi...? Bukan baru-baru ni dah ronda sana ke...? Haa inilah akibatnya jika trip pertama tu tiada kepuasan, so kenalah repeat balik, kih3... Tapi kali ini aku datang dengan bala tentera yang lebih besar... Serangan utama kami adalah ke 3D Art Gallery, Lukut Port Dickson... 

Ini serba sedikit maklumat berkenaan 3D Art Gallery ni, bagi sesiapa yang berminat dan masih belum berkesempatan ke sana, aku strongly suggest untuk ke sana... Lebih-lebih lagi yang ada anak-anak kecil tu... Sebenarnya untuk merekalah yang seronoknya... Bagi aku untuk orang dewasa takdelah apa-apa yang menyeronokkan sangat pun... Cuma agak kagum jugalah dengan lukisan-lukisan 3D yang terdapat disana... Dan pastinya kita akan seronok bila melihat anak-anak seronok kan, barulah beronok-ronok namanya...

3D Art Gallery ini terletaknya di Lukut Port Dicson... Bagi mereka yang dah biasa ke PD memang takde masalah rasanya... Tapi kalau tak biasa boleh ikut guide mudah ini... Kalau korang ikut hiway Seremban PD (yang kena tol RM3.20 tu), sebelum sampai ke simpang PD sila ambil exit Lukut... Lepas masuk susur tu akan ada traffic light, kalau merah sila berhenti, kalau hijau bolehlah ambil simpang ke kanan...

Jalan terus dan kira-kira dalam 10-15 minit korang akan nampak pasaraya besar Giant di sebelah kiri... Terus masuk simpang kiri tersebut, jangan singgah ke Giant kerana itu bukan agenda anda ok... Stick to the plan...

Jalan terus, bersebelahan dengan pasaraya Giant tersebut anda akan melihat sebuah hotel 3 bintang... The Guest and Spa Hotel... Nice hotel ni, hotel baru rasanya... Disinilah aku menginap dalam trip aku sebelum ini...

Anda dah sampai pun... Betul-betul di hadapan hotel tersebutlah terletaknya 3D Art Gallery ini... Tak susah kan...? Ianya berada dalam bangunan rumah kedai 3 tingkat... Tempat ni tak sibuk pun, parking pun tiada masalah...

Harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak... Kanak-kanak dibawah ketinggian 90cm adalah percuma... Bersebelahan dengan kaunter tiket ada disediakan tempat mengukur ketinggian... Sebelum beli tiket, sebut nama aku... Insha Allah diorang tak kenal dan anda tidak akan mendapat apa-apa diskaun... Kuang3...

Satu pesanan aku sebelum korang ke sana: tak perlulah pakai kasut atau selipar yang cantik dan mahal-mahal... Kerana di dalam sana, tidak dibenarkan untuk memakai sebarang kasut atau selipar... Tetapi jangan risau kerana ada disediakan tempat menyimpan kasut dangan bayaran RM2 sahaja...

Aktiviti utama di sana...? Apa lagi, ambil gambar ajelah... Selain merasa kagum dan seronok dengan seni lukisan 3D yang disediakan... Aku tak berapa pasti tapi aku agak ada tidak kurang dari 50 jenis lukisan yang terdapat di sana...

Well korang dah tengok antara sebahagian dari lukisan-lukisan 3D yang ada di sana kan... So macamana...? Berminat...? Kalau berminat bolehlah masukkan lawatan ke 3D Art Gallery sebagai satu dari agenda lawatan anda ke PD nanti ye... Harap posting ini dapat sedikit sebanyak membantu...


Read more...

BAHAGIA...

Friday, February 27, 2015

Assalamualaikum...


Bagaimana anda mendefinasikan 'BAHAGIA'...? Kalau mengikut quote di atas mudah sahaja: BERSYUKUR atas segala yang kita ADA... As simple as that... Tapi aku tak nak terhadkan definasinya di situ sahaja, ianya bebas mengikut persepsi kita masing-masing...

Well, ini salah satu dari momen-momen BAHAGIA aku... Apa lagi kalau bukan meluangkan masa bersama dengan isteri dan anak-anak... Ianya bukanlah percutian 5 bintang... Buat kesekian kalinya aku ke sini, mungkin untuk kali yang ke 7 atau 8, atau mungkin lebih... Tunggulah mana tau ada rezeki besok-besok boleh bercuti ke kepulauan Caribbean pulak kan... Hee3...

Mood yang tak berapa 'segar' nak menulis panjang-panjang... Biar gambar sahaja berbicara... Ngee...

Lokasi           : Pantai Teluk Kemang Port Dickson...
Masa             : 21-22 Feb 2001...
Penginapan   : The Guest Hotel and Spa Port Dickson...








p/s: Baru aku sedar rupanya selama ini aku suka, suka sangat-sangat situasi matahari terbenam... Orang cakap orang macam aku ni romantik ek...? Aku percaya tu, hua3...

Read more...

Latest Edition...

Tuesday, January 6, 2015

Assalamualaikum...


Hari ini aku nak memperkenalkan aku punya latest edition, yang ketiga... Muhammad Syafi Hani, dilahirkan di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru KL pada 23/09/2013... Dah setahun lebih pun umurnya... Yelah sebelum ni aku sibuk 'bertarung' dengan penyakit, blog ni pun terabai jer... So kali ini ada kesempatan bolehlah aku nak selit sikit cerita pasal si Syafi...

Menurut orang yang mengandungkannya (orang rumah aku ler) ini merupakan pengalaman yang paling tough... Bermula dari saat mengandungkannya, hinggalah ke proses memberanakkannya, hinggalah ke proses membesarkannya... Si Syafi ini by far the toughest one...


Ramai yang cakap Syafi ada iras muka mamanya... Bulu mata dia lentik, hidungnya terletak, mulutnya comel sahaja... Well i got no problem with that... Tak kisahlah apa orang nak cakap pun, tetapi bagi aku kalau dia hencem tu memang menurun dari bapak dia la tu... Ngeh3...


Syafi memang sangat-sangat gemar makan... Setakat ni kalau disua ke mulutnya apa sahaja, pasti dia tak menolak, tak pernah lagi dia menolak... Dia tak berapa menggemari orang yang tidak dikenalinya, tetapi cara paling mudah untuk 'mengumpan' dia, adalah dengan menghulurkan makanan kepada dia... Selagi ada makanan di tangan korang selagi itu dia akan 'melekat' dengan korang...


Ini antara cabaran terhebat dan terkini dari Syafi... Jika kehendaknya tidak ditunaikan dia akan menangis, menjerit, meniarap dan hikmat tertinggi dia sampai berguling-guling diatas lantai... Kalau dengan mama bolehlah mama pujuk, tetapi dengan aku so sori, bolayan... Ini aksi terbaru dia di IOI Mall Putrajaya...


Aku sangka gaya tidur ini hanya kebetulan dan seketika sahaja... Rupanya gaya tidur ini agak sering dilakukannya... Cer teka gaya siapa yang dia adapt tu...? Haa bapak dia la weh... Herm cute jer kan... Kalau tengok bapak dia tidur lagiii cute... Kwa kwa kwa...


Sungguhpun dia merupakan yang paling lasak dalam 3 beradik setakat ini, ternyata dia juga merupakan yang paling berani setakat ini... Ini aksi Syafi bersama mesin vacum (ceh macamlah korang tak kenal kan)... Apa yang aku nak tunjuk adalah keberanian dia berbanding abang dan kakaknya... Kalau abang dan kakaknya dulu, ketika sebaya ini; bila terdengar sahaja bunyi vacum pasti diorang mencicit lari... Menyorok sampai ke bawah katil... Tapi dia, dengan selamba mencapai vacum dan meniru aksi mamanya mevacum lantai... Har har har thats my boy...

Satu entry memang tak cukup untuk menceritakan perihal si Syafi... Well nampaknya aku save dulu cerita-cerita lain... Kita jumpa di entry akan datang sahaja... Daaa...


Read more...

Wordless Wednesday 3 - Permata Hatiku...

Wednesday, February 1, 2012




Read more...

Selamat Beribadat...

Tuesday, May 10, 2011

Hari ini aku ke KLIA, mengucapkan selamat jalan kepada kedua orang tua aku... Sebagaimana yang telah dijadualkan, orang tua aku bakal mengerjakan umrah selama 2 minggu di Tanah Suci Makkah... Mereka mengikut pakej yang disediakan oleh Andalusia Travel...

Aku rasa bagus juga Andalusia ni. Apa yang aku nampak pengurusan diorang kemas, cara diorang handle ahli-ahli rombongan juga nampak mesra dan profesional. Korang taukan Pengerusi Eksekutif Andalusia ni...? Ala Dato' Ustaz Md. Daud Che Ngah tulah, yang selalu keluar TV cerita pasal haji tu... Mutawif wanita rombongan orang tua aku ni adalah Mariamah Tijo... Ha macam familiar je nama dia kan...? Dia ni kalau korang dengar berita radio RTM dulu-dulu memang suara dia jelah yang tukang baca beritanya... "Tut... tut... Berita ini disampaikan oleh Mariamah Tijo..." Ha itu trade mark dia...

Sebenarnya ini kali kedua orang tua aku menunaikan umrah. Kali pertama dalam tahun 2006 (kalau tak silap aku)... Haji...? Hem belum ada rezeki diorang lagi. Kalau ikut giliran Tabung Haji, kedua orang tua aku bakal mengerjakan haji pada tahun 2032...! Betul 2032, bukan salah taip...! Tapi bukan silap Tabung Haji, silap sendiri ler... Diorang ingat bila duit dah cukup dalam akaun baru boleh mendaftar, sebab itu diorang baru mendaftar tahun lepas... Jadinya mendapatlah... Rupa-rupanya syarat untuk mendaftar haji adalah memiliki jumlah dalam akaun sebanyak RM1300 sahaja. La aku pun baru jer tahu...!

Cerita pasal haji ini, aku percaya semua dari kita mempunyai keinginan untuk kesana kan...? Yelah, nak melengkapkan keislaman kita... Fuh aku dah dengar macam-macam dah cerita pasal 'Tanah Haram' ni, memang teruja sangat-sangatlah nak pergi, cuma belum ada rezeki je lagi. Baru-baru ni aku ada berborak dengan Ustaz di sekolah aku, cerita pasal haji ni...

Dia mengajak aku untuk mengerjakan umrah dan haji secara bersendirian, tanpa melalui tabung haji. Selain dapat berjimat, jadual kita juga tidak terikat. Malah nak pergi bila, nak balik bila, semua atas kita sendiri. Aku yakin dengan Ustaz ni kerana dia merupakan bekas pelajar Al-Azhar. Dia berkelana di Mesir dan sekitar negara Arab selama hampir 7 tahun. Ramai di kalangan kawan-kawannya masih berada disana, jadi tidak perlu risau akan penginapan, katanya... Hem menarik jugak tu kan...? Teringin juga aku berkelana di 'bumi Anbiya' ni... Macam dalam cerita Jejak Rasul tu...

Berbalik ke cerita orang tua aku tadi, makanya tadi bersalam-salam, berpeluk-pelukan dan berdrama air matalah kami di KLIA tadi... Aku pun tak paham sebenarnya, mengapa harus ada insiden air mata... Hu hu hu...

Kepada orang tua aku, selamat beribadat... Semoga segala amalan kalian dapat mendekatkan lagi kalian kepada Yang Maha Pencipta... Sampai sana doakan kami pula ye...

P/S: Aku rasa teruja sangat dengan pelawaan yang dibuat oleh Ustaz sekolah aku tu... Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah aku jalan dan kemudahan untuk aku supaya dapat aku menunaikan Rukun Islam yang ke-5 ini... Secepat yang mungkin...

P/S (dari Ustaz): G haji ni, buke nok tunggu hari tuo baru nok g... Maso mudo-mudo ni la kito patut usoho...

Read more...

Dia Mak Aku

Saturday, May 7, 2011

Sehari dua ni pasti meriah dunia blog ni dengan ucapan-ucapan selamat Hari Ibu... Aku nak join jugak. Ini sedikit cerita pasal mak aku (dalam mood rindu, mak abah aku kini berada di rumah Kak Ngah aku di Putrajaya, minggu depan mereka akan pergi mengerjakan umrah)...


Aku cuba mencari gambar-gambar mak aku, nak upload untuk entry ni. Tapi tak jumpa yang dia berseorangan. Baru aku perasan, mak aku memang tak pernah bergambar berseorangan. Mungkin ada tapi aku tak perasan atau tak ingat. Yang ada hanyalah gambar-gambar beramai-ramai dengan anak cucu. Tapi yang banyaknya gambar bersama orang yang paling dia sayangi, siapa lagi, bos akulah... Kebergantungan mak aku kepada abah aku tinggi. Pendek kata kemana saja dia nak pergi pasti dia ingin ditemani abah aku.

Mak aku seorang yang sensitif dan sangat lembut hatinya. Berbeza dengan abah aku yang garang dan kurang bercakap, pada maklah tempat kami adik beradik meluahkan rasa dan masalah. Jarang sangat dia marah apatah lagi naik tangan dengan kami. Satu peristiwa yang aku kesali sehingga hari ini adalah 'perangai setan' aku ketika di belasan tahun dulu. Atas satu sebab yang remeh aku telah menengkingnya. Fuh nasib baik abah aku tiada masa tu, kalau tidak komfem makan penampar jepun aku hari itu. Tetapi mak aku tak marah, sebaliknya dia menangis...! Menyebabkan aku rasa sangat-sangat menyesal...!

Masakan mak aku adalah masakan yang PALING BEST dalam dunia (pada tekak akula... semua anak akan cakap macam tu kan...), walaupun masakan tersebut hanyalah ikan bilis goreng dengan kentang, atau sekadar telur goreng dengan kicap, atau sekadar ikan sardin... Aku sebut lauk-lauk 'miskin' tersebut kerana itulah antara makanan ruji aku anak-beranak masa aku kecil-kecil. Orang miskin katakan... Kalau dapat makan gulai ayam tu memang kira meriah jugalah. Satu cerita yang buat aku sangat terharu sehingga ke hari ini adalah soalan yang aku sering tanya padanya ketika aku kecil:

"Mak kenapa gulai ayam ni tulang jer...? Tak jumpa daging dia pun..."

Aku tak tahu rupa-rupanya pada ketika itu abah aku hanya mampu membeli ayam tulang (tulang ayam lebihan buat satay, sekarang ni orang buat goreng tepung di pasar-pasar malam...) Sob sob... Sedih aku bila mengenangkan...

Satu lagi kelebihan mak aku yang sering membuat aku kagum adalah dia pandai menyimpan duit. Walaupun tak banyak tapi sentiasa ada. Bila dalam keadaan terdesak, pasti ada duitnya dimana-mana. Biasanya dalam lipatan-lipatan buku. Dalam keadaan terdesak pasti mak aku menjadi penyelamat. Abah aku mengakui sendiri, memang mak aku pandai menyimpan duit... Dia juga banyak membantu abah aku, yang gajinya pada ketika itu hanya ratusan ringgit sahaja. Dari menjahit baju, menjual nasi lemak, kueh mueh, jual minyak angin, tonik semua dilakukannya untuk membantu keluarga... Ni nak bagitau sikit, karipap mak aku dulu glamer tau... Orang sanggup datang jauh melintasi bandar ke kampung aku semata-mata nak cari karipap makcik Salmah tau...!

Ok cukuplah tu, kalau nak up cerita mak aku berjela-jela lagi aku tulis nanti. Marah pulak korang, macam mak aku sorang je yang best... Mak-mak korang pun best juga kan...? Tapi di hati aku PASTI, MAK AKU ADALAH MAK YANG TERBAYEK DI DUNIA... Sebabnya...? Sebab DIA MAK AKU la...

Pada Puan Salmah Binti Mohd Taher... You are the greatest mom... I still, and will love you until the end of time... Selamat Hari Ibu...

P/S: Tak lupa juga buat semua ibu-ibu di luar sana, Kak Long, Kak Ngah dan Ibu Mertuaku... Oit bini aku pun ibu juga tau, ibu kepada 2 orang anak-anak aku... Selamat Hari Ibu ye Yang...

Read more...

Bos Aku Garang Woo...!

Tuesday, March 29, 2011

Semalam aku layan Bos (baca bapak) aku ke kedai mamak, pekena mi goreng mamak. Kesnya dia tinggal berseorangan kerana Mem (baca mak) aku mengikut Kak Long aku ke Kuantan atas urusan sambung belajarnya. Selepas membuat pesanan kami berdua bersembang kosong. Agak lama juga kami menunggu 2 pingan mi goreng walau pun pelanggan tidak seramai mana dalam kedai mamak tersebut. Sesampai pelayan membawa 2 pinggan mi goreng, tak semena-mena Bos aku bersuara:

"Korang ni nak berniaga ke apa? Lama pakcik perhatikan korang, mi goreng ni dah siap masak lama dah sebenarnya. Yang korang duk melepak kat tepi kedai berborak-borak... Mentang-mentanglah bos korang takde ye...!"

Agak keras juga suaranya. Terkedu aku tengok muka budak tu. Aku pun terkedu sebenarnya, tak sangka gak aku Bos aku boleh sound budak tu...

"Bukan apa, pakcik nak pesan je, kalau nak berniaga buat betul-betullah. Kedai ni pun baru je bukaknya kan, tak eloklah buat pelanggan macam ni... erm oklah, pergilah buat kerja kamu balik..."

Kendur sikit suara Bos aku kali ini, tak segarang mula-mula tadi. Budak pelayan tu tersenyum kelat sambil berlalu... Aku malas nak menambah, malas nak komen apa-apa. Mi dah sampai, aku pun sodok aje...

Bos aku memang garang sebenarnya, dalam membesarkan kami adik beradik, begitulah kaedahnya. Garang dan tegas. Terutama dengan anak-anak lelaki. Jujur aku katakan ni, antara aku dengan Bos aku, kami hanya berbual secara dua hala semenjak aku masuk belajar di universiti. Sebelum dari itu hampir tiada perbualan dua hala. Yang ada hanya berbentuk satu hala, atau lebih kepada arahan...!

"Uda, pergi mandi, lepas tu sembahyang, mengaji...!"

"Uda, sudah-sudah main tu, pergi buka buku...!"

"Uda, tutup tv tu, pergi masuk tidur...!"

"Uda, nasi dah siap, pergi makan...!"

Eh yang bab makan tu sebenarnya, tak perlu tunggu arahan dah... Pandai-pandai sendiri je...hee... Begitulah tatacara hidup aku sekeluarga. Mujur sifat bengis dan garang Bos aku diimbangi dengan sifat Mem aku yang lembut dan penyabar. Pada Memlah tempat kami adik beradik mengadu apa-apa ataupun nak bergurau senda.

Sehingga kini, kebengisan Bos aku semakin berkurang bersama meningkatnya usia. Kini selalu dia ucapkan betapa itulah caranya dia dibesarkan oleh ibu bapanya dulu. Malah lebih teruk lagi. Penampar penerajang memang hampir lali. Bos aku pernah bercerita berkenaan cara dia dibesarkan, agak tragis kisah dia sebenarnya. nantilah aku peluang aku ceritakan...

Apa-apa pun kami adik beradik tidak pernah menyalahkan dia di atas kaedahnya mendidik kami dulu. Malah bersyukur kerana melalui kaedahnya itulah kami adik-beradik menjadi 'orang' seperti hari ini. Steady Bos, we all still loving you...


P/S: Bos aku dulu garang woo. Masa kecik-kecik dulu, sepupu-sepupu baya aku paling takutkan dia. Dengar je suara Pak Long semua menyorok bawah meja... Har har har...

Read more...

PUT...

Wednesday, March 16, 2011


Sudah beberapa hari aku membiarkankan blog ini tidak berupdate. Blog rakan-rakan pun tidak ku jengah. Kiranya 2,3 hari ini aku mendapat one way traffic je. Thanks pada kengkawan. Jangan risau lepas ni aku jengah korang balik, bagi balik traffic kat korang 2,3 kali untuk sehari ini...


Sebenarnya sejak Ahad lepas aku berada di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia. Musim cuti kan... Itulah keistimewaan cikgu ni, sekolah cuti kita pun cuti ler... Jangan marah ha. Tapi aku tahu ada juga cikgu-cikgu yang sibuk dengan bermacam-macam tugas di sekolah, walaupun sedang bercuti. Syabas untuk kalian... Di Putrajaya, aku menumpang menginap di rumah Kak Ngah aku, yang bekerja di Kementerian Pertanian. Seperti biasa rumahnya akan penuh dengan orang tua aku, keluarga Kak Long, keluarga aku dan keluarga adik aku. Tapi tak kisah, memang keluarga kami suka bergelemak beramai-ramai sebegini...

Walau pun ini merupakan kali yang ke berapa puluh kali dah aku ke sini, namun Putrajaya tetap menawan hati aku. Aku memang meminati persekitaran di sini, terus terang aku katakan aku cemburu dengan penduduk di sini. Kawasan persekitarannya permai, pemandangannya indah, kehidupan penduduknya kelihatan makmur. Aku rasa ada rakan-rakan blogger yang menetap di Putrajaya kan...? Hem bestlah korang... Cuma menurut Kak Ngah aku, kos sara hidup di sini agak tinggi. Biasalah sis, sekarang ni 1Malaysia, semua kos naik maa...


Petang semalam aku sempat buat pertama kalinya melayari Putrajaya Cruise. Kami dibawa belayar selama 20 minit sambil melihat pemandangan pusat pentadbiran dari tasik buatan manusia Putrajaya, sambil diberi penerangan berkenaan bangunan-bangunan di pusat bandar. Oh rupa-rupanya baru aku tahu yang reka bentuk bangunan PICC itu mengambil ilham dari kepala tali pingang DYMM Agong. Betul ke tidak aku tak tahulah... Kalau pemandu pelancong tu kelentong, maknanya kena kencinglah kitorang semua dalam cruise tu (termasuklah korang yang sedang membaca ni...!) Hu huuu...


Kali ini aku sempat bersembahyang di Masjid Sultan Mizan atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi, rupa-rupanya masjid ini tidak menggunakan sebarang kemudahan penghawa dingin, ia menggunakan sistem penyejukan dengan kaedah pengaliran air. Bagaimana? Entah aku pun tak tahu... Satu lagi kelainan binaan masjid ini ialah ianya tidak berdinding. Yang menjadi benteng antara ruang solat dengan luar hanyalah kolam air di sekelilingnya. Hem memang lain dari yang lain...


Selain daripada itu tak banyak dah tempat-tempat kami berjalan, sebabnya cuaca tidak mengizinkan, hujan dan mendung je... Namun tempat wajib pergi tetap pergi seperti Alamanda, Taman Warisan dan kolam renang Presint 11. Hem teringin pulak aku memohon pertukaran ke Putrajaya. Agak-agak ada tak cikgu-cikgu yang sudi bertukar suka sama suka...? Ahak ahaks...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP