Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Kisah Tangga Rumah. Show all posts
Showing posts with label Kisah Tangga Rumah. Show all posts

Bakti Dan Legasi...

Wednesday, April 22, 2015

Assalamualaikum...

Selepas aku disahkan dengan penyakit yang membawa maut ini, selain mencari penawar dan berjuang untuk terus hidup; satu perkara lagi yang paling aku utamakan sudah tentulah memperbaiki hubungan dengan yang Maha Esa... Bertaubat dengan kesungguhan yang maksima dan dalam masa yang sama beribadat dengan penuh kesungguhan dan ketaatan... Mencari redhoNya dalam apa jua keadaan dan sentiasa berdoa agar aku dapat istiqomah dalam melaksanakannya...

Namun nasihat dari seorang sahabat menyentapkan aku seketika... Mengingatkan aku akan sesuatu yang aku hampir-hampir terlupa... Pada mulanya aku agak bingung memikirkan apakah yang dimaksudkannya... Sehingga memerlukan ianya dikupas dan diterang supaya jelas...

"Ye dalam keadaan kau ini, perkara yang paling penting adalah hubungan kau dengan DIA serta persediaan apa yang bakal kau hadapi disana kelak... Tapi kau jangan pulak lupa beberapa perkara yang menjadi jambatan selamat untuk kau ke sana... Sesuatu yang boleh menyumbang ketika kau berada disana nanti... Aku bagi contoh, 2 darinya adalah BAKTI dan LEGASI..."

Harus aku akui yang aku sepatutnya mula belajar untuk menghormati sahabat yang seorang ini... Walaupun dahulunya aku sering memandang remeh kepadanya tetapi dengan berlalunya masa, aku dapat rasakan dia sudah tidak seperti dulu... Wisdom datang kepadanya...  Yela, manusia berubah kan... Tetapi kadangkala ada juga kata-katanya yang aku tak faham dan tak terfikir aku akan metaforanya... Lantas aku menggesanya agar straight to the point...

"Ei kemonlah aku bukan orang bahasa... Otak orang teknikal ni mana sama dengan otak orang bahasa macam ko..."

Orait, dipendekkan cerita begini penerangannya:

BAKTI:

BAKTI yang dimaksudkan adalah berbakti kepada kedua orang tua... Sememangnya dalam Islam sendiri terlalu banyak pesanan samada dari Rasulullah bahkan dari firman Allah sekali pun berkenaan keperluan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ini... Jadi secara ringkasnya cara mudah untuk mendapat lubuk pahala hanyalah dengan berbakti kepada kedua orang tua...


Aku petik disini:

Firman Allah s.a.w. bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"
(Surah al-Israk, ayat 23)

Herm kalau macam tu syukur Alhamdulillah, memang itu merupakan satu perkara yang telah, sedang dan akan sentiasa aku lakukan... Insha Allah... Sungguhpun aku tahu segala apa yang aku lakukan tidak mampu sama sekali untuk menandingi apa yang telah mereka korbankan untuk membesarkan aku dan adik beradik, tapi aku tetap berharap sekurang-kurang dapat sedikit sebanyak menyenangkan mereka... 

Jujur aku katakan pada ketika ini tujuan aku hanya satu: untuk memenuhi apa sahaja kehendak mereka... Sebagaimana mereka menunaikan apa sahaja kehendak aku pada suatu ketika dahulu... Tapi yelah mana yang terdayalah kan... Syukur orang tua aku memang jenis tak banyak kerenah... Sebenarnya mereka ni jenis yang agak susah nak minta apa-apa dari anak-anak... Kadang-kadang aku pun tak faham, aku nak hantar ke pasar pun kadang-kadang diorang menolak... Lebih selesa bermotosikal kata mereka... Hermmm...

Sehingga ke hari ini, memandangkan aku masih dalam cuti dan jarak kediaman aku dengan rumah mereka tak sampai sejengkal pun; boleh dikatakan setiap hari aku akan bertandang ke rumah mereka... Memang tak banyak yang dapat aku lakukan untuk mereka, nak bersembang pun aku dah takde suara; namun menghabiskan masa bersama mereka, makan bersama, ke pasar bersama, lepak-lepak, baring-baring dah cukup memberi kepuasan kepada aku... Aku dapat merasakan mereka pun sama... Pada saat-saat sebegini aku yakin, samada di pihak aku mahu pun di pihak mereka; akan redho samada mereka yang akan 'pergi' dahulu atau pun aku...

LEGASI:

Kata sahabatku itu lagi, LEGASI adalah peninggalan kamu... Apa yang kau tinggalkan di dunia ini, yang boleh menyalurkan bekalan kau tanpa putus-putus di sana kelak... Aku segera teringat pesan nabi ini:

"Apabila seseorang itu meninggal dunia
maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara, 
1. sedekah jariah 
2. ilmu yang dimanfaatkan dan 
3. anak soleh yang mendoakan untuknya..."

Ooo itu yang dimaksudkan dengan LEGASI... Ye sememangnya aku tahu amalan aku masih jauh dari mencukupi, sedekah jariah tak seberapa pun... Ilmu yang dimanfaat, sebagai seorang guru aku rasa adalah sedikit kelebihannya... Cuma harap-harap adalah antara anak-anak murid aku tu yang memanfaatkan sebarang ilmu yang telah aku curahkan pada mereka selama ini... Jangan mereka pergunakan ke jalan yang sebaliknya sudahlah... Huhuhu...


Doa dari anak yang soleh, ye itulah yang perlu aku usahakan sekarang ini... Mereka kini di depan mata, akulah yang perlu berusaha untuk membimbing mereka... Moga-moga mereka dapat menjadi anak yang soleh dan solehah...

Bercerita berkenaan anak-anak ini, aku menjadi sebak... Serius, aku sebak... Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika mereka membesar tanpa seorang ayah nanti... Aduh... Betul, memang aku tak sepatutnya berfikiran sebegitu... Tapi perasaan sebegitu bukan boleh diminta-minta datangnya mahu pun dicegah-cegah... Sesekali memang ianya akan datang... Piuuushhh, melayang-layang, terawang-awang je rasa perasaan tu... Tapi aku tahu aku tak boleh layan sangat, okey bebeh, bolayan...

Buat masa ini sudah tentunya tumpuan aku pada Shahmin, anak sulung aku... Pada dialah terletaknya harapan besar aku... Bakal menggalas tanggungjawab, membantu mamanya menjaga adik-adiknya... Paling utama mendoakan aku disana kelak... Harus diingat yang hanya doa dari dia dan adik-adiknya sahajalah yang 'laku' dan akan terus difowardkan kepada aku nanti...

Dalam pada itu aku sentiasa berhasrat, aku ingin menjadi seperti Luqman al Hakim... Manusia bijak yang namanya disebut dalam al-Quran... Bagaimana dia sentiasa memberi nasihat dan kata-kata yang baik dalam mendidik anaknya... Allahu, kalaulah aku dapat menjadi sebegitu... Allahu, jadilah aku sebegitu...

Selain itu aku sentiasa berdoa ke hadrat Illahi agar kanser aku yang telah dibuang ini tidak akan muncul-muncul kembali... Aku berdoa agar aku terus kekal cancer-free... Aku berdoa agar aku dipanjangkan usia, sekurang-kurangnya sehingga dapat aku melihat kesemua anak-anak aku mampu berdikari... Tapi dalam masa yang sama terus mencuba untuk menyediakan minda dan akalku, agar sentiasa bersedia atas segala kemungkinan...

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku 
ku serahkan pada Allah tuhan seru sekelian alam..."








Read more...

Anak...

Monday, February 9, 2015


Assalamualaikum...

Sepanjang beberapa bulan aku bergelar sura rumah sepenuh masa ni ada beberapa perkara yang aku perasan berkenaan dengan budak-budak ni... Bukanlah bermakna selama hari ini aku tak pernah cakna terhadap pembesaran anak-anak yang berdua sebelum ini cumanya kali ini bersama-sama dengan Syafi ni aku yang menguruskannya dari pagi sehingga ke lewat petang... Biasanya pada waktu petang baru aku serahkan shift penjagaan pada mamanya... Aku tahu perkara tersebut memang lumrah bagi budak-budak kecil yang akalnya masih belum sempurna, cuma kadang-kadang aku terfikir mengapa itu yang mereka 'pilih' untuk dilakukan... Aku yakin bukan anak aku sahaja yang sedemikian, anak-anak korang macamana...? Ini antara perkara-perkara yang agak 'memeningkan' aku:

1. Mereka cenderung untuk membahayakan diri sendiri, contoh:
  • pantang jumpa benda atas lantai, pasti benda itu end up kat dalam mulut dia... Antara benda yang aku pernah korek keluar dari dalam mulut dia adalah duit siling, guli, tayar lori mainan... Kadang-kadang tu dengan lori-lori sekali ada dalam mulut dia...! Fuh bahayo...
  • mereka tertarik kepada peralatan tajam, aku betul-betul tak faham benda ni... Cuba letak dua benda dihadapan mereka, mainan dengan pisau, agak-agak mana yang diorang capai dulu... Pilihan anak aku, aku dah tahu... Acer teka... Huhuhu...
  • bermain-main di tangga... Ini masalah bagi mereka yang berumah 2 tingkat... Cer bagitau sikit kat mana feveret port mainan anak-anak korang...? Seluas-luas ruang tamu itu masih belum memadai untuk menarik minat dia untuk stay lama main kat situ... Ada apa kat tangga tu yang menarik sangat bagi dia, aku pun tak paham... Sekarang ni aku ada pasang adan, cuma kadangkala apabila abang dan kakaknya naik ke bilik mereka dan lupa menutup adan tersebut, pasti si Syafi akan mengikut mereka ke atas... Yang bestnya dia naik turun nak sama laju je dengan abang dan kakaknya... Haiii tak padan dengan kecik budak ni...!
2. Mereka cenderung untuk menguji kesabaran tahap dewa kita, contoh:
  • Setiap pagi selepas mengantar abangnya Shahmin ke sekolah, aku akan balik ke rumah bersama Syafi... Memberinya susu dan kemudian dia akan tidur semula... Sebaik dia bangun biasanya dia akan bermain-main dahulu... Kemudian baru aku mandikan dia, dandan dia, touch up dia... Dia pun bersih, comel dan wangi... Lepas tu agak-agak apa jadi...? Dia beyakkk...! Arghhhh...
  • Sebelum solat kita dah 'pesan' kat dia: ayah nak solat ye, adik main kat tepi ni ye, ada mainan ni ye, jangan kacau ayah nak solat ye... Ok dia ralik main dengan mainan-mainan dia kita pun solat... Tengah-tengah solat masa kita nak sujud, cer teka siapa terpacul depan muka kita...? Lepas tu sejadah akan terus jadi port mainan dia... Astaghfirullah...
  • Time makan dia kena ada kerusi sendiri, kerusi kanak-kanak tulah, ok fine itu takde hal lah... Cuma kebelakangan ni dia dah tak nak makan bersuap... Dia nak ada pinggan sendiri, cawan sendiri, makan pun nak sendiri... Hermm nanti aku nak ajar dia kemas sendiri-sendiri... Tak daya dah ayah ni, tiap kali ko makan minum sendiri mesti 'banjir' dapur tu ko kerjakan...!
Well itu semua sebahagian dari pe'el anak aku, Syafi namanya... Stress, ye memang stress, menjaga budak-budak ni memang stress...  Tapi ianya segera hilang apabila kita dapat melihat senyumannya, gelak tawanya, keletahnya... Bila kita acah dia tergelak, kita agah lagi mengilai-gilai dia... Bila kita kejar dia lari, terkedek-kedek dia berlari, cute sangat kita tengok... Bila kita terkenangkannya kita pun akan senyum sendiri... Semua keletah-keletah itu memadamkan stress yang ada, menukarkannya kepada satu perasaan bahagia, sememangnya tak terucap dengan kata-kata... Aku ingat lagi ketika aku bekerja dahulu, antara perkara yang aku tuju dahulu sebaik sampai ke rumah apabila pulang dari kerja adalah anak-anak... Melihat keletah mereka dapat sahaja menghilangkan keletihan... Sungguh...

Sesungguhnya anak-anak itu merupakan antara anugerah ALLAH, anugerah yang tak terhingga nikmatnya... Selain dari itu aku juga dapat merasakan yang anak-anak juga merupakan ujian dari ALLAH sebenarnya... Untuk menguji sejauh mana kesabaran kita dalam membesarkan mereka, mendidik mereka, menjadikan mereka insan yang berguna- di dunia dan pastinya di akhirat kelak...

Seorang sahabat yang aku anggap bijak, pernah menasihati aku pada ketika aku dalam kesakitan dahulu, dia mengingatkan aku antara perkara yang menjadi BEKAL untuk kita 'diSANA' kelak adalah doa dari anak yang soleh... Maka tanyanya:"Sejauh manakah kau sudah menyediakan anak yang soleh itu...?"

Read more...

Mat Besen

Tuesday, June 21, 2011


Beberapa hari lepas aku ada menulis tentang aku beraktiviti di Pusat Kokurikulum Kuantan. Baca sini>>... Di sana aku mendapat kawan-kawan baru dari kalangan guru-guru yang menjadi guru pengiring seperti aku. Salah seorangnya Cikgu Hacksen Ismail. Jangan tanya nama apa tu, dia orang Melayu dan memang nama dia macam itu. Aku pun malas nak bertanya kepada dia berkenaan namanya... Tapi aku bukan nak bercerita tentang dia, cuma nak mengulas satu kisah yang aku dengar darinya, begini kisahnya:

Semasa bujang dia mempunyai seorang teman karib, berkawan sejak kecil. Jo (bukan nama sebenar) memang terkenal seantero kampung sebagai pemuda yang macho. Di kalangan rakan-rakan dia sering menjadi 'kepala' bila melakukan sebarang aktiviti. Kemana-mana mesti ada Jo, kalau takde Jo aktiviti pasti menjadi hambar...

Apabila sampai seru (masuk musim mengawan) Jo pun menikahi gadis pilihannya. Namun perkahwinan tersebut dilangsungkan secara senyap-senyap sahaja. Kenduri pun kecil-kecilan sahaja. Sebaik selesai kenduri, Jo berpindah... Mungkin ke kampung isterinya, mungkin bekerja di tempat lain. Tiada rakan-rakan yang tahu. Sejak itu dia putus hubungan dengan Jo...

Sehinggalah baru-baru ini, Jo kembali ke kampung halaman. Namun perubahan ketara dirasai rakan-rakan Jo. Jo tidak seperamah dulu, bukan setakat tidak keluar rumah berjumpa kawan-kawan lama malah sering mengelak dari bertemu dengan rakan-rakan. Hai kenapa pulak si Jo ni, macam dah tak nak berkawan dengan budak-budak kampung dah ni...? Cikgu Hacksen membuat keputusan, jika Jo tak nak berjumpa dia, biar dia pergi berjumpa Jo...

Sampai di rumah Jo Cikgu Hacksen terkejut beruk, Jo memang dah tak serupa dulu... Fizikalnya berubah sama sekali... Bak kata dalam lagu P Ramlee: "Suaminya dulu hensem, rambut panjang dah jadi botak... ulala..." Lebih memeranjatkan lagi, kemachoan Jo hilang sama sekali, selain bekerja (penjawat awam) di pejabat, Jo juga melakukan semua kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, menjaga anak bla bla...

Jo tidak melayan Cikgu Hacksen, disuruhnya Cikgu Hacksen balik... Katanya isterinya akan pulang sebentar lagi dan lauk untuk makan malam belum disiapkannya lagi. OMG sampai ke situ dah tahap kroniknya perubahan Jo...! Sampai satu tahap, pernah orang-orang kampung melihat Jo dimarahi oleh isterinya ketika dia sedang menyidai baju di ampaian. Ntah apa yang diamukkan oleh isterinya sehingga Jo dihempuknya dengan besen...! Dan Jo langsung tidak melawan...! Sebab itulah kini Jo lebih dikenali sebagai 'Mat Besen' dikalangan orang kampung...!

Sehingga hari ini kisah rumah tangga Jo menjadi buah mulut orang kampung. Ada yang mengatakan yang Jo sudah terkena nasi k**gk**g... Wallahualam bisawab... Hanya isterinya dan keluarganya yang tahu...

Ulasan aku: Ini bukan cerita rekaan aku, tapi diceritakan sendiri oleh rakan baru aku tu... Kalau dia berbohong pada aku, maka korang semua ni kena bohong jugaklah... Kui kui... Namun apa-apa pun kisah tersebut bukan sesuatu yang mustahil berlaku kan...? Di mana-mana pun kita pasti mendengar cerita sebegitu, betul tak...? Bahkan dari zaman P Ramlee dulu pun dah ada kisah camni... Tak caya...? Layan sedutan cerita DOREMI ni...



P/s: Kisah P Ramlee biasanya menceritakan tentang kehidupan realiti masyarakat... Cuma dalam ketawa ada maksud yang tersirat yang perlu direnungi bersama...

P/s/s: Kepada yang bergelar suami: Jangan jadi suami yang DAYUS...! Kepada yang bergelar isteri: Jauhi NUSYUZ...!

Read more...

Kekasih Lama...

Tuesday, April 19, 2011

Entah mengapakah,
Hatiku bergetaran...
Bila bertemu lagi,
Oh kekasih lama...

Fuh lagu peveret jugak tu masa aku sekolah dulu... Aris Ariwatan tu...

Baru-baru ni aku buka FB (yang dah agak lama aku tak jengah), aku dapat friend request dari satu nama yang buat aku agak terkejut. Aku buka profile tersebut dan... Sah...! Cinta Kenangan Silam... Cewah, memang mengimbau kenangan silam betul...

Alkisahnya si dia ini merupakan first crush aku (bukan first love ok...). Aku ni kategori manusia yang sensitif (ala-ala romantik jugalah ;D) jadi sesetengah perkara tu memang jelas dalam ingatan aku. Antaranya adalah bagaimana aku terserempak dengan si dia ketika pendaftaran tingkatan 4 dan sejak tu memang aku terus set dalam otak:

"aweks ni aku mesti mau kasi ayat...! Aku mesti mau kasi dia jadi aweks aku...! Har har har...(gelak macam orang jahat...)"

Nasib aku baik, walaupun kami berlainan kelas tetapi kami berada dalam satu pasukan unit beruniform. Apa lagi, aku pun masuk jarumlah... Pada mulanya susah juga tapi dari kesungguhan aku menggunakan taktik-taktik Roy (Gila-gila Remaja), dapat jugak aku rapat dengannya... Har har... Tapi at the end, aku sendiri pun tak pasti sebenarnya apakah kami ini boleh diisytiharkan sebagai couple atau pun tidak. Takde declare apa-apa, dan aku hanya rapat dengan dia masa tingkatan 4 sahaja. Naik tingkatan 5, dengan aku yang ada macam-macam kes disiplin dan dia pun agaknya tak suka budak yang bermasalah; akhirnya kami 'break' macam tu ajer...

Berbalik pada FB aku tadi, there is absolutely nothing happen. Kami hanya bermesej dua tiga ayat, bertanya khabar dan bertanya perkembangan terkini masing-masing, itu sahaja... Masing-masing dah berkeluarga dan bahagian dengan keluarga masing-masing... Jangan buat pasal, FB ni dah banyak bikin panas woo...

Baru-baru ini terjadi kepada rakan kerja aku sendiri. Aku bukan dengar cerita orang lain tapi dia sendiri yang buka mulut bercerita. Dari FB dia terjumpa bekas tunangnya. Pada asalnya hanya sekadar chating tetapi akhirnya, apabila terlalu mengimbau Cinta Kenangan Silam akhirnya masing-masing kembali terjebak dengan perasaan masing-masing...!

Nak dijadikan cerita, suatu hari tu dia 'terkantoi' dengan isterinya... Apa lagi meletuslah perang dunia ketiga...! Agak berat kes tersebut sehingga terpaksa dirujuk ke kaunselor pejabat kadi... Tapi syukur katanya kerana dia masih dapat lagi menyelamatkan rumahtangganya. Ternyata dia sebenarnya masih sayangkan isteri dan keluarganya. Cuma apabila terlalu mengikut perasaan, itulah jadinya...


P/S: Ini pesanan dan peringatan, kepada aku sendiri dan sesiapa yang berkenaan: Hargai apa yang ada pada kita, kerana itulah yang telah ditakdirkan untuk kita. Jangan terlalu mengenang kisah lampau...

Read more...

Yang Cantik-cantik...

Monday, April 11, 2011

Aku percaya semua orang suka tengok benda yang cantik-cantik... Ada yang sebaliknya...? Hem there must be something wrong dengan anda... Hee... Aku ada terbaca semasa aku round-round tengok blog member, katanya mata lelaki ni memang suka sangat tengok benda-benda cantik... Lebih-lebih lagi bila tengok PEREMPUAN CANTIK...! Well bagi aku: No komen (ceh ayat artis tu!)...

Bagi aku, ada beberapa benda cantik yang aku suka tengok, antaranya:

1. Pemandangan Cantik:


Huh memang mendamaikan bila melihat pemandangan-pemandangan yang cantik. Lebih-lebih lagi pemandangan alam semulajadi... Terasa kebesaranNya... Agak-agaknya betapa indahlah syurgaNya kelak kan...?

2. Rumah Cantik:


Sejak kebelakangan ini hampir setiap petang kerja aku membawa orang rumah aku dan anak-anak menaiki kereta berpusing-pusing ke dalam taman-taman perumahan. Boleh kata dah habis taman perumahan di Bentong ni kitorang jejaki. Saje usha-usha rumah orang, mana yang cantik tu bolehlah diambil idea untuk hiasan rumah sendiri kelak...

3. Kereta Cantik:


Yang ini komfemlah, selagi aku bergelar kakitangan kerajaan kiranya boleh bermimpilah sajelah nak memiliki kereta-kereta tahap ini. Tapi mata aku memang tertarik dengan kereta-kereta cantik... Kiranya berpaling kepalalah kalau terserempak...

4. Perempuan Cantik:


Har har memang betul aku ni lelaki sejati kan... Lelaki mana tak suka tengok perempuan cantik ooi... Tapi ingat kawan, tengok sekali: kira rezeki tu... Tengok kali kedua dah kira... Sendiri mau ingatlah... Psstt, atas tu gambar bini orang ye... jangan usha lama-lama ok...! ;P

P/S: Entry ini dibuat khas untuk mengambil hati orang rumah aku. Aku terlupa lagi b/ day dia baru baru ini...! Arghhh kenapalah aku selalu lupa erk...???!!!

Read more...

Dia Masih Gilakan Aku...

Friday, February 18, 2011

Diam tak diam dah 5 tahun aku mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, hari ini cinta aku pada isteriku masih sama. Ibarat kata Awie:

"Kau masih kuncintai, sungguh...
Dari hari pertama kau ku nikahi
..."

Dan aku lihat dia pun masih gilakan aku, maklumlah badan aku masih maintain, ala-ala badan Ben Ashaari gitu. Cuma tang perut Bro Ben kalah dengan aku. Hua hua...

Sepanjang 5 tahun ini beberapa perkara aku amalkan dalam hubungan kami suami isteri. Just nak share dengan korang:

1. Hormati Pendapatnya:

Terus terang aku katakan semasa bujang aku 'kurang' menghormati wanita. Bagi aku, pendapat atau idea aku mesti lebih baik dari kaum hawa... Selepas aku bernikah aku belajar untuk menghormati pandangan isteriku. Ternyata wanita juga punya idea dan pendapat yang bernas...

2. Tarikh-tarikh Penting:

Ini merupakan kelemahan aku dan aku percaya ramai lagi lelaki-lelaki di luar sana sebegini. Jangan begitu beb, wanita suka kita mengingati tarikh-tarikh penting ni. Hari lahir dia, hari ulang tahun perkahwinan, kalau boleh dia nak kita ingat tarikh 1st time dating... Hari ini, ic dia pun aku dah hafal...

3. Beri Pujian:

Ini pula favourite diorang. Aku kadang-kadang tak faham gak, dah bertahun kahwin, dia masih nak dengar puji-pujian dari aku. "Ye sayang, awak makin hari makin cantik"...

4. Kerja-kerja Rumah:

Tolong bro, kerja rumah bukan tanggung jawab isteri sahaja ok. Lebih-lagi lagi jika kedua-dua bekerjaya. Ringan-ringankan sikit tulang tu. Nanti boleh dapat 'upah'... Hik Hik...

5. Bercuti Bersama:

Aku baca banyak pendapat motivasi rumah tangga, bercuti bersama dapat merapatkan lagi hubungan suami isteri. Aku percaya, dan memang aku amalkan. Tak perlukan percutian yang grand atau memakan belanja besar. Yang penting pilih tempat berehat yang 'strategik'...

6. Ciuman Sayang:

Bukan 'ciuman sayang' yang anu anu tu... 'Ciuman sayang' tanda sayang... Ini pesanan dari Dato' Dr Fadzilah Kamsah. Setiap pagi sebelum keluar bekerja aku cuba pastikan dia mencium tanganku. Aku pula mencium pipinya. Mana tau itu ciuman terakhir kan...

7. Layan Dia Sebagai Manusia:

Isteri bukan semata-mata 'teman tidur'. Oleh kerana dia merupakan insan yang paling banyak menghabiskan masa bersama kita, maka secara tak langsung dia merupakan 'best friend' kita. Jadikanlah dia tempat untuk kita mengadu, dalam masa yang sama jadilah juga pendengar yang setia...


P/S: Aku bukan nak mendabik dada mengatakan kami pasangan paling bahagia di dunia... Adatlah alam rumah tangga, ada masanya bergolak juga. Tapi perlulah bersikap terbuka dan sentiasa bertoleransi...

P/S 2: Aku bukan takut isteri ok... Cuma isteri aku je tak berapa nak takut kat aku... Huhu...

Read more...

Dulu Dan Kini

Friday, January 21, 2011


Seketika tadi aku ke hypermart ter'grand' di Bentong, TF Value Mart membeli keperluan asasi Shahmin dengan adiknya, Iffa. Apa lagi kalau bukan pampers dengan syusyu. Aku pergi bersama Shahmin sahaja. Mama di rumah menjaga Adik.

Semasa membeli ternampak aku akan sepasang suami isteri yang ku kira baru mendirikan rumah tangga. Aku beranggapan begitu kerana inai yang masih 'segar' di jari kedua-duanya dan sudah tentu, kemesraan mereka begitu ketara. Saling berpegangan tangan, senyum tak lekang di bibir. Mereka di zon: pakaian tidur! Hem patutla happy sangat kan... Ngeee.

Segera aku terkenang saat-saat manis ketika baru mendirikan rumah tangga. Serba bahagia masa tu. Kemana-mana berdua. Jika selama ini 'hang out' bersama rakan-rakan, selepas berumahtangga ada teman sejati yang menemani kemana sahaja. Buat apa-apa mesti berdua. Makan berdua, shoping berdua, menonton wayang berdua, tidur berdua, mandi... Ops sudah 18SX la pulak...

Tahun ini masuk tahun ke-5 perkahwinan kami. Anak dah 2. Terasa dah lama la pulak aku tak merasa saat-saat manis seperti dulu. Bukan aku kata sekarang tak bahagia. Not at all! Sekarang sudah tentu lebih bahagia kerana telah memiliki keluarga yang lengkap termasuk sepasang cahaya mata. Cuma 'kemesraan' berpasangan tu dah kureng. Al-maklumlah, kemana-mana sekarang tidak lagi berdua. Paling kurang berempat. Dah tu tak merasa lagilah nak berpegangan tangan. Kalau pegang pun, tangan anak ler. Aku biasa tolak stroller Iffa, Mamanya memegang Shahmin... Sesekali terasa rindu amat aku nak menonton wayang, hobi bersama kami suatu ketika dulu. Rindu juga masa-masa 'bertekak' di depan kaunter tiket; aku nak tengok cerita action, dia nak tengok romance (klise kan..?)...

Sekarang ini jika ke mana-mana seperti ke kedai untuk membeli barang-barang dapur atau keperluan, memang tak tenteram nak membeli, sebabnya sibuk nak perhatikan Shahmin yang sedang kuat melasak. Itu tak kira Iffa yang dalam stroller lagi... Sudahnya berpakat- masa aku membeli, Mama jaga anak. Time Mama membeli, aku pulak take turn. Itulah sebabnya sekarang lebih elok jika aku pergi bersendirian. Paling tak pun aku akan membawa Shahmin sahaja. Bila di rumah pulak memang dah takde masa nak bergurau senda. Mama memang sibuk dengan Iffa je. Yang si Iffa di dia tak boleh tercium bau mama dia. Bila tau je mama ada kat rumah, nak 'bergayut' je keja dia... Ayah pun dah tak merasa bergayut dengan mama... Hem hem... Begitulah hidup kami sekeluarga sekarang ini...

Agaknya ada tak lagi peluang untuk kami bermesra-mesraan seperti dulu...? Mungkin, mungkin suatu hari nanti apabila anak-anak sudah dewasa dan kami kembali hidup 'berdua'...



P/S: Pernah bercerita pada kawan-kawan berkenaan hal ni, jawab mereka:"Ai kata nak 5, ni baru 2 dah pening ke...?"

Read more...

Pahit Kan Manis Jua Akhirnya

Thursday, January 13, 2011

Amaran Penulis: Ini merupakan kisah sedih... Sila sediakan tisu yang secukupnya sebelum membaca... Peace...


Hari ini aku sempat berborak dengan seorang rakan guru. Aku kurang rapat dengannya tapi masih berkawanlah. Sekarang aku nampak badannya agak berisi berbanding dengan tahun lepas. Tahun lepas memang ketara badannya kurus mengeding dan mukanya kelihatan cengkung. Macam berpenyakit je aku tengok. Tahun ini dia kembali kelihatan ceria sokmo. Rupa-rupanya isterinya yang juga seorang guru telah dapat bertukar ke sini dan kini mereka tinggal bersama. Mereka berkahwin 2 tahun lepas dan baru tahun ini merasa duduk bersama. Maknanya baru setahunlah tak duduk bersama. Ha ini pulak kisah aku. 3 tahun tak duduk bersama bang. Lagi sedih woo...

Aku diijabkabulkan pada Jun tahun 2006 ketika bertugas di Cameron Highlands. Selang sebulan, aku dapat menyewa sebuah appartment 3 bilik. Terus aku bawa isteri ku tinggal bersama. Masa tu dia baru graduate dan masih tidak mempunyai pekerjaan. Selama 3 bulan isteriku bergelar suri rumah berijazah dan dia mula merungut kerana bosan tinggal di rumah sorang-sorang. Melalui seorang kenalan aku dapatkan dia pekerjaan sebagai seorang guru tadika berhampiran dengan sekolah tempat aku mengajar. Gajinya memang tak seberapa tetapi aku tengok dia gembira dengan tugasnya. Bahagia sungguh aku rasa ketika itu. Kemuncak kebahagiaan kami adalah pada Mac tahun berikutnya apabila isteri aku disahkan mengandung. Seperti dunia ini ana yang empunya...

Pada suatu hari dia mendapat panggilan telefon dari kampung mengatakan dia ditawarkan bekerja di Perpustakaan Daerah Bentong sebagai Penyelia IT. Dengan berat hati aku melepaskannya pergi. Bayangkanlah baru nak mengecapi nikmat berumahtangga. Tapi aku redha, rezekinya di sana. Tidak malu aku akui, selama 2- 3 malam aku menitiskan air mata jantan. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berpindah. Tinggal di kuartes bersama guru-guru bujang.

Sejak itu rutin mingguan aku berubah. Setiap Jumaat aku akan travel sejauh lebih 200km dan hampir 4 jam dari Cameron ke Bentong. Petang Ahad 200km dan 3 jam lebih lagi. Begitulah jadualnnya sehinggalah pada sesi persekolahan 2009, aku ditukarkan ke daerah Raub. Walaupun perlu traveling juga selama 30-40 minit setiap hari, tapi aku tak kisah kerana dapat tinggal bersama isteri dan anakku. Namun ianya tak lama kerana sekali lagi isteri aku perlu meninggalkan aku. Kali ini dia mendapat tempat di Maktab Perguruan Kuala Terengganu mengikuti KPLI. Walaupun terpaksa berpisah setahun lagi tetapi kali ini jaminan untuknya mendapat pekerjaan yang berdasarkan kelayakkannya. Aku bersyukur juga tetapi dalam hati, hiba mengiringi pemergiannya ke Kuala Terengganu.

Kini langit kembali cerah. Sejak tahun lepas kami kembali tinggal bersama kerana isteri telah bergelar guru dan dipostingkan ke daerah Bentong. Good for her. Kegembiraan berganda apabila isteri disahkan mengandung anak kedua pada tahun yang sama. Maka kini kami sudah berempat. I'm back at the top of the world. Kan betul pahit kan manis jua akhirnya...


P/S: Dalam masa yang sama masih ramai guru-guru tinggal berjauhan dari anak isteri, ataupun anak dan suami, semuanya sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan 'Saya Yang Menurut Perintah'. Harap pihak yang berkenaan dapat menangani permasalahan ini dengan lebih baik.

Read more...

Madu Itu Hempedu

Tuesday, January 11, 2011

Antara topik yang sering berlegar dikalangan lelaki yang menuju ke awalan middle ages; kalau bukan nak tambah rumah, tambah kereta, mungkin tambah anak atau paling hot tambah bini! Betul? Jangan nak kelentong. Ke ada problem? Hee... Tak, gurau sahaja. Aku pun sebenarnya tak pernah bercerita secara serius berkenaan perkara ini, cuma tumpang melibatkan diri dalam perbualan yang berkaitan adalah... Gila kau, tau dek orang rumah aku tak ke tido sofa aku malam nanti. Barulah kuang kuang kuang...

Masa minum pagi tadi aku ada terdengar cerita ni (hello cikgu lelaki pun bergosip ok ;P), alkisahnya seorang hamba Allah yang dikenali di sekolah aku kini dilanda masalah. Hamba Allah ni baru sahaja bernikah lagi seorang. Kalau diikutkan tak hilang lagi inai di jari si isteri kedua, tembelangnya pecah. Rupa-rupanya dia bernikah lagi satu tanpa pengetahuan dan kebenaran isteri pertama dan kini sudah kantoi. Maka nak berlaku perang dunia ketigalah di kampung tersebut. Yang si hamba Allah ni pun bukan aku nak kata kurang cerdik tapi kalau dah tau kahwin sorok-sorok, kenapa pulak nak bawa duduk sekampung. Sekarang kan dah naya diri sendiri.

Bercerita tentang poligami ni memang tak abis. Tanpa aku menafikan hak lelaki yang nak mengikut sunnah Nabi ni, aku secara peribadi sangat tidak bersetuju jika 'pertambahan' tersebut berlandaskan konsep 'touch n go' semata-mata. Maksudnya, kahwin lagi satu, buat anak. Rasa tak puas nak kahwin lagi, tambah lagi anak. Tanggung jawab pada si isteri dan anak? Ahh lantak korang... Aku bukan mereka-reka perkara ni (kaum lelaki jangan marah kat aku pulak ek...) tapi aku dah berjumpa dengan lelaki macam ni depan mata aku. Mak saudara aku dua orang yang hidup bermadu. Sungguh pun aku tak merasa tapi aku dapat melihat kesengsaraan mereka. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Mujurlah semua sepupu-sepupu aku membesar juga menjadi orang. Dapat membiasakan diri berkongsi bapa. Aku berdoa moga mak-mak saudara aku mendapat payung emas di akhirat kelak...

Namun ada juga yang betul-betul berpoligami mengikut lunas Islam yang sebenar-benarnya. Lelaki 'hebat' macam ini pun aku pernah jumpa. Orangnya serba sederhana, usianya menjangkau setengah abad. Isteri ketiganya (yang terbaru) hampir sebaya dengan isteri aku, kalau tak pun lebih muda kerana dia menggelarkan isteri aku dengan panggilan akak. Anak pertamanya dengan isteri pertamanya sudah di menara gading. Anaknya yang paling kecil kini baru nak belajar merangkak. Fuh steadylah bro, bila lagi nak penuhkan kuota... Heee.

Aku pulak, setakat ni masih teramat bahagia dengan 'the one and only'. Terfikir mungkin pernah, tapi bila mengenangkan kemampuan diri, erm simpan ajelah... Pernah aku cuba bergurau dengan isteri aku berkenaan nak menambah-nambah ni. Apa aku dapat? Tu dia cubitan maut dicelah pinggang. O mak ai pedihnya menusuk sampai ke buah pinggang rasanya...

P/S: Hello aku bukan takut bini ok, cuma bini aku je yang kurang takut dengan aku...

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP