Sahabat Tanpa Suara

Redhakah Aku...?

Monday, May 25, 2015


Assalamualaikum...

Petang kelmarin seorang sahabat bertandang, seorang sahabat lama... Persahabatan kami ada kedudukan yang agak istimewa bagi aku... Kami menempuh usia remaja bersama-sama, zaman-zaman baru nak up dulu bak kata orang ni... Sehinggalah aku bernikah dan hubungan kami menjadi agak renggang... Tapi tidak putus terus, ianya on dan off...

Lama kami tidak ketemu, sungguhpun dia antara yang terawal di kalangan rakan-rakan yang mengetahui akan penyakit aku ini; namun kesibukkannya menyebabkan dia tidak dapat melawat aku lebih awal... Maaf dipohonnya berkali-kali, well aku tiada masalah langsung dengan itu... 

Bila lama tidak berjumpa sudah pastilah banyak benda yang dibualkan... Tiada apa yang penting melainkan borak-borak kosong, mengimbau cerita-cerita lama... Cuma di akhir pertemuan dia melontarkan kata-kata ini dan ianya agak terkesan di hati aku:

" Uda (panggilan keluarga dan kawan-kawan kampung) aku ni banyak berjalan... Aku jumpa ramai orang, macam-macam jenis orang... Aku jumpa orang kaya, orang kayap, orang sihat, orang kuat, orang sakit, orang tenat... Orang sakit-sakit ni ramai juga aku jumpa, termasuk kau ni... Aku tak cakap sakit kau ni tak teruk, tapi aku pernah jumpa orang yang lebih teruk dari kau ni... Ada yang terlantar, tak boleh bangun, nak makan pun tak boleh... Aku tengok kau ni masalahnya sekarang cuma tak boleh bercakap jer kan... Aku tengok tubuh kau sihat jer, so Alhamdulillah sangat-sangat kan... "

" Tapi tulah aku tak duduk di kedudukan kau so aku tak boleh juga cakap sakit kau ni ringan ke apa ke... Hakikatnya hanya kau yang menanggungnya dan hanya kau yang tahu kesakitan itu... Tapi ingatlah yang sakit itu datang dari ALLAH dan pastinya ada hikmah ALLAH menghantar sakit itu kepada kau... Aku cuma nak cakap bersabarlah, tabah dan redha, ok... "

" Eh sejak bila pulak mamat ni pandai pulak cakap macam ni nih...? Ermmm what ever... " kata aku dalam hati jelah... Tapi yang sebenarnya, aku hargai kata-katanya itu, dan aku akui kebenaran dalam kata-kata tersebut... Dan ianya mengingatkan aku akan erti sebenarnya REDHA itu sendiri... Adakah selama ini aku benar-benar redha dengan takdir aku ini...?

Mengatakan kita redha dengan apa sahaja dugaan yang menimpa memang mudah, tapi hakikatnya adakah ianya seiring dengan perbuatan atau penerimaan kita...? Aku tak mengatakan sesiapa disini tetapi hanya mengatakan berkenaan diri aku sendiri... Aku nak semak balik adakah aku benar-benar 'redha'...

Menerima segala ketentuan tanpa sebarang keluh kesah...

Syarat utama untuk redha sudah pastilah dapat menerima segala ketentuan tanpa sebarang keluh kesah... Well, aku pernah juga ditimpa dengan pelbagai kesusahan sebelum ini, namun sering juga aku menerimanya tanpa sebarang keluh kesah... Tapi ini adalah by far ujian TERPALING besar yang pernah aku terima; maka untuk menerimanya tanpa sebarang keluh kesah adalah sesuatu yang amat-amat sukar untuk aku lakukan...

Pada peringkat permulaan memang aku hampir-hampir tidak dapat menerima semua ini... Jiwa aku berkecamuk, memberontak... Mengapa aku...? Bagaimana aku nak menghadapi semua nanti...? Apa yang akan jadi pada isteri aku, anak-anak aku...? Aduyai macam-macam persoalan bermain dalam kepala hotak aku, mempertikaikan ketentuan ILAHI... Bila mengenangkan saat-saat itu, segera aku beristighfar, moga-moga aku diampuniNYA...

Agak lama untuk aku dapat menerima hakikat ini... Tapi seperti yang ALLAH janjikan di sebalik setiap kesusahan pasti ada kemudahan (surah Al-insyhirah), dan aku merasai semua itu... Sehingga ke hari ini aku tak kata aku dapat menerima sepenuhnya keadaan aku ini, tapi Alhamdulillah peratus penerima aku itu semakin hari semakin tinggi... Redha aku meningkat secara perlahan-lahan... Well aku bukan wali, may ALLAH always have mercy on me...

Meyakini adanya hikmah disebalik setiap dugaan...

Bagi aku ini merupakan satu cara untuk memujuk hati, dengan meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya... Sentiasa ingat kita hanya hamba yang kerdil, jahil, tidak tahu apa-apa... Hanya DIA yang Maha Mengetahui, DIA tahu setiap sesuatu yang ada di langit dan di bumi... Kerana semua itu adalah dibawah pentadbiranNYA...

Aku yakin dengan perkara ini, kerana aku memang pernah alami sendiri beberapa perkara yang kadangkala aku rasa seperti agak kurang munasabah untuk ianya berlaku... Sekadar satu contoh ketika aku mengalami satu kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawa aku sekitar tahun 2004... Kereta aku remuk teruk namun kecederaan aku tidak parah...

Beberapa bulan selepas kejadian itu aku menerima tawaran untuk memasuki KPLI di maktab perguruan, dan sejak dari itu kehidupan aku berubah sama sekali... Aku meninggalkan tempat tersebut dan memulakan kehidupan baru sebagai seorang guru, di tempat yang baharu... Nyata sekali kehidupan aku jauh lebih baik dari sebelumnya... Aku rasakan yang hikmah dari kemalangan tersebutlah aku dapat menikmati kehidupan yang lebih baik...

Ada beberapa perkara lagi yang boleh aku katakan sebagai live changing event yang pernah berlaku kepada aku... Kejadian buruk yang menimpa aku tetapi kesannya selepas itu memberi impak yang sangat-sangat positif dalam kehidupan aku... Takpe, biar aku simpan dulu peristiwa-peristiwa tersebut... Next entries, perhap...

Kini aku menantikan sesuatu BESAR... Insha Allah... Dengan izinNYA... Moga ianya BESAR dan LAZAT... Yelah dengan dugaan yang besar harap-harapnya hikmah di sebaliknya pun ganjaran yang besarlah ye... Ngeeee....

Dunia hanya sementara, yang kekal hanya di sana...

Friends, at the end kita harus terima hakikat bahawasanya dunia ini hanyalah sementara... Ianya bukan milik kita pun, segala-gala yang ada, isi langit dan bumi ini adalah milikNYA... Dan janjiNYA yang kekal hanyalah apa yang ada di sana... Itupun kalau disediakan tempat yang baik-baik untuk kita, harap-harapnya begitulah...

DIAlah yang menjadikan kita, memberi kita kehidupan, memberi kita udara, memberi kita rezeki... Makanya apalah hak kita untuk mempertikaikan apa sahaja perancanganNYA... Bukankah dalam Az-zariyat ayat 56 DIA telah berfirman dengan jelasnya mengapa dijadikan kita ini...? Then, apa lagi yang kita hendak pertikaikan...?

Lalu apa lagi yang perlu kita buat...? Ya terimalah segala ketentuan yang telah ditentukan untuk kita... Cekalkan hati, jangan mengeluh, yakinlah akan hikmah disebalik segala kejadian dan di akhirnya ingatlah siapalah kita ini; dan milik siapakah kita ini... Ingat jugalah bahawasanya dunia ini hanya sementara, yang kekal hanya di sana...

p/s: pesanan untuk diri sendiri: please, please, please, redha ye...


Read more...

Flashback Part 7: Alternatif Yang Gagal

Friday, May 15, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 6 disini>>

**********


Kini seminggu telah berlalu semenjak 'serangan' di Mid valley... Sepanjang tempoh tersebut ada juga sesekali aku merasa sesak nafas seperti mana yang aku alami ketika di Mid Valley tempoh hari, tetapi aku dapat bertenang dan Alhamdulillah sangat-sangat pernafasan aku akan kembali normal dalam tempoh 2-3 minit kemudiannya... Isnin berikutnya adalah hari pertemuan dengan Dr Mawaddah, sudah pastinya pada hari tersebut segala-galanya akan terjawab...

Tiba hari yang dinanti, Dr Mawaddah menjalankan tugas pemeriksaannya seperti hari-hari sebelum ini... Selesai prosedur skopnya dia memandang ke arah aku dengan muka yang agak 'ketat'... Well, its not a suprise for me, aku dah agak mesti ada something wrong punya...

"Saya minta maaf cikgu, tapi apa yang saya boleh katakan disini, nampaknya rawatan alternatif yang cikgu amalkan tu tak mendatangkan hasil yang baik... Malah jika dilihat dari skop tadi, tumor dah semakin membesar... Sudah semakin hampir menutupi saluran pernafasan cikgu... Saya yakin itulah puncanya cikgu mengalami kesesakan nafas dalam beberapa hari ini..."

Penerangan Dr Mawaddah ringkas, tapi jelas: rawatan alternatif yang aku pilih sebelum ini telah gagal untuk mengecutkan ketumbuhan di dalam tekak aku ini... Bukan sahaja ianya tidak mengecut malah ianya telah semakin membesar... Wow, memang mengecewakan... 2 minggu lepas segala-galanya kelihatan begitu sempurna sekali, dan hari ini...? Nampaknya sekali lagi aku KECEWA... Sekali lagi aku usaha aku GAGAL... Di manalah silapnya usaha aku kali ini...?

Aduyai baru seminggu dua yang lepas keyakinan aku begitu tinggi, top of the world... Aku yakin sangat usaha alternatif aku ini akan berhasil, sehingga aku sanggup untuk menangguhkan rawatan radioterapi dan kemoterapi yang disyorkan oleh doktor kepada aku... Sekarang ini nampaknya ketumbuhan itu semakin membesar, dan risiko untuknya membahayakan nyawa aku semakin besar... Dimanakah silap aku kali ini...? Kenapa usaha aku ini gagal...? Aku tiada jawapannya... Hanya DIA yang Maha Mengetahui...

Terbayang-bayang di mata aku betapa yakin si pencipta supplement tersebut mengatakan kepada aku yang supplementnya itu mampu mengubati kanser aku... Aku tak bercadang untuk kondem produk tersebut, bukan di ruangan ini... Lagi pun aku yang membuat pilihan tersebut, walau pun pilihan itu didorong oleh keyakinan yang ditunjukkan oleh si penciptanya... Jikalau aku betul-betul berniat untuk kondem produk tersebut sudah pasti aku sebarkan secukup-cukupnya berkenaan produk tersebut... Namun biarlah ianya aku simpan sahaja... Bagi aku mungkin rezeki aku tiada untuk pulih dari kanser melalui supplement tersebut... Walau pun dalam testimoninya memang terdapat kes-kes yang kanser yang telah berjaya dipulihkannya... 



Ye, aku tahu semua testimoni-testimoni tersebut boleh sahaja direka-reka... Ianya tiada sebarang sandaran dari segi penyelidikan saintifik langsung... Malah jika hendak dipertikaikan si penciptanya juga boleh... Gelaran 'doktor' yang dipakainya pun seperti sesuatu yang agak mencurigakan... Jadi mungkinkah aku salah seorang mangsa supplement scams yang berlambak-lambak di pasaran sekarang...? Yang melalui testimoni-testimoninya mampu mengubati bermacam-macam jenis penyakit...? Aku tak tahu, to be honest buat masa sekarang aku malas nak ambil tahu... Aku lebih suka memikirkan yang rezeki aku tiada untuk sembuh melalui supplement tersebut... Aku lebih suka memikirkan yang ALLAH ada menyediakan perancangan yang lain untuk aku...

Kecewa...? Ye sudah tentu, tentunya aku kecewa dengan kegagalan supplement tersebut... Namun aku positif, aku yakin kegagalan ini bukan satu penamat... Semangat aku untuk terus bertarung tidak pudar, tidak sedikit pun, malah semakin berkobar-kobar... Timbul satu kegeraman dalam hati aku: 

"Jaga kau kanser yang *%$#@#... Mungkin kali ini aku gagal, tapi bersedialah kau untuk fight yang seterusnya... Tunggu next round...!"

Kekadang aku naik pelik dari mana datangnya semangat melawan itu... Tapi aku percaya ianya adalah hasil dari satu lagi rawatan alternatif yang aku sedang ikhtiarkan... Aku rasa ini adalah hasil aku berjaga malam mengadapNYA... Hasil aku tak putus-putus mengadu kepadaNYA... Hasil aku tanpa rasa putus asa meminta kepadaNYA... Aku syukuri sangat-sangat kerana DIA telah membekalkan aku dengan semangat ini... Semangat untuk terus berjuang... Ye pusingan awal ini aku telah tewas, namun aku harus mengatur langkah untuk pusingan seterusnya...

Perbincangan dengan doktor diteruskan... Strategi harus diatur untuk langkah seterusnya... Dan kini Dr Mawaddah menuntut janji yang pernah aku katakan padanya sebelum aku meminta untuk menundakan rawatan dengannya dahulu:

"Ok cikgu, seperti yang cikgu janji dengan saya sebelum ini, kalau usaha alternatif ini gagal cikgu akan bersetuju untuk menjalani rawatan moden kan...? Jadi saya nak kepastian dari cikgu ni, yang mana satu cikgu pilih, kemo atau pembedahan...?"

"Dan saya juga minta maaf juga cikgu, kali ini saya tidak akan membenarkan cikgu menangguhkan lagi apa-apa rawatan... Sebagai seorang doktor, saya tidak sanggup menanggung risiko... Dan sebagai pesakit yang menanggungnya saya juga amat-amat cadangkan agar cikgu jangan lagi mengambil sebarang risiko untuk menangguhkan sebarang rawatan..."

Kali ini nada beliau tegas...

"Saya bukan nak menakut-nakutkan cikgu, tetapi saya memang ada rekod kes pesakit yang 'terkorban' kerana melengah-lengahkan rawatan... So saya minta sangat-sangat agar cikgu segera membuat keputusan..."

Aku bertanya:

"Kalau doktor di tempat saya, apa pilihan doktor...?"

Dr Mawaddah menjawab:

"Baik cikgu biar saya berterus terang sahaja... Dengan saiz ketumbuhan yang kita dapat lihat ini, saya tak berapa yakin rawatan kemoterapi bersama radioterapi dapat memusnahkan keseluruhan sel-sel kanser... Mungkin boleh tapi berdasarkan pengalaman saya sel-sel yang tidak dimusnahkan secara keseluruhan, boleh sahaja datang kembali pada bila-bila masa pada masa akan datang... Dan kebiasaannya ia akan datang dengan serangan yang lebih agresif... Jadi kalau saya, pilihan saya jelas..."

Aku tidak terus membuat keputusan... Aku minta doktor memberi aku sedikit sahaja lagi masa untuk aku betul-betul membulatkan keputusan yang bakal aku ambil... Giler korang, ingat perkara kecik-kecik ke ni...? Melibatkan nyawa tu... Dr Mawaddah membenarkan aku balik dengan syarat: 

"Tolong berikan jawapan cikgu dalam tempoh seminggu ye... Sebabnya saya perlu membuat tempahan untuk bilik bedah dan beberapa prosedur lain... Perkara-perkara itu pun memakan masa juga nanti..."

Balik ke rumah tiada lain yang aku buat... Cari maklumat, google, korek info-info yang berkaitan dengan pembedahan pembuangan pita suara, atau dalam bahasa Inggerisnya Total Laryngectomy... Oh ye, aku sebenarnya telah pun membuat keputusan: aku akan buang ketumbuhan tersebut... Nyah kau dari tubuhku ini, walau pun ianya bermakna aku terpaksa mengorbankan pita suara aku... Dan ini juga bermakna aku tidak akan dapat bersuara seperti biasa lagi, sehingga ke akhir hayat aku...!

Keputusan tersebut sudah tentulah bukan dari aku seorang sahaja tetapi setelah puas berbincang dengan caretaker utama aku, siapa lagi kalau bukan wife aku... Ahli keluarga aku, mak abah, Kak Long, Kak Ngah dan adik aku... Turut aku pinta pandangan adalah dari rakan-rakan yang datang bertandang... Namun yang paling utama aku terlebih dahulu bertanya kepada DIA yang Maha Esa... Melalui istikharah aku sentiasa dapat bayangan yang pembedahan bakal merupakan keputusan yang terbaik yang perlu aku lakukan...

Tidak ketinggalan aku juga mencari maklumat-maklumat berkaitan dengan kehidupan pasca pembedahan... Aku tengok youtube bagaimana keadaan pesakit-pesakit kanser yang serupa dengan aku setelah dibedah, bagaimana kehidupan mereka setelah menjalani pembedahan tersebut, bagaimana mereka menjalani rehibilitasi untuk bersuara semula, pilihan-pilihan yang mereka ada untuk kembali bersuara... Beza, memang berbeza sama sekali... Namun itulah kehidupan yang bakal aku jalani kelak...

Panggilan telefon pun dibuat, menyatakan persetujuan untuk menjalani pembedahan tersebut... Akhirnya tarikh yang diberikan adalah 30 Oktober 2014... Itulah tarikhnya yang akan menjadi satu tarikh penting yang bakal merubah kehidupan aku buat selama-lamanya, atau pun lebih elok dikatakan sehingga ke akhir hayat aku...

Aku tak tahu apa yang ALLAH rancang untuk aku selepas dari tarikh itu... Yang aku pasti aku tidak akan berhenti mengharap... Mengharapkan yang terbaik dariNYA, mengharapkan 'pelangi' dariNYA, insha ALLAH...



***** End of Part 7 *****

Petikan Part 8: Ku Pulangkan (15 Jam Bertarung Maut)...

Aku kini di dalam bilik pembedahan... Debaran sudah hampir tiada... Suka aku bayangkan situasi aku seperti seorang anggota unit pemusnah bom... Cuba bayangkan, ketika mendapat panggilan untuk memusnah bom, pemusnah bom tersebut pastinya berdebar-debar untuk melaksanakan tugasnya... Sebaik tiba di tempat kejadian pasti debaran semakin kencang... Dia melangkah menuju ke tempat bom tersebut, dada berdebar-debar dup dap dup dap... 50 meter dari tempat bom diletakkan, hanya ALLAH yang tahu debarannya bagaimana... 10 meter dari tempat bom, kemuncak debaran, pastinya jantung rasa nak gugur dengan debaran tersebut... 

Sebaik tiba di tempat kejadian, debaran tersebut sudah sampai ke klimaks; makanya tiada lagi debaran yang menggegarkan jantung... Semuanya sudah di depan mata, apa lagi yang nak didebarkan, apa yang perlu dilakukan hanyalah: samada untuk berhadapan/ musnahkan bom tersebut dengan sebaik mungkin, atau terus membiarkan debaran menguasai diri dan membiarkan bom tersebut memusnahkan dirinya... 

Well begitulah metaforanya aku di dalam bilik bedah tersebut... Tiada lagi debaran... Aku menghela nafas panjang-panjang... Ini detik-detik terakhir aku bernafas sebagai seorang manusia yang normal... Namun, ku pasrah, ku akur... 786 Alhamdulillah syukur...

Bagaimana keputusan pembedahan aku...? Ada sebarang komplikasi tak yang berlaku...? Tunggu dalam kisah berikutnya: Flashback Part 8: Ku Pulangkan (15 Jam Bertarung Maut)... 

Read more...

Cuti-cuti Penang...

Saturday, May 9, 2015

Assalamualaikum...

Entri kali ni ala-ala travelling blog... Nak cerita pasal jalan-jalan, coti-coti Malaysia... Rilek ek bro Muhammad Khairuddin Lim, cilok jap niche blog hang, Kaki Travel... Kikiki... Kali ini destinasi yang dipilih adalah nun ke Pulau Mutiara, Pulau Pinang... Tarikhnya 2-4 Mei yang lepas... Moralnya: kalau jiwa tak cukup kental jangan bercuti ke Pulau Pinang dalam hari-hari cuti umum...

Har har har kenapa aku cakap macam tu...? Pasti korang semua dah cukup maklum kan, Penang di musim cuti... Hermmm mesti masak dalam jem punya, sebab tu jiwa kena kental beb, kalau tak kompom percutian jadi hambar...

Percutian kali ini aku dengan keluarga besar, RamSal family... Anak beranak Ramli dan Salmah... Ramli tu bapak aku, mak aku Salmah, singkatan jadi RamSal... Kikiki... Ok straight to the poit jom tengok apa aktiviti kami di Penang... Mai mai mai... Bak hang...


Destinasi pertama, seawal pagi jam 8 kami dah keluar... Tujuannya Bukit Bendera... Walaupun dah beberapa kali ke Penang sebelum ini tapi kalau nak taunya inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke Bukit Bendera ni... 


Umat manusia punyalah ramai... Nak beli tiket dah setengah jam beratur, campur waktu menunggu train aku ingat ada dekat-dekat sejam lebih jugak... Tapi sebab dah beramai-ramai ni, banyaklah ceritanya, kira enjoy jelah... Tak terasalah boring menunggu tu...


Tapi bila sampai ke atas tu barulah aku sedar, hermmm berbaloi juga menunggu lama, beratur bersesak-sesak dan berhimpit-himpit dalam train... Indah pemandangan di atas ni rupanya kan...


Petang tu cadangannya adalah ke Pantai Batu Feringhi, nak bagi bebudak ni main pantai... Malangnya hajat tak kesampaian, apa kes...? Jem tahap gaban la bak hang... Dari terus tersangkut kat dalam jem kami decide untuk berpatah sahaja ke Persiaran Gurney... Takpelah at least dapat gak tengok pantai... Huhuhu... Tapi kat sini pun tak lama, sebabnya jalan nak ditutup sempena perarakan, untuk perayaan hari Wesak la kot...


Malam tu kami pi pekena mee udang di Ida Mee Udang Sungai Dua... Glamer juga kedai mee ni, kalau tengok fb page dia siap ada gambar-gambar retis lagi bak hang... Tapi yang penting makanan dia best... Bagi tekak kami la... Kata wife aku udang dia memang fresh... Aku tak tau sebab aku sebenarnya dah quit makan makanan-makanan laut ni... Setakat jamah-jamah je... Tapi buktinya udang itu betul-betul segar adalah ipar aku yang yang resdung tidak terbersin-bersin keesokkan harinya walaupun dia membedal 2 pinggan mee udang malam tu... Oooo gitu rupanya bak hang...


Hari berikutnya adalah sessi mencari jeruk... Haa ini pun mesti rutin korang jugak kalau pi Penang kan... So kedai mana korang pergi...? Nanti, biar aku jawab, Jeruk Madu Pak Ali...? Huh memang kesitulah tujuan asal kami tapi kerana terdapat sedikit insiden melibatkan keluarga besar kami dengan pekedai di situ so kami beralih arah... Naa tu dia D' Jeruk Kita... Taukeh peramah, pilihan jeruk yang banyak dan paling besh harga boleh berlebih kurang... Camtulah berniaga pakcik kan, janganlah bila kedai dah besaq, banyak cawangan, untung juta-juta; pelanggan diabaikan, layanan pun acuh tak acuh je, siap tinggikan suara pulak... Kami ni datang dari jauh bak hang, tak baik gitu naa.... 


Haa inilah taukeh dia... Pakcik ni memang terbaik bak hang... Tanya camana pun dia layan, baik punya ada... Steadylah pakcik moga bisnes berkembang maju naa...


Ok next apa lagi...? Dah masuk tengahari so masa untuk lunch... Mana lagi, nasi kandaqla bak hang... Mana mana mana...? Line Clear...? Dah try... Kayu...? Dah try... Haa ini belum... Hameediyah... Rupa-rupanya inilah pioneer nasi kandaq kat Malaysia ni... Aku tak tahulah betul ke tak, tapi tagline kedai dia: the oldest nasi kandar in Malaysia...


Tak kisah la apa pun yang pasti nasi kandaq dia layannn... Punyalah layan sampai tak sempat nak snap gambar... Sedar-sedar dah licin... Kikiki... Harga pun boleh tahan taklah melampau sangat... Majoriti kami amik nasi beriani, kuah campur, ayam madu dan sayur purata harga masing-masing semua bawah RM10... Oklah tu kan...


Satu lagi tempat wajib pergi di Penang ini mana lagi kalau bukan Padang Kota Lama, betul...? Herm cadangnya nak melawat sekali ke dalam kubu Fort Cornwallis, tapi masing-masing dah penat berjalan... So lepak-lepak jelah, sambil menikmati angin laut...


Di Padang Kota Lama ni sudah pastilah makanan yang wajib dicuba adalah pasemboq... Disini memang femes juga pasemboq dia kan... Sebenarnya ini kali pertama juga aku try pasemboq Penang ni... Pada asasnya rasa dia sama je pun dengan pasembor-pasembor di kedai-kedai mamak kat tempat kita tu pun... Cuma aku rasa di sini kuah kacang dia lain sikit... Memang kaw punya pekat dia bagi... Pedas dia pun semacam... Tapi keseluruhannya: beshhh... Tapi mahal rupanya pasemboq kat sini ek... Sepinggan ni jejak dekat-dekat RM40 woo... Har har har... 


Setiap yang bermula pastinya ada pengakhirannya kan... Begitu jugalah trip kami kali ini berakhir sudah, maka tibalah masanya untuk angkat kaki dan lambung... Terlanjur dah sampai ke Penang memang kami bercadang untuk mencuba kedua-dua buah jambatan... So arah pulang kami mengikuti jambatan kedua Pulau Pinang yang baru dibuka baru-baru ini...


Agak lengang jambatan kedua ni berbanding dengan jambatan pertama, aku tak tahu kenapa... Dari segi jarak memang aku rasa panjang jambatan ini lagi, sempat jugalah mengantuk... Toing toing... Dari segi rekabentuknya juga agak unik kerana jambatan ini melengkok di tengah-tengahnya... Aku tak pasti atas sebab apa team binaannya membinanya sebegitu... Atas sebab estatik kah, atau cantikkah atau ergonomik kah, aku tak pasti... Yang aku pasti kalau ada yang bertanya, memang aku boleh menjawab sebegini: "ye, aku dah lalu jambatan kedua Pulau Pinang... Bak hang..." Ngeh ngeh ngeh...

Oh ye, aku tak cerita pun dimana kami menginap kan... Haa memang aku sengaja tak cerita disini, sebabnya aku nak buat 1 lagi entri khas untuk tempat penginapan kami tu... Puas hati sangat-sangat rumah tu, besar, selesa, bersih... Tuan rumah tak banyak songeh dan tak berkira... So tunggu next entri ok, tunggu naa, bak hang...














Read more...

The Best Soldier...

Thursday, April 30, 2015


Assalamualaikum...

Nampaknya setakat ini aku masih berjaya mengekalkan momentum untuk terus menulis... Walaupun tak sekerap yang aku target pada permulaannya tetapi tidak juga tersasar dari target minima aku iaitu 1 post untuk setiap minggu... Pada ketika aku berhenti menulis sebelum ini, (atas dasar sakit aku pada ketika itu) aku tak terfikir langsung untuk menyambung semula menulis di dalam blog ini... Aku kirakan blog ini akan terus berkubur begitu sahaja...

Namun setelah pulih dari pembedahan awal tahun ini, aku merasakan banyak pulak masa yang terluang... Sementelah aku sedang bercuti panjang ni... Saje-saje bukak balik blog, tengok post-post lama; datang pulak keinginan untuk menulis balik... Bukan nak tulis apa sangat, just nak share pengalaman, apa yang telah aku alami selama ini...

Selain itu ada lagi beberapa sebab yang membuat aku menyambung hasrat untuk menulis ini... Yang pertamanya adalah dengan sedikit harapan; kot-kot ada; boleh memberi semangat atau sumber inspirasi kepada sesiapa yang berkenaan... Fuh macam besar sangat hasrat tu kan... Hee3...

Ketika aku dalam 'peperangan' melawan kesakitan dulu, antara yang menjadi bahan pembakar semangat aku adalah kata-kata, bahan-bahan bacaan, kisah-kisah orang-orang hebat yang berjuang; berjuang atas pelbagai alasan... Samada berjuang untuk orang yang tersayang, berjuang untuk negara dan agama, hatta berjuang melawan penyakit-penyakit kronik... Kisah-kisah sebeginilah yang menjadi pembakar semangat aku, menjadi sumber inspirasi untuk aku terus hidup dan berjuang melawan kesakitan... Dan sememangnya ia agak berkesan...

Dalam pada itu aku juga ada join sebuah group fb Cancer Survivor (Malaysia), dimana ahli-ahli group tersebut adalah samada mereka yang telah bebas kanser, masih berjuang melawan kanser dan ada juga yang telah 'terkorban' sepanjang peperangan besar itu... Di situ mereka membincangkan pengalaman-pengalaman mereka dan penyakit masing-masing... Perghhh dari situ juga aku sedar rupa-rupanya masih ramai yang lebih teruk nasibnya berbanding aku ini...

Aku tak tahu kenapa, mungkin norma manusia memang macam tu kot, bila mereka dapat tahu yang ada orang yang senasib dengan mereka atau bernasib lebih teruk, kelegaan akan datang kepada mereka... Aku tidak mengatakan kepada orang lain, aku akui aku sendiri bersifat demikian... Dan hakikatnya ingatlah, jika kita berasakan nasib kita ini buruk; sebenarnya ada yang nasibnya lebih teruk dari kita di luar sana nun...

Sebab yang kedua adalah aku merasakan aku kini mempunyai satu tanggungjawab baru, tanggungjawab sosial untuk menerangkan kepada khalayak apakah punca-punca utama yang boleh menyebabkan seseorang itu diserang kanser... Secara spesifiknya dalam kes aku ini adalah disebabkan oleh tabiat buruk aku yang lepas itu tabiat merokok... Aku rasa aku bertanggungjawab menyebarkan akan bahayanya rokok ini kepada orang ramai... Menjadi hasrat aku juga untuk memerangi tabiat buruk ini dan menerangkan akan bahayanya rokok ini... Bahawasanya rokok ini memangnya sesuatu yang merbahaya dan tidak boleh dianggap enteng sama sekali...

Buat masa ini aku rasa blog ini merupakan satu medium yang agak sesuai... Selain dalam blog ini aku dah mula 'sound' kengkawan, samada dari dalam fb, group whatsapp atau sebarang kesempatan yang ada... Memang aku tahu nak berhenti merokok ini merupakan satu perkara yang teramat-amat payah... Takpelah, kalau mereka tak boleh berhenti pun at least dapat menimbulkan kegerunan buat mereka pun kira oklah kan...

Manakala yang ketiganya sudah tentulah sebagai kenang-kenangan aku sendiri... Dari dulu aku menganggap yang blog ini merupakan sebuah diari umum kehidupan aku... Di dalamnya aku sisipkan kisah-kisah kegembiraan aku, kisah suka duka kehidupan aku... Sudah pastinya tidak secara menyeluruh namun bagi aku ianya cukup, kiranya macam sebuah memoir la... Ngee...

Dan bila aku sudah tiada kelak, boleh jugalah anak-anak aku mengimbas balik kisah-kisah lama ayah mereka... Biar mereka juga tahu bahawasanya ayah mereka ini juga merupakan seorang pejuang... Cuma buat masa sekarang ini tak tahu lagi di mana dan bagaimana akhirnya perjuangan ini...

Aku quote dengan izin (dari salah seorang fighter dalam group Cancer Survivor yang aku join):

"ALLAH choose only the BEST soldier to FIGHT the HARDEST battle..."


Read more...

Bakti Dan Legasi...

Wednesday, April 22, 2015

Assalamualaikum...

Selepas aku disahkan dengan penyakit yang membawa maut ini, selain mencari penawar dan berjuang untuk terus hidup; satu perkara lagi yang paling aku utamakan sudah tentulah memperbaiki hubungan dengan yang Maha Esa... Bertaubat dengan kesungguhan yang maksima dan dalam masa yang sama beribadat dengan penuh kesungguhan dan ketaatan... Mencari redhoNya dalam apa jua keadaan dan sentiasa berdoa agar aku dapat istiqomah dalam melaksanakannya...

Namun nasihat dari seorang sahabat menyentapkan aku seketika... Mengingatkan aku akan sesuatu yang aku hampir-hampir terlupa... Pada mulanya aku agak bingung memikirkan apakah yang dimaksudkannya... Sehingga memerlukan ianya dikupas dan diterang supaya jelas...

"Ye dalam keadaan kau ini, perkara yang paling penting adalah hubungan kau dengan DIA serta persediaan apa yang bakal kau hadapi disana kelak... Tapi kau jangan pulak lupa beberapa perkara yang menjadi jambatan selamat untuk kau ke sana... Sesuatu yang boleh menyumbang ketika kau berada disana nanti... Aku bagi contoh, 2 darinya adalah BAKTI dan LEGASI..."

Harus aku akui yang aku sepatutnya mula belajar untuk menghormati sahabat yang seorang ini... Walaupun dahulunya aku sering memandang remeh kepadanya tetapi dengan berlalunya masa, aku dapat rasakan dia sudah tidak seperti dulu... Wisdom datang kepadanya...  Yela, manusia berubah kan... Tetapi kadangkala ada juga kata-katanya yang aku tak faham dan tak terfikir aku akan metaforanya... Lantas aku menggesanya agar straight to the point...

"Ei kemonlah aku bukan orang bahasa... Otak orang teknikal ni mana sama dengan otak orang bahasa macam ko..."

Orait, dipendekkan cerita begini penerangannya:

BAKTI:

BAKTI yang dimaksudkan adalah berbakti kepada kedua orang tua... Sememangnya dalam Islam sendiri terlalu banyak pesanan samada dari Rasulullah bahkan dari firman Allah sekali pun berkenaan keperluan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ini... Jadi secara ringkasnya cara mudah untuk mendapat lubuk pahala hanyalah dengan berbakti kepada kedua orang tua...


Aku petik disini:

Firman Allah s.a.w. bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"
(Surah al-Israk, ayat 23)

Herm kalau macam tu syukur Alhamdulillah, memang itu merupakan satu perkara yang telah, sedang dan akan sentiasa aku lakukan... Insha Allah... Sungguhpun aku tahu segala apa yang aku lakukan tidak mampu sama sekali untuk menandingi apa yang telah mereka korbankan untuk membesarkan aku dan adik beradik, tapi aku tetap berharap sekurang-kurang dapat sedikit sebanyak menyenangkan mereka... 

Jujur aku katakan pada ketika ini tujuan aku hanya satu: untuk memenuhi apa sahaja kehendak mereka... Sebagaimana mereka menunaikan apa sahaja kehendak aku pada suatu ketika dahulu... Tapi yelah mana yang terdayalah kan... Syukur orang tua aku memang jenis tak banyak kerenah... Sebenarnya mereka ni jenis yang agak susah nak minta apa-apa dari anak-anak... Kadang-kadang aku pun tak faham, aku nak hantar ke pasar pun kadang-kadang diorang menolak... Lebih selesa bermotosikal kata mereka... Hermmm...

Sehingga ke hari ini, memandangkan aku masih dalam cuti dan jarak kediaman aku dengan rumah mereka tak sampai sejengkal pun; boleh dikatakan setiap hari aku akan bertandang ke rumah mereka... Memang tak banyak yang dapat aku lakukan untuk mereka, nak bersembang pun aku dah takde suara; namun menghabiskan masa bersama mereka, makan bersama, ke pasar bersama, lepak-lepak, baring-baring dah cukup memberi kepuasan kepada aku... Aku dapat merasakan mereka pun sama... Pada saat-saat sebegini aku yakin, samada di pihak aku mahu pun di pihak mereka; akan redho samada mereka yang akan 'pergi' dahulu atau pun aku...

LEGASI:

Kata sahabatku itu lagi, LEGASI adalah peninggalan kamu... Apa yang kau tinggalkan di dunia ini, yang boleh menyalurkan bekalan kau tanpa putus-putus di sana kelak... Aku segera teringat pesan nabi ini:

"Apabila seseorang itu meninggal dunia
maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara, 
1. sedekah jariah 
2. ilmu yang dimanfaatkan dan 
3. anak soleh yang mendoakan untuknya..."

Ooo itu yang dimaksudkan dengan LEGASI... Ye sememangnya aku tahu amalan aku masih jauh dari mencukupi, sedekah jariah tak seberapa pun... Ilmu yang dimanfaat, sebagai seorang guru aku rasa adalah sedikit kelebihannya... Cuma harap-harap adalah antara anak-anak murid aku tu yang memanfaatkan sebarang ilmu yang telah aku curahkan pada mereka selama ini... Jangan mereka pergunakan ke jalan yang sebaliknya sudahlah... Huhuhu...


Doa dari anak yang soleh, ye itulah yang perlu aku usahakan sekarang ini... Mereka kini di depan mata, akulah yang perlu berusaha untuk membimbing mereka... Moga-moga mereka dapat menjadi anak yang soleh dan solehah...

Bercerita berkenaan anak-anak ini, aku menjadi sebak... Serius, aku sebak... Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika mereka membesar tanpa seorang ayah nanti... Aduh... Betul, memang aku tak sepatutnya berfikiran sebegitu... Tapi perasaan sebegitu bukan boleh diminta-minta datangnya mahu pun dicegah-cegah... Sesekali memang ianya akan datang... Piuuushhh, melayang-layang, terawang-awang je rasa perasaan tu... Tapi aku tahu aku tak boleh layan sangat, okey bebeh, bolayan...

Buat masa ini sudah tentunya tumpuan aku pada Shahmin, anak sulung aku... Pada dialah terletaknya harapan besar aku... Bakal menggalas tanggungjawab, membantu mamanya menjaga adik-adiknya... Paling utama mendoakan aku disana kelak... Harus diingat yang hanya doa dari dia dan adik-adiknya sahajalah yang 'laku' dan akan terus difowardkan kepada aku nanti...

Dalam pada itu aku sentiasa berhasrat, aku ingin menjadi seperti Luqman al Hakim... Manusia bijak yang namanya disebut dalam al-Quran... Bagaimana dia sentiasa memberi nasihat dan kata-kata yang baik dalam mendidik anaknya... Allahu, kalaulah aku dapat menjadi sebegitu... Allahu, jadilah aku sebegitu...

Selain itu aku sentiasa berdoa ke hadrat Illahi agar kanser aku yang telah dibuang ini tidak akan muncul-muncul kembali... Aku berdoa agar aku terus kekal cancer-free... Aku berdoa agar aku dipanjangkan usia, sekurang-kurangnya sehingga dapat aku melihat kesemua anak-anak aku mampu berdikari... Tapi dalam masa yang sama terus mencuba untuk menyediakan minda dan akalku, agar sentiasa bersedia atas segala kemungkinan...

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku 
ku serahkan pada Allah tuhan seru sekelian alam..."








Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP