Sahabat Tanpa Suara

41

Wednesday, June 14, 2017

Alhamdulillah, 41 tahun dah aku hari ini. Terima kasih kepada SEMUA yang mengucapkan dan mendoakan kesejahteraan aku.

Suatu ketika dahulu aku pernah meletak target, ketika aku berusia 40an aku nak memiliki sebuah rumah besar, memiliki sebuah kereta buatan German, kerjaya tetap dan stabil, di samping side income yang menjana pendapatan RM ribu2an.

Tapi apa yang aku ada hari ini adalah: sebuah rumah teres, sebuah kereta buatan Jepun, 0 side income. Dan paling 'best' aku dapat penyakit KANSER!

Jika ditanya adakah aku kecewa? Ya, aku kecewa. Sebagai seorang manusia biasa, aku kecewa kerana meskipun aku ada berusaha ke arah target2 yang aku sebutkan di atas namun aku tak dapat mengecapi kejayaannya. Sehinggakan kadangkala aku terfikir ada sesuatu suwey yang menimpa dan menghalangi aku. Astaghfirullah...

Kemudian aku tersedar, ada sesuatu yang aku dapat tanpa aku pernah meminta. Ada sesuatu yang ALLAH bagi kepada aku secara percuma, iaitu HIDAYAH dan KESEDARAN.

Arghhh aku cerita panjang2 nanti boleh mendatangkan riak. Tapi aku yakin, aku telah menjadi seorang manusia yang LEBIH BAIK. Jauh lebih baik dari apa yang aku jangka dan harapkan. Mungkin bukan lebih baik dari segi fizikal, harta dan kekayaan, tapi dari segi dalaman. Yes, its getting better and better. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...

Dan aku petik:

..., Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

(Al-Baqarah: 216)


Read more...

Menyantuni OKU

Tuesday, May 23, 2017

OKU ni jiwanya kadangkala extra sensitif. Lebih2 lagi yang baru berstatus OKU. Mereka dilahirkan sebagai manusia normal dan sempurna, namun atas sebab tertentu mereka menjadi OKU. Mungkin akibat kemalangan, mungkin akibat penyakit dan sebagainya.

Aku sendiri dilahirkan sebagai manusia yang cukup sifat. Namun atas asbab penyakit kanser, aku telah kehilangan suara. Kini seorang OKU pertuturan. Walaupun masih ada mengeluarkan suara namun tidak sesempurna dulu.

Setahun lebih aku struggle, cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan yang serba baru. Kecewa, hampa, takut dan segala perkara negatif aku alami. Paling mengerikan adalah untuk berhadapan dengan masyarakat.

Alangkah indahnya jika seluruh lapisan masyarakat dapat menerima OKU dengan penuh kasih sayang, dimanjakan, dipenuhi segala tuntutan mereka. Menyantuni mereka sebagaimana yang mereka mahukan.

Tetapi dunia tidak sebegitu dik. Bak kata Geena Davis "Life is pain, get use of it". Tidak semua orang akan memberikan layanan yang baik dan saksama kepada sesama manusia, hatta kepada manusia yang berstatus OKU.

Dalam masa adanya insan2 mulia yang memanjakan dan menyantuni OKU, tidak kurang juga manusia2 yang akan memandang rendah dan menganggap OKU ini adalah manusia yang serba membebankan. Kedua2 sifat manusia ini kontra antara satu sama lain, ibarat angel vs evil.

Namun di antara 2 sifat manusia ini ada satu lagi golongan manusia yang aku kirakan agak menarik untuk diperbincangkan. Nanti anda sendiri tentukan samada mereka ini angel atau evil.

Pernah tonton kisah Bethany Hamilton dalam filem Soul Surfer? Kisah peluncur yang struggle untuk menjadi peluncur wanita terhebat, meski telah kehilangan sebelah tangan akibat gigitan jerung.

Dipendekkan cerita Beth berjaya menewaskan musuh ketatnya lalu dia menuju ke arah musuh ketatnya itu sambil mengucapkan terima kasih, katanya:

"Terima kasih kerana tidak melayan saya seperti mana orang2 lain melayan saya. Terima kasih kerana tidak menganggap saya sebagai seorang yang cacat dan terima kasih kerana bertanding dengan bersungguh2 tanpa memberikan sebarang ruang dan peluang kepada saya yang berstatus manusia cacat."

Sikap musuh Beth itulah yang aku maksudkan. Dia bukan memandang rendah, tidak pulak menghina, tidak memanjakan dan tidak pun menyantuni Beth sebagai seorang yang cacat. Apa yang dia anggap adalah Beth adalah musuhnya dan dia mesti menewaskan Beth. Inilah membuatkan Beth lebih bersungguh2 dan lebih bersemangat.

Kadangkala sebagai seorang OKU kita perlukan layanan2 yang sebegitu. Bukan sekadar dimanjakan, bukan sekadar disantuni. Tetapi dilayan sebagai seorang manusia biasa, manusia yang sempurna.



Read more...

Kenapa Aku Menjadi Seorang Guru

Tuesday, May 16, 2017

Menjadi guru bukanlah cita2 utama aku semenjak dari dulu lagi. Kalau minat pun ianya adalah disebabkan oleh beberapa orang cikgu aku yang aku nampak cool dan macho je di mata aku sebagai seorang pelajar suatu ketika dulu.

Tapi ada 1 detik yang telah menjadi turning point kepada aku dan membuatkan aku 'melekat' dan bangga menjadi seorang guru:

Tahun pertama menjadi guru, jiwa memang tengah panas membara. Dalam satu kelas ni ada budak cina buat perangai, aku panggil dia berdiri atas kerusi, bila aku berpaling dia mengomel dalam bahasa Mandarin:

"#$!#!% punya cikgu!"

Darah aku menyirap, aku berpaling, aku panggil dia turun. Tanpa sebarang amaran aku angkat tangan, satu back hand yang padu aku lepaskan. Sasaran aku ke mukanya, namun dia mengelak. Back hand padu aku singgah di lehernya, melekat kesan merah kat leher budak cina ni.

"Kamu jangan ingat cikgu tak paham apa kamu cakap tadi! Cikgu bukan bodoh! Cikgu tau Bahasa Mandarin!"

Jerkah aku dalam bahasa ibundanya itu.

Keesokkan harinya dia tak bersekolah. Puas hati aku, sunyi sikit kelas tanpa kehadirannya. 2-3 hari dia tak datang, tiada apa2 kerisauan yang aku rasakan. Namun bila sampai ke hari isnin berikutnya dia masih tiada, mula timbul kebimbangan di hati aku.

Kuat sangat ke penangan aku hari tu? Ke tempat tu sensitif, memang aku target nak back hand tang muka tapi sebab dia mengelak tu yang terkena ke bahagian leher tu!

Sedang hati aku risau, datang seorang rakan guru memanggil aku:

"Sul, PK HEM panggil. Ada parent nak jumpa katanya."

Jeng jeng jeng! Suspen terus aku! Ni mesti kes back hand akulah ni!

Sampai di bilik PK HEM, SAH! Budak cina tu ada di sebelah PK HEM aku, dan bersama2 mereka ada seorang wanita agak tua yang aku kira pastinya nenek kepada budak cina tersebut.

"Shamsul, shamsul, what have you done?"

Sambil geleng2 kepala PK HEM aku bertanya. Aku buat2 tak paham, buat2 muka blank. Padahal dalam hati cuak giler bhai.

"Ini aunty Wang, nenek kepada Chong Chee Oon ni, dia kata sudah seminggu Chong tak mau pergi sekolah. Dia kata Chong takut nak pergi sekolah sebab ada seorang cikgu ni sangat2 garang. Bila saya tanya siapa cikgu tu, dia cakap nama cikgu Shamsul.

Shamsul, Shamsul, you garang sangat yea...?"

Kali ni aku betul2 blank. Setakat itu je ke? Kenapa dia tak tanya aku kes back hand tu?

Aku menoleh kepada Chong, dia dari tadi tunduk tak angkat2 kepala. Aku menoleh pula pada neneknya. Neneknya senyum tawar tak berkata apa.

PK HEM aku bersuara lagi:

"Macam ni Shamsul, aunty Wang ni kurang fasih Bahasa Malaysia. Semuanya Chong yang ceritakan pada saya. Saya still kurang jelas. So saya nak you cuba comunicate dengan aunty Wang ni. You boleh berbahasa Mandarin kan? Hari tu masa lapor diri you cakap you pernah belajar di SJKC kan?"

Aku senyum pada aunty Wang, mengambil tempat duduk berhadapan dengannya. Dalam otak aku ligat memutar apa alasan aku nak bagi pada aunty tua ni. Lalu dalam Mandarin aku bertanya:

"Hai aunty, apa khabar? Sudah sarapan?"

Aku mulakan dengan ayat2 manis membeli jiwa. Mula2 aunty Wang agak terkejut mendengar aku berbahasa Mandarin. Tiba2 dia bersuara, terhampur kata2nya, bertali arus. Ibarat M-16 memuntahkan pelurunya!

"Cikgu, cikgu ke yang garang itu? Apa cikgu sudah buat sama cucu saya? Cikgu, ini budak banyak nakal punya budak tau! Dia emak sudah mati, dia bapak sudah lari tak tau mana pergi. Sekarang saya jaga dia hari2, saya punya hati banyak sakit!"

Adui mampoi la aku kali ni!

"Cikgu, ini budak banyak nakal! Hari2 saya marah sama dia, hari2 saya pukul sama dia. Tapi dia tarak takut sama saya. Minggu lepas dia balik rumah, kemudian dia cakap dia sudah tak mau sekolah. Dia cakap dia sudah takut sama 1 orang cikgu! Saya jadi banyak hairan. Dia mana pernah takut sama orang lain punya! Itu pasal saya mau jumpa cikgu, mau tanya sendiri apa yang cikgu sudah cakap sama dia, apa yang cikgu sudah buat sama dia."

Aik, lain macam je...

Tiba2 suara aunty Wang sebak, menyambung percakapannya:

"Saya tak tau apa cikgu sudah buat sama ini budak, tapi saya mau terima kasih banyak2 sama cikgu. Sekurang2nya sudah ada orang yang dia takut. Saya mau dia terus sekolah, walaupun saya tahu dia bukan pandai punya budak tapi saya mau dia habiskan juga sekolah. Kalau dia berhenti sekarang saya takut dia mesti kawan sama itu samseng2 punya budak. Biarlah dia habis sekolah jugak, sudah habis sekolah nanti dia boleh tolong saya jual strawberi sahaja."

Suara aunty Wang makin sebak, dari kelopak mata tuanya sudah ada tanda rintik2.

"Cikgu, cikgu tolonglah ajar cucu saya. Saya tak kira apa cikgu mau buat sama dia. Cikgu mau marah, cikgu mau hantam pun takpa. Yang penting dia mesti kasi habis dia punya sekolah. Saya tak tau apa cikgu sudah buat sama dia tapi mesti cikgu sudah buat sesuatu yang betul!"

Aiyak aunty, you make me wanna cry also la.

Aku ketandusan idea. Tak tau nak respon macamana.

"Ah Chong mari sini, minta maaf sama ini cikgu. Janji lain kali tak mau buat lagi. Lepas ini mesti mau terus sekolah, ini cikgu mesti ajar kamu baik2, ajar kamu jadi orang baik."

***********************************

Hari2 berikutnya Chong terus bersekolah seperti biasa. Nakal? Ye, dia masih nakal. Tetapi di hadapan aku kenakalannya terkawal. Itu adalah tahun pertama dan tahun terakhir aku mengajar kelas Chong.

Tapi aku tetap mengikuti perkembangannya sehingga dia mengambil SPM dan menamatkan persekolahan.

Beberapa tahun lepas aku singgah di Pasar Malam Berinchang seorang peniaga strawberi cina menyapa aku. Teka siapa? Haha, mesti korang semua ingat Chong kan? Sori, bukan. Tetapi seorang pelajar cina lain, juga merupakan salah seorang bekas anak murid aku. Dapat jugalah diskaun pembelian aku kali itu.

So Chong dimana? Wallahualam, sejak tamat persekolahan aku tidak pernah bertemu lagi dengannya. Mesti korang bayangkan aku berjumpa dengan Chong lalu dia menangis2 memohon maaf dari aku kan? Huhu, mungkin dalam filem endingnya sebegitu, tapi dalam real life, inilah ending bagi kisah aku. Apa korang ingat cerita aku ini macam filem ka?🤔🤔🤔

Apa2 pun peristiwa Chong dengan aunty Wang pasti melekat dalam memori seumur hidup aku, kenangan membahan budak sehingga kantoi dengan neneknya. Tapi di akhirannya, ia memberikan satu kesan dan impak yang positif kepada aku dan juga Chong.

SELAMAT HARI GURU 2017.
SEKALI GURU SELAMANYA GURU.


Read more...

Pembedahan Pembuangan Peti Suara (Total Laryngectomy)

Thursday, May 11, 2017

Dah lama tak menulis ala2 doktor surgeri ni, hari ini tiba2 datang angin nak cerita pasal pembedahan pembuangan peti suara (total laryngectomy) yang telah aku jalani kira2 3 tahun yang lepas. So mari aku ceritakan secara ringkasnya apa yang berlaku kepada aku sepanjang lebih 12 jam di dalam dewan bedah.

Setelah dibius dan dipastikan yang aku sudah tidak sedarkan diri, leher aku pun dikelar 180 darjah dari hujung kiri ke hujung kanan, lalu ianya disiat ke paras muka.

Kemudian, satu lubang ditebuk di bahagian leher bagi membentuk satu laluan udara. Kenapa perlu dibuat lubang udara yang baru? Kerana selepas pembedahan ini aku sudah tidak akan mempunyai peti suara lagi.

Selain berfungsi sebagai 'alat' untuk mengeluarkan suara, peti suara juga berfungsi sebagai pembahagi antara udara dan makanan yang masuk dari lubang hidung dan mulut. Maka, apabila peti suara telah dibuang hanya makanan dan minuman sahaja yang dibenarkan untuk melalui mulut, manakala laluan baru untuk udara perlu dibuat dan inilah sebabnya leher perlu ditebuk untuk dijadikan sebagai laluan udara.

Seterusnya, barulah keseluruhan peti suara yang dijangkiti kanser itu dipotong keluar, bersama-sama dengan halkum dan organ-organ yang berkaitan. Panjang keseluruhannya lebih kurang 10cm. Korang boleh bayangkan panjang 10cm tu? Erm adalah lebih kurang panjang 1 jengkal kot.

Akhir sekali barulah kulit leher aku yang tersiat itu dilipat kembali dan dijahit untuk mencantumkannya semula.

Fuh nampak macam senang je dari segi penerangan aku kan? Tapi pembedahan biasa mengambil masa 10-12 jam. Bagi yang masih belum tahu puncanya, nah aku bagitau sekali lagi.

Ini semua adalah di sebabkan ROKOK. ROKOK adalah punca aku  diserang kanser peti suara. Apa? Tak percaya? Biasalah, aku dulu pun tak percaya bang. Last2 inilah nasib yang menimpa. So ini pesanan ikhlas aku:

Sesal dulu ada pendapatan bang; sesal kemudian tiada pendapatan dah. Huhuhu...





Read more...

CELAAN KE ATAS SEORANG PEROKOK

Thursday, May 4, 2017

Aku pernah berbual dengan seorang oldtimer, bekas seorang perokok tegar. Katanya antara perkara yang dia sesali dalam hidupnya adalah: MEROKOK.

Dia telah berhenti sepenuhnya belasan tahun yang lepas, bukan disebabkan sebarang penyakit tetapi atas kemahuan dan azamnya sendiri.

Aku quote kata2 beliau pada hari itu:

Cela ke atas seorang perokok; apabila belanja rokoknya melebihi belanja susu anaknya...

Cela ke atas seorang perokok; apabila belanja rokoknya melebihi belanja dapur untuk anak isterinya...

Cela ke atas seorang perokok; apabila belanja rokoknya melebihi wang untuk dihantar ke kampung kepada kedua orang tuanya, dan

celalah ke atas seorang perokok; apabila asap rokok yang dihisapnya dikongsikan kepada seluruh anggota keluarganya...


Read more...

Mati Itu Pasti...

Sunday, April 30, 2017

Kelmarin aku mendengar satu berita kematian, muda lagi arwahnya. Aku mengenali arwah sejak dari zaman persekolahan namun kami tidak pernah bertegur sapa. Bukan satu batch pun, dia muda dari aku beberapa tahun. Dengarnya arwah tiada sebarang penyakit kritikal, arwah meninggal ketika tidur. Allahu, mudahnya kematian...

Aku tidak pergi menziarahi jenazah. Jujurnya sudah agak lama aku tidak pernah pergi atau menziarahi mana2 kematian atau jenazah. Ya, aku tau itu satu masalah. Tapi bagi aku masalah yang lebih besar adalah aku akan terbawa2 dengan suatu perasaan yang tak dapat dijelaskan, setiap kali selepas menziarahi sebarang kematian. Aku akan menjadi trauma, perasaan down selama  beberapa hari dan kadang2 akan terbawa2 hingga ke dalam mimpi. Ini bukan satu jenaka, aku tak pasti jika ada melibatkan unsur2 mistik atau sekadar masalah emosi aku, tetapi aku kira ini adalah sesuatu yang perlu aku atasi sendiri.

Namun percayalah, aku tidak pernah melupai akan kematian. Menjadi seorang pesakit/ bekas pesakit kanser, perkataan "MATI" adalah antara perkataan atau bayangan yang paling sering bermain di fikiran kami2 ini. Berada di dalam group fb mahupun whatsapp yang berkaitan dengan kanser, berita tentang kematian adalah satu perkara yang agak lumrah, seperti tiada apa yang hendak dihairankan sudah.

Ya, ucapan takziah, Al-Fatihah dan doa2 akan mengiringi si mati. Namun yang hidup tetap akan meneruskan kehidupan. Perjuangan si mati sudah sampai ke penghujungnya, ALLAH telah menjemput mereka, done. Namun apabila mengenang kembali perjuangan mereka ketika hidupnya, membuatkan kita bangga dan menambahkan semangat kita yang masih hidup ini.

Sebenarnya kematian bukanlah sesuatu yang perlu ditakutkan sangat. Ianya adalah janji ALLAH dan ianya adalah satu KEPASTIAN. Kematian hanyalah satu proses perpindahan dari satu alam ke alam yang lain. Seperti mana yang kita telah lalui sebelum ini dari alam roh ke alam rahim dan ke alam dunia. Proses seterusnya adalah alam kubur sebelum kita ke alam akhirat yang kekal abadi.

Apa yang perlu ditakuti adalah BEKALAN kita disana nanti. Jika dahulu aku sering meminta agar dipanjang umur dan diberikan kesihatan yang berpanjangan. Asyik2 minta panjang umur, minta sihat. Sampai lupa kalau hidup lama2 pun tapi amalan tak cukup apa gunanya! Bak kata lagu sepohon kayu daunnya rimbun la kan, lebat bunganya serta buah...🤔🤔🤔

Sekarang aku 'twist' sikit permintaan itu dengan berdoa agar diberikan umur yang berkat dan amalan yang diterima. Tak kisahlah sampai ke mana umur aku ini, yang penting aku dapat manfaatkan sepenuhnya segala sisa2 usia yang masih berbaki ini. Dan yang paling penting semoga amalan2 aku mencukupi untuk dijadikan sebagai bekalan di SANA kelak.

"Live free, die hard"


Read more...

Cuti-cuti Melaka

Friday, April 28, 2017

Assalamualaikum...

Hari ini tiba-tiba aku rasa nak buat posting pasal percutian. Waa ala-ala travel blog gitu, boleh...?

Baru-baru ni aku bawa family bercuti ke Melaka. Kali ini kitorang menginap di Swiss-Garden Hotel Melaka. Apa yang bestnya Swiss-Garden Hotel ni? Haa ni aku nak bagitau.

Firstly, Swiss-Garden Hotel ni terletak betul-betul tengah bandar Melaka. Nak cari memang takkan sesat punya. Lagi-lagi kalau pakai waze, tarak hal punya. So bila berada di tengah-tengah town ni, excess kemana-mana akan menjadi mudah.

Tempat paling best yang berhampiran pastilah Dataran Pahlawan di Bandar Hilir Melaka. Kalau menaiki kereta memang tak sampai 10-15 minit. Satu lagi tempat menarik yang berhampiran adalah Pirate World Melaka. Yang ini memang paling dekat, kat depan hotel sahaja!


Yang paling bestnya, kalau korang rasa nak menaiki cruise, di hadapan Swiss-Garden ni ada tempat jualan tiket dan hentian untuk Cruise Melaka, so korang memang tak perlu nak berasak-asak, beratur panjang sampai lenguh-lenguh kaki untuk membeli tiket di hentian utama Cruise Melaka.


Eh korang tau tak puncak PALING TINGGI di negeri Melaka? Haaa sebenarnya di Swiss-Garden Hotel inilah terletaknya menara tertinggi di Melaka. Berkembar dengan Swiss-Garden Hotel ini adalah bangunan The Shore dan disinilah terletaknya menara tertinggi di negeri Melaka. Di menara ini boleh layan pemandangan 360 bandar Melaka, layan pulak masa sunset, memang syok. Lepas tu berjalan pulak melintasi jambatan transparent, waa mendebarkan gitu...



Selain itu di bangunan the shore ini juga terletaknya The Shore Marine Life, bawa anak2 tengok hidupan laut, memang terkesima la budak-budak ni semua. Kikiki...


Lastly jom tengok apa yang ada di Swiss-Garden Hotel ini sendiri pulak. Ok di Swiss-Garden Hotel ini korang boleh menginap di bilik yang harganya bermula dari RM204 untuk satu malam. Dengan keluasan bilik 32 kaki persegi, korang boleh memilih samada untuk satu katil king atau dua katil single. Kemudahan-kemudahan lain termasuk wifi percuma, parking percuma, peti sejuk, peti besi dan lain-lain kemudahan yang asas. Tapi paling seronok adalah Swiss-Garden Hotel memiliki kolam yang mesra kanak-kanak. Haha yang ini memang heavenla bagi anak-anak aku, terutamanya si Shahmin ni.



Oklah, aku cerita detail sangat nanti buat spoil korang pulak nanti. So apa kata korang try sendiri percutian di Swiss-Garden Hotel ini nanti. Aku pasti berbaloi-baloi-baloi beb.

Herm kebiasaanya korang tempah hotel bagaimana? Walk in? Oh that is so not IT la beb, 😅😅😅. Orang sekarang semua main booking online je kan, berlambak-lambak servis pencarian hotel di internet sekarang ni. Apa, trivago? Oh sori, bagi aku trivago hanya gah kerana iklan di astro sahaja. Nak yang lebih convinient dan mudah? Aku akan suggest laman web Traveloka. Acer kome semua cuba guna Traveloka tu. Lebih mudah, lebih menjimatkan masa. Kalau memang berhajat nak menginap di Swiss-Garden Melaka ni boleh terus booking bilik anda disini>>

Read more...

Seminar Hentikan Jenayah Kanak2

Tuesday, April 25, 2017

Petang semalam, hanya beberapa saat lagi sebelum mesin punch card mengetik ke pukul 5, aku dipanggil oleh pegawai atasan aku:

"Aok ada nak kemana2 besok?"

"Err takde rasanya boss." Aku jujur menjawab.

"Bagus, besok aok boleh ke Kuantan? Ada Seminar Jenayah Seksual Kanak2. Aok ke sana sebagai Pegawai Aduan dan wakil kepada PPD Bentong."

Ok, sebagai seorang penjawat awam yang berdedikasi tinggi aku akur dan patuh. Sementelah lagi puas aku pikir dalam masa yang sesingkat itu, apa alasan yang aku patut beri untuk mengelak; tapi tak dapat nak pikior!

Maka sesudah subuh pagi tadi aku pun bergerak menuju ke Kuantan. Sangkaku aku akan tidur sepanjang seminar tersebut, rupa2nya sangkaan aku meleset. Banyak info dan input yang aku dapat sebenarnya.

Meh aku kongsikan beberapa fakta yang aku rasakan agak menarik dan mengejutkan.

1. Mangsa bagi kes jenayah seksual yang banyak dilaporkan bukan kanak2 perempuan tetapi kanak2 lelaki. Ya, termasuk kes liwat!

2. Pelaku2/ penjenayah2 seksual tersebut sering terdiri dari orang yang rapat dengan mangsa seperti sepupu, bapa saudara dan datuk mangsa!

3. Statistik meningkat setiap tahun!

4. Antara medium yang dikenali paling banyak menyumbang kepada jenayah seksual kanak2 adalah media sosial wechat!

Tanda2 kanak2 yang menjadi mangsa jenayah seksual:

1. Kanak2 murung, mood tidak menentu, sering mengigau di waktu malam.

2. Kanak2 akan menjadi kuat melawan, mempunyai sifat tiada keyakinan diri.

3. Benci pada kaum lelaki.

Tips yang boleh kita boleh amalkan sebagai ibu bapa:

1. Sering berkomunikasi dengan anak2. Ambil tahu perkembangan pembesarannya.

2. Bagi anak2 yang telah pandai melayari media sosial, ibu bapa perlu pastikan mereka tahu apa yang anak2 sering layari.

3. Ini satu tips yang aku rasakan paling penting dan sebagai ibu bapa kita MESTI AMALKAN. Jika selama ini kita tidak pernah amalkan, sekarang adalah masanya. PELUK ANAK KITA!

Ya, peluk mereka dengan penuh kasih sayang. Sentiasa terangkan kepada mereka kenapa kita peluk mereka. Dalam masa yang sama terangkan, siapa yang BOLEH, siapa yang TIDAK BOLEH peluk mereka. Terangkan juga BATAS2 dalam pergaulan.

Oklah, cukuplah aku berkongsi setakat ini sahaja. Perasmi pun dah nak sampai ni, YABhg. Tok Puan Indera Dato' Sri Rosmah binti Mansor tu.

Semoga apa yang dikongsikan dapat dijadikan manfaat buat semua. Terutama kita2 yang mempunyai anak2 yang sedang membesar.



Read more...

Menghadapi Cabaran

Thursday, April 20, 2017


Dalam jiwa seorang manusia, ALLAH telah bekalkan dengan satu semangat pemandiri dan semangat juang untuk bangkit dari apa jua ujian, musibah, cabaran mahupun kegagalan. Dalam filem2 Hollywood, aku suka menonton filem2 tentang watak2 hebat yang meskipun ditimpa pelbagai ujian dan kegagalan, bangkit dan tanpa putus asa berhadapan dengan cabaran hidup masing2.

The Beautiful Minds, Pursuit of Happyness, 127 Hours, Eddie The Eagle dan banyak lagi filem2 yang segenre. Aku minat dan jadi bersemangat setiap kali menonton filem2 sedemikian, watak2 tersebut sentiasa cekal, minda 1st class dan sentiasa tidak pernah berputus asa menghadapi cabaran hidup.

Itu paparan dan watak2 benar yang menjadi inspirasi yang dijelmakan ke dalam filem. Namun watak2 tersebut semestinya terlalu besar dan jauh dari aku sendiri. Di dunia aku ini, watak2 yang terasa dekat dan aku pernah berinterasi sendiri dengan mereka, turut memberikan kesan dan inspirasi yang sama kepada aku.

Aku pernah terkesan dengan perjuangan seorang wanita yang kehilangan sebelah kakinya akibat penyakit, bangkit melawan dan kini dia berusaha membantu orang lain pula dengan melakukan kerja2 amal dan tulisan2nya yang memberi inspirasi.

Aku pernah merasa kagum dengan semangat seorang anak muda yang suatu ketika pernah terlantar di wad hospital akibat penyakit yang membawa maut, bangkit lalu menjelajah seluruh negara demi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penyakit mautnya itu. Dengar2nya, next planning untuk merentas ke seluruh dunia pula!

Aku pernah merasa terkesima apabila berhadapan dengan seorang guru yang pernah diserang stroke berat dan hampir lumpuh sebahagian badan, kini kembali mendidik anak bangsanya; meskipun dalam pergerakannya yang agak terbatas.

Semua cerita di atas menjadi pendorong dan inspirasi untuk aku bangkit berhadapan dengan cabaran dan dugaan aku sendiri.

3 tahun lepas, aku telah diuji dengan dugaan yang paling besar dalam hidup aku. Akibat kanser yang aku hadapi, aku telah kehilangan suara, ye total lost, MUTE! Setahun lebih aku hidup dalam dunia aku sendiri, cuba menyesuaikan diri dengan hidup baru, cuba menyerap segala tekanan yang mendatang, cuba merancang strategi untuk bangkit menghadapi cabaran terbesar dalam hidup aku ini.

Aku berpegang teguh dengan janji ALLAH: "disebalik setiap kesukaran, adanya kemudahan".

Dengan izinNYA juga, aku bangkit dan melakukan sesuatu yang tidak pernah terjangka akan aku lakukan. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku mendapat peluang ini. Jika bukan kerana ujian kanser yang aku hadapi ini mana mungkin aku berjaya dalam berdepan dengan dengan cabaran yang aku kirakan sangat2 besar ini.

Mungkin bagi manusia normal, bercakap di depan khalayak bukanlah sesuatu yang sukar pun, semua orang boleh buat. Well, itu manusia biasa, aku ni dah kategori manusia LUAR biasa. 😅😅😅

Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang membantu, secara langsung atau pun tidak. Tidak mampu untuk aku senaraikan kesemuanya tetapi anda tahu siapa anda.

Next challenge, sudah ada yang mencabar aku untuk bermain gitar dan menyanyi di depan khalayak pula. Semasa bersifat manusia normal pernah jugalah aku lakukan, tetapi sebagai seorang laryngectomee, seperti sesuatu yang mustahil. Namun itulah yang dinamakan cabaran, kan?

Orait, cabaran diterima! Tungguuuu...

Read more...

Peluang Kedua

Friday, April 14, 2017


Semalam aku berpeluang mengikut beberapa orang pegawai untuk lawatan ke sekolah dalam penjara, Sekolah Intergriti (W) Bentong. Apa, tak percaya? Tak pernah dengar sekolah dalam penjara? Ok tak payah nak terkejut sangat, aku pun baru semalam juga tahunya.😅😅😅

Seperti biasa kehadiran aku hanyalah sekadar anggota picisan dan pelengkap korum semata2. Tak banyak peranan dan sumbangan yang dapat aku berikan. Tetapi secara peribadi aku bersyukur dan amat berterima kasih kepada pegawai yang sudi mengajak aku menemaninya ke program tersebut. Besar pengajaran yang aku dapat di dalam sana.

Sampai ke saat aku menulis status ini, masih terbayang2 dalam ingatan aku ini wajah si gadis berusia 21 tahun itu. Bukan kerana raut wajahnya yang manis, tetapi kisah disebalik wajah itu sendiri. Bagaimana seorang gadis kecil yang wajahnya sebegitu manis dengan tutur suaranya yang sebegitu lembut boleh dijatuhi hukuman bersalah atas satu tuduhan berkomplot untuk membunuh!!?

Aku tak berhajat untuk bercerita panjang berkenaan kes tersebut, takut2 melanggar apa2 akta or kesalahan jenayah, tak pasal2 jadi penghuni sana pula! Cuma aku nak highlightkan kisah gadis itu sendiri.

Tahun ini tahun terakhir dia berpeluang untuk mengambil peperiksaan SPM. Aku dapat lihat bagaimana bersungguhnya pegawai2 pendidikan yang terbabit berusaha memastikan si gadis mendapat full privilage yang dapat pihak pendidikan tawarkan.

Menurut guru yang mengajarnya sejak dia dimasukkan ke dalam penjara itu, si gadis mempunyai peluang yang cerah untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM nanti. Malah jika betul gaya dan usahanya tidak mustahil untuk si gadis ini melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat universiti. Malah itu jugalah yang sedang diusahakan oleh semua pegawai2 pendidikan yang terbabit ini. Untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang tertinggi.

Ini merupakan satu peluang yang sangat baik buat si gadis untuk memperbetulkan haluan hidupnya yang mungkin telah agak terpesong selama ini. Ini ada PELUANG KEDUA buatnya dalam hidup, setelah dia melakukan kesilapan dalam kehidupannya yang lalu.

Apabila aku menyebut tentang peluang kedua, sudah tentu bukan setakat si gadis tersebut yang mendapatnya, malah semua banduan2 di dalam penjara tersebut. Selain meninjau keadaan dalam Sekolah Integriti ( W), sempat juga aku meninjau aktiviti2 utama banduan2 wanita di dalam penjara tersebut. Mereka memandang aku, dengan 1 pandangan yang sukar aku jelaskan. Yela, pandangan orang bersalah. Aku pula memandang mereka, dengan pandangan yang sehabis upaya aku untuk menunjukkan yang aku tidak 'menghakimi' mereka.

Apa yang telah mereka lakukan sebelum ini, merupakan 1 kesilapan lampau. Kini, mereka ditempatkan di penjara ini, menerima hukuman atas apa jua kesalahan yang telah mereka lakukan. Disinilah tempat mereka mendapatkan peluang kedua, peluang untuk memperbetulkan apa jua kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini. Semoga selepas keluar nanti mereka dapat memanfaatkan sisa2 umur mereka, dan lebih menghargai hidup dan nyawa yang ALLAH kurniakan ini.

Seketika aku pun berfikir, aku juga tidak jauh beza dengan mereka sebenarnya. Bukanlah dari segi jenayah yang mereka lakukan, tetapi dari sudut peluang kedua yang telah ALLAH berikan kepada aku. Seperti mana mereka, aku juga telah mendapat peluang kedua dalam hidup, setelah ALLAH memberikan aku kesembuhan dari penyakit kanser. Insha Allah, pastinya aku akan lebih menghargai hidup ini, dan cuba memanfaatkan segala sisa2 umur yang aku ada ini.

Yes, penjara bukan sahaja semata2 tempat penjenayah menerima hukuman, tetapi juga merupakan satu 'sekolah' untuk kehidupan.

Read more...

ProjekHasut Masuk Sekolah

Wednesday, April 12, 2017

"Cikgu datang bukan untuk menilai kamu, cikgu datang bukan untuk menghukum kamu. Tetapi cikgu datang untuk membantu kamu, keluar dari kepompong maut; yang kamu sangkakan syurga dunia, adalah neraka sebenarnya."

"Cikgu tahu usaha  ini tidak akan berjaya 100%. Namun bukan angka yang cikgu target. Cikgu disini hanya sebagai pemudah cara, berkongsi pengalaman dan menawarkan khidmat bantuan. Di akhirnya, kamu sendiri yang akan tentukan - bebaskan diri kamu, atau terus terjerumus ke lembah maut."

P/s: Semoga usaha kecil aku ini dapat dijadikan sebagai ilmu yang dimanfaatkan dan bakal menjadi bekalan yang akan aku bawa ke sana kelak. Amin...




Read more...

Kanser Peti Suara: Bagaimana Kami Makan

Monday, March 27, 2017

Satu pertanyaan yang paling sering aku terima setakat ini adalah:

"bagaimana aku makan?"

Nampaknya ramai juga yang tertanya2 bagaimana orang2 yang tiada vocal cord seperti aku ini makan. Melalui manakah makanan dimasukkan dan bagaimanakah laluan makanan tersebut untuk sampai ke dalam perut kami.

Mungkin perkara yang menimbulkan kekeliruan mereka itu adalah apabila mereka melihat laryngectomee stoma di leher aku ini. Malah ada juga yang menganggap makanan perlu dimasukkan melalui stoma tersebut. Hermmm...🤔🤔🤔

Baik, biar aku jelaskan. Mari kita lihat Diagram di bawah. Diagram A adalah anda semua sekarang ini dan aku pada suatu ketika dulu. Organ kita sempurna, cara makan kita pun sama. Kita akan makan dan minum melalui mulut, makanan dan minuman akan melalui salur esophagus dan terus masuk ke dalam perut.

Dalam masa yang sama kita akan bernafas menggunakan hidung/ mulut, udara akan melalui salur trachea terus ke paru2. Di sinilah vocal cord memainkan peranan. Selain bergetar untuk menghasilkan suara, vocal cord juga bertindak sebagai divider/ pintu kepada laluan makanan/ minuman dengan udara.

Sekarang lihat pula Diagram B, inilah gambaran anatomi bagi mereka2 yang telah menjalani pembedahan membuang vocal cord (total laryngectomy). Oleh kerana vocal cord kami telah tiada, maka kami tiada lagi mekanisma untuk membahagikan makanan/ minuman dengan udara yang masuk.

Ini sangat merbahaya, jika laluan ke perut ditutup untuk memberi laluan kepada udara untuk sampai ke paru2, maka kami tidak akan dapat makan/ minum. Sebaliknya jika laluan udara pula ditutup untuk memberi laluan kepada makanan dan minuman untuk masuk ke perut kami, kami tidak boleh bernafas pula..!

Maka untuk itu satu laluan lain perlu dibuka. Makanan/ minuman kini sudah tidak boleh menggunakan laluan yang sama dengan udara. Mereka perlu bergerak dalam laluan yang berasingan sekarang ini.

Makan dan minum kami masih seperti biasa. Masih masuk dari mulut, melalui salur esophagus terus ke dalam perut. Namun laluan pernafasan kami sudah tidak seperti dahulu.

Satu laluan baru harus dibuka untuk laluan udara, untuk itu satu lubang sebesar syiling 20 sen ditebuk di leher kami, khas untuk laluan udara menuju ke paru2. Itulah cara kami bernafas sekarang ini, udara akan masuk dari stoma, melalui salur trachea dan terus ke paru2.

Ada yang tanya pula: sampai bila? Jawapannya: sampailah kami dikafankan...

Oh ye, memandangkan udara yang kami sedut sudah tidak melalui hidung, maka kami juga sudah hilang keupayaan untuk menghidu/ mencium bau. Namun ada teknik2 tertentu yang boleh diamalkan untuk menghidu/ mencium bau, itu next time aku cerita ye.


Read more...

PEROKOK AKTIF, PASIF DAN ASAP KETIGA

Sunday, March 26, 2017

Selama ini mesti korang biasa mendengar istilah PEROKOK AKTIF dan PEROKOK PASIF (2nd hand smoke) kan? Perokok aktif adalah orang yang merokok manakala perokok pasif adalah mereka2 yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok.

Perokok pasif diancam risiko yang lebih tinggi dari perokok aktif kerana:

1. Pada rokok terdapat 'filter' yang menapis toksin2 tertentu dari disedut oleh perokok tetapi asap yang mereka hembus mempunyai toksin2 yang lebih merbahaya dengan jumlah yang lebih tinggi dari apa yang mereka hisap.

2. Asap yang dibebaskan dari mulut dan hidung perokok itu mempunyai kandungan karsinogen yang lebih tinggi. Karsinogen adalah agen penggalak sel2 kanser.

3. Asap yang terbebas dari perokok pasif juga mempunyai partikel2 yang lebih halus dan lebih mudah meresap ke dalam paru2.

Itu adalah antara bahaya2 yang nyata kepada perokok pasif. Lalu perokok2 aktif yang acah2 prihatin ni pun pergilah merokok jauh2, nyorok2 dari anak2 dan isteri. Adakah anda merasa yang anak2 dan isteri anda telah selamat dari bahaya rokok? Sila baca ini 👇👇👇

#ASAP_KETIGA

Tapi tahukah anda apa itu 'asap ketiga' (3rd hand smoke)?

ASAP KETIGA merujuk kepada sisa2 partikel daripada pembakaran rokok seperti tar, nikotin, ammonia, karbon monoksida, arsenik dan pelbagai lagi toksin merbahaya. Sebahagian dari partikel2 ini merupakan bahan mudah lekit dan akan melekat pada sofa, langsir, kain baju, pinggan mangkuk, sudu garfu malah pada rambut, kulit dan pakaian seseorang.

Lebih memburukkan keadaan adalah apabila partikel2 ini bertindak balas dengan bahan2 kimia dikawasan sekeliling, akan menghasilkan toksin yang lain pula dan akan dikembalikan ke persekitaran lalu disedut oleh mereka2 yang berada di persekitaran tersebut.

Terdapat kajian yang menyatakan:

1. Walaupun telah 6 BULAN berhenti merokok, rumah perokok tegar dikesan masih mempunyai partikel2 beracun dari asap rokok.

2. 'Asap ketiga' masih terdapat pada rumah yang pernah didiami oleh perokok walaupun rumah tersebut telah dibiarkan kosong selama 2 BULAN dan telah dibersihkan.

Nah hamikkkk kau..!!

Jadi sekarang, adakah anda merasakan yang anda telah melakukan perkara yang terbaik dengan tidak merokok di hadapan orang2 yang anda sayangi?

TIDAK...!!!

SATU2nya perkara TERBAIK yang boleh anda lakukan demi orang2 yang anda sayangi adalah dengan BERHENTI MEROKOK.

Rujukan: http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/perubatan/walaupun-anda-tidak-merokok-dihadapan-isteri-dan-anak-anda-masih-meracuni-mereka-2/


Read more...

Tersuntik Tanpa Sedar

Wednesday, March 15, 2017

Aku mula2 menulis dalam blog dulu adalah sekitar tahun 2008. Tujuan utamanya konon2 nak jana pendapatan. Orang lain boleh dapat bengong2 pun RM2-300 sebulan melalui iklan nuffnang or seumpamanya, aku punya pencapaian: RM60 dalam setahun. Dem...!

Aku ni jenis cepat fed up, last2 aku tulis ikut sedap aku je. Rasa rajin nak menulis, aku tulis. Sampai masa malas aku, maka naik sawanglah blog aku tu.

Semasa aku dalam 'peperangan' melawan kanser, memang aku tidak terasa langsung keterujaan untuk menulis. Sehinggalah aku kembali pulih, aku mula menulis sedikit demi sedikit. Niat asal saja2 nak kongsikan apa yang telah aku lalui sepanjang berperang dengan penyakit maut tersebut.

Suatu hari aku dihubungi oleh penulis sebuah majalah kesihatan. Minta aku berkongsi pengalaman dalam majalah kesihatannya. Dengan berbesar hati aku menerima tawaran tersebut. Maka keluarlah cerita 'tanpa suara' buat pertama kalinya dalam media cetak.

Melalui penulisan di blog aku rasakan capaian kepada pembaca aku agak terhad. Lebih2 lagi aku hampir tidak mengenali langsung siapa yang membaca kisah2 aku di dalam blog. Lalu aku mula beralih menulis di fb pula. Kali ini pembacanya aku rasakan lebih direct, terus kepada rakan2 yang aku kenali, samada secara fizikal atau pun melalui maya sahaja.

Tak lama selepas aku berkongsi kisah aku, seseorang menghubungi aku melalui private messenger, dia berterima kasih banyak2 sangat kepada aku. Katanya tulisan aku telah banyak menyuntik semangat kepada bapanya yang juga sedang berperang dengan penyakit kanser. Berbunga2 rasanya hati aku, bila ada yang mendapat semangat setelah membaca catatan2 aku di media sosial ini.

Sehingga ke hari ini, banyak juga nasihat2 dan kata2 semangat yang telah aku sampai kepada mereka2 yang menghubungi aku, secara direct dalam posting2 aku, mahu pun melalui private messenger.

Seronok, puas, terharu, bangga. Itu antara perasaan bercampur baur yang aku dapat rasakan. Tapi paling utama, semoga setiap apa yang aku kongsikan, dapat dijadikan sebagai ilmu yang dimanfaat dan dapat menjadi bekal aku di sana kelak.

Aku sendiri sebenarnya banyak mendapat suntikan semangat dari media sosial. Melalui bacaan kisah2 wira dan wirawati yang berjuang melawan kanser. Seorang demi seorang aku hubungi mereka menyatakan rasa penghargaan aku kepada mereka.

Seperti juga aku, respon mereka terharu, seronok, puas dan berbangga. Dapat berkongsi pengalaman dan sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada mereka2 yang memerlukan.

Kepada mereka2 ini, sekalung kudos kuucapkan. Teruskanlah penulisan anda, kita tidak akan pernah tahu siapa yang bakal kita tersuntik tanpa sedar, kelak.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP