Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts

Kenapa Aku Menjadi Seorang Guru

Tuesday, May 16, 2017

Menjadi guru bukanlah cita2 utama aku semenjak dari dulu lagi. Kalau minat pun ianya adalah disebabkan oleh beberapa orang cikgu aku yang aku nampak cool dan macho je di mata aku sebagai seorang pelajar suatu ketika dulu.

Tapi ada 1 detik yang telah menjadi turning point kepada aku dan membuatkan aku 'melekat' dan bangga menjadi seorang guru:

Tahun pertama menjadi guru, jiwa memang tengah panas membara. Dalam satu kelas ni ada budak cina buat perangai, aku panggil dia berdiri atas kerusi, bila aku berpaling dia mengomel dalam bahasa Mandarin:

"#$!#!% punya cikgu!"

Darah aku menyirap, aku berpaling, aku panggil dia turun. Tanpa sebarang amaran aku angkat tangan, satu back hand yang padu aku lepaskan. Sasaran aku ke mukanya, namun dia mengelak. Back hand padu aku singgah di lehernya, melekat kesan merah kat leher budak cina ni.

"Kamu jangan ingat cikgu tak paham apa kamu cakap tadi! Cikgu bukan bodoh! Cikgu tau Bahasa Mandarin!"

Jerkah aku dalam bahasa ibundanya itu.

Keesokkan harinya dia tak bersekolah. Puas hati aku, sunyi sikit kelas tanpa kehadirannya. 2-3 hari dia tak datang, tiada apa2 kerisauan yang aku rasakan. Namun bila sampai ke hari isnin berikutnya dia masih tiada, mula timbul kebimbangan di hati aku.

Kuat sangat ke penangan aku hari tu? Ke tempat tu sensitif, memang aku target nak back hand tang muka tapi sebab dia mengelak tu yang terkena ke bahagian leher tu!

Sedang hati aku risau, datang seorang rakan guru memanggil aku:

"Sul, PK HEM panggil. Ada parent nak jumpa katanya."

Jeng jeng jeng! Suspen terus aku! Ni mesti kes back hand akulah ni!

Sampai di bilik PK HEM, SAH! Budak cina tu ada di sebelah PK HEM aku, dan bersama2 mereka ada seorang wanita agak tua yang aku kira pastinya nenek kepada budak cina tersebut.

"Shamsul, shamsul, what have you done?"

Sambil geleng2 kepala PK HEM aku bertanya. Aku buat2 tak paham, buat2 muka blank. Padahal dalam hati cuak giler bhai.

"Ini aunty Wang, nenek kepada Chong Chee Oon ni, dia kata sudah seminggu Chong tak mau pergi sekolah. Dia kata Chong takut nak pergi sekolah sebab ada seorang cikgu ni sangat2 garang. Bila saya tanya siapa cikgu tu, dia cakap nama cikgu Shamsul.

Shamsul, Shamsul, you garang sangat yea...?"

Kali ni aku betul2 blank. Setakat itu je ke? Kenapa dia tak tanya aku kes back hand tu?

Aku menoleh kepada Chong, dia dari tadi tunduk tak angkat2 kepala. Aku menoleh pula pada neneknya. Neneknya senyum tawar tak berkata apa.

PK HEM aku bersuara lagi:

"Macam ni Shamsul, aunty Wang ni kurang fasih Bahasa Malaysia. Semuanya Chong yang ceritakan pada saya. Saya still kurang jelas. So saya nak you cuba comunicate dengan aunty Wang ni. You boleh berbahasa Mandarin kan? Hari tu masa lapor diri you cakap you pernah belajar di SJKC kan?"

Aku senyum pada aunty Wang, mengambil tempat duduk berhadapan dengannya. Dalam otak aku ligat memutar apa alasan aku nak bagi pada aunty tua ni. Lalu dalam Mandarin aku bertanya:

"Hai aunty, apa khabar? Sudah sarapan?"

Aku mulakan dengan ayat2 manis membeli jiwa. Mula2 aunty Wang agak terkejut mendengar aku berbahasa Mandarin. Tiba2 dia bersuara, terhampur kata2nya, bertali arus. Ibarat M-16 memuntahkan pelurunya!

"Cikgu, cikgu ke yang garang itu? Apa cikgu sudah buat sama cucu saya? Cikgu, ini budak banyak nakal punya budak tau! Dia emak sudah mati, dia bapak sudah lari tak tau mana pergi. Sekarang saya jaga dia hari2, saya punya hati banyak sakit!"

Adui mampoi la aku kali ni!

"Cikgu, ini budak banyak nakal! Hari2 saya marah sama dia, hari2 saya pukul sama dia. Tapi dia tarak takut sama saya. Minggu lepas dia balik rumah, kemudian dia cakap dia sudah tak mau sekolah. Dia cakap dia sudah takut sama 1 orang cikgu! Saya jadi banyak hairan. Dia mana pernah takut sama orang lain punya! Itu pasal saya mau jumpa cikgu, mau tanya sendiri apa yang cikgu sudah cakap sama dia, apa yang cikgu sudah buat sama dia."

Aik, lain macam je...

Tiba2 suara aunty Wang sebak, menyambung percakapannya:

"Saya tak tau apa cikgu sudah buat sama ini budak, tapi saya mau terima kasih banyak2 sama cikgu. Sekurang2nya sudah ada orang yang dia takut. Saya mau dia terus sekolah, walaupun saya tahu dia bukan pandai punya budak tapi saya mau dia habiskan juga sekolah. Kalau dia berhenti sekarang saya takut dia mesti kawan sama itu samseng2 punya budak. Biarlah dia habis sekolah jugak, sudah habis sekolah nanti dia boleh tolong saya jual strawberi sahaja."

Suara aunty Wang makin sebak, dari kelopak mata tuanya sudah ada tanda rintik2.

"Cikgu, cikgu tolonglah ajar cucu saya. Saya tak kira apa cikgu mau buat sama dia. Cikgu mau marah, cikgu mau hantam pun takpa. Yang penting dia mesti kasi habis dia punya sekolah. Saya tak tau apa cikgu sudah buat sama dia tapi mesti cikgu sudah buat sesuatu yang betul!"

Aiyak aunty, you make me wanna cry also la.

Aku ketandusan idea. Tak tau nak respon macamana.

"Ah Chong mari sini, minta maaf sama ini cikgu. Janji lain kali tak mau buat lagi. Lepas ini mesti mau terus sekolah, ini cikgu mesti ajar kamu baik2, ajar kamu jadi orang baik."

***********************************

Hari2 berikutnya Chong terus bersekolah seperti biasa. Nakal? Ye, dia masih nakal. Tetapi di hadapan aku kenakalannya terkawal. Itu adalah tahun pertama dan tahun terakhir aku mengajar kelas Chong.

Tapi aku tetap mengikuti perkembangannya sehingga dia mengambil SPM dan menamatkan persekolahan.

Beberapa tahun lepas aku singgah di Pasar Malam Berinchang seorang peniaga strawberi cina menyapa aku. Teka siapa? Haha, mesti korang semua ingat Chong kan? Sori, bukan. Tetapi seorang pelajar cina lain, juga merupakan salah seorang bekas anak murid aku. Dapat jugalah diskaun pembelian aku kali itu.

So Chong dimana? Wallahualam, sejak tamat persekolahan aku tidak pernah bertemu lagi dengannya. Mesti korang bayangkan aku berjumpa dengan Chong lalu dia menangis2 memohon maaf dari aku kan? Huhu, mungkin dalam filem endingnya sebegitu, tapi dalam real life, inilah ending bagi kisah aku. Apa korang ingat cerita aku ini macam filem ka?🤔🤔🤔

Apa2 pun peristiwa Chong dengan aunty Wang pasti melekat dalam memori seumur hidup aku, kenangan membahan budak sehingga kantoi dengan neneknya. Tapi di akhirannya, ia memberikan satu kesan dan impak yang positif kepada aku dan juga Chong.

SELAMAT HARI GURU 2017.
SEKALI GURU SELAMANYA GURU.


Read more...

Peluang Kedua

Friday, April 14, 2017


Semalam aku berpeluang mengikut beberapa orang pegawai untuk lawatan ke sekolah dalam penjara, Sekolah Intergriti (W) Bentong. Apa, tak percaya? Tak pernah dengar sekolah dalam penjara? Ok tak payah nak terkejut sangat, aku pun baru semalam juga tahunya.😅😅😅

Seperti biasa kehadiran aku hanyalah sekadar anggota picisan dan pelengkap korum semata2. Tak banyak peranan dan sumbangan yang dapat aku berikan. Tetapi secara peribadi aku bersyukur dan amat berterima kasih kepada pegawai yang sudi mengajak aku menemaninya ke program tersebut. Besar pengajaran yang aku dapat di dalam sana.

Sampai ke saat aku menulis status ini, masih terbayang2 dalam ingatan aku ini wajah si gadis berusia 21 tahun itu. Bukan kerana raut wajahnya yang manis, tetapi kisah disebalik wajah itu sendiri. Bagaimana seorang gadis kecil yang wajahnya sebegitu manis dengan tutur suaranya yang sebegitu lembut boleh dijatuhi hukuman bersalah atas satu tuduhan berkomplot untuk membunuh!!?

Aku tak berhajat untuk bercerita panjang berkenaan kes tersebut, takut2 melanggar apa2 akta or kesalahan jenayah, tak pasal2 jadi penghuni sana pula! Cuma aku nak highlightkan kisah gadis itu sendiri.

Tahun ini tahun terakhir dia berpeluang untuk mengambil peperiksaan SPM. Aku dapat lihat bagaimana bersungguhnya pegawai2 pendidikan yang terbabit berusaha memastikan si gadis mendapat full privilage yang dapat pihak pendidikan tawarkan.

Menurut guru yang mengajarnya sejak dia dimasukkan ke dalam penjara itu, si gadis mempunyai peluang yang cerah untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM nanti. Malah jika betul gaya dan usahanya tidak mustahil untuk si gadis ini melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat universiti. Malah itu jugalah yang sedang diusahakan oleh semua pegawai2 pendidikan yang terbabit ini. Untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang tertinggi.

Ini merupakan satu peluang yang sangat baik buat si gadis untuk memperbetulkan haluan hidupnya yang mungkin telah agak terpesong selama ini. Ini ada PELUANG KEDUA buatnya dalam hidup, setelah dia melakukan kesilapan dalam kehidupannya yang lalu.

Apabila aku menyebut tentang peluang kedua, sudah tentu bukan setakat si gadis tersebut yang mendapatnya, malah semua banduan2 di dalam penjara tersebut. Selain meninjau keadaan dalam Sekolah Integriti ( W), sempat juga aku meninjau aktiviti2 utama banduan2 wanita di dalam penjara tersebut. Mereka memandang aku, dengan 1 pandangan yang sukar aku jelaskan. Yela, pandangan orang bersalah. Aku pula memandang mereka, dengan pandangan yang sehabis upaya aku untuk menunjukkan yang aku tidak 'menghakimi' mereka.

Apa yang telah mereka lakukan sebelum ini, merupakan 1 kesilapan lampau. Kini, mereka ditempatkan di penjara ini, menerima hukuman atas apa jua kesalahan yang telah mereka lakukan. Disinilah tempat mereka mendapatkan peluang kedua, peluang untuk memperbetulkan apa jua kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini. Semoga selepas keluar nanti mereka dapat memanfaatkan sisa2 umur mereka, dan lebih menghargai hidup dan nyawa yang ALLAH kurniakan ini.

Seketika aku pun berfikir, aku juga tidak jauh beza dengan mereka sebenarnya. Bukanlah dari segi jenayah yang mereka lakukan, tetapi dari sudut peluang kedua yang telah ALLAH berikan kepada aku. Seperti mana mereka, aku juga telah mendapat peluang kedua dalam hidup, setelah ALLAH memberikan aku kesembuhan dari penyakit kanser. Insha Allah, pastinya aku akan lebih menghargai hidup ini, dan cuba memanfaatkan segala sisa2 umur yang aku ada ini.

Yes, penjara bukan sahaja semata2 tempat penjenayah menerima hukuman, tetapi juga merupakan satu 'sekolah' untuk kehidupan.

Read more...

Terapi Air: Penawar Kanser...

Thursday, January 15, 2015

Assalamualaikum...

Dari pencarian aku di internet banyak juga aku terbaca tulisan atau perbincangan mengenai terapi air ini... Hanya dengan meminum air dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang terdapat di pasaran ketika ini... Dari sekecil-kecil anak penyakit sehinggalah kepada sebesar-besar ibu penyakit... Termasuklah penyakit maut seperti serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetes malah kanser sekali pun...

Terapi yang dikatakan berasal dari Jepun ini didakwa amat berkesan terhadap pelbagai jenis penyakit kerana fungsinya terhadap sekurang-kurangnya 5 perkara ini:

1. Mengimbangi Sistem Limfa, supaya setiap kelenjar dalam tubuh dapat berfungsi dengan sempurna. Mengimbangi kadar cecair dalam badan dan menentang sebarang jangkitan...

2. Air yang mencukupi dalam badan dapat membantu membersihkan sistem kolon dan membantu menyerap nutrisi dengan lebih baik...

3. Meningkatkan kadar pertumbuhan sel-sel dan tisu-tisu baru dalam badan...

4. Membantu masalah obes dengan meningkatkan kadar metabolisme seseorang dan

5. Mencantikkan kulit dengan menjadi agen menyah toksid dari dalam badan...

Nah, ini bukan aku yang cakap tapi pengamal-pengamal terapi tu yang cakap... Tapi bila difikir-fikirkan memang agak logik memandangkan peri pentingnya air itu kepada tubuh manusia... Tahukan anda yang 70% dari tubuh kita ini adalah dari cecair...? Manakala otak kita ini pula 85% daripadanya adalah terbentuk dari cecair... Cuba bayangkan jika tubuh kita ini kekurangan air... Sudah pasti pelbagai penyakit yang boleh datang menyerang... Antara penyakit yang sering dikaitkan dengan kekurangan air dalam badan adalah seperti asma, diabetes, penyakit batu karang, haid tidak menentu, pelbagai jenis kanser seperti leukemia, kanser payu dara, kanser usus, sembelit, migrain dan pelbagai lagi... Uiii banyaknya... Syerrremmm tuh...

Namun untuk mengamalkan terapi air ini bukan dengan minum sembarangan sahaja... Ada juga tata caranya... Cara-caranya adalah:

  • Sebaik sahaja bangun dari tidur, sebelum anda berbuat apa-apa termasuk mengosok gigi; minumlah air sebanyak 4 gelas (1.5 liter)...
  • Sesudah itu barulah bersihkan mulut dan gigi anda...
  • Jangan mengambil sebarang makan atau minuman untuk sarapan selama 45 minit...
  • Selepas bersarapan, jangan minum apa-apa selama 2 jam...
  • Itu sahaja...
Manfaatnya...? Dikatakan dapat menyembuhkan penyakit-penyakit berikut dengan mengamalkannya selama tempoh-tempoh tertentu, seperti:

  • Tekanan darah tinggi - 30 hari
  • Diabetes - 30 hari
  • Gastrik - 10 hari
  • Sembelit 10 hari
  • Kanser 180
  • Penyakit-penyakit lain: akan sembuh dengan amalan yang berterusan...
Berani cuba...? Well apa yang nak ditakutkan, sudahla tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja tambahan malah boleh dikatakan sifar risiko... Tidak rugi untuk mencuba, kan...

p/s: Tidak disyorkan kepada mereka-mereka yang mempunyai masalah seperti paru-paru berair dan seumpamanya... Sebarang penyakit yang berlarutan semestinya perlu dirujuk kepada hospital terlebih dahulu...


Read more...

Hanya Pinjaman...

Friday, January 9, 2015

Assalamualaikum...

Kadang-kadang aku merasa rindu... Aku rindu untuk 'bersuara'... Aku rindu untuk berbual-bual... Berbual-bual dengan orang rumah... Melayan bualan anak-anak... Berbual dengan adik beradik mak bapak... Berbual dengan rakan-rakan, sembang pasal masalah dunia, politik dan sukan...

Aku ingat ketika belajar di universiti dahulu, antara perangai pelik aku dengan rakan-rakan baik adalah kami suka bercakap sambil bertempik... Kami akan bercakap dengan nada yang kuat, tertaki-taki sesama sendiri... Sehingga kadang-kadang datang rakan dari bilik-bilik sebelah, kehairanan sambil bertanya adakah kami sedang bergaduh... Padahal borak-borak kosong jer... Sengal betul...!

Keluarga aku jenis yang kuat berborak juga... Kebiasaannya jika semua adik beradik balik ke rumah orang tua ketika hujung minggu, meja makan adalah tempat kami berborak-borak... Kadang-kadang selesai makan boleh sampai berjam kami lepak di meja makan... Sampai tangan keras dengan sisa-sisa makanan, malas nak bangun basuh... Tapi sekarang aku banyak jadi tukang senyum dan tukang angguk sahaja...

Kadang-kadang pula aku rindu akan bau-bauan... Aku rindu bauan CK aku... Aku rindu bauan Nina Richi wife aku... Aku rindu bau talkum Pureen anak-anak aku... Bau-bau makanan jangan ceritalah... Herm bila teringat bau gulai tempoyak patin mak aku, atau daging masak pindang kak long aku, perghhh perut yang kenyang boleh lapar balik dibuatnya... Tapi yang baiknya pula aku dah tak perlu lagi menutup hidung ketika membuang sampah... Atau merungut akan bau busuk tahik si Syafi yang bertakung dalam pampersnya itu... Huhuhu... 

Dan kadang-kadang aku rindu nak menyanyi... Ketika memandu aku suka melayan radio, menyanyi bersama-sama dengan lagu yang diputarkan oleh deejay... Aku jenis yang sukakan semua kategori lagu, tak kira genre apa... Rock kapak, balada, dangdut, raggea boleh belaka... Dari rock keras Metalicca aku layan, sampailah ke lagu Siti Nurhaliza... Besar kesilapanku besar lagi keegoanmu... Huh layan gak lagu tu kan... Hee3...

Kalau korang nak tau ketika di universiti, nickname aku adalah Song... Diberi oleh seorang senior ketika minggu orientasi... Puncanya sebab dia dengar aku menyanyi di dalam bilik air... Lagu yang didendangkan: Enggan dari Fauziah Latiff... Pergghh ganas tak aku...? Ganas tak...?

Tapi itu dahulu, ketika aku 'sihat'... Terkadang timbul gak persoalan, mengapa nasib aku sebegini, timbul rasa sedih, terkilan... Tapi cepat-cepat aku sedar, tarik nafas dalam-dalam... Akui dan terimalah hakikatnya... Suara aku ini hanya pinjaman... Hidup aku ini hanya pinjaman... Dunia ini hanya pinjaman... Tiada yang kekal disini... Suatu masa nanti semua akan dipulangkan... Hatta nyawa pun perlu dipulangkan... Sebelum dibangkitkan kembali di alam yang kekal abadi... 

Dan di sana esok insha Allah, dengan izinNya kita akan kembali sempurna... Kita akan dapat kembali apa yang kita inginkan... Malah kita boleh dapat apa yang kita tak dapat ketika disini... Bahkan mungkin lebih lagi... Ye lebih lagi, lebih dari yang kita impikan, lebih dari yang mampu kita bayangkan... Tapi semuanya dengan 1 syarat: BEKALAN yang mencukupi...


Read more...

Roller Coaster

Monday, May 26, 2014

Assalamualaikum...

Toing toing toing... Tetiba je aku rasa nak menulis... Yup dah genap setahun setengah aku membiarkan blog ni tersadai berpenunggu.. Dan tetiba jer pulak malam ini datang keinginan nak menulis... Aku harap kali ini aku lebih bersegamat... Ibarat naga yang baru bangun dari tidur... Kebuluran dan bakal mengamuk...

Kemana aku selama ini...? Apa yang aku buat selama menyepi ini...? Kenapa tetiba jer malam ni nak start menulis balik...? Jangan ditanya semua itu... You dont want to know... But still, i want and will share it with you... Keh keh keh...

Tahun ini tahun edan bagi aku... Tahun aku didatangi ujian yang agak mencabar... Setelah melalui beberapa musim yang gemilang dan ibarat 'being at the top of the world' kini aku seperti manusia biasa yang lain melalui pula siri kepayahan...

Selama ini memang aku percaya akan bait-bait kata dalam lagu M. Nasir:

" Hidup dan nasib... Roller coaster, roller coaster... 
Susah dan senang bersilih ganti... Bila-bila boleh naik dan turun... "

Well itu semua mmenag terjadi dalam kitaran hidup aku... Dan bermula awal tahun ini aku merasakan aku berada dibawah ketika ini... Whoopsss jangan ingat aku nak menyalahkan takdir ke apa ke... Tidak sesekali... Malah aku sebenarnya amat BERSYUKUR kerana sebelum kedatangan tahun 2014 aku telah merasai beberapa siri 'kenikmata' hidup yang aku tak pernah rasai lagi...

Perlu ke aku nak bercerita semuanya dalam 1 entri ini...? Of course la tak der... Ileks ler man man cak megong... Banyak lagi yang aku nak cerita nanti... Kita jumpa di entri seterusnya sahaja... Woke chow dulu... 








Read more...

Jangan Pandang Sebelah Mata...

Monday, February 13, 2012

Hari ini baru aku sedar yang aku telah melakukan satu lagi kesilapan. Ya bukan silap besar pun, malah tak mendatangkan kesan pun kepada sesiapa... Tetapi sebenarnya kesilapan tersebut merupakan kesilapan yang aku benci apabila ada orang melakukannya terhadap aku, tetapi hari ini aku yang telah melakukannya... Kepada anak murid aku sendiri... Wooppss...!

Alkisahnya:

Tahun lepas lebih kurang sebulan sebelum pelajar tingkatan 3 menghadapi peperiksaan PMR, aku mendapat jadual untuk mengajar kelas tingkatan 3, matapelajaran Pendidikan Seni Visual...! Ei apa daa... Seni Visual...? Setakat ini lukisan aku yang paling cantik aku pernah lukis pun adalah gambar orang lidi...! Toinnnggg...! Aku segera ke bilik GPK 1.

"Bos, Seni Visual tingkatan 3...? Apa saya nak ajar ni...? Saya tak pandai melukis pun bos...!"

Relaks je GPK 1 aku jawab:" Eh bukan mengajar PSV, tu dalam jadual jer... Sebenarnya diorang ni dah masuk minggu ulangkaji dah. Ko bukan mengajar PSV, tapi buat ulangkaji je dengan diorang. Bahan semua dah ada, ko cuma bagi diorang soalan dan bincang jawapan je..."

"Wo macam tu ke...? Beres bos..."

Mengikut jadual yang diberi aku masuk ke kelas. Subjek yang aku perlu bincangkan dengan mereka adalah subjek Matematik. Aku sebenarnya jarang sangat mengajar kelas menengah bawah (tingkatan 1-3) jadinya agak kekok juga pada permulaannya. Kena pulak kelas yang aku masuk ni agak ke belakang, jadi budak-budaknya pun boleh tahan la...

Segera menjadi perhatian aku adalah sekumpulan 5 orang pelajar yang duduk di belakang sekali. Memang menguji kesabaran aku diorang berlima ni. Di kala pelajar-pelajar lain nampak nak sangat belajar, diorang ni ambil sambil lewa. Terutamanya sorang yang aku target 'kepala' geng berlima ni. Setiap kali masuk ke kelas aku terpaksa menumpu lebih perhatian pada mereka berlima. Bila diberi amaran baru mereka senyap, cuma yang sorang ni betul-betul tak 'makan saman' punya budak...!

Dipendekkan cerita satu hari tu aku hilang sabar. Hem diorang ni memang mencabar harimau yang sedang menyorokkan kuku ni...! Apa lagi, merasalah amukan si Bongkok dari Gua Hantu...! Sorilah aku tak boleh cerita detail, nanti jadi bahan bukti naik mahkamah pulak... Har har... Akhir sekali aku sound direct je pelajar sorang ni:"kalau macam nilah perangai kamu, memang lingkuplah PMR kamu...! Lepas ni baik tak payah sambung tingkatan 4. Terus melepak tepi longkang jelah kamu ni...!" Perhh baran betul aku masa tu...

Kebetulan itu merupakan kelas terakhir aku bersama mereka. Minggu berikutnya PMR pun berlangsung dan aku tak jumpa pun dah pelajar tersebut... Sehinggalah pagi tadi...!

Pagi tadi aku terserempak dengan pelajar ni... Dari jauh aku nampak dia tersengih jer...

"Cikgu..." Dia menyapa aku dulu...

"Ha kamu... Hidup lagi (ayat biasa aku bila jumpa budak yang lama aku tak jumpa). Nak pergi mana ni? Kelas mana sekarang?"

"Nak ke makmal Fizik cikgu... Saya kelas 4 Jujur (aliran sains) sekarang..."

Dia minta diri sambil berlalu. Sopan sungguh aku nampak sekarang ni... Aku tak terkata apa-apa. Hanya mengiringi dia dengan pandangan kosong. Macam tak percaya jer aku, tapi itulah kenyataannya... Silap aku kali ini..! Aku percaya dalam hati budak tu mesti dengan bangga berkata:"Ha, tulah cikgu lain kali jangan pandang saya sebelah mata tau...!"

Kuang kuang kuang...

Gambar hiasan. Gambar member lama aku yang kini sudah berjaya di Hollywood. Dulu aku pun pandang sebelah mata gak kat mamat ni. Tak sangka sekarang dah jadi megastar pun kat sana... Hua hua hua...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP