Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Manusia Agung. Show all posts
Showing posts with label Manusia Agung. Show all posts

Kisah Cinta Manusia Agung

Tuesday, February 15, 2011


12 Rabiulawal Tahun Gajah, seluruh alam bergembira dengan kelahiran Muhammad, Pesuruh Allah dan nabi terakhir. 63 tahun berikutnya seluruh alam juga meratapi kewafatan Baginda....

Maka tersebutlah sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku.Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.
Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.
Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.
Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup.
Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.
Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,
"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,
"Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.
Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan Kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.
Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?"
Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.
Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "
Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.

Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini."

Perlahan Rasulullah mengaduh.
Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?"
Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita...

Dipetik dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

Read more...

Siapa Muhammad...?


Hari ini kita bercuti, sempena menyambut hari keputeraan junjungan kita Muhammad Rasulullah S.A.W. Tiada apa-apa perancangan yang aku buat untuk hari ini, just nak rilek-rilek di rumah bersama keluarga. Entry hari ini pun aku nak tulis yang berkaitan Manusia Agung ini sahaja. Sebagai tanda sayang aku pada Baginda. Bukanlah bermaksud sesiapa yang tak cerita tak sayang pada Baginda pulak ye, setiap orang ada cara masing-masing kan... Yang penting sebagai ummatnya kita wajid mengenang Baginda dan sentiasalah berselawat kepada Baginda...

Tak kenal makan tak cinta kan...? Nah mari kita berkenalan sikit dengan Nabi Terakhir ini:

BIODATA RASULULLAH SAW:

#· Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
#· Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)
#· Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
#· Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
#· Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
#· Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
#· Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
#· Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN
#· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN
#· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
#· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
#· Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
#· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
#· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
#· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
#· Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
#· Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
#· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
#· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
#· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
#· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
#· Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
#· Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
#· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
#· Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
#· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
#· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
#· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

Sumber: mannster

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat sama berselawat untuk Nabi,Wahai orang-orang yang beriman, berselawat dan salamlah ke atasnya" (Surah Al-Ahzab:56)

Read more...

Salam Maulidur Rasul

Monday, February 14, 2011


Daripada kita sibuk membicarakan tentang hari Valentine yang Ja***am itu lebih baik kita bercerita tentang hari yang sebenar-benarnya yang patut disambut oleh sekelian umat Islam. Ya, esok merupakan hari kelahiran Kekasih Allah, manusia agung yang membawa rahmat kepada sekelian alam, Baginda Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W. Sebagai tanda memperingatinya, aku nak petik khutbah terakhir Baginda, pesanan kepada KITA SEMUA, umatnya yang amat dikasihinya...

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah

Tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.


Meremang bulu roma aku bila mendengar petikan khutbah ini di Astro Oasis... Sememangnya melalui khutbah tersebut Nabi telah meninggalkan kita dengan pesanan yang cukup lengkap... Sesungguhnya Bagindalah Kekasih Allah dan Bagindalah sepatutnya manusia yang kita raikan... We Love Muhammad...

P/S: Aku mengimpikan ISLAM yang kembali menerajui dunia, menewaskan semua musuh-musuh Allah... Setiap hidupan di bumi tunduk kepada kekuasaannya. Setiap insan di dunia menerimanya sebagai Ad-Din dan cara hidup... Gambar dari GENERASI PROTAZ.

Read more...

Cara Rasulullah Berjalan

Friday, December 24, 2010


Rasulullah S.A.W seorang yang tegap. Ketika berjalan Baginda jarang membuang masa. Baginda gemar berjalan laju. Cara Baginda berjalan seolah-olah sedang menuruni jalan yang landai. Antara riwayat-riwayat yang menggambarkan cara Baginda berjalan:

Abu Hurairah R.A meriwayatkan, maksudnya:"Saya tidak pernah melihat apa pun yang lebih indah dari Rasulullah S.A.W, seolah-olah matahari beredar dari wajah Baginda. Saya juga tidak pernah melihat seseorang yang jalannya lebih cepat daripada Rasulullah S.A.W, seolah-olah bumi dilipat untuk Baginda. Sungguh, kami harus memaksa diri (untuk berjalan seperti itu) dan Baginda tidak peduli (terhadap rasa lelah kami)."
[Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Abu Syaikh dan Ibnu Sa'd]

Ali Bin Abi Thalib meriwayatkan, maksudnya:"Ali Bin Abi Thalib menggambarkan karektoristik fizikal Rasulullah S.A.W, 'Rasulullah S.A.W. berjalan dengan mengangkat kaki, seakan-akan Baginda sedang menuruni tanah yang landai.'"
[Riwayat Tirmidzi, Ibnu Sa'd dan Baihaqi]

Ali Bin Abi Thalib meriwayatkan, maksudnya:"Apabila Rasulullah S.A.W. berjalan, tubuh Baginda tegap, seperti sedang menuruni tanah yang landai."
[Riwayat Tirmidzi dan Hakimi]

Read more...

Serban Rasulullah S.A.W

Sunday, October 31, 2010


Menurut riwayat, Baginda Rasulullah S.A.W gemar dan sering menggunakan serban berwarna hitam dalam kehidupan seharian Baginda. Antara riwayat-riwayat yang mengisahkan berkenaan dengan serban Baginda adalah seperti berikut:

Jabir R.A meriwayatkan, maksudnya:" Pada peristiwa Fathu Makkah, Rasulullah S.A.W masuk ke kota Mekah dengan mengenakan serban hitam di kepala Baginda."
[Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasa'i, Darimi, Ahmad dan Abu Syakini]

Ibnu Abbas R.A meriwayatkan, maksudnya:" Sungguh, Rasulullah S.A.W pernah berkhutbah di hadapan orang-orang dengan mengenakan serban hitam di kepala Baginda."
[Riwayat Tirmidzi dan Ahmad]

Amr Bin Harits R.A meriwayatkan, maksudnya:" Sungguh, Rasulullah S.A.W pernah berkhutbah di hadapan orang-orang dengan mengenakan serban hitam di kepala Baginda."
[Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad]

Wallahualam bissawab...

Read more...

Pedang Nabi S.A.W

Thursday, September 23, 2010


Nabi Muhammad S.A.W merupakan seorang Ketua Negara Islam yang pertama di dunia. Namun selain menjadi ketua negara, Baginda pernah juga turun ke medan perang untuk mempertahankan agama suci Allah S.W.T. Ini terbukti bukan sahaja dengan riwayat-riwayat malah bukti fizikal pedang Nabi juga boleh dilihat hingga ke hari ini. Walaupun terdapat pertikaian yang mengatakan pedang tersebut terlalu mewah sedangkan Nabi adalah seorang yang sangat bersederhana dan sebagainya, tetapi bukanlah isu itu yang hendak dibangkitkan. Di bawah adalah riwayat para Sahabat berkenaan pedang Baginda:

Anas meriwayatkan, maksudnya:"Hujung pegangan pedang Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak." [Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Baihaqi dan Abu Syaikh]

Hud Bin Abdullah Bin Sa'id meriwayatkan dari datuknya, dia berkata, maksudnya:"'Rasulullah S.A.W memasuki kota Mekah pada hari Fathu Makkah 'penaklukkan kota Mekah' dengan membawa pedang yang (di hujung pegangannya) ada emas dan perak.' Thalib bertanya tentang apa yang dimaksudkan dengan perak yang ada di pedang Baginda. Hud menjawab, 'Hujung pegangan pedang Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak.'"

Ibnu Sirin meriwayatkan, maksudnya:"Kubuat pedangku dengan bentuk yang sama dengan bentuk pedang Samurah Bin Jundab. Samurah mengatakan bahawa bentuk pedangnya sama dengan bentuk pedang Rasulullah S.A.W. Pedang Samurah itu sendiri sama dengan bentuk pedang Bani hanifah."

Wallahualam bissawab...

Read more...

Cincin Rasulullah

Saturday, September 4, 2010

Diriwayatkan yang Rasulullah S.A.W ada memakai cincin pada ketika hayatnya. Cincin Baginda diperbuat dari perak dan mempunyai ukiran bertulis tiga perkataan iaitu رسول ,الله dan محمد. Cincin tersebut juga ada berfungsi sebagai cop mohor yang mewakili Baginda. Berikut adalah antara hadis-hadis yang terkumpul berkenaan cincin Baginda S.A.W:

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Cincin Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak, dan batu cincinnya berasal dari Habsyi." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad]

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Ketika Rasulullah S.A.W hendak mengirim surat ke negara asing, Baginda memperoleh maklumat bahawa negara asing tidak akan menerima surat yang tidak bercop mohor. Baginda lalu memerintahkan untuk dibuatkan cincin. Maka saya seakan-akan melihat warna putih cincin itu di telapak tangan Baginda." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, abu Dawud dan Ibnu Sa'd]

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Tulisan (ukiran) yang ada di cincin Rasulullah S.A.W adalah kata محمد satu garis, kata رسول satu garis dan kata الله satu garis." [Riwayat Tirmidzi dan Bukhari]

Read more...

Pakaian Rasulullah

Sunday, August 15, 2010

Rasulullah S.A.W diriwayatkan suka mengenakan pakaian dinamakan gamis (perkataan Arab yang bermaksud kemeja). Ada juga riwayat yang mengatakan Baginda gemar memakai hibarah (sejenis pakaian dari negara Yaman). Pilihan warna yang digemari Baginda selain putih adalah merah, hijau dan hitam. Berikut sebahagian hadis yang meriwayatkan cara pemakaian Baginda Rasulullah S.A.W:

Ummu Salamah meriwayatkan, maksudnya: "pakaian yang paling digemari oleh Rasulullah S.A.W adalah pakaian gamis."
[Riwayat Tirmidzi dan Abu Dawud]

Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:" Pakaian yang paling disukai Rasulullah S.A.W adalah hibarah (jenis pakaian yang berasal dari negara Yaman)."
[Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad]

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:" Hendaklah kalian mengenakan pakaian berwarna putih; orang-orang yang masih hidup di antara kalian, hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafani dengan kain yang berwarna putih. Sungguh, pakaian berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik bagi kalian."
[Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad]

Bara' Bin Azib meriwayatkan, maksudnya:" Saya tidak pernah melihat seorang pun yang lebih baik ketika mengenakan pakaian berwarna merah daripada Rasulullah S.A.W. Hujung rambut Baginda tergerai menyentuh bahu Baginda."
[Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Abu Dawud dan Ahmad.

Abu Ramtsah meriwayatkan, maksudnya:" Saya pernah melihat Nabi S.A.W mengenakan dua helai pakaian berwarna hijau."
[Riwayat Tirmidzi, Nasa'i dan Ahmad]

Aishah meriwayatkan, maksudnya:" Pada suatu pagi Rasulullah S.A.W keluar dengan mengenakan pakaian yang diperbuat dari bulu-bulu berwarna hitam."
[Riwayat Tirmidzi, Muslim dan Ahmad]

Read more...

Bentuk Tubuh Rasulullah

Friday, July 30, 2010

Daripada riwayat-riwayat para sahabat dapat menggambarkan bentuk tubuh Nabi Muhammad S.A.W. Baginda digambarkan sebagai seorang yang tegap, ketinggian sederhana- tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Baginda berkulit putih kemerah-merahan. Wajahnya tampan dan terdapat tanda-tanda kenabian pada Baginda. Rambut Nabi S.A.W. tidak terlalu kerinting tetapi tidak pula lurus, rambutnya ikal dan mencecah bahu. Kata-kata Baginda lembut tetapi bernada tegas. Ramai sahabat mengatakan: sesiapa yang kali pertama berjumpa Baginda pasti merasa segan, tetapi bagi yang terbiasa bergaul dengan Baginda pasti menyintai Baginda. Di bawah adalah petikan-petikan Riwayat sahabat-sahabat berkenaan bentuk tubuh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Anas ibnu Malik r.a. meriwayatkan, maksudnya: "Postur tubuh Rasulullah saw, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Kulit baginda tidak terlalu putih dan tidak ge;ap. Rambut baginda tidak terlalu kerinting dan tidak lurus tergerai. Allah swt. mengutus baginda sebagai rasul ketika baginda memasuki usia yang keempat puluh. Baginda tinggal di Mekah selama sepuluh tahun. Baginda wafat ketika dalam usianya yang keenam puluh, sementara uban di rambut dan janggut baginda tidak mencapai dua puluh helai." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Malik dan Ahmad]

Al-Bara' ibnu Azib r.a. juga meriwayatkan, maksudnya:"saya belum pernah melihat seseorang yang hujung rambutnya menyentuh bahagian bawah telingannya serta mengenakan baju berwarna merah yang lebih gagah daripada Rasulullah saw. Rambut baginda mencecah bahu, tubuh diantara kedua bahunya lebar, dan postur bagnda sedang (tidak pendek dan tidak tinggi)." [Riwayat Tirmidzi, Muslimdan Abu Dawud]

Ali ibnu Abi Thalib menggambarkan fizikal Rasulullah saw, maksudnya:" Postur tubuh Rasulullah saw. tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Baginda memiliki perawakan yang sedang dibandingkan dengan kaumnya. Rambut baginda tidak terlalu kerinting dan tidak lurus tergerai. Baginda berambut ikal, tidak gemuk, dan wajah baginda tidak terlalu bulat. Kulit baginda putih dan kemerah-merahan. Baginda memiliki bola mata yang hitam pekat, bulu mata yang lentik, serta bahu yang lebar dan tidak berbulu. Dada baginda berbulu, telapak tangan dan kaki baginda tebal. Ketika berjalan, baginda seakan-akan berjalan menuruni tanah yang lanai. Ketika menoleh, baginda menoleh (berbalik) dengan seluruh badan. Diantara kedua bahu baginda terdapat tanda kenabian. Baginda adalah nabi terakhir, manusia yang paling lapang dada, ucapannya paling dipercayai, karakternya paling lembut, dan cara bergaulnya paling mulia. Siapa yang pertama kali melihat baginda, pasti segan. Tetapi yang telah lama bergaul dengan baginda pasti menyintai baginda. Sesiapa yang cuba menggambarkan karakter baginda pasti berkata, 'aku tidak pernah melihat seorang pun yang sama seperti Rasulullah saw., baik sebelum mahupun setelah baginda (wafat)." [Riwayat Tirmidzi, Ibnu Sa'd, dan Baihaqi]

Read more...

Manusia Agung

Thursday, July 29, 2010

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam" Surah Al-Anbiya ayat 107.

Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Makkah pada hari Isnin 12 Rabiulawal (20 April 571M).Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh. Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria). Sejak kecil,baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliyyah yang merosakkan dan penuh kekufuran.

Kewafatan Baginda pada 632M merupakan peristiwa yang paling menyedihkan pada ketika itu sehinggakan Saidina Umar mengugut untuk membunuh orang yang menyampaikan berita tersebut sehinggalah ditenangkan oleh seorang lagi sahabat iaitu Saidina Abu Bakar. Benar kata-kata Saidina Abu Bakar yang Nabi Muhammad tetap seorang manusia dan sebagai manusia Baginda tetap tidak akan terlepas dari 'maut'. Apa yang tinggal kini adalah sunah-sunah dan hadis-hadis Baginda yang menjadi pedoman dan pembimbing kita untuk menuju ke arah kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Pesan Baginda "tidak akan sesat seseorang itu selagi ianya mengikut dua perkara ini iaitu Al-Quran dan Hadis".

Apa yang saya cuba lakukan disini adalah mengumpul sebanyak mungkin maklumat-maklumat berkaitan Baginda, perawakan, keperibadian, rupa paras dan apa saja yang berkaitan dengan Baginda. Dengan cara ini mungkin kita dapat mengenal Baginda dengan lebih dekat. Menambahkan kecintaan kita kepada Baginda kerana sesuangguhnya Bagindalah Manusia Agung ciptaan Allah yang tiada galang gantinya.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP