Sahabat Tanpa Suara

First Cancerversary...

Wednesday, September 9, 2015

Assalamualaikum...
Pada tarikh hari ini, genap setahun yang lepas, satu keputusan ujian makmal di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dikeluarkan... Keputusan bagi ujian biopsi terhadap satu ketumbuhan yang dikesan melalui kaedah scoping di dalam tekak aku... Keputusannya, sebagaimana yang anda semua telah maklum- aku disahkan sebagai pesakit kanser... Kanser pita suara, stage 3 atau lebih tepat kategori T3N0M0...

Memang dunia gelap seketika bagi aku ketika itu... Yelah, KANSER... Suatu penyakit yang amat-amat digeruni... Suatu penyakit yang tiada penawarnya... Suatu penyakit yang membawa MAUT... Siapa tak seram kan...? Aku pernah menceritakan secara detail kisahnya disini>>

Namun itulah takdir aku, itulah yang telah direncana untuk aku, itulah ketentuan dariNYA untuk aku... Adakah ianya sekadar satu dugaan...? Atau ianya satu peringatan...? Atau satu bentuk hukuman atas dosa-dosa yang aku lakukan pada masa-masa lalu...? Hanya yang DIA yang MAHA AGUNG lagi MAHA MENGETAHUI...

Secara jujurnya aku telah mula menerima ketentuan ini... Tiada apa lagi yang nak aku persoalkan, tiada apa lagi yang ingin aku pertikaikan... Siapalah aku untuk mempertikaikan segala ini, sedangkan DIA yang MAHA BIJAKSANA sudah pasti ada perancangan yang terbaik untuk setiap hamba-hambanya...

Tapi sebagai seorang hamba yang sangat jahil lagi lemah, terkadang itu timbul juga rasa kekesalan atas nasib yang menimpa ini, rasa sedih, rasa hampa, rasa tertekan... Namun Alhamdulillah kesedaran dan kewarasan sering menjelma kembali... Tiada tempat lain yang aku adukan setiap kesedihan, kehampaan mahupun rasa tertekan itu melainkan hanya padaNYA...

Apa-apa pun, hei i'm still alive... Selain suara yang masih tak sempurna, tulang 4 kerat dan anggota-anggota lain tiada yang cacat celanya... Semuanya lagi masih berfungsi seperti biasa, masih mampu melaksanakan tugas-tugas duniawi... Masih mampu untuk menunaikan segala ibadat yang diperintahkan olehNYA, untuk mengumpul segala macam keperluan buat bekalan di hari muka... Hari-hari manusia dibangkitkan semula untuk satu hidup yang KEKAL ABADI... Bukankah itu arah tujuan kita semua...?

" Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku 
hanyalah untuk ALLAH, tuhan seru sekelian alam..."


p/s: Hari ini entri pendek je... Mood kesayuan (tetiba keluar lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon dalam THR Gegar)... Huhuhu...

Read more...

Makanan Tambahan Kesihatan

Wednesday, August 26, 2015

Assalamualaikum...

Hari ini apa kata kita bicara tentang kesihatan, kita cerita tentang makanan kesihatan... Ye, supplement... Yang berlambak-lambak di pasaran sekarang ini... Dengan bermacam-macam jenis jenama, dengan masing-masing melalui testimoninya dapat menghindar, mengelakkan bahkan dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit...

Sudah tentu sebahagiannya amat mujarab dan berkesan, namun tidak dinafikan sebahagiannya lagi hanya indah khabar dari rupa, malah ada yang boleh dikategorikan sebagai 'sampah' sahaja... Semata-mata dengan iklan yang menarik, menggunakan model-model yang cun-comel, dengan ayat-ayat yang power; tapi hasilnya ternyata hampas... Bak kata seorang sahabat lama, ini bukan lagi jenis hampas kelapa, hampas kelapa ada lagi kegunaannya, kurang-kurang boleh lagi bagi ayam makan... Tapi ini dah kategori hampas kunyit, sesen pun tarak guna dah... Huhu...

Satu masa dahulu aku seorang yang amat sinikal dengan pengamalan makanan kesihatan ini... Bagi aku ianya adalah satu pembaziran, gaya hidup orang kaya yang dah tak tau nak buat apa dengan duitnya, atau sebenarnya hanya skim piramid/ MLM yang berlindung di sebalik produk kesihatan... Terus terang aku katakan memang aku tak pernah cuba mana-mana supplement pun... Sementelah lagi badan tengah sihat walafiat, ketika disekolah aku adalah sport boy, sebelum menjadi cikgu aku kerja di kilang, dengan gaya kerja yang lasak dan sentiasa berpeluh... Mana mungkin aku ditimpa sebarang penyakit kritikal...

Satu lagi sebab aku tidak pernah teringin untuk mengamalkan apa-apa produk kesihatan pada ketika itu adalah kerana aku sangat-sangat jarang ditimpa sakit... Baik selsema, batuk atau demam; amat-amat jarang sekali... Mungkin sesekali dalam tempoh 3 ke 4 tahun... Aku sangat yakin dengan kemampuan sistem imun aku dalam menangkis sebarang virus/ penyakit yang cuba bertapak dalam badan aku ini...

Namun itulah hebatnya perancangan ALLAH, kita ingat kita serba tahu dan rancangan hidup kita pasti berjalan mengikut kehendak kita tapi apabila DIA menunjukkan 'jalan' yang sebenarnya; mula kita huru hara... Lebih-lebih lagi bila jalan tersebut tidak ada sebesar hama langsung bersamaan dengan apa yang kita impikan selama ini... Siapa sangka tiba-tiba aku diserang KANSER...! Satu penyakit yang dikaitkan dengan kerosakan sistem imum tubuh badan...! Perghhh memang tidak disangka-sangka langsung... Dari sihat-sihat tetiba kena penyakit...! Uncured disease pulak tuh...!

Sejak disahkan dengan penyakit kanser berat badan aku menurun, boleh dikatakan mendadak juga... Dalam tempoh 1-2 bulan berat aku turun dari sekitar 80kg kepada lebih kurang 60kg sahaja... Pada ketika itu aku masih tidak menerima apa-apa rawatan, hanya menunggu turn untuk menjalani rawatan kemoterapi dengan radioterapi... Pada masa itulah baru aku mengambil kuputusan untuk mengambil makanan tambahan kesihatan secara konsisten... Ada 2-3 jenis produk juga yang aku amalkan, aku mengamalkan produk yang berkait rapat dengan pembinaan/ menguatkan sistem imun badan... Dengan hasrat supaya imun badan yang sihat dan kuat dapat membunuh sel-sel kanser yang telah bertapak dalam badan aku ini... Namun nasib tidak menyebelahi aku, tiada rezeki aku untuk pulih melalui makanan tambahan kesihatan... Aku pernah menulisnya disini>>...

Akhirnya aku terpaksa juga dibedah, dibuangnya organ dari tubuh aku ini bersama-sama dengan kanser tersebut... Alhamdulillah, pembedahan berjaya dan kanser kini tidak lagi mengganas di dalam tubuh aku... Namun aku kini merasakan yang aku perlukan makanan tambahan kesihatan... Untuk menguatkan tubuh badan aku, untuk menguatkan sistem imun aku, untuk langkah pencegahan...

Sejak dari tamat pembedahan hingga ke hari ini sebenarnya dah bermacam-macam jenis produk yang aku amalkan... Tapi tak semuanya aku amalkan sehingga ke hari ini... Aku rasakan aku perlu banyak mencuba, sebabnya sepertimana yang aku tulis di awal tadi; bukan semua supplement itu bagus atau sesuai untuk tubuh badan kita...

Aku jadikan tubuh aku sebagai bahan eksperimen, mana yang aku rasa serasi aku teruskan... Mana yang tidak, aku hentikan sahaja... Cuba pula produk lain... Sehingga ke hari ini aku rasa hampir 2 belah tangan juga dah jenama-jenama atau produk-produk yang aku cuba... Tidak termasuk makanan-makanan sunnah seperti madu dan habatus sauda... Namun tidaklah semuanya aku bedal dalam satu-satu masa... Cumanya dalam satu-satu masa tu aku terhadkan kepada 2-3 jenis produk sahaja... Insha ALLAH satu hari nanti aku bercadang nak berkongsi dengan korang semua produk-produk makanan kesihatan yang aku rasa serasi dengan aku...

Satu dari hazard kepada pesakit/ bekas pesakit kanser adalah kami ini agak terdedah kepada bahaya dari segi pemakanan... Maksud aku kami ini harus berpantang dalam makan, tak boleh dah main bedal je apa yang teringin... Banyak senarai makanan yang harus dielakkan... Makanan diproses, makanan segera, makanan dalam tin, makanan berprotein tinggi seperti daging merah dan sederet lagi jika perlu dilistkan... Namun di atas semua itu ada satu bahan makanan yang PALING merbahaya, namun setiap hari kita tetap consume tanpa rasa bersalah... Yang aku maksudkan adalah GULA...

Ye, GULA... Gula yang memaniskan teh kopi kita ketika sarapan, gula yang menyedapkan kuih muih kita, gula yang menambahkan rasa kasih sayang dalam setiap hidangan makanan... Sungguhpun ianya enak dan melazatkan namun ia jugalah yang akan menjadi RACUN jika diambil secara berlebihan...

Jika disenaraikan penyakit kritikal yang berpunca dari dari pengambilan gula yag berlebihan pastinya akan panjang berjela... Bermula dengan diabetes, darah tinggi, stroke sehinggalah ke penyakit kanser... Ini memang parah, aku terpaksa menahan keinginan untuk makan dan minum yang manis-manis... Ingat senang ke beb, cuba korang senaraikan makanan/ minuman yang sedap tapi tidak membabitkan pengunaan gula... Herm susah kan, maka terpaksalah aku menahan sahaja keinginan, hinggakan kadang-kadang tu rasa macam nak stress pulak... Huhu...

Sehinggalah aku terjumpa satu produk, produk itu adalah Rcc STEVIA... Rcc STEVIA adalah pemanis yang boleh dijadikan alternatif kepada penggunaan gula... Ianya manis, selamat, 0 kalori dan tidak membahayakan sepertimana gula... Rcc STEVIA diperbuat dari ekstrak daun stevia, kemanisannya boleh mencapai sehingga ke 300 kali manis gula... Malah setitis sahaja Rcc STEVIA mampu untuk memaniskan segelas air...

Herm, aku rasa  banyak pulak dah aku tulis kali ini, dah berjela pulak aku rasa post ni... So apa kata next time sahajalah aku ceritakan tentang Rcc STEVIA ni lagi... Tapi aku rasa mungkin ramai juga dari korang yang pernah mendengarnya, kan...? Cuma kali ini aku nak bagitau sahaja yang sehingga kini sudah hampir 3-4 bulan aku menggunakan Rcc STEVIA ini...

Aku sangat berpuas hati sehinggakan aku membuat keputusan untuk menjadi agen RCC Stevia... Aku perkenalkan kepada keluarga dan rakan-rakan... Alhamdulillah, ramai jugak yang teringin mencuba dan ramai juga yang berpuas hati... So hari ini aku kongsikan pula korang... Kalau nak tahu lebih lanjut korang boleh google je 'Rcc STEVIA'...  Banyak dah maklumat-maklumat berkaitan dengan pemanis pengganti gula ini... Atau pun korang boleh masuk ke facebook: Pemanis Pengganti Gula... Aku sendiri yang menguruskan laman facebook tersebut...

Dan kalau nak mencuba, hubungi aku terus... Boleh tempah melalui aku... Selain korang dapat menggunakan produk yang HEBAT ini sebenarnya korang dah pun menolong aku- seorang bekas pesakit kanser... Heeeee3... Thanks in advance ye...


Read more...

Flashback Part 9: Dunia Hanya Pinjaman...

Tuesday, August 11, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 8 disini>>



**********



Dunia ini hanya pinjaman; hidup insan tak kekal lama... 
Dunia ini hanya pinjaman; hidup insan tak kekal lama...
Cari ilmu isikan dada, bekal ilmu di hari muka...
Cari ilmu isikan dada, bekal ilmu di hari muka...

Cewah biasa dengar tak lagu tu..? Haa tu memang lagu zaman-zaman mak aku dulu, dari oltimer Hail Amir dengan Uji Rasyid... Indeed, bait-bait lagu tersebut amat benar sekali... Dunia ini hanyalah pinjaman, segala isinya adalah pinjaman... Apa yang kita ada hari ini adalah pinjaman... Harta benda, anak pinak, kesihatan dan kesejahteraan hatta nyawa kita pun pinjaman dariNYA... Tiba masanya segala-galanya harus dipulangkan...

Dalam bahagian ke 8 Flashback yang lepas aku telah menceritakan bagaimana akhirnya aku memulangkan 'suara' aku kepada MAHA PENCIPTA... Bukan kerana aku tidak memerlukannya lagi namun atas dasar kanser yang telah membiak di dalamnya... Ya, positively thinking aku suka untuk berfikiran yang DIA ada perancangan yang lain yang aku tidak tahu berkaitan dengan hal ini, atas dasar seorang hamba yang jahil dan tidak mengetahui apa-apa... Atau it just simply satu bentuk hukuman ke atas aku; atas apa-apa dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini... Tapi either way, aku sudah mula belajar untuk menerima hakikat, suka atau tidak, mahu atau tidak; aku harus REDHO...

Mari aku ceritakan secara ringkasnya apa yang berlaku kepada aku sepanjang 15 jam di dalam dewan bedah... Setelah dibius dan dipastikan yang aku sudah tidak sedarkan diri, leher aku dikelar 180 darjah dari hujung kiri ke hujung kanan, lalu ianya disiat ke paras muka... Keseluruhan pita suara aku bersama-sama dengan halkum dan organ-organ yang berkaitan dikeluarkan, panjang keseluruhanya lebih kurang 10cm... Korang boleh bayangkan panjang 10cm tu...? Erm bayangkanlah sendiri... Kulit leherku yang tersiat itu kemudiannya dilipat kembali dan dijahit untuk mencantumkannya semula...



Namun ianya tidak berakhir disitu... Bahagian seterusnya ini agak teknikal (rujuk gambarajah di atas), baca betul-betul dan hadamkan... Manusia normal seperti korang semua dan aku (sebelum pembedahan) bernafas melalui hidung/ mulut, disalurkan kepada paru-paru melalui rongga trachea... Sementara itu kita makan/ minum melalui mulut, melepasi rongga oesophagus terus ke perut... Pita suara/ larynx bertindak sebagai 'divider' yang membahagikan udara masuk ke rongga trachea dan makanan/ minuman harus masuk ke perut melalui rongga oesophagus... Dalam kes aku, apabila pita suara dikeluarkan secara automatik saluran pernafasan aku yang normal tidak dapat berfungsi lagi... Apa yang dilakukan untuk membolehkan aku bernafas semula adalah dengan membuat satu 'bypass' dari paru-paru aku ke satu lubang yang ditebuk dibawah leher yang disiat tadi... Maka untuk tujuan itu, leher aku ditebuk sebesar duit syiling 20 sen dan ianya kekal 'ternganga' buat selama hayat yang aku ada... Lubang yang dipanggil sebagai stoma tersebut kini menggantikan fungsi hidung aku untuk menghirup udara yang dipinjamkan olehNYA di dunia yang fana ini...

Well, itulah 2 perkara utama yang dilakukan oleh doktor-doktor di dalam dewan bedah... Kedengarannya mungkin agak simple tapi ianya melibatkan sesuatu organ yang major maka penelitian yang tinggi amat-amat diperlukan... Sebab itu pembedahan tersebut memakan masa melebihi setengah hari... Itulah penerangan dari Dr Mawaddah, doktor pakar otorhinolaryngology yang mengetuai team pembedahan tersebut... Menurut Dr Mawaddah lagi, syukur juga kerana tiada sebarang komplikasi yang berlaku sepanjang pembedahan, dan apa yang patut lebih disyukuri adalah sel-sel kanser masih terkawal dan tidak merebak ke organ-organ lain yang berhampiran...

Sudah tentu aku tidak menyedari semua itu, aku berada di'alam' lain pada ketika itu... Jujurnya tiada apa yang dapat aku ingat... Semuanya gelap sahaja, sebaik bius mula berkesan ke atas aku hinggalah aku mencelikkan mata 15 jam kemudiannya... Perkara pertama yang aku sedari sebaik sahaja aku mencelikkan mata adalah rasa sakit di bahagian tulang tongkin aku... Kepala aku agak pinar dan pandangan aku masih kabur...

Dalam keadaan 'mamai' itu aku mendengar nama aku dipanggil beberapa kali, aku tahu itu adalah panggilan dari jururawat namun aku rasa terlalu lemah untuk menjawab... Aku dapat merasakan ada genggaman erat di tangan kanan aku... Aku kenal sangat tangan yang mengenggam itu, aku memberi respon dengan mengerak-gerakkan tangan aku... Aku pejam mata dan terlelap semula...

Kali kedua aku tersedar, kali ini aku merasakan lebih 'segar'... Tangan aku masih dalam genggaman seseorang... Siapa lagi kan...? Mesti korang semua pun boleh teka siapa... Aku mencari wajah itu, dia tersenyum kepada aku... Alhamdulillah, aku hidup lagi...

"Encik Shamsul... Encik Shamsul sudah sedar ye...? Ok Encik Shamsul dah selesai operate ye... Alhamdulillah semuanya ok..."

Aku hanya mendengar suara jururawat tetapi aku tak cam langsung mukanya... Mata aku hanya terpaku memandang orang yang menggengam tanganku itu... Senyumannya betul-betul membuat aku lega... Aku tak mau memikirkan apa-apa lagi buat masa ini...

Jururawat itu kemudian menyambung:

"Encik Shamsul, encik sekarang dalam PACU (Post Anaesthesia Care Unit)   ye... Nampak macam encik dah ok ni... Sekejap lagi kami akan tolak encik balik ke wad ye..."

Seketika kemudian, aku ditolak oleh jururawat yang bertugas keluar dari bilik PACU tersebut... Diluar bilik itu barulah aku nampak muka-muka yang lain... Mak aku, abah, Kak Long, Kak Ngah dan beberapa saudara terdekat... Aku lihat masing-masing mengalirkan air mata... Aku terharu juga, tapi aku sedikit hairan; tiada setitis pun air mata yang keluar dari mata aku... Kerana aku tidak rasa sedih, aku rasa LEGA, aku rasa RELEASE, aku rasa BERSYUKUR...

Aku sempat memberi isyarat kepada mereka semua agar jangan menangis, kemudian aku terus dimasukkan ke dalam wad... Aku kira malam telah lewat kerana di dalam wad aku sedari semua pesakit telah tidur... Kesemua ahli keluarga aku pun tidak dibenarkan masuk lagi kecuali seorang sahaja... Siapalah lagi yang aku nak harapkan untuk menjaga aku dalam keadaan begini melainkan dia...

Aku memandang wajah dia, aku renung matanya dalam-dalam... Aku ingin menyatakan kepadanya terima kasih tapi of coz, tidak terluah... Kerana aku kini secara rasminya sudah tidak mempunyai 'suara'... Namun aku kira dia memahami...

"Abang... Abang jangan fikir apa-apa dah ye... Abang tidur je... Ayang ada kat sini, ayang takkan ke mana-mana..."

Efek bius sememangnya masih ada, lalu aku tertidur semula...


***** Enf of Part 9 *****

p/s: Korang pernah tengok apa itu 'kanser'..? Bagaimana rupanya 'kanser' tu..? Nah, ekslusif untuk korang aku kongsikan gambar 'kanser' pita suara... Yang telah memusnahkan organ pita suara aku... Perhatikan dalam bulatan kuning itu... Dan perhatikan panjang keseluruhan organ yang telah dikeluarkan... Ngeri tak...? Ok kalau ngeri jangan tengok lama-lama, nanti korang tak lalu nak makan nanti korang salahkan aku pulak... Huhuhu...


Read more...

Eid Fitr 2015

Monday, August 3, 2015

Assalamualaikum...


Fuh sudah agak lama aku tak update kan, hampir-hampir 3 minggu... Mesti ramai yang tertunggu-tunggu, tertanya-tanya- bilalah shamdisini nak kembali bersiaran kan...? Tak kurang pula yang tidur tak lena, mandi tak basah, berak tak basuh- mengenangkan bilalah agaknya dapat mendengar perkhabaran terbaru dari aku... Well, untuk memenuhi impian korang-korang semua, baiklah ini perkhabaran terbaru dari aku... Hee hee hee, lama tak mengarut, maafkan hamba di bulan yang mulia ini ye...

Kita masih lagi di bulan Syawal, so aku yakin ramai lagi yang masih dalam mood raya... Ini memang dah budaya kita di Malaysia, oleh sebab puasa sebulan, so kita akan demand untuk beraya juga selama sebulan... Cuma sekarang ini kemeriahannya mungkin agak berkurangan sebab radio dah 'slow' sikit... Kalau tidak, memang dema pulun main lagu raya je kaw-kaw punya... Betul...? Dan pada masa ini jugalah setiap hujung minggu setidak-tidaknya kita akan menghadiri rumah-rumah terbuka dari sahabat-sahabat kita... Itu tidak termasuk lagi rumah-rumah terbuka dari jabatan-jabatan, bank-bank, kedai-kedai kereta, kedai makan Pakcik Hamzah, gerai lemang To'ki dan tidak ketinggalan kedai motor Ah Meng di simpang Ketari... Namun tak salah juga semua ini kan, malah baik untuk merapatkan hubungan silaturrahim...

Bagi yang kerja makan gaji pula of coz semua sudah habis bercuti kan..? Semua sudah kembali ke 'sarang' memasing... Meneruskan kehidupan seperti biasa, kembali bertugas untuk mencari sesuap rezeki... Haa bab ini aku consider aku masih bertuah, jangan jeles u ols aku masih dalam cuti tau... Paling tidak tarikh akhir aku di dalam mc adalah pada 1/9/2015... Pada masa itu memang genap sudah setahun aku dalam cuti barah, bermakna aku sudah menghabiskan separuh dari cuti yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi pesakit-pesakit kanser yang bertugas sebagai kakitangan awam di negara ini... Tinggallah separuh sahaja lagi...

Secara jujur aku masih belum menetapkan samada untuk meneruskan cuti atau kembali bertugas, serius aku masih belum membuat keputusan... Walaupun pun secara zahirnya aku rasa sudah cukup sihat dari segi mental dan fizikal (tidak sepenuhnya, aku boleh letak 70%-80%), tetapi bila memikirkan betapa 'syoknya' bercuti ni, badan pun rasa lemau je, rasa nak bercutiiii je lagi... Ishhh bahaya camni, aku kena bulatkan tekad, ye aku mesti kembali bertugas... Dah ada yang menanti aku seperti mana yang pernah aku tuliskan disini>>...

Sebenarnya aku nak bercerita pengalaman beraya aku tahun ini... Ye memang tiap-tiap tahun kita beraya, so apa bezanya...?  Dari beberapa segi memang tiada beza dengan raya-raya sebelum ini, balik kampung, bertakbir memuji kebesaranNYA, mohon ampun ibu bapa, bermaaf-maafan sesama kita, kunjung mengunjungi, makan lemang, ketupat rendang jangan dilupa peninggalan nenek zaman berzaman, asyik bersembang pakcik dan makcik hai duit raya lupa nak diberi...

Tetapi dari satu segi lagi ini adalah merupakan kali PERTAMA aku beraya sebagai seorang pesakit kanser, sebagai seorang laryngectomee, sebagai seorang yang 'tanpa suara'... Jadi jika ditanya adakah sama je raya aku tahun ini, aku akan katakan TIDAK sama sekali...

Jujur aku katakan aku ada satu ketakutan sebenarnya, fear... Ketakutan untuk berjumpa dengan orang ramai, ketakutan untuk mendedahkan penyakit aku kepada orang yang bakal aku jumpa, dan paling utama sebenarnya aku takut untuk menghadapi REAKSI dari orang yang dapat tahu penyakit aku ini buat pertama kali... Mungkin bagi yang dah biasa mengikuti blog aku ni mungkin akan rasa wah hebat dia ni, berani hadapi penyakit kanser, boleh mengharungi kehidupan sebagai OKU tanpa suara bla bla... Namun hakikatnya bagi aku berhadapan dengan penyakit adalah satu peperangan, dan menghadapi orang ramai merupakan satu peperangan yang lain dan berbeza sekali situasinya... Dan ye, aku masih ada fear tersebut... Malah sebenarnya itu jugalah antara sebab-sebab aku masih belum memutuskan samada untuk kembali bertugas atau tidak selepas 1/9/2015 ini...

Untuk makluman korang juga memang aku masih belum berjumpa dengan semua saudara mara, sahabat handai... Memang ada antara mereka yang sedia maklum namun masih ada juga yang langsung tidak tahu menahu... Yela takkan aku nak ke hulu ke hilir pulak mencanangkan kepada semua saudara mara sahabat handai: wei aku ada kanser wei... Maklong, Paktan, Ayah cu, saya ni kena kanser peti suara, sekarang ni saya dah tak boleh cakap macam orang biasa... Hermm takkan gitu pulok kan... Biarlah ianya berlaku secara natural kan... So kedatangan Syawal ni memang antara masa yang paling sesuaila untuk aku story mory benda-benda ni semua... Tapi tulah, bila mengenangkan reaksi-reaksi yang bakal aku terima nanti, agak terrify jugalah aku rasa...

Namun nak tak nak aku kena hadapi juga kan...? Aku tak boleh nak sorok jugak penyakit aku ini buat selama-lamanya... Kata orang satu-satunya cara untuk mengatasi sesuatu ketakutan adalah dengan berdepan dengan ketakutan itu sendiri... Well nampaknya itu yang harus aku lakukan; dan telah pun aku lakukan...

Seperti yang aku jangkakan, memang pelbagai reaksi yang aku terima... Ada yang bersedih, ada yang terkejut, ada yang terkejut 'gila', ada yang terkejut 'gila-gila'... Ada pula yang selamba derk je, erm macam-macam... Banyak yang memberi kata-kata semangat, namun dalam pada masa yang sama ada juga yang agak menjengkelkan... Malas pulak aku nak mengenangkannya, dan sebenarnya reaksi yang sebegitulah yang buat aku malas/ takut nak berhadapan dengan orang...

Namun secara keseluruhan ianya tidaklah memberi kesan yang negatif pada aku... Bila dikenang-kenangkan lagi, nampak macam ini satu permulaan yang baik untuk aku terus kehadapan untuk berdepan dengan orang ramai... Ini merupakan satu pengalaman yang berguna sebenarnya... Pengalaman berhadapan dengan orang ramai, pengalaman untuk 'meraikan' reaksi yang baik-baik, pengalaman untuk 'absorb' reaksi-reaksi yang negatif... Herm nampaknya ada juga sesuatu yang berguna aku dapat dalam Syawal kali ini... Berguna sebagai persediaan aku untuk kembali bertugas, berguna untuk persediaan aku berhadapan dengan rakan sekerja, orang ramai dan masyarakat sekeliling...

Eid mubarak untuk semua...


p/s: ada lagikah yang nak tau kisah aku yang selanjutnya pasca pembedahan pembuangan peti suara...? Tunggu kehadiran Flashback Part 9 ye... Coming soon... ;-)







Read more...

Mimpi dan Realiti...

Monday, July 6, 2015


Assalamualaikum...

Dah masuk trimester yang ketiga dah puasa kita tahun ni kan, korang sedar tak kita dah masuk 10 hari terakhir dah ni...? Fuh macam tak caya jer, ngeee... Dari satu segi aku merasa lega dengan semakin nak berakhirnya ramadan kali ini, namun aku juga bersyukur Alhamdulillah sesangat kerana aku masih diberi kekuatan untuk mengharunginya... Memang ini merupakan ramadan yang paling mencabar bagi aku (considering keadaan fizikal aku sekarang ini)...

Manakala dari satu segi yang lain sudah tentulah sebagai ummat islam kita akan merasa sedih dengan berlalunya ramadan ini...Yela sebab bulan pesta mengumpul pahala semakin berakhir, dan ianya hanya akan datang setahun lagi dari sekarang. herm entah kan sempat entahkan tidak, kan...

So bagaimana kutipan korang musim ini setakat ini, memuaskan tak...? Ok yang ini tak payah cerita lah kan, sendiri punya bakul sendiri kumpul lah... Just aku nak ingatkan dalam 10 hari terakhir ni DIA dah sediakan sesuatu yang SANGAT-SANGAT istimewa, kan...? So Anak cina makan, sindiri mau ingat...

Bangun je pagi tadi tiba-tiba je aku rasa nak cerita pasal mimpi aku... Aku jarang bermimpi sebenarnya, lebih-lebih lagi mimpi yang best-best, yang ada makna, yang ada moral disebaliknya; seperti yang aku alami malam kelmarin... Mimpi aku itu mimpi yang just nak menjelang waktu aku bangun sahur, terasa real sangat mimpi tu...

Mimpi aku itu berlatar belakang pertandingan... Aku menyertainya, bersama dengan ramai orang yang hampir sebaya dengan aku sahaja, dan pesertanya hanya lelaki sahaja...Macam-macam pertandingan yang kami sertai, ada yang berbentuk menguji kepintaran, kekuatan, kecergasan dan kepantasan...

Dipendekkan cerita, aku mengakhiri kesemua pertandingan tersebut pada kedudukan sederhana sahaja... Aku tidak menjadi juara pun, jauh sekali menjadi peserta yang mendapat pujian dan pujaan orang ramai... Namun secara peribadinya aku berjaya menamatkan kesemua pertandingan yang aku sertai, ye ada yang aku kalah tapi ada juga yang aku menang, cumanya markah terkumpul tidak melayakkan aku menjadi juara...

Namun aku tidak kecewa kerana di pengakhirannya aku tetap mendapat reward atas penyertaan aku itu... Rewardnya, haa part ni paling best... Untuk orang lain aku tak pasti tapi bahagian aku, rewardnya merupakan seorang BIDADARI, perghhhh...!! Pada permulaanya ianya membelakangi aku dan apabila ia berpaling, wajahnya sangat-sangat aku kenal... Rupa-rupanya bidadari tersebut adalah isteri aku sendiri... Wahhh jiwangla plaks... Ngeee...

Sekadar gambar hiasan

Wokey the next thing tak boleh cerita, bukan untuk tontonan umum... Hehee... Cumanya aku suka untuk refleks mimpi tersebut dengan kejadian di dunia sebenar... Seperti yang aku katakan di awal tadi ianya menjadi best sebab aku rasa ianya terkait rapat dengan apa yang aku alami di dunia realiti ini...

Sangat betul apabila aku umpamakan hidup ini sebagai medan pertandingan, atau medan UJIAN untuk lebih tepatnya... Dan lebih betul bila hasilnya ada ujian yang aku GAGAL, tidak melepasi kelayakan dan tidak mencapai piawaian yang dikehendaki... Namun aku tidak gagal kesemuanya, ada juga yang aku MENANG, berjaya mengatasi cabaran yang diberikan dan menepati kehendak-kehendak pertandingan... Dan paling utama aku tetap diberikan GANJARAN atas usaha yang aku telah berikan sepanjang pertandingan tersebut...

Yang paling memberi kesan kepada aku adalah apabila aku mengambil kira pengajaran dari mimpi aku ini... Betul, sejak kebelakangan ini aku dilanda dengan pelbagai UJIAN, perit aku menghadapinya, dan memang aku telah tewas beberapa kali, aku tersungkur. aku rebah... Namun aku yakin, sinar kemenangan tetap ada menanti aku, yang penting aku tetap berusaha dan tidak berputus harap kepadaNYA... Dan aku pasti akan menanti GANJARAN yang DIA sediakan untuk aku nanti...

**********************************

Ok done kisah mimpi, mari kita cerita pasal realiti plak... Beberapa hari yang lepas aku ke Bandar Kinrara Puchong, bertemu dengan Mr. Eddie Phang, seorang pembekal peralatan bagi mereka-mereka yang menjalani pembedahan laryngectomy, seperti aku... Kami diperkenalkan oleh doktor yang merawat aku, Dr Mawwadah... Rupa-rupanya Eddie telah lama membekalkan peralatan-peralatan post laryngectomy ni, samada kepada hospital mahu pun kepada individu-individu... Banyak peralatan-peralatan di pejabatnya, hampir complete untuk keperluan bekas-bekas pesakit kanser yang menjalani pembedahan pembuangan pita suara...

Antara peralatan-peralatan yang terdapat di pejabat Eddie Phang

Menariknya bersama Eddie ini, dia bukan hanya sekadar menjual peralatan-peralatan tersebut tetapi juga menyedia khidmat nasihat dan kaunseling berkenaan dengan kegunaan peralatan-peralatan yang terbabit... Aku tak sangka pula yang Eddie akan mencerita panjang lebar...Hampir 2 jam aku bersamanya, mendengar penerangannya malah siap diberi peluang untuk mencuba sendiri peralatan-peralatan yang terdapat di situ...

Tujuan utama aku bertemu dengan Eddie sebenarnya adalah untuk mencuba satu alat yang dipanggil electrolaryng... Ye memang pada permulaanya aku tidak berminat langsung kerana electrolaryng ini akan mengeluarkan suara yang mono tone, mono frekuensi, sebiji macam suara robot... Tetapi rupa-rupanya dengan perkembangan teknologi terkini, telah ada electrolaryng yang berfungsi dengan multi tone dan frekuensi... Yang aku tonton di youtube tu siap boleh berkaraoke lagi seorang pengguna tu... Wow sungguh mengujakan... Itu antara sebab utama aku ingin mencuba electrolryng ini...

Namun bila ditanya tentang harga, gulppp mencecah RM4000 ko... Herm kalau nak beli saja-saja memang takde ler... Tapi menurut Eddie, memandang aku adalah kakitangan kerajaan kemungkinan aku boleh membuat tuntutan pembelian melalui JPA... Cumanya aku tetap kena dahulukan dengan duit aku sendiri dahulu... Herm kalau boleh claim nampak macam menarik juga, balik nanti harus ku selidik dengan lebih jelas...

Mencuba electrolaryng teknologi terkini yang memiliki multi tone dan frekuensi

Selain electrolaryng, peralatan utama yang dibekalkan oleh Eddie adalah set TEP, iaitu set implan yang dimasukkan kedalam tekak bagi menggantikan fungsi pita suara yang telah dibuang... Sudah tentulah ini merupakan teknik atau cara yang paling mudah dan berkesan untuk bekas pesakit seperti aku ini untuk kembali bersuara... Namun ini juga merupakan kaedah yag paling banyak risiko yang perlu ditanggung oleh seseorang pengguna itu seperti risiko kebocoran, kerosakan dan lain-lainnya...

Herm mesti korang terpinga-pinga tak faham apa yang aku sampaikan ini kan...? Bagi yang dah lama folow cerita aku ni mungkin ada clue sikit-sikit kan...? Aku pun dah pernah menulis serba sedikit mengenai 3 pilihan yang aku ada untuk kembali bersuara disini>>... Tapi bagi yang tak tahu langsung tu pun takpe, lepas ni memang aku bercadang untuk buat entri-entri penjelasan yang lebih detail berkenaan kaedah-kaedah untuk kembali bersuara bagi bekas pesakit-pesakit kanser pita suara, yang menjalani pembedahan pembuangan peti suara, seperti aku ini...

Tapi dalam masa yang sama ini aku masih meneruskan pembelajaran aku untuk bersuara melalui kaedah esophangus speech... Satu teknik yang terbaik, free maintenance dan zero risiko... Dan ye, memang ada perkembangan yang baik untuk aku... Walaupun progresnya agak perlahan tapi grafnya masih mendaki, bukan statik malah tidak menurun... Aku sedar aku bukan seorang fast learner, hakikat ini aku sedari lama dah... tapi aku juga sedar walaupun aku agak lambat dalam mempelajari sesuatu yang baru, tetapi apabila aku sudah mendapat rentak, atau bila dah kena dengan tune dia, haa masa tu memang aku akan kicking a** lah... Kikiki...

Dan kalau benarlah petanda yang aku dapat melalui mimpi aku yang aku alami baru-baru ini, aku yakin sinar kemenangan ADA menanti untuk aku... Aku ingin berjaya dengan teknik ini... Aku akan PASTIKAN aku akan berjaya dengan teknik ini... Insha ALLAH, wish me luck wokey... ;-)

Gigih mendengar penerangan dari Mr Eddie Phang






Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP