Sahabat Tanpa Suara

Showing posts with label Catatan Tanpa Suara. Show all posts
Showing posts with label Catatan Tanpa Suara. Show all posts

Menghadapi Cabaran

Thursday, April 20, 2017


Dalam jiwa seorang manusia, ALLAH telah bekalkan dengan satu semangat pemandiri dan semangat juang untuk bangkit dari apa jua ujian, musibah, cabaran mahupun kegagalan. Dalam filem2 Hollywood, aku suka menonton filem2 tentang watak2 hebat yang meskipun ditimpa pelbagai ujian dan kegagalan, bangkit dan tanpa putus asa berhadapan dengan cabaran hidup masing2.

The Beautiful Minds, Pursuit of Happyness, 127 Hours, Eddie The Eagle dan banyak lagi filem2 yang segenre. Aku minat dan jadi bersemangat setiap kali menonton filem2 sedemikian, watak2 tersebut sentiasa cekal, minda 1st class dan sentiasa tidak pernah berputus asa menghadapi cabaran hidup.

Itu paparan dan watak2 benar yang menjadi inspirasi yang dijelmakan ke dalam filem. Namun watak2 tersebut semestinya terlalu besar dan jauh dari aku sendiri. Di dunia aku ini, watak2 yang terasa dekat dan aku pernah berinterasi sendiri dengan mereka, turut memberikan kesan dan inspirasi yang sama kepada aku.

Aku pernah terkesan dengan perjuangan seorang wanita yang kehilangan sebelah kakinya akibat penyakit, bangkit melawan dan kini dia berusaha membantu orang lain pula dengan melakukan kerja2 amal dan tulisan2nya yang memberi inspirasi.

Aku pernah merasa kagum dengan semangat seorang anak muda yang suatu ketika pernah terlantar di wad hospital akibat penyakit yang membawa maut, bangkit lalu menjelajah seluruh negara demi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penyakit mautnya itu. Dengar2nya, next planning untuk merentas ke seluruh dunia pula!

Aku pernah merasa terkesima apabila berhadapan dengan seorang guru yang pernah diserang stroke berat dan hampir lumpuh sebahagian badan, kini kembali mendidik anak bangsanya; meskipun dalam pergerakannya yang agak terbatas.

Semua cerita di atas menjadi pendorong dan inspirasi untuk aku bangkit berhadapan dengan cabaran dan dugaan aku sendiri.

3 tahun lepas, aku telah diuji dengan dugaan yang paling besar dalam hidup aku. Akibat kanser yang aku hadapi, aku telah kehilangan suara, ye total lost, MUTE! Setahun lebih aku hidup dalam dunia aku sendiri, cuba menyesuaikan diri dengan hidup baru, cuba menyerap segala tekanan yang mendatang, cuba merancang strategi untuk bangkit menghadapi cabaran terbesar dalam hidup aku ini.

Aku berpegang teguh dengan janji ALLAH: "disebalik setiap kesukaran, adanya kemudahan".

Dengan izinNYA juga, aku bangkit dan melakukan sesuatu yang tidak pernah terjangka akan aku lakukan. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku mendapat peluang ini. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku berjaya dalam berdepan dengan dengan cabaran yang aku kirakan sangat2 besar ini.

Mungkin bagi manusia normal, bercakap di depan khalayak bukanlah sesuatu yang sukar pun, semua orang boleh buat. Well, itu manusia biasa, aku ni dah kategori manusia LUAR biasa. 😅😅😅

Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang membantu, secara langsung atau pun tidak. Tidak mampu untuk aku senaraikan kesemuanya tetapi anda tahu siapa anda.

Next challenge, sudah ada yang mencabar aku untuk bermain gitar dan menyanyi di depan khalayak pula. Semasa bersifat manusia normal pernah jugalah aku lakukan, tetapi sebagai seorang laryngectomee, seperti sesuatu yang mustahil. Namun itulah yang dinamakan cabaran, kan?

Orait, cabaran diterima! Tungguuuu...

Read more...

Mengatasi Ketakutan II...

Thursday, June 16, 2016

Assalamualaikum...

Apa khabar semua...? Fuh last update adalah Januari lepas, macam sibuk sangat gayanya kan... Yelah dah start kerja kan... Tapi nak kata sibuk sangat di tempat kerja pun taklah jugak... Just, i've been doing something la... Here and there, bukanlah penting sangat pun, just meneruskan kehidupan... Yang sebenarnya malas tu yang lebih tu yang lama tak menghapdet tu... Fikir-fikir pulak ada lagi ke yang membaca blog picisan ku ini... Huhuhu

Sampailah beberapa hari yang lepas, ada seseorang text aku:

- Salam, ini encik Shamsul ke...? Yang kanser peti suara tu...? Yang undergoes total laryngectomee tu...?

- Yup, sayala tu...? Awatnya...?

- Takde apa... Just nak tanya khabar je dan nak ucap terima kasih banyak-banyak... Tulisan encik banyak bagi panduan dan motivasi dalam nak menjaga ayah kami... Ayah kami kanser jugak encik Shamsul, kanser pita suara, sama macam encik... Cumanya kami wonder jugak kenapa lama dah encik tak update blog...? bla bla bla, chit chat chit chat...

Ok ayat dia atas aku reka sendiri, saje nak bagi ayat power sikit... Macam adalah orang yang admire tulisan aku kan... Kah3...

Tapi sememangnya BENAR yang ada orang whatsapp aku dan memberi maksud seperti diatas... Katanya apa yang aku tulis dalam blog ini sedikit sebanyak memang membantu dia dan keluarganya menghadapi situasi bagaimana untuk berhadapan/ menjadi care taker seorang pesakit kanser...

Fuh terkesima aku sebenarnya... Ada gak manfaat tulisan aku ni kan... Dan-dan tu jugalah semangat berbakul-bakul datang. meluap-luap, membara-bara... Maka terhasillah entri hari ini... Kui3... Tapi, itulah hasrat sebenarnya pun aku menulis selama ini, untuk berkongsi... Apa yang baik boleh dijadikan tauladan, mana tak tak baik tu jadilah sempadan, kan...

Ok, nak tau apa perkembangan aku selama 6 bulan tak bersiaran ni...? Erm biasa-biasa aje, takde perkembangan yang menggemparkan sangat... Cumanya satu perkara yang BESAR adalah kini aku sudah boleh BERSUARA...!!!

Ye, BERSUARA...!!! Maknanya kini 'tanpa suara' sudah kembali BERSUARA... Bagaimana...??? Haa tunggu lepas ni aku cerita...

Sebelum tu aku nak maklumkan dulu, kelmarin birthday aku weh, yang ke 40... Yup, sudah 40 aku tahun ini... Apa maknanya 40 itu...? Ongputih kan cakap: life begins at 40... Apa maksud dia...? Jujur aku pun tak ambil tahu sangat selama ini... Dalam ISLAM takde pun cakap apa-apa pasal umur 40 ni kan... Cumanya bagi aku secara peribadi umur 40 ini melambangkan kematangan seseorang lah, kan... Maknanya bila dah 40 tahap matang seseorang itu dah optimum dah...


Dengan pertambahan umur ini juga bermakna semakin hampir jugalah seseorang itu dengan kematian... Jika dulu aku sering membayangkan yang aku akan mati sebagai seorang tua, ditemani oleh isteriku yang setia dan dikelilingi oleh anak-anak yang berjaya; dan berpuas hati serta merasa bangga dengan pencapaian hidup yang telah aku bina... Namun kini, dengan 'anugerah' yang ALLAH kurniakan ini, perspektif pemikiran aku berubah sama sekali... Malas pulak aku nak fikirkan tentang hari-hari tua aku... Yang paling penting adalah masa SEKARANG... Sekarang ini aku masih bernyawa dan masih diberi kesihatan... Syukur padaNYA, taat, tunaikan kewajiban, rapatkan diri kepadaNYA dan NIKMATI kehidupan... Itu SAHAJA...

Ok, jom kita pergi ke perkara BESARRR tadi... Ye, aku kini sudah kembali BERSUARA... ALHAMDULILLAH... Tanpa suara kini sudah boleh bersuara... Jika sebelum ini aku pernah menulis yang aku masih mampu untuk bersuara meski pun telah kehilangan peti suara melaui 3 cara kan... Ingat lagi...? Hermmm akhirnya aku telah memilih cara melalui pembedahan, memasukkan sejenis alat yang dipanggil sebagai TEP ( tracheoesophageal prosthesis ) ke dalam tekak dan memaksa angin dari paru-paru dan mengeluarkan suara melalui pertuturan...

Yes sudah tentu, sehebat mana pun ciptaan manusia itu tidak mungkin dapat menandingi kehebatan ciptaan yang MAHA ESA... Suara aku sudah tentunya tidak seperti dulu, tidak seperti suara-suara kalian... Namun begitu aku tetap bersyukur, aku bersyukur sangat-sangat, sungguh aku betul-betul bersyukur (punya nak tunjuknya yang aku suka)... Yang penting aku masih diberi peluang ke-2 untuk berkomunikasi sesama manusia dengan cara yang paling normal, iaitu bercakap (instead of berbisik sebelum ini)...

Pembedahan sudah agak lama sebenarnya, sudah hampir 2 bulan... Pembedahannya tidaklah seperti total laryngectomee yang aku lalui dulu... Yang tu makan masa lebih dari 12 jam, aku warded lebih 10 hari... Kali ini tidak lama pun, malah aku hanya diwadkan semalaman sahaja... Next entri la aku cerita detail ye... Eh apa korang tak tahu...? Yelah dah aku tak tulis kat sini kan... Hehe... Tapi aku ada update dalam facebook, semua rakan-rakan facebook aku tahu mengenai perkara ini... Jomlah jadi rakan facebook saya...Muahhh3... 

Ok, yang ini aku tak bagitahu lagi dalam facebook - menjalani pembedahan adalah 1 hal, kembali bersuara adalah 1 hal, untuk berhadapan dengan orang ramai dengan suara 'semerdu' ini adalah 1 hal yang lain pula... Jika sebelum ini aku menceritakan bagaimana strugglenya aku untuk memberanikan diri berhadapan dengan orang ramai lebih-lebih lagi untuk memberanikan diri ke tempat kerja; kali ini 'fear' yang aku hadapi tidak kurang besarnya juga... Ye betul aku sudah boleh bersuara, boleh berkomunikasi dengan hampir sempurna... Masalahnya suara aku awful, hodoh, tak sedap didengar, pelik, freekkkkk....

Itulah cabaran besar yang aku hadapi selama hampir 2 bulan pasca kehidupan kembali bersuara ini... Jujurnya aku masih belum mengatasi sepenuhnya... Masih ada sesetengah tempat tu aku belum bersedia untuk membuka mulut untuk bersuara... Ntah aku tak tahu kenapa... Tapi dalam masa sama banyak juga aku cabar diri aku ini, sesetengah tempat tu aku main redah je bercakap... Seperti biasa respon manusia, berbagai-bagai... Ada yang buat pelik, ada yang muka kelakar, ada yang buat macam impressed, ada pulak tu buat bodoh je... Well taklah menakutkan sangat sebenarnya...

Cumanya aku masih lagi perlukan masa, sikittttt je lagi... Dah nak sampai tune dah ni cuma 2-3 hoon je nak sampai lagi... Yang pastinya insha Allah, kali ini dengan sokongan orang-orang disekeliling aku; sekali lagi aku PASTI akan berjaya mengatasi ketakutanku ini... ALHAMDULILLAH... ALHAMDULILLAH... ALHAMDULILLAH...











Read more...

Mengatasi Ketakutan...

Wednesday, January 13, 2016

Assalamualaikum...

Yaaa... Buat kesekian kalinya, aku kembali lagi... Selepas hampir berapa lama yer...? Herm sejak September lepas kan...? Mesti ramai tertanya-tanya, apalah cerita si tanpa suara sekarang ni kan... Entah ada entah tiada sudah... Biasa, itu memang soalan biasa bagi seseorang pesakit kanser... Kalau lama tak dengar berita tu mesti orang ingat dah gone with the wind dah kan... Hermmm ok, bagi menjawab pertanyaan korang nah abang belanja satu pic abang yang terkini... Hahaha so lepas ni jangan cakap abang tak payung ek... 


Ok dah lepas rindu dah...? Kalau sudah, boleh dah abaikan gambar dahi aku yang semakin melicin itu... Itu semua tanda-tanda penuaan, biasa biasa je tu... Huhuhu... Mari kita bercerita perkembangan terkini aku... 

Minggu ini merupakan minggu kedua aku bekerja... Ya aku telah mula bekerja sejak minggu lepas lagi  dan ye, sebagaimana yang pernah aku ceritakan sebelum ini, aku telah pun ditempatkan di PPD Bentong... Sebagai guru yang diletakkan di dalam perjawatan kumpulan (POOL)... Maknanya aku diberikan tugas-tugas khas berdasarkan kemampuan semasa aku... Yang nyatanya sekarang ini memang aku tidak lagi mampu untuk mengajar di sekolah seperti biasa maka aku telah diberikan tugas-tugas yang berkaitan dengan dengan pentadbiran dan perkeranian sahaja...

Kesihatan aku...? Alhamdulillah... Syukur sangat-sangat, perjumpaan terakhir aku dengan doktor Mawaddah adalah pada Disember yang lepas dan menurut beliau segala-galanya OK, beautiful, wonderful dan segala ful ful yang baik baik... Malah perjumpaan dengannya juga telahpun dijarakkan daripada setiap 2 bulan sebelum ini kepada setiap 4 bulan sahaja selepas ini... Cuma yang menjadi sedikit masalah bagi aku kini adalah progress pertuturan aku berjalan agak lembab... Herrmmm esophagus speech aku ni slow giler development dia... Tapi takpe akanku teruskan jua perjuanganku ini... Chaiyok chaiyok...

Cumanya kadang-kadang aku merasa agak terdesak untuk bercakap... Apabila sampai kepada beberapa situasi apabila aku cuba berkomunikasi dengan orang-orang disekeliling aku, kadang-kadang apa yang aku cuba sampaikan dalam keadaan aku sekarang ini, maksud sebenarnya tidak kesampaian... Kalau sebelum ini aku tak kisah sangat sebabnya aku hanya berkomunikasi dengan keluarga, sanak saudara dan teman-teman rapat sahaja... Tetapi kini apabila sudah mula bekerja aku merasakan komunikasi aku perlu lebih jelas dan mantap... Aku rasa nampaknya mungkin aku perlu mempertimbangkan option untuk menggunakan TEP... Hermmm kena operate lagilah nampaknya... Tapi takpelah tu, yang pastinya bukanlah dalam masa terdekat ini lagi...

Apabila aku mula bekerja ni memang jumlah interaksi aku dengan manusia-manusia di sekeliling aku bertambah... Yela sebelum ni yang aku hadap balik-balik orang rumah aku, anak-anak aku, mak abah adik kakak... Kadang-kadang dengan kawan-kawan yang datang bertandang, atau yang terserempak di bandar... Dan jarang-jarang juga bertemu dengan mak bapak sedara, sepupu sepapat sedara maranya... Tapi sekarang ini jumlah manusia yang perlu aku hadap sudah tentulah bertambah jumlahnya...

Satu perkara yang dulunya aku agak khuatir dan bimbang adalah ketidakupayaan aku untuk 'menghadap' orang-orang ramai ini... Aku sering risau aku tak dapat handle reaksi-reaksi orang ramai apabila berjumpa dengan aku... Apa yang mereka fikirkan bila tengok keadaan aku, apa dalam fikiran mereka bila mereka tau aku seorang pesakit kanser, apa pula yang mereka fikirkan bila mereka tau aku tidak mampu bertutur seperti manusia normal... Memang nampak agak remeh perkara tersebut tetapi perkara-perkara inilah yang membuatkan aku beberapa kali berfikir panjang untuk tidak masuk kerja sebaliknya meneruskan cuti sakit aku yang sepatutnya masih berbaki dalam 6 ke 7 bulan...

Lama sebenarnya aku berkira-kira untuk kembali bekerja... Memang kalau diikutkan ini merupakan antara ketakutan (fear) yang paling besar pernah aku hadapi sepanjang umur hidup aku... Puas aku fikir-fikirkan pro dan kontra yang bakal aku hadapi nanti... Malah sampai satu tahap aku rasa dah malas nak fikir, rasa macam nak pencen awal jer... Hua hua hua...

Entah bagaimana akhirnya aku membuat keputusan untuk kembali juga bekerja... Aku harus hadapi ketakutan aku ini... Sudah tentulah yang menjadi pendorong aku selama ini seperti biasalah, orang-orang yang aku sayangi dan menyayangi aku yang sentiasa berada di belakang aku... Bab ini aku tak pernah risau, aku tahu aku sentiasa ada sokongan dari belakang... Namun yang kena menghadapinya dari depan adalah aku sendiri... Mahu tak mahu aku kena hadapi juga...

Well apa yang aku buat, redah ajelah, just go with the flow... Tiada sebarang petua tiada sebarang tips... Kuatkan mental, tabahkan hati, rendahkan ego dan the rest serahkan padaNYA... Hingga ke hari ini, Alhamdulillah... I'm still standing... 


Bercakap pula berkenaan reaksi orang ramai dan penerimaan mereka terhadap aku, perkara yang konon-kononnya aku takut-takutkan sangat tu, hermmm ok jelah... Taklah seteruk mana pun... Tapi tula, manusia ni memang telah diciptakan sedemikian kan... Bermacam-macam jenis, berlainan perangai... Bukan niat aku nak menyalahkan mereka... Tidak juga aku pinta untuk sebarang layanan istimewa... Cuma yela, kadangkala ada respon yang ok dan ada jugalah yang tidak menyenangkan aku... Tapi takpelah tu, mungkin aku cerita di entri yang lain sahaja, memandangkan ianya tidaklah seteruk yang aku sangkakan pun... 

Ok nampaknya sedikit sebanyak aku memang telah berjaya overcome aku punya ketakutan... Beres satu hal... Hal yang seterusnya adalah untuk perform... Aku bekerja untuk sebuah organisasi, organisasi yang agak besar sebenarnya, organisasi yang menguruskan segala yang berkaitan dengan soal pendidikan pada peringkat daerah... Dan sudah tentunya aku dinilai, dinilai oleh pihak atasan aku... 

Namun aku mempunyai pilihan... Aku boleh memilih untuk bekerja di bawah 'par' manusia biasa, yelah aku kan handicap... Makanya aku mempunyai alasan untuk kerja ala-ala sahaja, mengikut kemampuan semasa...

Atau aku boleh memilih untuk stand out... Bekerja di atas 'par' atau sekurang-kurangkan 'at par' dengan manusia-manusia biasa disekeliling aku... Jika ini jalan yang aku pilih makanya sudah tentu ianya agak perit, sudah tentu aku perlu usaha yang lebih dari yang sepatutnya... Then, kita tunggu ajelah... Biar masa yang menentukan... Bak kata orang ni, one step at a time... Ngeeee...







Read more...

First Cancerversary...

Wednesday, September 9, 2015

Assalamualaikum...
Pada tarikh hari ini, genap setahun yang lepas, satu keputusan ujian makmal di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dikeluarkan... Keputusan bagi ujian biopsi terhadap satu ketumbuhan yang dikesan melalui kaedah scoping di dalam tekak aku... Keputusannya, sebagaimana yang anda semua telah maklum- aku disahkan sebagai pesakit kanser... Kanser pita suara, stage 3 atau lebih tepat kategori T3N0M0...

Memang dunia gelap seketika bagi aku ketika itu... Yelah, KANSER... Suatu penyakit yang amat-amat digeruni... Suatu penyakit yang tiada penawarnya... Suatu penyakit yang membawa MAUT... Siapa tak seram kan...? Aku pernah menceritakan secara detail kisahnya disini>>

Namun itulah takdir aku, itulah yang telah direncana untuk aku, itulah ketentuan dariNYA untuk aku... Adakah ianya sekadar satu dugaan...? Atau ianya satu peringatan...? Atau satu bentuk hukuman atas dosa-dosa yang aku lakukan pada masa-masa lalu...? Hanya yang DIA yang MAHA AGUNG lagi MAHA MENGETAHUI...

Secara jujurnya aku telah mula menerima ketentuan ini... Tiada apa lagi yang nak aku persoalkan, tiada apa lagi yang ingin aku pertikaikan... Siapalah aku untuk mempertikaikan segala ini, sedangkan DIA yang MAHA BIJAKSANA sudah pasti ada perancangan yang terbaik untuk setiap hamba-hambanya...

Tapi sebagai seorang hamba yang sangat jahil lagi lemah, terkadang itu timbul juga rasa kekesalan atas nasib yang menimpa ini, rasa sedih, rasa hampa, rasa tertekan... Namun Alhamdulillah kesedaran dan kewarasan sering menjelma kembali... Tiada tempat lain yang aku adukan setiap kesedihan, kehampaan mahupun rasa tertekan itu melainkan hanya padaNYA...

Apa-apa pun, hei i'm still alive... Selain suara yang masih tak sempurna, tulang 4 kerat dan anggota-anggota lain tiada yang cacat celanya... Semuanya lagi masih berfungsi seperti biasa, masih mampu melaksanakan tugas-tugas duniawi... Masih mampu untuk menunaikan segala ibadat yang diperintahkan olehNYA, untuk mengumpul segala macam keperluan buat bekalan di hari muka... Hari-hari manusia dibangkitkan semula untuk satu hidup yang KEKAL ABADI... Bukankah itu arah tujuan kita semua...?

" Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku 
hanyalah untuk ALLAH, tuhan seru sekelian alam..."


p/s: Hari ini entri pendek je... Mood kesayuan (tetiba keluar lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon dalam THR Gegar)... Huhuhu...

Read more...

Flashback Part 9: Dunia Hanya Pinjaman...

Tuesday, August 11, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 8 disini>>



**********



Dunia ini hanya pinjaman; hidup insan tak kekal lama... 
Dunia ini hanya pinjaman; hidup insan tak kekal lama...
Cari ilmu isikan dada, bekal ilmu di hari muka...
Cari ilmu isikan dada, bekal ilmu di hari muka...

Cewah biasa dengar tak lagu tu..? Haa tu memang lagu zaman-zaman mak aku dulu, dari oltimer Hail Amir dengan Uji Rasyid... Indeed, bait-bait lagu tersebut amat benar sekali... Dunia ini hanyalah pinjaman, segala isinya adalah pinjaman... Apa yang kita ada hari ini adalah pinjaman... Harta benda, anak pinak, kesihatan dan kesejahteraan hatta nyawa kita pun pinjaman dariNYA... Tiba masanya segala-galanya harus dipulangkan...

Dalam bahagian ke 8 Flashback yang lepas aku telah menceritakan bagaimana akhirnya aku memulangkan 'suara' aku kepada MAHA PENCIPTA... Bukan kerana aku tidak memerlukannya lagi namun atas dasar kanser yang telah membiak di dalamnya... Ya, positively thinking aku suka untuk berfikiran yang DIA ada perancangan yang lain yang aku tidak tahu berkaitan dengan hal ini, atas dasar seorang hamba yang jahil dan tidak mengetahui apa-apa... Atau it just simply satu bentuk hukuman ke atas aku; atas apa-apa dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini... Tapi either way, aku sudah mula belajar untuk menerima hakikat, suka atau tidak, mahu atau tidak; aku harus REDHO...

Mari aku ceritakan secara ringkasnya apa yang berlaku kepada aku sepanjang 15 jam di dalam dewan bedah... Setelah dibius dan dipastikan yang aku sudah tidak sedarkan diri, leher aku dikelar 180 darjah dari hujung kiri ke hujung kanan, lalu ianya disiat ke paras muka... Keseluruhan pita suara aku bersama-sama dengan halkum dan organ-organ yang berkaitan dikeluarkan, panjang keseluruhanya lebih kurang 10cm... Korang boleh bayangkan panjang 10cm tu...? Erm bayangkanlah sendiri... Kulit leherku yang tersiat itu kemudiannya dilipat kembali dan dijahit untuk mencantumkannya semula...



Namun ianya tidak berakhir disitu... Bahagian seterusnya ini agak teknikal (rujuk gambarajah di atas), baca betul-betul dan hadamkan... Manusia normal seperti korang semua dan aku (sebelum pembedahan) bernafas melalui hidung/ mulut, disalurkan kepada paru-paru melalui rongga trachea... Sementara itu kita makan/ minum melalui mulut, melepasi rongga oesophagus terus ke perut... Pita suara/ larynx bertindak sebagai 'divider' yang membahagikan udara masuk ke rongga trachea dan makanan/ minuman harus masuk ke perut melalui rongga oesophagus... Dalam kes aku, apabila pita suara dikeluarkan secara automatik saluran pernafasan aku yang normal tidak dapat berfungsi lagi... Apa yang dilakukan untuk membolehkan aku bernafas semula adalah dengan membuat satu 'bypass' dari paru-paru aku ke satu lubang yang ditebuk dibawah leher yang disiat tadi... Maka untuk tujuan itu, leher aku ditebuk sebesar duit syiling 20 sen dan ianya kekal 'ternganga' buat selama hayat yang aku ada... Lubang yang dipanggil sebagai stoma tersebut kini menggantikan fungsi hidung aku untuk menghirup udara yang dipinjamkan olehNYA di dunia yang fana ini...

Well, itulah 2 perkara utama yang dilakukan oleh doktor-doktor di dalam dewan bedah... Kedengarannya mungkin agak simple tapi ianya melibatkan sesuatu organ yang major maka penelitian yang tinggi amat-amat diperlukan... Sebab itu pembedahan tersebut memakan masa melebihi setengah hari... Itulah penerangan dari Dr Mawaddah, doktor pakar otorhinolaryngology yang mengetuai team pembedahan tersebut... Menurut Dr Mawaddah lagi, syukur juga kerana tiada sebarang komplikasi yang berlaku sepanjang pembedahan, dan apa yang patut lebih disyukuri adalah sel-sel kanser masih terkawal dan tidak merebak ke organ-organ lain yang berhampiran...

Sudah tentu aku tidak menyedari semua itu, aku berada di'alam' lain pada ketika itu... Jujurnya tiada apa yang dapat aku ingat... Semuanya gelap sahaja, sebaik bius mula berkesan ke atas aku hinggalah aku mencelikkan mata 15 jam kemudiannya... Perkara pertama yang aku sedari sebaik sahaja aku mencelikkan mata adalah rasa sakit di bahagian tulang tongkin aku... Kepala aku agak pinar dan pandangan aku masih kabur...

Dalam keadaan 'mamai' itu aku mendengar nama aku dipanggil beberapa kali, aku tahu itu adalah panggilan dari jururawat namun aku rasa terlalu lemah untuk menjawab... Aku dapat merasakan ada genggaman erat di tangan kanan aku... Aku kenal sangat tangan yang mengenggam itu, aku memberi respon dengan mengerak-gerakkan tangan aku... Aku pejam mata dan terlelap semula...

Kali kedua aku tersedar, kali ini aku merasakan lebih 'segar'... Tangan aku masih dalam genggaman seseorang... Siapa lagi kan...? Mesti korang semua pun boleh teka siapa... Aku mencari wajah itu, dia tersenyum kepada aku... Alhamdulillah, aku hidup lagi...

"Encik Shamsul... Encik Shamsul sudah sedar ye...? Ok Encik Shamsul dah selesai operate ye... Alhamdulillah semuanya ok..."

Aku hanya mendengar suara jururawat tetapi aku tak cam langsung mukanya... Mata aku hanya terpaku memandang orang yang menggengam tanganku itu... Senyumannya betul-betul membuat aku lega... Aku tak mau memikirkan apa-apa lagi buat masa ini...

Jururawat itu kemudian menyambung:

"Encik Shamsul, encik sekarang dalam PACU (Post Anaesthesia Care Unit)   ye... Nampak macam encik dah ok ni... Sekejap lagi kami akan tolak encik balik ke wad ye..."

Seketika kemudian, aku ditolak oleh jururawat yang bertugas keluar dari bilik PACU tersebut... Diluar bilik itu barulah aku nampak muka-muka yang lain... Mak aku, abah, Kak Long, Kak Ngah dan beberapa saudara terdekat... Aku lihat masing-masing mengalirkan air mata... Aku terharu juga, tapi aku sedikit hairan; tiada setitis pun air mata yang keluar dari mata aku... Kerana aku tidak rasa sedih, aku rasa LEGA, aku rasa RELEASE, aku rasa BERSYUKUR...

Aku sempat memberi isyarat kepada mereka semua agar jangan menangis, kemudian aku terus dimasukkan ke dalam wad... Aku kira malam telah lewat kerana di dalam wad aku sedari semua pesakit telah tidur... Kesemua ahli keluarga aku pun tidak dibenarkan masuk lagi kecuali seorang sahaja... Siapalah lagi yang aku nak harapkan untuk menjaga aku dalam keadaan begini melainkan dia...

Aku memandang wajah dia, aku renung matanya dalam-dalam... Aku ingin menyatakan kepadanya terima kasih tapi of coz, tidak terluah... Kerana aku kini secara rasminya sudah tidak mempunyai 'suara'... Namun aku kira dia memahami...

"Abang... Abang jangan fikir apa-apa dah ye... Abang tidur je... Ayang ada kat sini, ayang takkan ke mana-mana..."

Efek bius sememangnya masih ada, lalu aku tertidur semula...


***** Enf of Part 9 *****

p/s: Korang pernah tengok apa itu 'kanser'..? Bagaimana rupanya 'kanser' tu..? Nah, ekslusif untuk korang aku kongsikan gambar 'kanser' pita suara... Yang telah memusnahkan organ pita suara aku... Perhatikan dalam bulatan kuning itu... Dan perhatikan panjang keseluruhan organ yang telah dikeluarkan... Ngeri tak...? Ok kalau ngeri jangan tengok lama-lama, nanti korang tak lalu nak makan nanti korang salahkan aku pulak... Huhuhu...


Read more...

Eid Fitr 2015

Monday, August 3, 2015

Assalamualaikum...


Fuh sudah agak lama aku tak update kan, hampir-hampir 3 minggu... Mesti ramai yang tertunggu-tunggu, tertanya-tanya- bilalah shamdisini nak kembali bersiaran kan...? Tak kurang pula yang tidur tak lena, mandi tak basah, berak tak basuh- mengenangkan bilalah agaknya dapat mendengar perkhabaran terbaru dari aku... Well, untuk memenuhi impian korang-korang semua, baiklah ini perkhabaran terbaru dari aku... Hee hee hee, lama tak mengarut, maafkan hamba di bulan yang mulia ini ye...

Kita masih lagi di bulan Syawal, so aku yakin ramai lagi yang masih dalam mood raya... Ini memang dah budaya kita di Malaysia, oleh sebab puasa sebulan, so kita akan demand untuk beraya juga selama sebulan... Cuma sekarang ini kemeriahannya mungkin agak berkurangan sebab radio dah 'slow' sikit... Kalau tidak, memang dema pulun main lagu raya je kaw-kaw punya... Betul...? Dan pada masa ini jugalah setiap hujung minggu setidak-tidaknya kita akan menghadiri rumah-rumah terbuka dari sahabat-sahabat kita... Itu tidak termasuk lagi rumah-rumah terbuka dari jabatan-jabatan, bank-bank, kedai-kedai kereta, kedai makan Pakcik Hamzah, gerai lemang To'ki dan tidak ketinggalan kedai motor Ah Meng di simpang Ketari... Namun tak salah juga semua ini kan, malah baik untuk merapatkan hubungan silaturrahim...

Bagi yang kerja makan gaji pula of coz semua sudah habis bercuti kan..? Semua sudah kembali ke 'sarang' memasing... Meneruskan kehidupan seperti biasa, kembali bertugas untuk mencari sesuap rezeki... Haa bab ini aku consider aku masih bertuah, jangan jeles u ols aku masih dalam cuti tau... Paling tidak tarikh akhir aku di dalam mc adalah pada 1/9/2015... Pada masa itu memang genap sudah setahun aku dalam cuti barah, bermakna aku sudah menghabiskan separuh dari cuti yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi pesakit-pesakit kanser yang bertugas sebagai kakitangan awam di negara ini... Tinggallah separuh sahaja lagi...

Secara jujur aku masih belum menetapkan samada untuk meneruskan cuti atau kembali bertugas, serius aku masih belum membuat keputusan... Walaupun pun secara zahirnya aku rasa sudah cukup sihat dari segi mental dan fizikal (tidak sepenuhnya, aku boleh letak 70%-80%), tetapi bila memikirkan betapa 'syoknya' bercuti ni, badan pun rasa lemau je, rasa nak bercutiiii je lagi... Ishhh bahaya camni, aku kena bulatkan tekad, ye aku mesti kembali bertugas... Dah ada yang menanti aku seperti mana yang pernah aku tuliskan disini>>...

Sebenarnya aku nak bercerita pengalaman beraya aku tahun ini... Ye memang tiap-tiap tahun kita beraya, so apa bezanya...?  Dari beberapa segi memang tiada beza dengan raya-raya sebelum ini, balik kampung, bertakbir memuji kebesaranNYA, mohon ampun ibu bapa, bermaaf-maafan sesama kita, kunjung mengunjungi, makan lemang, ketupat rendang jangan dilupa peninggalan nenek zaman berzaman, asyik bersembang pakcik dan makcik hai duit raya lupa nak diberi...

Tetapi dari satu segi lagi ini adalah merupakan kali PERTAMA aku beraya sebagai seorang pesakit kanser, sebagai seorang laryngectomee, sebagai seorang yang 'tanpa suara'... Jadi jika ditanya adakah sama je raya aku tahun ini, aku akan katakan TIDAK sama sekali...

Jujur aku katakan aku ada satu ketakutan sebenarnya, fear... Ketakutan untuk berjumpa dengan orang ramai, ketakutan untuk mendedahkan penyakit aku kepada orang yang bakal aku jumpa, dan paling utama sebenarnya aku takut untuk menghadapi REAKSI dari orang yang dapat tahu penyakit aku ini buat pertama kali... Mungkin bagi yang dah biasa mengikuti blog aku ni mungkin akan rasa wah hebat dia ni, berani hadapi penyakit kanser, boleh mengharungi kehidupan sebagai OKU tanpa suara bla bla... Namun hakikatnya bagi aku berhadapan dengan penyakit adalah satu peperangan, dan menghadapi orang ramai merupakan satu peperangan yang lain dan berbeza sekali situasinya... Dan ye, aku masih ada fear tersebut... Malah sebenarnya itu jugalah antara sebab-sebab aku masih belum memutuskan samada untuk kembali bertugas atau tidak selepas 1/9/2015 ini...

Untuk makluman korang juga memang aku masih belum berjumpa dengan semua saudara mara, sahabat handai... Memang ada antara mereka yang sedia maklum namun masih ada juga yang langsung tidak tahu menahu... Yela takkan aku nak ke hulu ke hilir pulak mencanangkan kepada semua saudara mara sahabat handai: wei aku ada kanser wei... Maklong, Paktan, Ayah cu, saya ni kena kanser peti suara, sekarang ni saya dah tak boleh cakap macam orang biasa... Hermm takkan gitu pulok kan... Biarlah ianya berlaku secara natural kan... So kedatangan Syawal ni memang antara masa yang paling sesuaila untuk aku story mory benda-benda ni semua... Tapi tulah, bila mengenangkan reaksi-reaksi yang bakal aku terima nanti, agak terrify jugalah aku rasa...

Namun nak tak nak aku kena hadapi juga kan...? Aku tak boleh nak sorok jugak penyakit aku ini buat selama-lamanya... Kata orang satu-satunya cara untuk mengatasi sesuatu ketakutan adalah dengan berdepan dengan ketakutan itu sendiri... Well nampaknya itu yang harus aku lakukan; dan telah pun aku lakukan...

Seperti yang aku jangkakan, memang pelbagai reaksi yang aku terima... Ada yang bersedih, ada yang terkejut, ada yang terkejut 'gila', ada yang terkejut 'gila-gila'... Ada pula yang selamba derk je, erm macam-macam... Banyak yang memberi kata-kata semangat, namun dalam pada masa yang sama ada juga yang agak menjengkelkan... Malas pulak aku nak mengenangkannya, dan sebenarnya reaksi yang sebegitulah yang buat aku malas/ takut nak berhadapan dengan orang...

Namun secara keseluruhan ianya tidaklah memberi kesan yang negatif pada aku... Bila dikenang-kenangkan lagi, nampak macam ini satu permulaan yang baik untuk aku terus kehadapan untuk berdepan dengan orang ramai... Ini merupakan satu pengalaman yang berguna sebenarnya... Pengalaman berhadapan dengan orang ramai, pengalaman untuk 'meraikan' reaksi yang baik-baik, pengalaman untuk 'absorb' reaksi-reaksi yang negatif... Herm nampaknya ada juga sesuatu yang berguna aku dapat dalam Syawal kali ini... Berguna sebagai persediaan aku untuk kembali bertugas, berguna untuk persediaan aku berhadapan dengan rakan sekerja, orang ramai dan masyarakat sekeliling...

Eid mubarak untuk semua...


p/s: ada lagikah yang nak tau kisah aku yang selanjutnya pasca pembedahan pembuangan peti suara...? Tunggu kehadiran Flashback Part 9 ye... Coming soon... ;-)







Read more...

Mimpi dan Realiti...

Monday, July 6, 2015


Assalamualaikum...

Dah masuk trimester yang ketiga dah puasa kita tahun ni kan, korang sedar tak kita dah masuk 10 hari terakhir dah ni...? Fuh macam tak caya jer, ngeee... Dari satu segi aku merasa lega dengan semakin nak berakhirnya ramadan kali ini, namun aku juga bersyukur Alhamdulillah sesangat kerana aku masih diberi kekuatan untuk mengharunginya... Memang ini merupakan ramadan yang paling mencabar bagi aku (considering keadaan fizikal aku sekarang ini)...

Manakala dari satu segi yang lain sudah tentulah sebagai ummat islam kita akan merasa sedih dengan berlalunya ramadan ini...Yela sebab bulan pesta mengumpul pahala semakin berakhir, dan ianya hanya akan datang setahun lagi dari sekarang. herm entah kan sempat entahkan tidak, kan...

So bagaimana kutipan korang musim ini setakat ini, memuaskan tak...? Ok yang ini tak payah cerita lah kan, sendiri punya bakul sendiri kumpul lah... Just aku nak ingatkan dalam 10 hari terakhir ni DIA dah sediakan sesuatu yang SANGAT-SANGAT istimewa, kan...? So Anak cina makan, sindiri mau ingat...

Bangun je pagi tadi tiba-tiba je aku rasa nak cerita pasal mimpi aku... Aku jarang bermimpi sebenarnya, lebih-lebih lagi mimpi yang best-best, yang ada makna, yang ada moral disebaliknya; seperti yang aku alami malam kelmarin... Mimpi aku itu mimpi yang just nak menjelang waktu aku bangun sahur, terasa real sangat mimpi tu...

Mimpi aku itu berlatar belakang pertandingan... Aku menyertainya, bersama dengan ramai orang yang hampir sebaya dengan aku sahaja, dan pesertanya hanya lelaki sahaja...Macam-macam pertandingan yang kami sertai, ada yang berbentuk menguji kepintaran, kekuatan, kecergasan dan kepantasan...

Dipendekkan cerita, aku mengakhiri kesemua pertandingan tersebut pada kedudukan sederhana sahaja... Aku tidak menjadi juara pun, jauh sekali menjadi peserta yang mendapat pujian dan pujaan orang ramai... Namun secara peribadinya aku berjaya menamatkan kesemua pertandingan yang aku sertai, ye ada yang aku kalah tapi ada juga yang aku menang, cumanya markah terkumpul tidak melayakkan aku menjadi juara...

Namun aku tidak kecewa kerana di pengakhirannya aku tetap mendapat reward atas penyertaan aku itu... Rewardnya, haa part ni paling best... Untuk orang lain aku tak pasti tapi bahagian aku, rewardnya merupakan seorang BIDADARI, perghhhh...!! Pada permulaanya ianya membelakangi aku dan apabila ia berpaling, wajahnya sangat-sangat aku kenal... Rupa-rupanya bidadari tersebut adalah isteri aku sendiri... Wahhh jiwangla plaks... Ngeee...

Sekadar gambar hiasan

Wokey the next thing tak boleh cerita, bukan untuk tontonan umum... Hehee... Cumanya aku suka untuk refleks mimpi tersebut dengan kejadian di dunia sebenar... Seperti yang aku katakan di awal tadi ianya menjadi best sebab aku rasa ianya terkait rapat dengan apa yang aku alami di dunia realiti ini...

Sangat betul apabila aku umpamakan hidup ini sebagai medan pertandingan, atau medan UJIAN untuk lebih tepatnya... Dan lebih betul bila hasilnya ada ujian yang aku GAGAL, tidak melepasi kelayakan dan tidak mencapai piawaian yang dikehendaki... Namun aku tidak gagal kesemuanya, ada juga yang aku MENANG, berjaya mengatasi cabaran yang diberikan dan menepati kehendak-kehendak pertandingan... Dan paling utama aku tetap diberikan GANJARAN atas usaha yang aku telah berikan sepanjang pertandingan tersebut...

Yang paling memberi kesan kepada aku adalah apabila aku mengambil kira pengajaran dari mimpi aku ini... Betul, sejak kebelakangan ini aku dilanda dengan pelbagai UJIAN, perit aku menghadapinya, dan memang aku telah tewas beberapa kali, aku tersungkur. aku rebah... Namun aku yakin, sinar kemenangan tetap ada menanti aku, yang penting aku tetap berusaha dan tidak berputus harap kepadaNYA... Dan aku pasti akan menanti GANJARAN yang DIA sediakan untuk aku nanti...

**********************************

Ok done kisah mimpi, mari kita cerita pasal realiti plak... Beberapa hari yang lepas aku ke Bandar Kinrara Puchong, bertemu dengan Mr. Eddie Phang, seorang pembekal peralatan bagi mereka-mereka yang menjalani pembedahan laryngectomy, seperti aku... Kami diperkenalkan oleh doktor yang merawat aku, Dr Mawwadah... Rupa-rupanya Eddie telah lama membekalkan peralatan-peralatan post laryngectomy ni, samada kepada hospital mahu pun kepada individu-individu... Banyak peralatan-peralatan di pejabatnya, hampir complete untuk keperluan bekas-bekas pesakit kanser yang menjalani pembedahan pembuangan pita suara...

Antara peralatan-peralatan yang terdapat di pejabat Eddie Phang

Menariknya bersama Eddie ini, dia bukan hanya sekadar menjual peralatan-peralatan tersebut tetapi juga menyedia khidmat nasihat dan kaunseling berkenaan dengan kegunaan peralatan-peralatan yang terbabit... Aku tak sangka pula yang Eddie akan mencerita panjang lebar...Hampir 2 jam aku bersamanya, mendengar penerangannya malah siap diberi peluang untuk mencuba sendiri peralatan-peralatan yang terdapat di situ...

Tujuan utama aku bertemu dengan Eddie sebenarnya adalah untuk mencuba satu alat yang dipanggil electrolaryng... Ye memang pada permulaanya aku tidak berminat langsung kerana electrolaryng ini akan mengeluarkan suara yang mono tone, mono frekuensi, sebiji macam suara robot... Tetapi rupa-rupanya dengan perkembangan teknologi terkini, telah ada electrolaryng yang berfungsi dengan multi tone dan frekuensi... Yang aku tonton di youtube tu siap boleh berkaraoke lagi seorang pengguna tu... Wow sungguh mengujakan... Itu antara sebab utama aku ingin mencuba electrolryng ini...

Namun bila ditanya tentang harga, gulppp mencecah RM4000 ko... Herm kalau nak beli saja-saja memang takde ler... Tapi menurut Eddie, memandang aku adalah kakitangan kerajaan kemungkinan aku boleh membuat tuntutan pembelian melalui JPA... Cumanya aku tetap kena dahulukan dengan duit aku sendiri dahulu... Herm kalau boleh claim nampak macam menarik juga, balik nanti harus ku selidik dengan lebih jelas...

Mencuba electrolaryng teknologi terkini yang memiliki multi tone dan frekuensi

Selain electrolaryng, peralatan utama yang dibekalkan oleh Eddie adalah set TEP, iaitu set implan yang dimasukkan kedalam tekak bagi menggantikan fungsi pita suara yang telah dibuang... Sudah tentulah ini merupakan teknik atau cara yang paling mudah dan berkesan untuk bekas pesakit seperti aku ini untuk kembali bersuara... Namun ini juga merupakan kaedah yag paling banyak risiko yang perlu ditanggung oleh seseorang pengguna itu seperti risiko kebocoran, kerosakan dan lain-lainnya...

Herm mesti korang terpinga-pinga tak faham apa yang aku sampaikan ini kan...? Bagi yang dah lama folow cerita aku ni mungkin ada clue sikit-sikit kan...? Aku pun dah pernah menulis serba sedikit mengenai 3 pilihan yang aku ada untuk kembali bersuara disini>>... Tapi bagi yang tak tahu langsung tu pun takpe, lepas ni memang aku bercadang untuk buat entri-entri penjelasan yang lebih detail berkenaan kaedah-kaedah untuk kembali bersuara bagi bekas pesakit-pesakit kanser pita suara, yang menjalani pembedahan pembuangan peti suara, seperti aku ini...

Tapi dalam masa yang sama ini aku masih meneruskan pembelajaran aku untuk bersuara melalui kaedah esophangus speech... Satu teknik yang terbaik, free maintenance dan zero risiko... Dan ye, memang ada perkembangan yang baik untuk aku... Walaupun progresnya agak perlahan tapi grafnya masih mendaki, bukan statik malah tidak menurun... Aku sedar aku bukan seorang fast learner, hakikat ini aku sedari lama dah... tapi aku juga sedar walaupun aku agak lambat dalam mempelajari sesuatu yang baru, tetapi apabila aku sudah mendapat rentak, atau bila dah kena dengan tune dia, haa masa tu memang aku akan kicking a** lah... Kikiki...

Dan kalau benarlah petanda yang aku dapat melalui mimpi aku yang aku alami baru-baru ini, aku yakin sinar kemenangan ADA menanti untuk aku... Aku ingin berjaya dengan teknik ini... Aku akan PASTIKAN aku akan berjaya dengan teknik ini... Insha ALLAH, wish me luck wokey... ;-)

Gigih mendengar penerangan dari Mr Eddie Phang






Read more...

Khabar Gembira Di Bulan Ramadan...

Friday, June 26, 2015

Assalamualaikum...


So camana dengan Ramadan korang kali ni..? Masuk hari ini maka dah genap pun seminggu kita berpuasa kan...? Bagi aku sendiri, aku bersyukur sangat-sangat kerana setakat ini aku dapat mengharunginya dengan jaya... Bagi yang tahu 'keadaan' aku ni mesti tau betapa aku risau sebenarnya untuk menghadapi Ramadan kali ini... Tapi nampaknya ALLAH betul-betul mempermudahkan untuk aku... ALHAMDULILLAH...

Aku seorang yang tahan berpuasa, sebenarnya aku sudah mula berpuasa penuh seawal tadika atau darjah satu... Aku kurang ingat sejak bila tapi yang pasti PUASA PENUH ok... He hee bukan nak riak pulak tapi just nak bagitau yang aku memang jenis yang tahan berpuasa... Aku boleh bertahan lapar dan dahaga, tak jadi masalah bagi aku... Sejak dari aku kecil lagi...

Tapi Ramadan kali by far merupakan yang paling mencabar bagi aku... Puasa 'tanpa tekak' memang cabaran tahap 'legend'... Serius woo... Sampai pernah aku terfikir untuk 'membatalkan' sahaja puasa aku, bukan sekali tetapi beberapa kali... Terutama pada hari pertama ke hari yang ketiga... Fuh rasa macam budak-budak nak start belajar puasa balik... Tapi seperti yang aku kata tadi, ALLAH tolong aku, bak kata pepatah orang putih ni 'when going get tough, the tough get going' (eh betul ke...?) dan keadaan aku memang bertambah baik... Sehingga ke entri ini aku masih puasa full lagi tau... Ngeee...

Dalam keperitan aku menjalani ibadah puasa kali ini tiba-tiba ALLAH mendatangkan khabar gembira buat aku... Beberapa hari lepas isteri aku dihubungi oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah menyampaikan 2 perkhabaran... Satunya aku telah ditukarkan ke sekolah yang berhampiran dengan kediaman aku sekarang dan keduanya permohonan aku untuk ke jawatan dalam kumpulan pool telah diluluskan...

Ooo korang tak tau ek...? Ok bagi yang tak tahu tu sebelum ini aku bertugas di sekolah yang jaraknya 76 km dari kediaman, memakan masa 1 hingga 1 jam setengah untuk sampai... Sekarang aku telah pun ditukarkan ke sekolah yang jaraknya tak sampai 5 km pun dari kediaman... Best kan...? Best ssssangat... Dan paling penting yang keduanya itu, dengan lulusnya permohonan aku untuk dimasukkan ke dalam kumpulan jawatan pool bermakna aku layak untuk memohon diringankan beban tugas... Aku boleh nemohon untuk menjalankan kerja-kerja administration... Yelah dah takde suara nak mengajor camana kan...?

Kelmarin aku telah ke PPD mengadap pegawai yang bertanggungjawab... SATU lagi khabar gembira apabila pegawai tersebut memaklumkan yang kemungkinan besar aku akan ditempatkan di PPD memandangkan keadaan aku yang tak memungkinkan aku untuk mengajar di sekolah...

"Yelah no point juga cikgu duduk kat sekolah, bukan cikgu boleh mengajar lagi kan... Nak buat kerja-kerja perkeranian pun sekolah dah banyak kerani pun... So cikgu duduk di pejabat ni la ye... Nanti kita akan lantik cikgu ke suatu jawatan yang sesuai... Buat masa ini cikgu teruskan cuti cikgu dulu... Bila-bila cikgu dah sedia nanti cikgu boleh maklumkan kepada pihak kami..."

Amboi niceee je layanan dari pegawai PPD tu, nikmat jadi orang sakit ni... Ngeee...

Herm kalau betul aku ditempatkan di PPD, ini merupakan BONUS kepada berita-berita gembira yang aku dapat... Tapi perasaan aku agak bercampur baur antara gembira,serba salah dan saspender...

Gembira, ye aku gembira... Memang aku minat bertugas di bidang pentadbiran, aku tak nak menafikan... Dan aku rasa aku berbakat dalam pentadbiran... Bukti...? 4 tahun aku bertugas menjaga 1 department ketika berkerja di bidang private sebelum menyertai bidang pendidikan... Aku tahu aku mampu...

Serba salah, ada juga kerana aku rasa aku ditempatkan di situ bukan atas dasar kebolehan aku... Lebih kepada atas dasar ketidakupayaan aku sebenarnya... Apa pulak pandangan orang lain nanti, mesti ramai jugak yang meragui kemampuan aku...

Saspender, ini perasaan paling besar... Yelah setelah hampir setahun bercuti kan... Entah apalah kerja yang bakal aku galas nanti... Bagaimana pula aku nak compete dengan pekerja-perja yang lain... Herm just wait and see jelah kan...

Tapi aku masih belum mahu memikirkannya sangat... Belum masanya kerana aku masih belum mendapat hitam putihnya lagi... Lagipun kini aku sedang berhadapan dengan satu lagi cabaran sekarang ini... Cabaran yang lebih besar, yang akan menentukan keupayaan aku untuk kembali bersuara... Doktor yang bertanggungjawab mengendalikan terapi pemulihan pertuturan aku meletakkan sasaran untuk aku menguasai teknik esophagus speech sebelum berakhirnya Ogos ini... Itu cabaran sebenar aku ketika ini, itu yang harus aku kuasai dahulu...

So buat masa ini aku harus ketepikan dulu soal kerja, sekolah ke, PPD ke, layak ke tak layak ke, rileks dulu... Aku nak kembali bersuara, walaupun tidak seperti manusia normal tetapi at least boleh mengeluarkan suara... Itu matlamat utama aku ketika ini... Wish me luck...






Read more...

Salam Ramadhan...

Wednesday, June 17, 2015

Assalamualaikum...


Perkataan yg indah adalah ALLAH
Lagu yg merdu adalah AZAN
Media yg terbaik adalah AL-QURAN
Senam yg sihat adalah SOLAT
Diet yg sempurna adalah PUASA
Kebersihan yg menyegarkan adalah WUDHU
Perjalanan yg indah adalah HAJI
Khayalan yg baik adalah ingat akan  DOSA dan TAUBAT
Mudah-mudahan di bulan yg suci ini hadir membawa iman dan takwa...

Hermmm nampaknya ini tahun pertama aku berpuasa sebagai seorang laryngectomee... Insha Allah aku telah bersedia... Sesungguhnya aku bersyukur kerana masih diberi umur dan kesihatan untuk menyambut ramadhan kali ini... Semoga aku dapat menjadikan ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan-ramadhan yang sebelumnya... 

Pada sahabat-sahabat maya semua, Selamat Menyambut Ramadhan... Maafkan sekiranya ada yang terkhilaf sepanjang persahabatan kita di alam maya ini... Pose tau jangan tak pose... Nanti tak boleh dapat duit raye... Kui kui kui...

Read more...

Falshback Part 8: Ku Pulangkan(15 Jam Bertarung Maut) ...

Monday, June 8, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 7 disini>>

**********


Keputusan telah dibuat: aku akan buang kanser ini, itu hal baiknya... Yang tak baiknya bersama-sama dengan kanser tersebut aku terpaksa korbankan sekali pita suara aku... Ye aku bakal kehilangan salah satu organ yang DIA 'pinjamkan' kepada aku, aku bakal kehilangan suara aku... Fuh besar nilai kehilangan tu kan... Tapi aku sentiasa memujuk hati dengan selalu berkata: aku bukan 'kehilangan' tetapi aku 'memulangkan' apa yang telah dipinjamkanNYA kepada aku...

Dari segi mental dan fizikalnya aku rasa aku sudah cukup bersedia... Aku berdoa, aku bertawakal, aku berserah kepadaNYA; sebagai persediaan mental... Sebagai persediaan fizikal pula, sudah puas aku tengok, study dan google kes-kes pasca pembedahan seperti yang bakal aku lalui nanti... Cumanya untuk membayangkan bagaimana keadaan aku khasnya nanti, masih agak kelam... Kurang bayangannya, takut untuk membayangkannya itu masih kuat juga...

Tapi mahu atau tidak, rela atau tidak aku harus juga menghadapinya... This is my journey... It is meant for me... Memang untuk aku, harus mengertilah...


Di pihak perubatan segala-galanya telah tersedia... Yelah dah tugas mereka, segalanya pasti mengikut jadual... Sehari sebelum pembedahan aku dimasukkan ke wad... Katil 20, wad 5H, Pusat Perubatan UKM, disitulah aku ditempatkan... Sejarah, memang sejarah... Seumur hidup aku, aku tidak pernah dimasukkan ke mana-mana hospital, atas sebab apa-apa penyakit pun... Namun disebabkan penyakit ini, ini kali kedua aku diwadkan... Pertama kali di wad ini juga, cuma katil yang berlainan; atas sebab biopsi untuk menentukan jenis ketumbuhan di dalam tekak aku ini dahulu... Aku pernah ceritakannya disini>>...

Namun pembedahan biopsi itu hanyalah pembedahan minor, Walau pun aku dipengsankan untuk pembedahan itu, risikonya masih amat kecil berbanding dengan pembedahan kali ini... Pembedahan kali ini prosedurnya jauh lebih besar dan berisiko... Menurut doktor, pembedahan bakal menelan masa 10 ke 15 jam... Bergantung kepada situasi semasa, termasuk respon fizikal aku ketika pembedahan, dan keadaan ketumbuhan itu sendiri... Tempoh recovery: 10 ke 14 hari, bergantung kepada tubuh badan aku... Fuh this is not just a big thing, this is HUGE...

Selain itu terdapat beberapa lagi risiko yang berkait rapat dengan keadaan semasa ketumbuhan di dalam tekak aku itu, antaranya adalah sejauh mana ia telah merebak... Menurut Dr Mawaddah yang bakal menjadi ketua team pembedahan itu nanti, apa yang merisaukannya adalah jika ketumbuhan itu telah merebak lebih jauh dari yang dijangkakan... Jika benar ianya telah merebak maka bukanlah setakat pita suara sahaja yang perlu aku korbankan... Antara lain yang turut akan 'terkorban' adalah thyroid aku dan beberapa kelenjar nimfa yang terletak di bahagian leher aku... Wow mengerikan bukan... INDEED...


Pagi sebelum pembedahan, beberapa jam sahaja lagi untuk aku bersuara seperti manusia normal, seperti korang-korang semua... Aku cuba untuk kelihatan cool, cool secool coolnya...Tapi dalam hati hanya ALLAH tahu, berdebar giler woo...! Seumur hidup aku inilah debaran yang paling hebat yang pernah aku rasakan...! Namun syukur juga aku mendapat support yang penuh dari semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat yang datang bertandang...

Finally masanya tiba juga, aku diberikan persalinan pembedahan, siap dengan 'shower cap' lagi... Sebelum ditolak ke dewan pembedahan aku di beri sebiji pil penenang, ianya berkesan- kurang sikit debaran yang kurasa... Sekali sekala aku merasakan macam dalam filem: biasakan korang tengok babak orang kena tolak dengan katil sorong tu... Pandangannya ke atas, tengok ke arah lampu, kejap kelam kejap cerah... Pastu shot dalam keadaan slow motion, surrounding sound suspende jer, diselang seli dengan bunyi geselan roda katil sorong- nyit nyit, nyit nyit... Well itulah yang aku rasakan, dalam perjalanan menuju ke dewan pembedahan... Pada masa ini aku rasa bagilah pil penenang ke apa ke, debaran tetap terasa di puncak... Dup dap dup dap dup dap dup dap dup dap..............................

Kini aku sudah di dalam bilik pembedahan... Debaran sudah hampir tiada... Suka aku bayangkan situasi aku seperti seorang anggota unit pemusnah bom... Cuba bayangkan, ketika mendapat panggilan untuk memusnah bom, pemusnah bom tersebut pastinya berdebar-debar untuk melaksanakan tugasnya... Sebaik tiba di tempat kejadian pasti debaran semakin kencang... Dia melangkah menuju ke tempat bom tersebut, dada berdebar-debar dup dap dup dap... 50 meter dari tempat bom diletakkan, hanya ALLAH yang tahu debarannya bagaimana... 10 meter dari tempat bom, kemuncak debaran, pastinya jantung rasa nak gugur dengan debaran tersebut... 

Sebaik tiba di tempat kejadian, debaran tersebut sudah sampai ke klimaks; makanya tiada lagi debaran yang menggegarkan jantung... Semuanya sudah di depan mata, apa lagi yang nak didebarkan, apa yang perlu dilakukan hanyalah: samada untuk berhadapan/ musnahkan bom tersebut dengan sebaik mungkin, atau terus membiarkan debaran menguasai diri dan membiarkan bom tersebut memusnahkan dirinya... 

Well begitulah metaforanya aku di dalam bilik bedah tersebut... Tiada lagi debaran... Aku menghela nafas panjang-panjang... Ini detik-detik terakhir aku bernafas sebagai seorang manusia yang normal... Namun, ku pasrah, ku akur... 786 Alhamdulillah syukur...

"Assalamualaikum..."

Suara yang cukup ku kenal menyapa... Siapa lagi kalau bukan Dr Mawwadah, dia tersenyum seperti biasa, ceria sokmo...

"Waalaikumusalam..." jawab aku...

"Apa khabar cikgu...? Cikgu dah sedia...?" soalnya...

"Tidak, tapi, just do it... Huhuhu... Yela lagi mau tanya ka...? Dah masuk dewan bedah kan, takkan tak sedia lagi kot..." sudah tentu itu kata-kata aku dalam hati jer... Yang sebenarnya terluah:

"Ye doc insha Allah dah sedia... Doc, tolong saya ye... Keluarkan kanser tu dari badan saya ni..."

"Iye cikgu, itulah sebabnya kita berada di sini kan... Insha Allah semuanya akan berjalan lancar..." tersenyum jer dia menjawab...

"Ok cikgu saya nak buat last preparation sekejap, lepas ni pakar bius akan datang untuk biuskan cikgu, then we can start the procedure ye..." katanya sambil berlalu pergi...

Selang beberapa ketika pakar bius yang dimaksudkan pun sampai... Sebenarnya kami dah berjumpa pun petang semalamnya... Dia bertanya beberapa soalan, untuk persediaannyalah sebagai pakar bius... Antaranya adalah seperti: pernahkah aku menjalani apa-apa pembedahan sebelum ini, adakah aku mempunyai sebarang penyakit kritikal, adakah aku mempunyai alahan terhadap sebarang ubat dan sebagai... Dan pagi ini sekali lagi dia bertanyakan soalan-soalan yang sama, untuk kepastian... 

"Baik incik, sekarang saya akan inject bius ye... Dalam 5 - 10 minit lagi incik akan 'tidur' ye..." sambil tangannya menjalankan tugasnya, membuat drip, menginject bius ke dalam tubuh aku... Aku terkebil-kebil, antara sedar atau tidak...

"Ya ALLAH ya tuhanku... Sesungguhnya ENGKAU yang menciptakanku, ENGKAU yang memberikanku nyawa, ENGKAU yang memberikanku kehidupan... Aku bermohon kepadaMU ya ALLAH, jika hidupku ini bernoktah disini maka ambillah aku dalam keadaan aku mengakui keesaanMU... Sesungguhnya TIADA TUHAN YANG AKU SEMBAH MELAINKANMU YA ALLAH... DAN SESUNGGUHNYA MUHAMMAD ITU PESURUHMU YA ALLAH...

Namun jika masih ada rezeki aku di atas bumiMU ini ya ALLAH, maka jayakanlah pembedahanku ini... Berilah aku ihsanMU, angkatlah penyakitku ini, berilah aku kesembuhan, berikanlah aku kesihatan...

Sesungguhnya segala yang aku miliki ini adalah milikMU, yang ENGKAU pinjamkan kepadaku... Maka hari ini aku pulangkan kembali hak MU yang ALLAH... Sesungguhnya aku redha dan aku bersyukur..."

Lalu segala-galanya gelap...






Read more...

Redhakah Aku...?

Monday, May 25, 2015


Assalamualaikum...

Petang kelmarin seorang sahabat bertandang, seorang sahabat lama... Persahabatan kami ada kedudukan yang agak istimewa bagi aku... Kami menempuh usia remaja bersama-sama, zaman-zaman baru nak up dulu bak kata orang ni... Sehinggalah aku bernikah dan hubungan kami menjadi agak renggang... Tapi tidak putus terus, ianya on dan off...

Lama kami tidak ketemu, sungguhpun dia antara yang terawal di kalangan rakan-rakan yang mengetahui akan penyakit aku ini; namun kesibukkannya menyebabkan dia tidak dapat melawat aku lebih awal... Maaf dipohonnya berkali-kali, well aku tiada masalah langsung dengan itu... 

Bila lama tidak berjumpa sudah pastilah banyak benda yang dibualkan... Tiada apa yang penting melainkan borak-borak kosong, mengimbau cerita-cerita lama... Cuma di akhir pertemuan dia melontarkan kata-kata ini dan ianya agak terkesan di hati aku:

" Uda (panggilan keluarga dan kawan-kawan kampung) aku ni banyak berjalan... Aku jumpa ramai orang, macam-macam jenis orang... Aku jumpa orang kaya, orang kayap, orang sihat, orang kuat, orang sakit, orang tenat... Orang sakit-sakit ni ramai juga aku jumpa, termasuk kau ni... Aku tak cakap sakit kau ni tak teruk, tapi aku pernah jumpa orang yang lebih teruk dari kau ni... Ada yang terlantar, tak boleh bangun, nak makan pun tak boleh... Aku tengok kau ni masalahnya sekarang cuma tak boleh bercakap jer kan... Aku tengok tubuh kau sihat jer, so Alhamdulillah sangat-sangat kan... "

" Tapi tulah aku tak duduk di kedudukan kau so aku tak boleh juga cakap sakit kau ni ringan ke apa ke... Hakikatnya hanya kau yang menanggungnya dan hanya kau yang tahu kesakitan itu... Tapi ingatlah yang sakit itu datang dari ALLAH dan pastinya ada hikmah ALLAH menghantar sakit itu kepada kau... Aku cuma nak cakap bersabarlah, tabah dan redha, ok... "

" Eh sejak bila pulak mamat ni pandai pulak cakap macam ni nih...? Ermmm what ever... " kata aku dalam hati jelah... Tapi yang sebenarnya, aku hargai kata-katanya itu, dan aku akui kebenaran dalam kata-kata tersebut... Dan ianya mengingatkan aku akan erti sebenarnya REDHA itu sendiri... Adakah selama ini aku benar-benar redha dengan takdir aku ini...?

Mengatakan kita redha dengan apa sahaja dugaan yang menimpa memang mudah, tapi hakikatnya adakah ianya seiring dengan perbuatan atau penerimaan kita...? Aku tak mengatakan sesiapa disini tetapi hanya mengatakan berkenaan diri aku sendiri... Aku nak semak balik adakah aku benar-benar 'redha'...

Menerima segala ketentuan tanpa sebarang keluh kesah...

Syarat utama untuk redha sudah pastilah dapat menerima segala ketentuan tanpa sebarang keluh kesah... Well, aku pernah juga ditimpa dengan pelbagai kesusahan sebelum ini, namun sering juga aku menerimanya tanpa sebarang keluh kesah... Tapi ini adalah by far ujian TERPALING besar yang pernah aku terima; maka untuk menerimanya tanpa sebarang keluh kesah adalah sesuatu yang amat-amat sukar untuk aku lakukan...

Pada peringkat permulaan memang aku hampir-hampir tidak dapat menerima semua ini... Jiwa aku berkecamuk, memberontak... Mengapa aku...? Bagaimana aku nak menghadapi semua nanti...? Apa yang akan jadi pada isteri aku, anak-anak aku...? Aduyai macam-macam persoalan bermain dalam kepala hotak aku, mempertikaikan ketentuan ILAHI... Bila mengenangkan saat-saat itu, segera aku beristighfar, moga-moga aku diampuniNYA...

Agak lama untuk aku dapat menerima hakikat ini... Tapi seperti yang ALLAH janjikan di sebalik setiap kesusahan pasti ada kemudahan (surah Al-insyhirah), dan aku merasai semua itu... Sehingga ke hari ini aku tak kata aku dapat menerima sepenuhnya keadaan aku ini, tapi Alhamdulillah peratus penerima aku itu semakin hari semakin tinggi... Redha aku meningkat secara perlahan-lahan... Well aku bukan wali, may ALLAH always have mercy on me...

Meyakini adanya hikmah disebalik setiap dugaan...

Bagi aku ini merupakan satu cara untuk memujuk hati, dengan meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya... Sentiasa ingat kita hanya hamba yang kerdil, jahil, tidak tahu apa-apa... Hanya DIA yang Maha Mengetahui, DIA tahu setiap sesuatu yang ada di langit dan di bumi... Kerana semua itu adalah dibawah pentadbiranNYA...

Aku yakin dengan perkara ini, kerana aku memang pernah alami sendiri beberapa perkara yang kadangkala aku rasa seperti agak kurang munasabah untuk ianya berlaku... Sekadar satu contoh ketika aku mengalami satu kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawa aku sekitar tahun 2004... Kereta aku remuk teruk namun kecederaan aku tidak parah...

Beberapa bulan selepas kejadian itu aku menerima tawaran untuk memasuki KPLI di maktab perguruan, dan sejak dari itu kehidupan aku berubah sama sekali... Aku meninggalkan tempat tersebut dan memulakan kehidupan baru sebagai seorang guru, di tempat yang baharu... Nyata sekali kehidupan aku jauh lebih baik dari sebelumnya... Aku rasakan yang hikmah dari kemalangan tersebutlah aku dapat menikmati kehidupan yang lebih baik...

Ada beberapa perkara lagi yang boleh aku katakan sebagai live changing event yang pernah berlaku kepada aku... Kejadian buruk yang menimpa aku tetapi kesannya selepas itu memberi impak yang sangat-sangat positif dalam kehidupan aku... Takpe, biar aku simpan dulu peristiwa-peristiwa tersebut... Next entries, perhap...

Kini aku menantikan sesuatu BESAR... Insha Allah... Dengan izinNYA... Moga ianya BESAR dan LAZAT... Yelah dengan dugaan yang besar harap-harapnya hikmah di sebaliknya pun ganjaran yang besarlah ye... Ngeeee....

Dunia hanya sementara, yang kekal hanya di sana...

Friends, at the end kita harus terima hakikat bahawasanya dunia ini hanyalah sementara... Ianya bukan milik kita pun, segala-gala yang ada, isi langit dan bumi ini adalah milikNYA... Dan janjiNYA yang kekal hanyalah apa yang ada di sana... Itupun kalau disediakan tempat yang baik-baik untuk kita, harap-harapnya begitulah...

DIAlah yang menjadikan kita, memberi kita kehidupan, memberi kita udara, memberi kita rezeki... Makanya apalah hak kita untuk mempertikaikan apa sahaja perancanganNYA... Bukankah dalam Az-zariyat ayat 56 DIA telah berfirman dengan jelasnya mengapa dijadikan kita ini...? Then, apa lagi yang kita hendak pertikaikan...?

Lalu apa lagi yang perlu kita buat...? Ya terimalah segala ketentuan yang telah ditentukan untuk kita... Cekalkan hati, jangan mengeluh, yakinlah akan hikmah disebalik segala kejadian dan di akhirnya ingatlah siapalah kita ini; dan milik siapakah kita ini... Ingat jugalah bahawasanya dunia ini hanya sementara, yang kekal hanya di sana...

p/s: pesanan untuk diri sendiri: please, please, please, redha ye...


Read more...

Flashback Part 7: Alternatif Yang Gagal

Friday, May 15, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 6 disini>>

**********


Kini seminggu telah berlalu semenjak 'serangan' di Mid valley... Sepanjang tempoh tersebut ada juga sesekali aku merasa sesak nafas seperti mana yang aku alami ketika di Mid Valley tempoh hari, tetapi aku dapat bertenang dan Alhamdulillah sangat-sangat pernafasan aku akan kembali normal dalam tempoh 2-3 minit kemudiannya... Isnin berikutnya adalah hari pertemuan dengan Dr Mawaddah, sudah pastinya pada hari tersebut segala-galanya akan terjawab...

Tiba hari yang dinanti, Dr Mawaddah menjalankan tugas pemeriksaannya seperti hari-hari sebelum ini... Selesai prosedur skopnya dia memandang ke arah aku dengan muka yang agak 'ketat'... Well, its not a suprise for me, aku dah agak mesti ada something wrong punya...

"Saya minta maaf cikgu, tapi apa yang saya boleh katakan disini, nampaknya rawatan alternatif yang cikgu amalkan tu tak mendatangkan hasil yang baik... Malah jika dilihat dari skop tadi, tumor dah semakin membesar... Sudah semakin hampir menutupi saluran pernafasan cikgu... Saya yakin itulah puncanya cikgu mengalami kesesakan nafas dalam beberapa hari ini..."

Penerangan Dr Mawaddah ringkas, tapi jelas: rawatan alternatif yang aku pilih sebelum ini telah gagal untuk mengecutkan ketumbuhan di dalam tekak aku ini... Bukan sahaja ianya tidak mengecut malah ianya telah semakin membesar... Wow, memang mengecewakan... 2 minggu lepas segala-galanya kelihatan begitu sempurna sekali, dan hari ini...? Nampaknya sekali lagi aku KECEWA... Sekali lagi aku usaha aku GAGAL... Di manalah silapnya usaha aku kali ini...?

Aduyai baru seminggu dua yang lepas keyakinan aku begitu tinggi, top of the world... Aku yakin sangat usaha alternatif aku ini akan berhasil, sehingga aku sanggup untuk menangguhkan rawatan radioterapi dan kemoterapi yang disyorkan oleh doktor kepada aku... Sekarang ini nampaknya ketumbuhan itu semakin membesar, dan risiko untuknya membahayakan nyawa aku semakin besar... Dimanakah silap aku kali ini...? Kenapa usaha aku ini gagal...? Aku tiada jawapannya... Hanya DIA yang Maha Mengetahui...

Terbayang-bayang di mata aku betapa yakin si pencipta supplement tersebut mengatakan kepada aku yang supplementnya itu mampu mengubati kanser aku... Aku tak bercadang untuk kondem produk tersebut, bukan di ruangan ini... Lagi pun aku yang membuat pilihan tersebut, walau pun pilihan itu didorong oleh keyakinan yang ditunjukkan oleh si penciptanya... Jikalau aku betul-betul berniat untuk kondem produk tersebut sudah pasti aku sebarkan secukup-cukupnya berkenaan produk tersebut... Namun biarlah ianya aku simpan sahaja... Bagi aku mungkin rezeki aku tiada untuk pulih dari kanser melalui supplement tersebut... Walau pun dalam testimoninya memang terdapat kes-kes yang kanser yang telah berjaya dipulihkannya... 



Ye, aku tahu semua testimoni-testimoni tersebut boleh sahaja direka-reka... Ianya tiada sebarang sandaran dari segi penyelidikan saintifik langsung... Malah jika hendak dipertikaikan si penciptanya juga boleh... Gelaran 'doktor' yang dipakainya pun seperti sesuatu yang agak mencurigakan... Jadi mungkinkah aku salah seorang mangsa supplement scams yang berlambak-lambak di pasaran sekarang...? Yang melalui testimoni-testimoninya mampu mengubati bermacam-macam jenis penyakit...? Aku tak tahu, to be honest buat masa sekarang aku malas nak ambil tahu... Aku lebih suka memikirkan yang rezeki aku tiada untuk sembuh melalui supplement tersebut... Aku lebih suka memikirkan yang ALLAH ada menyediakan perancangan yang lain untuk aku...

Kecewa...? Ye sudah tentu, tentunya aku kecewa dengan kegagalan supplement tersebut... Namun aku positif, aku yakin kegagalan ini bukan satu penamat... Semangat aku untuk terus bertarung tidak pudar, tidak sedikit pun, malah semakin berkobar-kobar... Timbul satu kegeraman dalam hati aku: 

"Jaga kau kanser yang *%$#@#... Mungkin kali ini aku gagal, tapi bersedialah kau untuk fight yang seterusnya... Tunggu next round...!"

Kekadang aku naik pelik dari mana datangnya semangat melawan itu... Tapi aku percaya ianya adalah hasil dari satu lagi rawatan alternatif yang aku sedang ikhtiarkan... Aku rasa ini adalah hasil aku berjaga malam mengadapNYA... Hasil aku tak putus-putus mengadu kepadaNYA... Hasil aku tanpa rasa putus asa meminta kepadaNYA... Aku syukuri sangat-sangat kerana DIA telah membekalkan aku dengan semangat ini... Semangat untuk terus berjuang... Ye pusingan awal ini aku telah tewas, namun aku harus mengatur langkah untuk pusingan seterusnya...

Perbincangan dengan doktor diteruskan... Strategi harus diatur untuk langkah seterusnya... Dan kini Dr Mawaddah menuntut janji yang pernah aku katakan padanya sebelum aku meminta untuk menundakan rawatan dengannya dahulu:

"Ok cikgu, seperti yang cikgu janji dengan saya sebelum ini, kalau usaha alternatif ini gagal cikgu akan bersetuju untuk menjalani rawatan moden kan...? Jadi saya nak kepastian dari cikgu ni, yang mana satu cikgu pilih, kemo atau pembedahan...?"

"Dan saya juga minta maaf juga cikgu, kali ini saya tidak akan membenarkan cikgu menangguhkan lagi apa-apa rawatan... Sebagai seorang doktor, saya tidak sanggup menanggung risiko... Dan sebagai pesakit yang menanggungnya saya juga amat-amat cadangkan agar cikgu jangan lagi mengambil sebarang risiko untuk menangguhkan sebarang rawatan..."

Kali ini nada beliau tegas...

"Saya bukan nak menakut-nakutkan cikgu, tetapi saya memang ada rekod kes pesakit yang 'terkorban' kerana melengah-lengahkan rawatan... So saya minta sangat-sangat agar cikgu segera membuat keputusan..."

Aku bertanya:

"Kalau doktor di tempat saya, apa pilihan doktor...?"

Dr Mawaddah menjawab:

"Baik cikgu biar saya berterus terang sahaja... Dengan saiz ketumbuhan yang kita dapat lihat ini, saya tak berapa yakin rawatan kemoterapi bersama radioterapi dapat memusnahkan keseluruhan sel-sel kanser... Mungkin boleh tapi berdasarkan pengalaman saya sel-sel yang tidak dimusnahkan secara keseluruhan, boleh sahaja datang kembali pada bila-bila masa pada masa akan datang... Dan kebiasaannya ia akan datang dengan serangan yang lebih agresif... Jadi kalau saya, pilihan saya jelas..."

Aku tidak terus membuat keputusan... Aku minta doktor memberi aku sedikit sahaja lagi masa untuk aku betul-betul membulatkan keputusan yang bakal aku ambil... Giler korang, ingat perkara kecik-kecik ke ni...? Melibatkan nyawa tu... Dr Mawaddah membenarkan aku balik dengan syarat: 

"Tolong berikan jawapan cikgu dalam tempoh seminggu ye... Sebabnya saya perlu membuat tempahan untuk bilik bedah dan beberapa prosedur lain... Perkara-perkara itu pun memakan masa juga nanti..."

Balik ke rumah tiada lain yang aku buat... Cari maklumat, google, korek info-info yang berkaitan dengan pembedahan pembuangan pita suara, atau dalam bahasa Inggerisnya Total Laryngectomy... Oh ye, aku sebenarnya telah pun membuat keputusan: aku akan buang ketumbuhan tersebut... Nyah kau dari tubuhku ini, walau pun ianya bermakna aku terpaksa mengorbankan pita suara aku... Dan ini juga bermakna aku tidak akan dapat bersuara seperti biasa lagi, sehingga ke akhir hayat aku...!

Keputusan tersebut sudah tentulah bukan dari aku seorang sahaja tetapi setelah puas berbincang dengan caretaker utama aku, siapa lagi kalau bukan wife aku... Ahli keluarga aku, mak abah, Kak Long, Kak Ngah dan adik aku... Turut aku pinta pandangan adalah dari rakan-rakan yang datang bertandang... Namun yang paling utama aku terlebih dahulu bertanya kepada DIA yang Maha Esa... Melalui istikharah aku sentiasa dapat bayangan yang pembedahan bakal merupakan keputusan yang terbaik yang perlu aku lakukan...

Tidak ketinggalan aku juga mencari maklumat-maklumat berkaitan dengan kehidupan pasca pembedahan... Aku tengok youtube bagaimana keadaan pesakit-pesakit kanser yang serupa dengan aku setelah dibedah, bagaimana kehidupan mereka setelah menjalani pembedahan tersebut, bagaimana mereka menjalani rehibilitasi untuk bersuara semula, pilihan-pilihan yang mereka ada untuk kembali bersuara... Beza, memang berbeza sama sekali... Namun itulah kehidupan yang bakal aku jalani kelak...

Panggilan telefon pun dibuat, menyatakan persetujuan untuk menjalani pembedahan tersebut... Akhirnya tarikh yang diberikan adalah 30 Oktober 2014... Itulah tarikhnya yang akan menjadi satu tarikh penting yang bakal merubah kehidupan aku buat selama-lamanya, atau pun lebih elok dikatakan sehingga ke akhir hayat aku...

Aku tak tahu apa yang ALLAH rancang untuk aku selepas dari tarikh itu... Yang aku pasti aku tidak akan berhenti mengharap... Mengharapkan yang terbaik dariNYA, mengharapkan 'pelangi' dariNYA, insha ALLAH...



***** End of Part 7 *****

Petikan Part 8: Ku Pulangkan (15 Jam Bertarung Maut)...

Aku kini di dalam bilik pembedahan... Debaran sudah hampir tiada... Suka aku bayangkan situasi aku seperti seorang anggota unit pemusnah bom... Cuba bayangkan, ketika mendapat panggilan untuk memusnah bom, pemusnah bom tersebut pastinya berdebar-debar untuk melaksanakan tugasnya... Sebaik tiba di tempat kejadian pasti debaran semakin kencang... Dia melangkah menuju ke tempat bom tersebut, dada berdebar-debar dup dap dup dap... 50 meter dari tempat bom diletakkan, hanya ALLAH yang tahu debarannya bagaimana... 10 meter dari tempat bom, kemuncak debaran, pastinya jantung rasa nak gugur dengan debaran tersebut... 

Sebaik tiba di tempat kejadian, debaran tersebut sudah sampai ke klimaks; makanya tiada lagi debaran yang menggegarkan jantung... Semuanya sudah di depan mata, apa lagi yang nak didebarkan, apa yang perlu dilakukan hanyalah: samada untuk berhadapan/ musnahkan bom tersebut dengan sebaik mungkin, atau terus membiarkan debaran menguasai diri dan membiarkan bom tersebut memusnahkan dirinya... 

Well begitulah metaforanya aku di dalam bilik bedah tersebut... Tiada lagi debaran... Aku menghela nafas panjang-panjang... Ini detik-detik terakhir aku bernafas sebagai seorang manusia yang normal... Namun, ku pasrah, ku akur... 786 Alhamdulillah syukur...

Bagaimana keputusan pembedahan aku...? Ada sebarang komplikasi tak yang berlaku...? Tunggu dalam kisah berikutnya: Flashback Part 8: Ku Pulangkan (15 Jam Bertarung Maut)... 

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP