Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Info Kanser. Show all posts
Showing posts with label Info Kanser. Show all posts

Kanser Peti Suara: Bagaimana Kami Makan

Monday, March 27, 2017

Satu pertanyaan yang paling sering aku terima setakat ini adalah:

"bagaimana aku makan?"

Nampaknya ramai juga yang tertanya2 bagaimana orang2 yang tiada vocal cord seperti aku ini makan. Melalui manakah makanan dimasukkan dan bagaimanakah laluan makanan tersebut untuk sampai ke dalam perut kami.

Mungkin perkara yang menimbulkan kekeliruan mereka itu adalah apabila mereka melihat laryngectomee stoma di leher aku ini. Malah ada juga yang menganggap makanan perlu dimasukkan melalui stoma tersebut. Hermmm...🤔🤔🤔

Baik, biar aku jelaskan. Mari kita lihat Diagram di bawah. Diagram A adalah anda semua sekarang ini dan aku pada suatu ketika dulu. Organ kita sempurna, cara makan kita pun sama. Kita akan makan dan minum melalui mulut, makanan dan minuman akan melalui salur esophagus dan terus masuk ke dalam perut.

Dalam masa yang sama kita akan bernafas menggunakan hidung/ mulut, udara akan melalui salur trachea terus ke paru2. Di sinilah vocal cord memainkan peranan. Selain bergetar untuk menghasilkan suara, vocal cord juga bertindak sebagai divider/ pintu kepada laluan makanan/ minuman dengan udara.

Sekarang lihat pula Diagram B, inilah gambaran anatomi bagi mereka2 yang telah menjalani pembedahan membuang vocal cord (total laryngectomy). Oleh kerana vocal cord kami telah tiada, maka kami tiada lagi mekanisma untuk membahagikan makanan/ minuman dengan udara yang masuk.

Ini sangat merbahaya, jika laluan ke perut ditutup untuk memberi laluan kepada udara untuk sampai ke paru2, maka kami tidak akan dapat makan/ minum. Sebaliknya jika laluan udara pula ditutup untuk memberi laluan kepada makanan dan minuman untuk masuk ke perut kami, kami tidak boleh bernafas pula..!

Maka untuk itu satu laluan lain perlu dibuka. Makanan/ minuman kini sudah tidak boleh menggunakan laluan yang sama dengan udara. Mereka perlu bergerak dalam laluan yang berasingan sekarang ini.

Makan dan minum kami masih seperti biasa. Masih masuk dari mulut, melalui salur esophagus terus ke dalam perut. Namun laluan pernafasan kami sudah tidak seperti dahulu.

Satu laluan baru harus dibuka untuk laluan udara, untuk itu satu lubang sebesar syiling 20 sen ditebuk di leher kami, khas untuk laluan udara menuju ke paru2. Itulah cara kami bernafas sekarang ini, udara akan masuk dari stoma, melalui salur trachea dan terus ke paru2.

Ada yang tanya pula: sampai bila? Jawapannya: sampailah kami dikafankan...

Oh ye, memandangkan udara yang kami sedut sudah tidak melalui hidung, maka kami juga sudah hilang keupayaan untuk menghidu/ mencium bau. Namun ada teknik2 tertentu yang boleh diamalkan untuk menghidu/ mencium bau, itu next time aku cerita ye.


Read more...

Mimpi dan Realiti...

Monday, July 6, 2015


Assalamualaikum...

Dah masuk trimester yang ketiga dah puasa kita tahun ni kan, korang sedar tak kita dah masuk 10 hari terakhir dah ni...? Fuh macam tak caya jer, ngeee... Dari satu segi aku merasa lega dengan semakin nak berakhirnya ramadan kali ini, namun aku juga bersyukur Alhamdulillah sesangat kerana aku masih diberi kekuatan untuk mengharunginya... Memang ini merupakan ramadan yang paling mencabar bagi aku (considering keadaan fizikal aku sekarang ini)...

Manakala dari satu segi yang lain sudah tentulah sebagai ummat islam kita akan merasa sedih dengan berlalunya ramadan ini...Yela sebab bulan pesta mengumpul pahala semakin berakhir, dan ianya hanya akan datang setahun lagi dari sekarang. herm entah kan sempat entahkan tidak, kan...

So bagaimana kutipan korang musim ini setakat ini, memuaskan tak...? Ok yang ini tak payah cerita lah kan, sendiri punya bakul sendiri kumpul lah... Just aku nak ingatkan dalam 10 hari terakhir ni DIA dah sediakan sesuatu yang SANGAT-SANGAT istimewa, kan...? So Anak cina makan, sindiri mau ingat...

Bangun je pagi tadi tiba-tiba je aku rasa nak cerita pasal mimpi aku... Aku jarang bermimpi sebenarnya, lebih-lebih lagi mimpi yang best-best, yang ada makna, yang ada moral disebaliknya; seperti yang aku alami malam kelmarin... Mimpi aku itu mimpi yang just nak menjelang waktu aku bangun sahur, terasa real sangat mimpi tu...

Mimpi aku itu berlatar belakang pertandingan... Aku menyertainya, bersama dengan ramai orang yang hampir sebaya dengan aku sahaja, dan pesertanya hanya lelaki sahaja...Macam-macam pertandingan yang kami sertai, ada yang berbentuk menguji kepintaran, kekuatan, kecergasan dan kepantasan...

Dipendekkan cerita, aku mengakhiri kesemua pertandingan tersebut pada kedudukan sederhana sahaja... Aku tidak menjadi juara pun, jauh sekali menjadi peserta yang mendapat pujian dan pujaan orang ramai... Namun secara peribadinya aku berjaya menamatkan kesemua pertandingan yang aku sertai, ye ada yang aku kalah tapi ada juga yang aku menang, cumanya markah terkumpul tidak melayakkan aku menjadi juara...

Namun aku tidak kecewa kerana di pengakhirannya aku tetap mendapat reward atas penyertaan aku itu... Rewardnya, haa part ni paling best... Untuk orang lain aku tak pasti tapi bahagian aku, rewardnya merupakan seorang BIDADARI, perghhhh...!! Pada permulaanya ianya membelakangi aku dan apabila ia berpaling, wajahnya sangat-sangat aku kenal... Rupa-rupanya bidadari tersebut adalah isteri aku sendiri... Wahhh jiwangla plaks... Ngeee...

Sekadar gambar hiasan

Wokey the next thing tak boleh cerita, bukan untuk tontonan umum... Hehee... Cumanya aku suka untuk refleks mimpi tersebut dengan kejadian di dunia sebenar... Seperti yang aku katakan di awal tadi ianya menjadi best sebab aku rasa ianya terkait rapat dengan apa yang aku alami di dunia realiti ini...

Sangat betul apabila aku umpamakan hidup ini sebagai medan pertandingan, atau medan UJIAN untuk lebih tepatnya... Dan lebih betul bila hasilnya ada ujian yang aku GAGAL, tidak melepasi kelayakan dan tidak mencapai piawaian yang dikehendaki... Namun aku tidak gagal kesemuanya, ada juga yang aku MENANG, berjaya mengatasi cabaran yang diberikan dan menepati kehendak-kehendak pertandingan... Dan paling utama aku tetap diberikan GANJARAN atas usaha yang aku telah berikan sepanjang pertandingan tersebut...

Yang paling memberi kesan kepada aku adalah apabila aku mengambil kira pengajaran dari mimpi aku ini... Betul, sejak kebelakangan ini aku dilanda dengan pelbagai UJIAN, perit aku menghadapinya, dan memang aku telah tewas beberapa kali, aku tersungkur. aku rebah... Namun aku yakin, sinar kemenangan tetap ada menanti aku, yang penting aku tetap berusaha dan tidak berputus harap kepadaNYA... Dan aku pasti akan menanti GANJARAN yang DIA sediakan untuk aku nanti...

**********************************

Ok done kisah mimpi, mari kita cerita pasal realiti plak... Beberapa hari yang lepas aku ke Bandar Kinrara Puchong, bertemu dengan Mr. Eddie Phang, seorang pembekal peralatan bagi mereka-mereka yang menjalani pembedahan laryngectomy, seperti aku... Kami diperkenalkan oleh doktor yang merawat aku, Dr Mawwadah... Rupa-rupanya Eddie telah lama membekalkan peralatan-peralatan post laryngectomy ni, samada kepada hospital mahu pun kepada individu-individu... Banyak peralatan-peralatan di pejabatnya, hampir complete untuk keperluan bekas-bekas pesakit kanser yang menjalani pembedahan pembuangan pita suara...

Antara peralatan-peralatan yang terdapat di pejabat Eddie Phang

Menariknya bersama Eddie ini, dia bukan hanya sekadar menjual peralatan-peralatan tersebut tetapi juga menyedia khidmat nasihat dan kaunseling berkenaan dengan kegunaan peralatan-peralatan yang terbabit... Aku tak sangka pula yang Eddie akan mencerita panjang lebar...Hampir 2 jam aku bersamanya, mendengar penerangannya malah siap diberi peluang untuk mencuba sendiri peralatan-peralatan yang terdapat di situ...

Tujuan utama aku bertemu dengan Eddie sebenarnya adalah untuk mencuba satu alat yang dipanggil electrolaryng... Ye memang pada permulaanya aku tidak berminat langsung kerana electrolaryng ini akan mengeluarkan suara yang mono tone, mono frekuensi, sebiji macam suara robot... Tetapi rupa-rupanya dengan perkembangan teknologi terkini, telah ada electrolaryng yang berfungsi dengan multi tone dan frekuensi... Yang aku tonton di youtube tu siap boleh berkaraoke lagi seorang pengguna tu... Wow sungguh mengujakan... Itu antara sebab utama aku ingin mencuba electrolryng ini...

Namun bila ditanya tentang harga, gulppp mencecah RM4000 ko... Herm kalau nak beli saja-saja memang takde ler... Tapi menurut Eddie, memandang aku adalah kakitangan kerajaan kemungkinan aku boleh membuat tuntutan pembelian melalui JPA... Cumanya aku tetap kena dahulukan dengan duit aku sendiri dahulu... Herm kalau boleh claim nampak macam menarik juga, balik nanti harus ku selidik dengan lebih jelas...

Mencuba electrolaryng teknologi terkini yang memiliki multi tone dan frekuensi

Selain electrolaryng, peralatan utama yang dibekalkan oleh Eddie adalah set TEP, iaitu set implan yang dimasukkan kedalam tekak bagi menggantikan fungsi pita suara yang telah dibuang... Sudah tentulah ini merupakan teknik atau cara yang paling mudah dan berkesan untuk bekas pesakit seperti aku ini untuk kembali bersuara... Namun ini juga merupakan kaedah yag paling banyak risiko yang perlu ditanggung oleh seseorang pengguna itu seperti risiko kebocoran, kerosakan dan lain-lainnya...

Herm mesti korang terpinga-pinga tak faham apa yang aku sampaikan ini kan...? Bagi yang dah lama folow cerita aku ni mungkin ada clue sikit-sikit kan...? Aku pun dah pernah menulis serba sedikit mengenai 3 pilihan yang aku ada untuk kembali bersuara disini>>... Tapi bagi yang tak tahu langsung tu pun takpe, lepas ni memang aku bercadang untuk buat entri-entri penjelasan yang lebih detail berkenaan kaedah-kaedah untuk kembali bersuara bagi bekas pesakit-pesakit kanser pita suara, yang menjalani pembedahan pembuangan peti suara, seperti aku ini...

Tapi dalam masa yang sama ini aku masih meneruskan pembelajaran aku untuk bersuara melalui kaedah esophangus speech... Satu teknik yang terbaik, free maintenance dan zero risiko... Dan ye, memang ada perkembangan yang baik untuk aku... Walaupun progresnya agak perlahan tapi grafnya masih mendaki, bukan statik malah tidak menurun... Aku sedar aku bukan seorang fast learner, hakikat ini aku sedari lama dah... tapi aku juga sedar walaupun aku agak lambat dalam mempelajari sesuatu yang baru, tetapi apabila aku sudah mendapat rentak, atau bila dah kena dengan tune dia, haa masa tu memang aku akan kicking a** lah... Kikiki...

Dan kalau benarlah petanda yang aku dapat melalui mimpi aku yang aku alami baru-baru ini, aku yakin sinar kemenangan ADA menanti untuk aku... Aku ingin berjaya dengan teknik ini... Aku akan PASTIKAN aku akan berjaya dengan teknik ini... Insha ALLAH, wish me luck wokey... ;-)

Gigih mendengar penerangan dari Mr Eddie Phang






Read more...

17 Fakta Yang Semua Orang Patut Tahu Berkenaan Kanser...

Wednesday, April 15, 2015


Assalamualaikum...

Kanser... Kanser... Kanser... Takde cerita lain ke...? Well dah nama pun pesakit kanser, so banyaklah aku nak cerita pasal penyakit ni kan... Hehee jangan marah haa... Lagi pun ini sebenarnya maklumat umum, bukan khas untuk pesakit kanser sahaja... Bagi aku semua orang patut tahu ini semua... So mari kita tengok 17 fakta tersebut... Lets cekidout:

#1: Penyelidik kanser di seluruh dunia bersetuju yang SEPARUH dari kematian yang berpunca dari penyakit kanser atau yang berkaitannya boleh DICEGAH... Dalam tahun 2015 ini dijangkakan seramai 1.6 juta kematian melibatkan kanser - maka jika kita dapat menyelamatkan separuh darinya, ia akan merupakan satu permulaan yang amat baik...

#2. Kanser merupakan 1 NAMA bagi lebih daripada 100 jenis penyakit... Kanser sebenarnya berpunca daripada sel-sel abnormal yang bercambah dan merebak tanpa dapat dikawal oleh sistem tubuh, dalam masa yang sama ianya MEMBUNUH sel-sel baik yang diperlukan oleh badan... Kebanyakkan akan 'menghasilkan' tumor/ ketumbuhan kecuali kanser darah...

#3. Hanya sebilangan kecil dari penyakit kanser (kurang dari 5%) adalah berpunca dari GENETIK... Walau bagaimanapun gaya hidup, pemakanan, kediaman dan faktor persekitaran dari keluarga kitalah yang banyak menyumbang dan memainkan peranan...

#4. Daripada semua di atas, faktor persekitaran merupakan faktor yang PALING menyumbang kepada risiko diserang kanser... Udara yang kita sedut, air yang kita minum, makanan yang kita jamah semuanya sangat penting... Oleh kerana kediaman dan tempat kerja merupakan 2 tempat yang paling banyak masa kita dihabiskan disana maka kebersihan di 2 tempat ini haruslah menjadi keutamaan...

#5. Lebih daripada 90% punca kanser paru-paru adalah dari ROKOK... Bukan dari tembakau sebenarnya tetapi bahan kimia yang dicampur untuk menghasilkan produk tembakau tersebut... Berhenti merokok adalah satu-satunya usaha yang patut anda lakukan sekarang ini... Kanser paru-paru meragut 1 NYAWA setiap 30 SAAT di serata dunia...

#6. Kekurangan waktu tidur - kurang dari 6 jam setiap hari, meningkat risiko seseorang itu diserang kanser usus... Satu kajian mendedahkan mereka yang bekerja pada waktu malam lebih terdedah kepada risiko ini... Tidur yang secukupnya amat penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan mengurangkan risiko diserang kanser...


#7. Setiap hari, lebih dari 40 kanak-kanak didiagnos sebagai pesakit kanser - lebih dari 14,000 setiap tahun di negara U.S sahaja... Kanser (atau lebih tepat RAWATAN KANSER, iaitu radioterapi dan kemoterapi) merupakan pembunuh nombor 1 kanak-kanak disana...

#8. Makanan yang mempunyai label sodium nitrate dan potassium nitrade adalah makanan yang paling harus dielakkan sekali... Penyediaannya dalam suhu yang tinggi akan menghasilkan KARSINOGEN yang menyebabkan kanser... Termasuk dalam makanan-makanan tersebut adalah dari makanan segera seperti sosej...

#9. Secara globalnya, setiap 1 daripada 8 kematian adalah disebabkan oleh KANSER... Malahan kematian akibat kanser melebihi kombinasi kematian akibat malaria, tibi dan AIDS... Kanser lebih banyak menyerang di negara-negara membangun...

#10. Kanser yang paling banyak menyerang kaum wanita adalah kanser PAYUDARA... Selain itu kanser yang lebih banyak membabitkan kaum wanita juga adalah kanser servik dan usus...

#11. Kanser paru-paru, prostat dan perut merupakan kanser yang paling banyak menyerang LELAKI... Peratus survival untuk kanser paru-paru secara umumnya hanyalah 20%... Jika anda seorang merokok di tempat kerja yang bertoksin, peluang anda untuk pulih menjunam ke 3% sahaja...

#12. Mereka yang berumur 55 tahun ke atas mempunyai risiko yang lebih TINGGI untuk diserang kanser... Lebih kurang 77% daripada pesakit kanser di seluruh dunia adalah dari kumpulan usia ini...

#13. Kajian mendedahkan OBESITI juga meningkatkan risiko kanser... Ianya juga mengurangkan peluang survival jika sesorang pesakit kanser itu dalam masa yang sama mengalami masalah obesiti...

#14. Anda mungkin tidak akan mengalami sebarang SIMTOM untuk kanser ovari, paru-paru dan usus sehinggalah ianya telah MEREBAK ke seluruh anggota tubuh anda yang lain... Satu-satunya cara untuk mengesan dengan lebih awal hanyalah dengan melakukan pemeriksaan berkala...

#15. Kanser kulit kini dikesan lebih kerap... Jumlah yang dikesan sebagai pesakit kanser kulit sehingga ke hari ini MENINGKAT saban tahun... Antara punca yang sering disebut adalah terdedah kepada sinaran cahaya matahari namun kajian menunjukkan ianya tidak TEPAT sepenuhnya...

#16. Sel-sel sihat di dalam badan mempunyai keupayaan untuk memusnahkan diri sendiri (self-destruct). Saintis menggelarkan proses ini sebagai APOPTOSIS di mana sel-sel sihat ini akan mengesan sebarang kerosakan padanya dan akan memusnahkan dirinya sendiri demi untuk melindungi keseluruhan sistem... Namun dalam kes sakit kanser, proses ini TIDAK berlaku dan sehingga ke hari ini saintis masih belum menemui jawapan mengapa...

#17. Terdapat makanan yang dapat MENYEMARAKKAN proses APOPTOSIS ini... Antaranya adalah teh hijau, buah-buahan berries, kunyit, avocado, bawang putih...

p/s: Ambil tahu, ambil berat... Amalkan gaya hidup sihat dan jauhi faktor-faktor yang meningkatkan risiko...


Read more...

Nikmatnya Merokok

Thursday, April 9, 2015


Assalamualaikum...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok menyebabkan aku mula teringin untuk mencuba seawal usia 14 tahun... Bila tengok rakan-rakan yang mengisap nampak cool je, macho je... Pernahla aku cuba-cuba, sepambab kata budak-budak dulu... Namun ianya tidak melekat, tidak menjadi tabiat... Ketakutan aku pada bapak aku melebihi segala-galanya... Giler, kalau dapat tahu ke dia aku hisap rokok kompom belakang aku akan birat dengan getah paip... Aku tidak menjadi perokok, tidak sehingga beberapa tahun kemudiannya...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok membuatkan aku mula merokok dengan syoknya ketika aku bersekolah di Kuantan, SM Teknik, sekolah berasrama penuh ketika itu... Duduk di asrama, berjauhan dari kedua orang tua membuatkan aku rasa sungguh bebas... Warden dan undang-undang asrama tidak banyak dapat menyekat aktiviti terlarang aku dan rakan-rakan... Prinsip masa tu: undang-undang dicipta untuk dilanggar... Jiwa remaja, mana takut... Setakat kena selibas dua rotan di punggung; malah penampar kapit warden pun tak mampu 'menggoyangkan' aku n the gang...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok, aku mula menjadi seorang perokok tegar ketika bergelar mahasiswa... Ku sangkakan di universiti inilah tempatnya untuk aku berhenti merokok, tapi dugaan aku meleset... Di tempat yang so called menara gading ini rupanya kehidupan lagi bebas... Mana ada orang nak bising-bising pasal kau, apa kau nak jadi, jadilah... Kau nak terlentang, nak telingkup, kau punya suka... Janji study kau ok, kalau study lingkup memang good byelah kan... Ooo gitu rupanya... Makanya hubungan aku dengan rokok tak pernah terputus, malah tautannya semakin erat...

Nikmatnya Merokok...

Nikmatnya merokok, ketika di alam pekerjaan aku dan rokok tidak dapat dipisahkan lagi... Waktu kerja aku merokok, waktu rehat merokok, lepak dengan kawan merokok, memandu merokok... Senang cerita waktu tidur je aku berhenti merokok...

Duit yang terbang akibat perbelanjaan rokok tak pernah membebankan aku... Datanglah teori apa pun, boleh kawin 4 ke, boleh beli Ferrari ke pebenda ke, i dont care... I love to smoke... Smoking make me feel good... Arghhh nikmatnya merokok...


Ye merokok membazir, merokok mendatangkan penyakit, merokok menyebabkan nafas dan badan berbau busuk, merokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah memberi risiko kepada orang sekeliling... Aku sedar semua itu tapi yelah pada ketika itu pemikiran aku hanya 1: ada aku kisah...? Duit aku, badan aku, nafas aku; aku punya hal lah kan...

Sehinggalah aku didiagnos sebagai seorang pesakit kanser... Perghhh bayaran cash aku dapat... Mungkin ada sebab-sebab lain yang menyumbang seperti pemakanan, gaya hidup, stress dan sebagainya tapi secara peribadi aku lebih berat merasakan ianya memang berpunca dari tabiat merokok aku itu... Sekarang baru aku nak percaya, baru nak menyesal... Hermmm dah terantuk baru nak tengadah...

Tapi takpe, ini takdir aku, yang tangan aku sendiri mencorakkannya... Sendiri cari pasal so sakarang sendiri mau tanggungla... Nak tak nak aku kenalah terima, dan aku dah pun belajar menerimanya... Kini aku nak merasai satu nikmat yang baharu pula... Sesuatu yang jauh lebih baik dan sepatutnya aku nikmati dari dulu lagi... Kini aku merasai pula Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya Tidak Merokok

Nikmatnya tidak merokok, tanpa aku sedari sebenarnya aku telah menjimatkan perbelanjaan aku lebih kurang sebanyak rm300-400 setiap bulan... Patutlah aku kuat berjalan sekarang...

Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya tidak merokok, sekarang aku rasakan yang aku dapat bernafas dengan lebih segar... Takde tersekat-sekat seperti yang pernah kadangkala aku rasai dulu... Nafas sudah tidak berbau, tidur malam yang lebih selesa dan rasa lebih segar...

Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya tidak merokok, kini tiada lagi rungutan dari orang sekelilingku... Takde lagi yang komplen bau busuklah, sesak nafas dengan bau rokoklah,buang duitlah dan yang sewaktu dengannya... Kini aku pulak yang rasa nak marah bila tengok orang merokok depan aku... Wei nak minta penyakit tu pergi sorok-sorok sikitla, kang dengan orang- orang sekeliling kau dapat penyakit sekali...

Nikmatnya Tidak Merokok...

Nikmatnya tidak merokok, sudah tentulah nikmat yang terbesar bagi aku adalah aku dapat menjauhkan diri dari 1 lagi perkara HARAM... Sori guys yang still mengisap itu, memanglah ada yang cakap hukum merokok ni ada 3: HARUS, MAKRUH dan HARAM... Memanglah dulu aku pun guna pakai 2 hukum yang 'menyebelahi' kita tu... Tapi hakikatnya bila diteliti, memang merokok boleh menyebabkan 1001 jenis penyakit; lebih-lebih lagi dalam konteks aku ketika ini... Makanya sekarang ini aku amat-amat bersetuju dengan pendapat jumhur ulama yang mengatakan rokok itu adalah HARAM...

p/s: Moga tulisan ini sedikit sebanyak dapat memberi 'ilham' dan dorongan untuk kalian-kalian yang masih merokok tu untuk berhenti terus merokok... Atau paling tidak pun percayalah, ini testimoni hidup dari aku: MEROKOK SEMEMANGNYA MERBAHAYA...

Read more...

Sepetang Bersama Bakal-bakal Doktor...

Wednesday, March 18, 2015


Assalamualaikum...

Semalam aku berada di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, untuk pemeriksaan kali yang ke-4 selepas pembedahan aku... Pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan biasa sahaja, skop ke dalam tekak untuk melihat kondisi dalam tekak aku dan memeriksa bahagian tengkuk untuk memeriksa keadaan kelenjar... Alhamdulillah, syukur aku ke hadrat Illahi, pemeriksaan mendapati kondisi kedua-dua bahagian clear, normal dan tiada apa-apa yang perlu dikhuatiri... Aduan aku berkenaan lenguh-lenguh tengkuk yang sering aku alami kebelakangan ini juga menurut doktor perkara biasa sahaja... Lenguh-lenguh biasa jer tu, boleh jer bawa pergi berurut katanya... 

Sebenarnya aku dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan pada pagi semalam, jam 930 sepatutnya... Namun beberapa hari lepas doktor yang bertanggungjawab ke atas kes aku ni, Dr Mawaddah telah menghubungi aku dan mengatakan dia ingin meminda masa tersebut ke waktu petang, waktu dia mempunyai kelas... Dia ingin meminta pertolongan aku sikit katanya... Dia ingin meminta jasa baik aku untuk ditemuramah oleh sebahagian dari pelajar-pelajarnya di hospital nanti... Well aku memang tiada masalah bab-bab tu, kerana aku merasakan doktor tersebut 'berhak' sangat untuk meminta aku berbuat sedemikian memandang aku telah banyak terhutang budi kepadanya...

Sementelah pula memang aku merasakan agak seronok berbuat demikian... Aku rasa seronok disoal jawab, aku seronok berkongsi pengalaman aku... Lebih-lebih lagi kalau pengalaman aku itu dapat membantu pembelajaran mereka... Sekurang-kurangnya aku merasakan yang aku ada sedikit sebanyak 'menyumbang' kepada dunia perubatan... Besar juga maknanya benda-benda tu kan...?


Tapi aku tak menyangka pula yang datang hari tu adalah begini keadaanya... Aku sangkakan sekumpulan pelajar dalam 5-6 orang sepertimana yang biasa aku hadap semasa aku di dalam hospital dahulu... Sekali nah kau, satu kelas tu...! Tak ke gelabah juga dibuatnya...!!! Tapi aku buat cool jelah... Lagipun yang nak menjawab nanti bukan aku pun... Dah tentulah miss madam aku yang sentiasa setia menemani aku ni... Hua3...

Pada permulaannya memang aku nampak dia agak gementar, yelah memanglah cikgu dah biasa mengadap pelajar-pelajar tapi bila berhadapan dengan 50 lebih orang bakal-bakal doktor yang mengajukan soalan demi soalan memang goyang jugalah kan... Tapi itu memula je, lama-kelamaan aku tengok dia makin ok dan ok... Siap boleh buat lawak-lawak lagi lepas itu... 


Sessi yang sepatutnya mengambil masa dalam setengah jam (konon-kononnya) berlarutan lebih daripada 50 minit... Suka pulak diorang ni bertanya macam-macam... Isteri aku pula aku rasa dapat menjawab dengan baik... Sesekali dia tak dapat jawab dia bertanya juga kepada aku, bertanya aku betul ke apa yang dia jawap tu...? Oklah tu, betul lah tu...

Aku tak dapatlah nak detailkan setiap soalan mereka tetapi secara umumnya apa yang mereka tanyakan adalah seperti berikut:

1. Apakah kehilangan terbesar yang aku rasakan dan bagaimana aku menghadapinya:

Kehilangan paling besar sudah tentulah keupayaan aku untuk bersuara... Tentunya aku merasa sedih dan kesal... Namun semua itu nak tak nak memang aku kena hadapi, dan Alhamdulillah setakat ini memang aku berjaya menghadapinya... Bagaimana...? Dengan redha pada ketentuan Allah, bersyukur dan mengadu hanya padaNYA...

2. Saat-saat bilakah yang paling ditakuti...? Adakah aku merahsiakan perkara ini dari sesiapa...? Siapakah yang paling awal mengetahui berkenaan penyakit aku ini...?

Saat-saat yang paling menakutkan bagi aku adalah pada ketika menunggu keputusan biopsi... Dalam masa-masa 'ketidak tentuan' itu memang perasaan aku selalu tertekan... Aku sangat-sangat mengharap supaya keputusan negatif tapi dalam masa yang sama hati selalu terdetik mengatakan keputusan positif... Tetapi sebaik keputusan diumumkan, Alhamdulillah aku dapat menerimanya... (Dah cerita dah kan sebelum ni)...

Sebaik keputusan diketahui, orang pertama yang maklumkan adalah Kak Ngah aku, kemudian Kak Long dan adik aku... Aku maklumkan melalui whatsapp sahaja, rasa tak tergamak nak berhadapan dengan mereka... Aku ingat diorang kuat, rupa-rupanya; ceh menangis gak... Huhuhu... Keesokkan harinya kami berempat beradik berkumpul di rumah aku dan detik-detik berkongsi kesedihan pun bermula...

Pada peringkat permulaan memang aku merahsiakan dari mak dan abah aku... Perkara terakhir yang ingin aku lakukan adalah merisaukan mereka dengan penyakit aku ini... Dahlah mak aku sendiri ada sakit jantung, abah aku pula darah tinggi, nak memikirkan hal aku pula... Tapi akhirnya mereka tau juga, melalui kakak-kakak aku... Agak mengejutkan aku penerimaan mereka sangat-sangat positif... Aku risau mereka akan terlalu bersedih sehingga memudaratkan kesihatan mereka sendiri tetapi nampaknya mereka menghadapinya dengan tenang-tenang sahaja...

Adakah aku merahsiakan dari isteri aku...? Tidak... Mana mungkin... Dialah yang menemani aku, menjadi sumber kekuatan aku... Dari peringkat permulaan sehingga ke hari ini...

3. Bagaimana aku menguruskan kehidupan seharian aku dengan 'kekurangan' aku sekarang ini dan bagaimana pula dengan dengan pekerjaan aku:

Life goes on, itu aku pegang sangat-sangat... Nak tak nak, susah ke tidak, kehidupan memang harus diteruskan... Kita yang menentukan bagaimana kehidupan kita seterusnya... Samada kita nak terus meratapi dengan kekurangan yang kita ada atau kita bangkit, bangkit dan terus berjuang untuk hidup... Sukar memang agak sukar pada permulaannya, tapi itulah kelebihan manusia ni, Allah menjadikannya makhluk yang boleh adapt, yang boleh menyesuaikan diri dengan sebarang evolusi... Demikian jugalah aku, aku perlu adapt, terima kekurangan diri dan teruskan kehidupan... Tetapi sudah tentulah dengan sokongan manusia-manusia lain di sekeliling aku...

Berkenaan pekerjaan pula, buat masa ini aku masih dalam cuti barah selama 2 tahun... Tapi aku juga dalam permohonan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk jawatan kumpulan 'pool'... Dengan perjawatan tersebut, aku layak untuk memohon diringankan beban kerja... Mungkin aku akan diberi tugas-tugas pengurusan berbanding dengan tugas-tugas pengajaran... Sebaik sahaja permohohan tersebut diluluskan aku akan terus masuk kerja...

4. Bagaimana penerimaan keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling:

Penerimaan keluarga aku kategorikan sebagai cemerlang, gemilang dan terbilang... Tiada apa yang lebih yang aku rasa aku boleh minta lagi... Perhubungan dengan saudara-mara dan rakan-rakan buat masa ini memang agak terhad... Jika mereka datang ke rumah menziarah aku akan layan dengan semampu yang boleh... Tapi untuk aku keluar bersosial dengan mereka sekarang ini memang aku tidak berbuat demikian lagi, mungkin bila aku 'bersuara' semula... Lagi pun aku ni bukanlah kaki sosial sangat pun...

Berkenaan dengan masyarakat sekeliling pula, aku tak memikirkan sangat... Mana yang tau taulah, tak jadi hal bagi aku... Jiran-jiran aku memang mengetahui pun... Ada yang bereaksi terkejut ada juga yang buat biasa je... Hakikatnya hari ini berpenyakit kanser bukanlah lagi satu perkara yang 'taboo'... Di kampung aku sahaja ada lebih 6 orang yang aku ketahui diserang kanser... Rileks je memasing...

5. Apakah perancangan aku yang seterusnya, ubat-ubatan yang diambil dan gaya hidup selepas ini:

Perancangan seterusnya adalah: untuk terus HIDUP... Hidup dengan penuh kenikmatan, bersyukur dengan apa yang dimiliki dan terus berdoa kepada Illahi agar kehidupan aku terus dirahmati... Aku tidak diberi sebarang ubat oleh pihak hospital tetapi aku ada mengambil beberapa makanan tambahan untuk kesihatan... Selain itu teruskan amalan pemakanan yang sihat, jauhi dari perkara dan makanan yang memudaratkan... Cuba untuk terus mengamalkan gaya hidup yang sihat dan akhir sekali bergembira... Enjoy your life...


Sudah hampir satu jam mereka bertanyakan soalan, akhirnya Dr Mawaddah terpaksa menghentikan mereka... 

"Ok cukuplah sampai sini sahaja nanti tak dapat pula saya nak periksa pesakit saya ni..." katanya sambil kemudian meminta pelajar-pelajarnya menyiapkan laporan berkenaan sessi tersebut... Sambil mengucapkan terima kasih kepada aku dan isteri dia meminta pelajar-pelajarnya memberi tepukan kepada kami... Chewah, gemuruh sungguh tepukan mereka... 

"Thanks guys wish you all good luck, all the best and may you all become an excellent doctor, some day..." aku hanya mampu mengucapkannya dalam hati...





Read more...

3 Pilihan...

Tuesday, March 10, 2015


Assalamualaikum...

Secara anatominya aku sekarang berbeza dengan kalian-kalian semua... Secara fizikalnya beberapa fungsi organ aku dan 'geng' yang senasib dengan aku tidak akan sama dengan kalian-kalian semua yang normal... Ye, kami tidak lagi mampu bernafas melalui 2 lubang hidung dan mulut seperti kalian... Kami tidak lagi dapat bertutur seperti kalian yang menggunakan pita suara... Kami juga tidak lagi boleh menghidu secara spontan seperti kalian... 

Well itu adalah nasib kami, itulah kekurangan kami sekarang ini... Bukan aku mohon simpati, tetapi sekadar ingin berkongsi... Namun semua itu insha Allah, tidak akan menjadi penghalang kami untuk terus menikmati hidup ini...  

Secara peribadinya, aku rasa aku sudah berjaya melepasi fasa kesedihan dan kehampaan... Aku kini dalam fasa pemulihan dan pembelajaran... Secara fizikalnya semua luka-luka akibat pembedahan kini sudah pulih... Kecuali parut dileher yang masih agak jelas kelihatan, tapi aku rileks je... Kalau sesiapa tanya boleh je aku jawap nanti: kesan kena tetak masa aku jadi pailang geng double7 dulu... Ngeh3... 

Aku juga kini masih dalam fasa pembelajaran... Walaupun aku kira aku telah lulus dalam belajar menerima 'kekurangan' aku ini, tapi banyak lagi yang aku belum kuasai... Aku masih belajar bagaimana untuk menangani masalah selsema, aku masih belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan masyarakat sekeliling, aku masih belajar untuk adapt dengan keadaan sekeliling aku...

Dan paling ketara kini aku sedang giat belajar dan berlatih untuk bertutur semula... Ye, aku sedang berlatih untuk bercakap semula... Sebenarnya terdapat 3 kaedah untuk aku dan 'geng' senasib aku untuk bertutur semula... Meh sini aku cerita serba sedikit 3 pilihan yang kami ada itu:

1. Esophagus Speech:

Satu teknik yang terbaik, namun paling sukar untuk dipraktik... Tekniknya adalah dengan 'menarik' angin dari dalam perut, simpan di bahagian belakang tekak dan lepaskan bersama-sama dengan pertuturan... Pada peringkat awal kebiasaan seseorang itu hanya mampu melafazkan satu atau dua patah perkataan sahaja dalam satu-satu sela nafas... Tapi bila dah mahir, nah boleh tengok macam dalam video bawah ni... Ni dah level-level oldtimer dah ni... Untuk makluman teknik inilah yang sedang aku praktikkan sekarang ini... Pencapaiannya...? Hermmm tak sampai 10% dari apa yang korang tengok dalam video tu... Huhuhu...



2. Tracheoesophageal Puncture atau TEP

Ini adalah kaedah yang menjadi pilihan paling popular setakat ini... Kerana ianya tidak memerlukan sebarang kemahiran yang tinggi utuk dipraktikkan... Pada dasarnya satu alat yang dipanggil Tracheoesophageal Puncture atau TEP akan dimasukkan kedalam lubang stoma (lubang pernafasan yang disambung terus ke paru-paru)... Fungsi TEP tersebut adalah sebagai 1-way valve, ianya akan menarik udara dari paru-paru, mengalirkannya ke bahagian tekak dan melepaskannya bersama-sama dengan pertuturan... Kelebihan teknik ini adalah ianya tidak perlukan latihan yang banyak atau kemahiran yang tinggi, iannya agak mudah untuk dipraktikkan... 

Cumanya kaedah ini ada kelemahannya sendiri iaitu perlu ditukarkan setiap 1-2 tahun, setiap pertukaran akan melibatkan pembedahan dan kos... Selain itu pengguna juga harus menanggung risiko kebocoran, malah ada juga kes dimana pengguna tertelan TEP tersebut...! Gulp... Tapi kata doktor ianya tidaklah merbahaya kerana TEP tersebut biasanya akan keluar bersama dengan najis bila kita 'melabur'... 

Untuk makluman juga aku telah pun dijadualkan untuk menjalani pembedahan memasukkan TEP ini pada bulan Mei nanti... Namun aku masih belum memuktamadkan keputusan aku, semuanya bergantung pada progress esophagus speech yang sedang aku praktis sekarang ini...

Sumber: google image

3. Electrolarynx

Yeah ini pilihan yang ketiga, juga merupakan pilihan yang agak popular... Ianya juga mudah untuk dipraktikkan dan tiada pula sebarang pembedahan atau maintenance seperti pemasangan TEP... Kos yang terlibat hanya sekali iaitu untuk pembelian alat yang dipanggil electrolarynx tersebut... Nak tau kaedahnya...? Pernah tengok cerita Ong Bak, alah cerita action Thailand lakonan Tony Jaa tu... Perasan tak bagaimana ketua gangster tu bercakap...? Macam robot kan...? Huhuhu gitulah kekdahnya... 

Mula-mula tengok cerita tu memang agak kelakar tengok ketua gangster tu tapi pada ketika itu aku tak tahu apa-apa langsung berkenaan 'menatang alah' tu... Mana tau rupa-rupanya ianya bakal berkait rapat dengan kehidupan aku... Huhuhu...


Sumber: google image

Namun ini adalah pilihan aku yang terakhir... Doa-doakan aku berjaya dengan pilihan pertama aku, atau paling tidak dengan pilihan yang kedua kelak...



Read more...

Tahini...

Wednesday, March 4, 2015


Assalamualaikum...

Pernah dengar TAHINI...? Jujurnya, aku pun baru tau... Korang tak tau...? Takpe, tunggu, ni aku nak ceritalah ni...

Semenjak berpenyakit kritikal ni, antara perkara yang aku sering 'gugel' dan gali-gali maklumat adalah berkenaan amalan pemakanan sihat... Kerana terjadinya penyakit-penyakit merbahaya ini, antara punca utamanya adalah dari amalan-amalan pemakanan yang tidak sihat dan berdasarkan maklumat-maklumat yang digali selama ini aku membuat kesimpulan yang untuk menyembuhkan atau mengelakkan penyakit-penyakit merbahaya ini, caranya adalah melalui pemakanan yang sihat juga...

Dalam entri yang lepas-lepas aku dah cerita yang aku sekarang dalam proses untuk memperbaiki amalan pemakanan aku... Antara kaedah pemakanan yang sihat adalah dengan memperbanyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, itu yang aku panggil Diet Orang Utan tu... Tapi bukanlah maksudnya kita kena makan buah-buahan dan sayur-sayuran sahaja, yang paling penting kita perlu tahu apa itu piramid makanan dan dari situlah kita olah apa yang patut kita makan dan apa yang kita patut tidak makan...

Berbalik kepada tahini tadi, bukan sesuatu yang rare sangat sebenarnya... Tahini sebenarnya hanyalah hasil kisar bijian bijan atau bahasa omputihnya sesame seeds... Ye bijan, yang mak kita selalu buat kueh bom tu... Ermmm tetiba pulak teringat kueh bom mak aku, feveret Kak Ngah aku tu... 

Antara campuran yang boleh kita campur kisar di dalamnya termasuklah bawang putih, minyak zaitun, air perahan lemon atau pun air putih sahaja... Aku dah buat, sonang bobonar... Meh tengok niha...


So basically tahini ini adalah sos kisar bijian bijan... Untuk apa dan bagaimana cara makan atau hidangannya...? Ok kebiasaanya tahini akan dijadikan sebagai:
  • dressing untuk sebarang bentuk salad sayur-sayuran, lebih sedap dicampur dengan minyak zaitun, perahan lemon atau cuka buah...
  • perisa tambahan untuk sayuran yang digoreng...
  • bahan utama untuk resepi hummus (nanti bila aku buat benda alah ni aku buat 1 entri)...
  • pengganti mayonis untuk semua resepi yang melibatkan mayonis...
Apa pula kelebihan tahini ni...? Nah senarainya:
  • kaya dengan sumber mineral seperti phosphorus, lecithin, magnesium dan zat besi...
  • kaya dengan vitamin E dan pelbagai jenis vitamin lagi termasuk vitamin B1, B2, B3, B5 dan B15...
  • membantu proses nyahtoksin dari dalam badan...
  • membantu sistem pencernaan...
  • menggalakkan proses pertumbuhan sel-sel baru...
  • mencantikkan kulit dan menguatkan otot...
  • kandungan mineral yang bersifat alkali, membantu meneutralkan asid dalam badan...
  • sumber protein yang sangat baik...
Cara-cara nak buat, semudah mengorek hidung:

1. Dapatkan bijian bijan di kedai mamak berhampiran... In my case aku guna yang organik, al maklumlah orang berpenyakit... Mahal sikitla dari yang biasa...

2.Bagi yang kurang gemar rasa mentah, boleh panggang dulu diatas kuali... Bab ni aku kurang mahir sikit, terpulanglah pada korang nak semasak mana...

  
3. Masa untuk mengisar... Sebaiknya kisarlah guna pengisar khas untuk bijirin, barulah boleh dapat hasil yang betul-betul fine dan halus...
4. Waktu kisar ini bolehlah dicampur sekali dengan 1-2 ulas bawah putih, lebih kurang 2 sudu teh minyak zaitun, garam secukup rasa dan sedikit air, bergantung tahap kecairan yang korang mau...

5. Done... Nampak aku punya testur tu kurang memuaskan... Walaupun dah agak lama dikisar tapi nampak masih belum cukup fine sebenarnya sebab aku guna pengisar biasa ajer... Tapi sebagai percubaan pertama aku kira ok sesangat dah... Rasa dia, ermmm sejujurnya ini bukanlah selera tekak aku tapi, aku kira bolehlah... Hee3...



Read more...

Diet Orang Utan...

Wednesday, February 4, 2015


Assalamualaikum...

Manusia perlu makan untuk kelangsungan hidup... Manusia memang suka makan, manusia tertarik kepada makan-makanan, kalau tak percaya buka fb kawan-kawan korang... Paling tidak mesti ada satu dua pos pasal makanan... Korang pun mesti ada kan..? Hehee jangan tipu... Ada pulak tu yang hari-hari update pasal makan, dah macam expert makanan dah... Ada pulak yang buat blog pasal makanan, glamer lagi, traffic beribu-ribu masuk setiap hari...

Show dalam tv pun orang boleh buat pasal makanan... Rating tinggi memanjang, kalau tidak takkan semua stesyen-stesyen tv ada program masakan masing-masing... Ada stesyen tv yang buat pulak pertandingan masak-masak, berlumba-lumba orang nak masuk... Dah menang jadi pulak celebriti, terkenal satu negara, bila mulut kuat pulak celoteh bertambah-tambah meletopnya... Pastu ada pulak lagi rancangan pasal makan-makan... Yang ini lagi best, siapa dapat jadi hos dia memang 'makan tak sudah'... Serata tempat diorang redah, dari restoran-restoran terhebat sampailah ke warong-warong tepi jalan... Punyalah kita suka pasal makanan ni... Begitulah kuatnya pengaruh makanan pada kita...

Satu masa dulu aku suka sangat makan-makan ni... Boleh kata semua jenis makanan aku bedal... Dari makanan mamak bawa ke western, aku xde pantang... Pantang aku satu je, pantang nampak... Asal teringin je order... Aku mungkin kedekut dari segi perbelanjaan benda-benda lain tapi kalu pasal makanan biasanya memang aku pejam sebelah mata... Tapi make surelah poket ada isi dulu kan... Nanti tak pasal-pasal pulak kena cuci pinggan, kes naya gitu bai... Sungguhpun begitu aku tiada masalah obesiti, kolestrol mungkin agak tinggi tapi biasanya terkawal... Aku tiada masalah diabetes, kandungan gula dalam badan aku terkawal, tekanan darah sentiasa menunjukkan bacaan yang cantik, sentiasa dalam range yang selamat... 

Tapi tanpa diduga, aku tiba-tiba disahkan sebagai pesakit kanser... Fuh banyak benda yang berubah dalam hidup aku... Sudah pasti yang paling banyak mengalami perubahan adalah amalan pemakanan aku... Aku sudah tidak boleh lagi mengamalkan gaya pemakanan lama aku... Aku dah tak boleh ikut sedap hati nak membedal apa sahaja... Aku dah tak boleh main pantang nampak aje, malah perlu berpantang dengan erti kata berpantang yang sebenar-benarnya pantang... Ye, jika aku ingin kekal sihat atau ingin mengawal sel-sel kanser dalam badan aku ini dari terus 'bermaharajalela', nak tak nak aku kena berpantang... 

Sebelum ini aku sudah pernah menulis entri berkaitan pemakanan sihat ini, ok hari ini aku nak share sikit lagi... Secara umumnya makanan-makanan yang 'bahaya' kepada pesakit-pesakit kanser adalah protein dari haiwan... Ini termasuklah ikan, ayam dan daging... Hei bukankah itu semua lauk asasi semua manusia...? Well sad but true, itu pantang yang utama... Selain itu...? Gula putih, susu dan semua produk tenusu termasuklah kek, pastri, biskut, cookies, aiskrim dan seumpamnya... Semua jenis makanan segera dari pakcik KFC dan makcik Mekdi... Semua jenis makanan tin termasuk buah-buahan dalam tin, sardin, kari segera dan seumpamanya... Hermmm apa lagi, ada lagi cuma buat masa ini, ini sahaja yang aku senaraikan dulu...

Bila tengok semua list tu mesti syereeemmm je kan... So apa pulak yang kita nak makan...? Nah disinilah lahirnya satu diet yang aku namakan diet orang utan... Ini merupakan diet yang benar-benar selamat: buah-buahan dan sayur-sayuran... Sebenarnya aku dapat diet ni dari seorang sahabat yang berkongsi pengalamannya dalam group fb yang aku join beberapa bulan yang lepas... Beliau kini di tahap 4 breast cancer, namun menolak untuk semua rawatan moden dan kini berikhtar mengubati sendiri penyakit kansernya dengan mengamalkan pemakanan sihat sahaja... Impressive bukan...? Aku doakan beliau berjaya, dari sudut hati aku yang paling ikhlas... Aku nakkk sangat tengok beliau berjaya, supaya aku boleh canangkan kepada seluruh dunia yang perubatan moden bukanlah satu-satunya cara untuk mengubati penyakit kanser...

Kembali kepada aku, aku masih dalam peringkat beginner...  Jujur aku katakan aku ni bukanlah seorang yang kuat berpantang... Huhuhu... Buat masa sekarang aku masih lagi mengambil beberapa makanan yang 'terlarang' seperti ayam dan ikan... Malah kadangkala 'terbeli' juga aku aiskrim dan biskut-biskutan... Cuma setakat ni aku 'berperang' untuk mengambilnya dalam kuantiti yang sangat-sangat minima... Dalam masa yang sama aku sedang memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan aku... Memang, buat permulaan terasa sangat-sangat akan kekurangan nikmatnya dalam pemakanan, hilang sedapnya, hilang thrillnya...

Namun sedikit demi sedikit aku cuba, aku cuba untuk meninggikan imaginasi, mempelbagaikan cara pengambilan... Belajar, belajar semula dengan mencari, mencuba resepi-resepi baru... Akhirnya sedikit demi sedikit tekak aku mula menerima, menerima seadanya... Dan kini aku teringat kata-kata seorang sahabat pada suatu ketika dulu, seorang yang aku anggap 'tiada taste' dalam pemakanan:

"Ala Sham apa nak hairan sangat dengan lauk-pauk masakan yang sedap-sedap tu... Paling kuat rasa dia sampai ke tekak je Sham... Lepas dari tekak dia masuk perut, dalam perut tu semuanya sama je Sham... Jadi tahik belaka...."

Kini aku setuju... Juki, aku setuju dengan hang...










Read more...

Flashback Part 4: Ketenangan Dalam Kesukaran...

Wednesday, January 21, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 3 disini>>

**********

Pernah tak korang merasa seperti korang diabaikan olehNya...? Pernahkah korang berdoa dengan kesungguhan yang sangat-sangat tapi still permintaan korang tidak ditunaikanNya...? Pernah tak korang berputus harap atas sesuatu yang sangat-sangat korang dambakan...? Jika pernah, beristighfarlah... Mari kita beristighfar banyak-banyak...

Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Mengetahui... Allah mengetahui segala-galanya, yang di langit mahu pun dibumi... Allah mengetahui apa yang kita tidak ketahui... Allah tahu apa yang baik untuk kita, Allah tahu apa yang tidak baik untuk kita... Kita meminta apa yang kita MAHU tetapi Allah akan beri apa yang kita PERLU...

Kita minta setangkai bunga indah,
Allah berikan kita kaktus berduri...
Kita minta kupu-kupu, Allah beri kita ulat...
Kita marah, kita sedih, kita kecewa...
Tapi tak lama kemudian kaktus berbunga indah...
Ulat bertukar menjadi kupu-kupu yang cantik...
Allah Maha Besar... Allah Maha Mengetahui...

Cantik sungguh aku rasa bait-bait kata di atas... Memang bukan ayat dari aku, kepala hotak aku ini tak akan terfikir akan ayat-ayat seindah itu... Lebih indah bila ianya amat berkait rapat dengan kejadian yang menimpa aku... 

2 minggu aku menunggu keputusan biopsi... 2 minggu yang paling lama aku rasai dalam hidup aku... 2 minggu aku lalui dengan penuh kesukaran, tanda tanya, keserabutan pemikiran... Apakah keputusannya nanti...? Apa yang akan aku lakukan jika ianya positif...? Apa yang seterusnya akan berlaku dalam hidup aku...? Berapa lama lagi usia hayat aku ini...? 

Allah Maha Besar... Allah Maha Agung... Allah sayang aku... Dalam keserabutan fikiran aku itu tiba-tiba sahaja Dia memberi aku cahaya kesedaran... Dia memberi aku jalan... Selepas 'kejadian' malam tersebut aku rasa berlainan sangat-sangat... Bukan niat aku untuk menunjuk riak, tolong jangan bersangka begitu... Tapi percayalah, percayalah sesukar mana pun masalah kita, seteruk mana pun dugaan yang menimpa kita, satu-satunya jalan yang terbaik adalah dengan 'kembali' kepadaNya... 

Setelah melalui fasa 'menyalahkan takdir' aku diberi kesedaran... Hari-hari terakhir sebelum keputusan biopsi keluar, aku banyak menghabiskan masa di atas tikar sejadah... Amalan yang jarang aku lakukan dulu, kini aku kerap-kerapkan... Amalan yang tak pernah aku buat sebelum ini, kini baru aku nak belajar-belajar buat, dan aku cuba jadikannya sebagai amalan... Sedikit demi sedikit aku dapat menyerap tekanan itu... Ketenangan datang dalam diri aku... Serabut kepala aku hilang... Aku rasa aku akan bersedia, bersedia untuk menghadapi apa sahaja keputusan yang bakal aku ketahui nanti... 

Ketika berdoa, aku sentiasa meminta agar Allah menyelamatkan aku dari sebarang penyakit berbahaya... Jauhilah aku dari penyakit yang membawa maut ni... Aku berdoa agar telahan awal doktor terhadap ketumbuhan dalam tekak aku ini salah... Aku berdoa agar ketumbuhan ditekak aku ini adalah ketumbuhan biasa, yang boleh dibuang dengan memakan ubat sahaja... Ataupun sekurang-kurangnya dengan pembedahan minor... Namun aku tetap menyediakan minda aku agar bersedia menghadapi apa sahaja keputusan yang bakal keluar... Waima kanser sekali pun aku akan bersedia untuk menghadapinya... Aku perlu bersedia untuk menghadapinya... Yea, pray for the best but prepare for the worst...


Dalam masa yang sama keadaan fizikal tekak aku masih seperti sebelum ini... Suara aku tetap serak dan garau, tiada perubahan... Cuma kini apa yang agak menakutkan adalah aku mula terasa-rasa seperti ada sesuatu di dalam tekak aku, terutama ketika aku menelan makanan pepejal... Seperti ada je benda yang melekat kat dalam tekak aku ni... Korang pernah rasa tercekik tulang ikan...? Haa adalah lebih kurang sebegitu perasaannya, perasaan seperti ada tulang kecil yang melekat kat dalam tekak...

2 minggu telah berlalu, akhirnya hari yang dinanti telah pun tiba... Aku kini sedang melangkah ke bilik Doktor Mawaddah... Doktor pakar ENT yang bertugas di bawah Prof Sani... Dia mengambil alih kes aku dari Prof Sani... Orangnya murah dengan senyuman, lembut tuturnya, jauh beza dengan Prof yang suka berbicara sinis... Aku mengagak usianya masih muda, mungkin sebaya isteri aku, yang pastinya mesti lebih muda dari aku... Lahir rasa kagum dalam hati aku, fuh muda-muda lagi dah jadi doktor pakar... Dalam masa yang sama timbul pulak kesangsian... Boleh ke doc ni, muda sangat lagi... 

"Assalamualaikum cikgu, jemput duduk... ingat saya lagi tak...?" Lebar senyumannya mempelawa aku dan isteri aku untuk duduk di hadapannya...

"Ye saya ingat, malam sebelum biopsi tu doktor ada examine tekak saya kan...?" balas aku dengan suara garau aku...

"Erm yelah tu, so sekarang saya dah ambil alih kes cikgu Shamsul ni, tapi masih tetap dibawah seliaan Prof Sani... Cikgu selesa ke...? So macamana cikgu sekarang...? Ada rasa apa-apa kat tekak...?"

Alamak doktor ni dia nak interview lagi pulak... Orang dah berdebar-debar ni... Straight to the point jelah... "Erm macam tu jugalah doc... Takde rasa sakit pun, cuma suara rasa makin garaulah... Dan kadang-kadang tu bila nak menelan makanan saya rasa macam ada sesuatu yang melekat kat tekak ni..."

"Oh yeke, so sekarang ni cikgu dah mula terasalah 'benda' tu ye...? Erm jadi cikgu macam nilah cikgu... tuuuuuuuuuuuuuuuuuttttttttttttttttttttttttttt..........................

Tiba-tiba je aku rasa 'blank', kosong, putaran dunia berhenti seketika untuk aku... Telinga aku rasa berdesing, suara doktor tenggelam dalam desingan tersebut... Korang pernah tengok  filem Armageddon...? Saat-saat Harry (Bruce Willis) nak tekan butang bom tu, tiba-tiba fikiran dia flashing back zaman anak dia kecil, imbasan demi imbasan hidup dia yang lepas flashing dalam otak dia... Well itulah yang aku rasakan... Aku bukan bergurau, no joke friends, itulah yang aku rasa...


Kemudian aku rasa tangan aku digenggam erat isteriku yang dari tadi senyap tak berkata apa-apa... Lantas aku tersedar, kata-kata doktor kembali menusuk gegendang telinga aku...

".......ermmm jadi macam nilah cikgu, 2 minggu lepas kita dah buat biopsi untuk untuk memastikan ketumbuhan jenis apa yang ada dalam tekak cikgu... Sebelum pembedahan pun Prof Sani dah ada beritahu kemungkinan-kemungkinan dia kan...? Cuma dia tak boleh memberi kepastian sebab yang boleh memastikannya adalah laporan dari makmal sahaja..."

Dup dap dup dap... Dada aku berdegup semakin kencang... Seperti kenderaan yang mau perang (eh termasuk pulak lirik lagu Dewa)...

"Saya minta cikgu banyak-banyak bersabar ye... Ini semua kehendak Allah, kita manusia hanya merancang namun hanya Dia yang menentukan... Nampaknya apa yang kita takut-takutkan telah jadi kenyataan... Laporan makmal telah mengesahkan yang ketumbuhan tersebut adalah kanser... Dan kini ia berada di tahap 3... Bla bla bla laryngeal cancer bla bla bla radiotherapy and chemotherapy bla bla bal surgery bla bla bla..." 

Jujurnya, aku dah tak tangkap kata-kata doktor selepas itu...

Aku menolah ke kiri, aku tengok wajah dia tenang... Mungkin dia telah bersedia... Aku...? Ye aku rasa tenang juga... Aku menarik nafas panjang-panjang, debaran aku terasa terhenti di situ, tiada panik, tiada cemas, tiada perasaan huru hara... Alhamdulillah... Aku tenang, aku bersedia, aku boleh terima...

Allah Maha Besar, Allah Maha Agung... Allah tidak 'memakbulkan' doa aku agar aku negatif kanser... Tetapi Allah memberi aku ketenangan, dan yang pastinya Allah telah 'menarik' aku untuk lebih dekat kepadaNya... Terima kasih Allah, terima kasih kerana telah memilih aku... Allahu Akbar... Allahu Akbar... Allahu Akbar...

***** End of Part 4 *****

Petikan Part 5: Moden atau Alternatif...

Kini Sham telah disahkan sebagai pesakit kanser... Ujian makmal telah menunjukan memang terdapat ketumbuhan yang 'hidup' di dalam tekaknya, dan ianya tidak statik... Ianya membesar, membesar sehingga ke suatu tahap ianya akan menutup salur penafasan... dan apabila salur penafasan tertutup, ianya akan mengancam nyawa Sham...

Jadi sekarang Sham harus membuat keputusan... Apa tindakan yang perlu dilakukannya terhadap ketumbuhan kanser tersebut... Doktor telah memberinya 2 pilihan, namun kedua-duanya kelihatan amat-amat menakutkan...  1. regim radiotherapy dan chemotherapy selama 7 minggu berturut-turut dan 2. pembedahan pembuangan pita suara (total laryngectomy)... 

Apa pilihan Sham...? Apa pula hasilnya...? Nantikan Cerita Tanpa Suara dalam Part 5: Moden atau Alternatif...

Read more...

Terapi Air: Penawar Kanser...

Thursday, January 15, 2015

Assalamualaikum...

Dari pencarian aku di internet banyak juga aku terbaca tulisan atau perbincangan mengenai terapi air ini... Hanya dengan meminum air dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang terdapat di pasaran ketika ini... Dari sekecil-kecil anak penyakit sehinggalah kepada sebesar-besar ibu penyakit... Termasuklah penyakit maut seperti serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetes malah kanser sekali pun...

Terapi yang dikatakan berasal dari Jepun ini didakwa amat berkesan terhadap pelbagai jenis penyakit kerana fungsinya terhadap sekurang-kurangnya 5 perkara ini:

1. Mengimbangi Sistem Limfa, supaya setiap kelenjar dalam tubuh dapat berfungsi dengan sempurna. Mengimbangi kadar cecair dalam badan dan menentang sebarang jangkitan...

2. Air yang mencukupi dalam badan dapat membantu membersihkan sistem kolon dan membantu menyerap nutrisi dengan lebih baik...

3. Meningkatkan kadar pertumbuhan sel-sel dan tisu-tisu baru dalam badan...

4. Membantu masalah obes dengan meningkatkan kadar metabolisme seseorang dan

5. Mencantikkan kulit dengan menjadi agen menyah toksid dari dalam badan...

Nah, ini bukan aku yang cakap tapi pengamal-pengamal terapi tu yang cakap... Tapi bila difikir-fikirkan memang agak logik memandangkan peri pentingnya air itu kepada tubuh manusia... Tahukan anda yang 70% dari tubuh kita ini adalah dari cecair...? Manakala otak kita ini pula 85% daripadanya adalah terbentuk dari cecair... Cuba bayangkan jika tubuh kita ini kekurangan air... Sudah pasti pelbagai penyakit yang boleh datang menyerang... Antara penyakit yang sering dikaitkan dengan kekurangan air dalam badan adalah seperti asma, diabetes, penyakit batu karang, haid tidak menentu, pelbagai jenis kanser seperti leukemia, kanser payu dara, kanser usus, sembelit, migrain dan pelbagai lagi... Uiii banyaknya... Syerrremmm tuh...

Namun untuk mengamalkan terapi air ini bukan dengan minum sembarangan sahaja... Ada juga tata caranya... Cara-caranya adalah:

  • Sebaik sahaja bangun dari tidur, sebelum anda berbuat apa-apa termasuk mengosok gigi; minumlah air sebanyak 4 gelas (1.5 liter)...
  • Sesudah itu barulah bersihkan mulut dan gigi anda...
  • Jangan mengambil sebarang makan atau minuman untuk sarapan selama 45 minit...
  • Selepas bersarapan, jangan minum apa-apa selama 2 jam...
  • Itu sahaja...
Manfaatnya...? Dikatakan dapat menyembuhkan penyakit-penyakit berikut dengan mengamalkannya selama tempoh-tempoh tertentu, seperti:

  • Tekanan darah tinggi - 30 hari
  • Diabetes - 30 hari
  • Gastrik - 10 hari
  • Sembelit 10 hari
  • Kanser 180
  • Penyakit-penyakit lain: akan sembuh dengan amalan yang berterusan...
Berani cuba...? Well apa yang nak ditakutkan, sudahla tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja tambahan malah boleh dikatakan sifar risiko... Tidak rugi untuk mencuba, kan...

p/s: Tidak disyorkan kepada mereka-mereka yang mempunyai masalah seperti paru-paru berair dan seumpamanya... Sebarang penyakit yang berlarutan semestinya perlu dirujuk kepada hospital terlebih dahulu...


Read more...

Flashback Part 3: 2 Weeks of Sorrow...

Monday, December 22, 2014

Assalamualaikum...

Herm nampaknya dah masuk part 3 dah cerita aku ni... Kalau ada sesiapa yang terlepas part 1 dan part 2 boleh tengok balik kat sini ye: Part 1: Bermulanya Sebuah Tragedi dan Part 2: OMG... OMG...

**********

Dr Vijay menasihati aku agar segera menjalani pembedahan biopsi... Ini untuk memastikan ketumbuhan jenis apakah yang sedang membesar di peti suara aku itu... Dia tidak mengatakannya ia ketumbuhan kanser tetapi kalau mengikut gaya percakapannya, bunyinya agak urgent... Dia memberi aku pilihan, samada untuk membuat pembedahan di hospital kerajaan ataupun di hospitalnya sahaja... Setelah berbincang dengan isteri, kami membuat keputusan untuk ke hospital kerajaan... Sasaran kami adalah Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Selayang... Oh ye, dalam masa ini tiada sesiapa yang tahu berkenaan hal ini termasuklah kedua orang tua aku, adik beradik, saudara mara dan sahabat handai... Sengaja aku rahsiakan, masih terlalu awal untuk mendedahkannya... Aku taknak menimbulkan suasana sedih dan panik lebih-lebih lagi dikalangan keluarga aku...

27 Ogos 2014, aku dan isteri bergerak ke Kuala Lumpur... Sasaran kami Hospital Besar KL tetapi aku lupa bagaimana kami boleh end up ke Hospital Selayang... Di Hospital Selayang kami membuat temujanji untuk bertemu pakar ENT... Malang, hari tersebut kami tidak dapat berjumpa dengan pakar tetapi kami hanya diberikan 1 temujanji baru untuk minggu hadapannya... Kami faham, bila melihat barisan pesakit yang sedang menunggu giliran... Itu pun entah berapa lama dah diorang menunggu giliran... Well hospital kerajaan, what do you expect kan...? No offence, bukan aku menghina tau, tapi aku faham yang hospital kerajaan memang kekurangan pakar jika nak dibandingkan dengan jumlah pesakit yang ada...

Aku dan isteri memang tak sanggup untuk menunggu ke minggu hadapan... Maka kami bercadang untuk ke Pusat Perubatan Universiti, ye kami bercadang untuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)... Tapi sekali lagi kami tidak ke sana sebaliknya kami end up di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)...

Di PPUKM sekali lagi kami dikecewakan dengan hasil yang sama... Untuk berjumpa doktor pakar kami harus menunggu dalam tempoh seminggu juga... Aduyai macamana ni... Namun nurse di situ memberi pula kami pilihan: 

"Tapi kalau encik tak nak tunggu encik boleh naik ke tingkat 7... Di situ kami ada klinik swasta... Memang any time encik boleh berjumpa dengan pakar di sana..."

Pulok, begitu rupanya... Patutlah sebelum ni aku pernah diberitahu yang PPUKM ini adalah sebuah hospital semi kerajaan... Ooo maksudnya di hospital tersebut ada bahagian yang dibiayai oleh kerajaan dan dalam masa yang sama hospital tersebut turut menjalankan perkhidmatan kesihatan secara swasta... Oklah what the hal, terlanjur dah sampai... Kami pun menuju ke tingkat 7... Herm takde tunggu-tunggu turn pun... Sama je macam di Hospital Sentosa tempoh hari, daftar je terus dapat jumpa doktor... 

Di sana aku dipertemukan dengan Profesor Dato' Dr Abdullah Sani (yang mana selepas ini aku menganggapnya sebagai hero aku dan aku punya life saviour)... Prof merupakan seorang yang santai... Nampak tak serius pada permulaanya dan kata-katanya sedikit sinis... Prosedur yang aku jalani di sana hampir sama dengan yang aku jalani di Hospital Sentosa... Memang itulah pun prosedurnya... Scope and watch, dan keputusannya...? Ye sama seperti di Hospital Sentosa juga... Terdapat ketumbuhan di pita suara dan seperti juga Doktor Vijay, Prof Sani tidak mahu mengatakan yang ianya adalah ketumbuhan kanser atau pun tidak, melainkan selepas dipastikan melalui pembedahan biopsi... 

Maka, jadual pun diatur untuk pembedahan biopsi... Sekali lagi kami diberi pilihan samada untuk menjalani pembedahan di klinik swasta (yang casnya lebih mahal dari Hospital Sentosa kerana menggunakan teknologi yang lebih terkini dan canggih) atau pun di bahagian kerajaan, yang mana aku perlu menunggu giliran dalam masa seminggu dua juga... Tapi ketentuan ALLAH itu tak mungkin dapat diduga oleh manusia biasa, atau mungkin juga rezeki aku murah di PPUKM ni, hasil dari usahanya Prof Sani dapat mengatur jadual pembedahan seawal hari Jumaat berikutnya iaitu 2 hari selepas aku berjumpa dengannya... Lagi penting, pembedahan itu adalah melalui bahagian hospital kerajaan, bermakna pembayarannya adalah melalui GL kerajaan... Alhamdulillah... Hebat gak Prof Sani ni kan, berjaya dia mempercepatkan prosedur untuk aku... Haa itulah salah satu sebab aku anggap dia hero...

Sebenarnya pembedahan biopsi bukanlah satu pembedahan yang besar... Malah risikonya pun tidak terlalu merunsingkan... Cuma dalam kes aku sebab ianya melibatkan bahagian sensitif iaitu tekak, maka aku perlu juga untuk 'dipengsankan'... Aku tak bercadang untuk bercerita panjang berkenaan pembedahan biopsi ini kerana kalau nak cerita nanti kena tambah satu entri lagi pulak... Hee3... So kita skip jela ye... Usai pembedahan aku perlu bermalam 1 malam di hospital... Keputusan pula hanya akan diketahui selepas 2 minggu... Setelah semalaman di hospital aku dibenarkan pulang...

Sekembali aku ke rumah fikiran aku mulai runsing... Kalau sebelum-sebelum ini aku masih bersikap acuh tak acuh, percaya tak percaya je, kini aku dah mulai merasakan 'sesuatu'... Walaupun aku sering cuba untuk menafikan, tetapi semakin aku cuba menafikan semakin aku terasa... Herm memang betullah kanser ni kot... Aduhhh betulkah ini...? Betulkah DIA nak uji aku sebegini...? Aku ni muda lagi, kalau betul aku kanser bagaimana dengan anak-anak aku yang masih kecil, kesianlah kepada isteri aku... Bagaimana pula kedua orang tua aku, mesti diorang sedih giler... Bagaimana pula aku nak mengadap rakan-rakan, masyarakat sekekeling... Arghhh...!

Tempoh menunggu keputusan selama 2 minggu pula terasa amat-amat panjang... Longest weeks in my entire life... Sepanjang masa menunggu keputusan itu juga fikiran aku sering berserabut... Aku mula berfikir yang bukan-bukan, makin lama aku rasa aku menanti keputusan, makin merapu benda-benda yang aku fikirkan... Kemuncaknya pada suatu malam stress aku MELETUS...! Ibarat timing bomb yang meletup... KEBABOMMM...! 

Agak peribadi untuk aku ceritakan sebab musababnya tetapi aku tidak malu untuk menceritakan yang pada malam tersebut aku menangis teresak-esak, macam budak kecil... Seumur hidup aku dan seingat aku ini kali kedua aku menangis sekuat ini... Kali pertama ketika dilibas oleh abah aku dengan getah paip sebab memecahkan cermin tingkap jiran (arghh itu cerita lama, jangan tanyalah macam mana boleh jadi)... Itupun ketika aku masih sekolah rendah... Aku memang tak boleh terima hakikat ini...! Macam-macam persoalan bermain: Kenapa aku...? Apa dosa aku...? Apa yang telah aku buat...? Aku bukan orang jahat...! Aku bukan minum arak...! Aku tak pernah menganiaya orang...! Kenapa...???!!! Kenapa???!!!...

Macam-macam persoalan mula timbul dalam otak aku... Pertikaian demi pertikaian... Malah sampai ke tahap aku dah nak menyalahkan takdir pulak... Bila teringat ke malam itu aku sering beristighfar panjang... Moga ALLAH ampunkan dosa-dosa aku... Moga ALLAH terus berikan aku kekuatan dan kesabaran... Kekuatan untuk menahan sakit-sakit yang datang... Serta kesabaran untuk aku terus memohon kehadratNYA...

Namun malam itu juga stress aku mengendur... Malam itu aku dipujuk oleh seorang teman sejati, seorang yang pernah berjanji untuk bersama-sama dengan aku dalam susah dan senang, seorang yang telah terbukti kesetiaannya kepada aku... Malam itu aku tertidur dalam tangisan yang teresak-esak... Namun merasa selesa kerana aku rasa 'selamat' dalam pelukannya... Dia tidak perlu berkata panjang... Hanya beberapa patah ayat, bersama dengan tindakannya berjaya 'menyelamatkan' aku... Memberi aku satu semangat baru... Membuat aku terasa ingin berjuang... Ye aku akan berjuang... Aku akan bangkit... Apa jua keputusannya... Apa jua ujiannya... Aku akan bersedia... Aku akan lawan... Aku tidak akan takut... Aku tidak akan gentar... Kerana aku tau... Kali ini aku tidak akan keseorangan... Dan akhirnya, aku terlelap...

***** End of Part 3 *****



Petikan Part 4: Ketenangan Dalam Kesukaran...

Kita minta setangkai bunga indah,
ALLAH berikan kaktus berduri...
Kita minta kupu-kupu ALLAH berikan ulat...
Kita marah, kita sedih dan kita kecewa...
Tetapi tak lama kemudian kaktus berbunga indah,
dan ulat menjadi kupu-kupu yang cantik...
ALLAH Maha Besar... ALLAH Maha Mengetahui...

p/s: Ye bukan senang untuk aku menerima kenyataan ini, tetapi Alhamdulillah... Aku rasa aku dapat menghadapinya... Dan aku rasa aku dapat menghadapi ia dengan jayanya, at least setakat ke hari ini... Aku sentiasa berharap agar aku terus diberi kekuatan dan kesabaran... So jangan lupa ye untuk terus folow kalau nak tahu bagaimana aku kaunter dengan keadaan yang paling sukar yang pernah aku hadapi dalam seumur hidup aku ini... Jumpa lagi dalam Part 4: Ketenangan Dalam Kesukaran....




Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP