Sahabat Tanpa Suara

Bos Aku Garang Woo...!

Tuesday, March 29, 2011

Semalam aku layan Bos (baca bapak) aku ke kedai mamak, pekena mi goreng mamak. Kesnya dia tinggal berseorangan kerana Mem (baca mak) aku mengikut Kak Long aku ke Kuantan atas urusan sambung belajarnya. Selepas membuat pesanan kami berdua bersembang kosong. Agak lama juga kami menunggu 2 pingan mi goreng walau pun pelanggan tidak seramai mana dalam kedai mamak tersebut. Sesampai pelayan membawa 2 pinggan mi goreng, tak semena-mena Bos aku bersuara:

"Korang ni nak berniaga ke apa? Lama pakcik perhatikan korang, mi goreng ni dah siap masak lama dah sebenarnya. Yang korang duk melepak kat tepi kedai berborak-borak... Mentang-mentanglah bos korang takde ye...!"

Agak keras juga suaranya. Terkedu aku tengok muka budak tu. Aku pun terkedu sebenarnya, tak sangka gak aku Bos aku boleh sound budak tu...

"Bukan apa, pakcik nak pesan je, kalau nak berniaga buat betul-betullah. Kedai ni pun baru je bukaknya kan, tak eloklah buat pelanggan macam ni... erm oklah, pergilah buat kerja kamu balik..."

Kendur sikit suara Bos aku kali ini, tak segarang mula-mula tadi. Budak pelayan tu tersenyum kelat sambil berlalu... Aku malas nak menambah, malas nak komen apa-apa. Mi dah sampai, aku pun sodok aje...

Bos aku memang garang sebenarnya, dalam membesarkan kami adik beradik, begitulah kaedahnya. Garang dan tegas. Terutama dengan anak-anak lelaki. Jujur aku katakan ni, antara aku dengan Bos aku, kami hanya berbual secara dua hala semenjak aku masuk belajar di universiti. Sebelum dari itu hampir tiada perbualan dua hala. Yang ada hanya berbentuk satu hala, atau lebih kepada arahan...!

"Uda, pergi mandi, lepas tu sembahyang, mengaji...!"

"Uda, sudah-sudah main tu, pergi buka buku...!"

"Uda, tutup tv tu, pergi masuk tidur...!"

"Uda, nasi dah siap, pergi makan...!"

Eh yang bab makan tu sebenarnya, tak perlu tunggu arahan dah... Pandai-pandai sendiri je...hee... Begitulah tatacara hidup aku sekeluarga. Mujur sifat bengis dan garang Bos aku diimbangi dengan sifat Mem aku yang lembut dan penyabar. Pada Memlah tempat kami adik beradik mengadu apa-apa ataupun nak bergurau senda.

Sehingga kini, kebengisan Bos aku semakin berkurang bersama meningkatnya usia. Kini selalu dia ucapkan betapa itulah caranya dia dibesarkan oleh ibu bapanya dulu. Malah lebih teruk lagi. Penampar penerajang memang hampir lali. Bos aku pernah bercerita berkenaan cara dia dibesarkan, agak tragis kisah dia sebenarnya. nantilah aku peluang aku ceritakan...

Apa-apa pun kami adik beradik tidak pernah menyalahkan dia di atas kaedahnya mendidik kami dulu. Malah bersyukur kerana melalui kaedahnya itulah kami adik-beradik menjadi 'orang' seperti hari ini. Steady Bos, we all still loving you...


P/S: Bos aku dulu garang woo. Masa kecik-kecik dulu, sepupu-sepupu baya aku paling takutkan dia. Dengar je suara Pak Long semua menyorok bawah meja... Har har har...

Read more...

Alalalala Long...!

Sunday, March 27, 2011

Malam tadi aku sempat menonton sebuah drama melayu dalam Astro Oasis, Janji Yang Satu. Dilakonkan oleh Zamarul dengan Jue Aziz (kalau tak silap aku). Kisahnya si Zamarul dengan Jue ni sepasang suami isteri yang terlalu mengejar kekayaan sehingga menjebakkan diri mereka ke kancah keALONGan (wah apa punya bahasa tu)... Bapa si Zamarul yang dilakonkan oleh Anjang Aki (kenal tak..?) merupakan seorang bapa yang mengambil berat namun merasa sangat kecewa berikutan sikap anaknya itu yang telah hilang pedoman hidup dek kerana terlalu mengejar kemewahan dunia...

Aku agak jarang sebenarnya menonton drama melayu ni. Bukan tak menonton langsung tetapi berdasarkan occation. Biasanya aku menonton drama melayu ni bila kami berkumpul adik beradik bersama-sama orang tua kami. Sebenarnya selain di meja makan, kaca tv juga merupakan antara medium tempat kami sekeluarga bergelemak (spend time together-gether...). Kalau dulu masa aku kecil-kecil, ingat lagi aku bila ada tayangan filem hindustan pasti penuh adik-beradik aku dengan orang tua kami depan tv melayan cerita hindustan. Sebab tu aku kenal sangat hero heroin zaman-zaman itu seperti Amitha Bachan (masa muda remaja, sekarang dah otai giler!), Shashi Kapoor, Vinod Khana, Dhramendra, Hema Malini dan lain-lainnya...

Berbalik kepada cerita melayu tadi, si Zamarul yang terlalu mengejar kekayaan telah menceburi skim cepat kaya dengan meminjam daripada Along. Akhirnya kerana tidak mampu membayar hutang Along tersebut, dia telah ditangkap bersama-sama isterinya, diikat kaki dan tangan lalu dibakar hidup-hidup oleh geng-geng Along itu. Namun atas kekuasaan Allah, Zamarul terselamat juga setelah membaca beberapa potong doa yang pernah diajar oleh bapanya...

Klise kan cerita tersebut, tapi real. Memang benda-benda yang diceritakan itu sinonim dengan Melayu. Skim Cepat Kaya, MLM (bukan semua), Along dah seperti nak menjadi budaya dengan masyarakat kita dah hari ini. Bukan aku nak mengata orang, aku nak mengata aku sendirilah ni... Semasa bekerja di Port Klang dulu aku pernah juga terjebak dengan benda-benda mengong ni, sebabnya aku sendiri jugalah yang mengongnya..! Tapi aku bersyukur juga kerana aku tidak terjebak jauh, masih ada ruang untuk aku berpatah balik... Kerugian yang dialami pun tidaklah sebesar mana kerana pelaburannya pun kecil-kecilan je. Cuma bila difikir-fikir balik sekarang ini aku merasa: "kenapalah aku sampai ke tahap itu dulu ek...?"

Tapi biasalah, kuasa duit. Memang membuatkan orang buta. Buta hati, buta akal, buta pertimbangan. Tak mampu dah nak berfikir dengan waras. Kalau difikirkan logiknya, macamanalah duit yang kita sendiri tak tahu dilaburkan macamana, boleh beranak pinak sehingga menjadi berpuluh-puluh kali ganda dari pelaburan asal. Kalau difikir-fikir dengan akal yang rasional memang nonsence! Bulsit (bak kata Husin HMLBK)...!

Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang... Bagi aku moral of the story sangat jelas:

1. Tiada jalan singkat untuk berjaya.

2. Jangan lupakan bekalan akhirat dalam kita mengejar hal-hal duniawi.

3. Jauhi MEREKA... Mereka itu BUKAN NAK TOLONG, mereka itu ALONG...!

Read more...

Salahkan PPSMI...!

Friday, March 25, 2011

Masih nak bercerita pasal SPM, aku percaya antara topik bualan yang masih hangat di sekolah-sekolah. Hari ini semua guru mendapat salinan keputusan penuh setiap subjek. Perbezaan antara keputusan 2009 dengan 2010. Kembang juga hidung aku sepanjang hari ini. Menerima ucapan tahniah dari rakan-rakan hasil keputusan cemerlang subjek aku. Laa korang tak tahu lagi ke...? Nah baca kat sini, boleh kembang lagi hidung aku ini...!

Pagi tadi aku sempat bersarapan bersama rakan-rakan guru, kali ini special sikit sebab disertai dengan GPK 1. Bila masuk cerita tentang keputusan SPM yang keluar kelmarin, har har aku lah yang menjadi tumpuan... Apa lagi kasi up lah sikit... har har... Namun dalam seronok-seronok tu ada juga cerita yang kurang sedap didengar. Antaranya adalah masih ramai pelajar aliran sains yang lemah atau gagal dalam mata pelajaran math dan sains tulen (Fizik, Kimia, Biologi), lebih-lebih lagi pelajar Melayu...

Selain mengajar MPV (yang mendapat keputusan cemerlang... ceh up lagi...!), aku turut mengajar subjek Fizik. Secara keseluruhannya peratus kelulusan meningkat tahun ini, tetapi bila aku perhatikan analisis secara terperinci, memang ramai students aku yang tak dapat score subjek tersebut. Dalam erti kata yang mudah, kuantiti naik tetapi kualiti turun. Lebih menyedihkan aku, ada students aku yang mendapat A's dalam BM, Sejarah, Agama tetapi hanya mendapat D, atau E malah ada yang gagal terus, G dalam subjek math dan sains tulen...!

Mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan pendapat aku ini, atau mungkin kalian akan berkata aku sengaja mencari alasan; tetapi bagi aku yang berada di lapangan ini, sebab utamanya tak lain tak bukan: KEGAGALAN DASAR PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris)...! Sejak dasar ini dilaksanakan dari awal lagi, aku antara yang tidak bersetuju. Malaslah aku nak ulas isu ini secara panjang lebar kerana isu ini pun sudah nak basi dah, lagipun dasarnya pun nak ditamatkan tahun hadapan, bagus sangatlah tu... Dan jangan ada pula yang nak ajak aku berdebat isu PPSMI ini, kerana aku dah puas berdebat... Isu ini bukan semata-mata isu pendidikan malah boleh menjebakkan debat ke arah politik... Ops tak mahu... Bukan di blog ini ok...

Bagi mereka yang menyokong dasar tersebut dan merasakan satu kerugian jika dasar tersebut ditamatkan: jangan risau, kita bukan nak jadikan anak-anak kita ini bodoh Bahasa Inggeris, kita cuma nak memperbetulkan strateginya. Kerana strategi dari PPSMI ternyata gagal dan silap...! Apa yang perlu kita buat adalah memantapkan penguasaan anak-anak ini dalam subjek Bahasa Inggeris itu sendiri, bukan dengan menganiaya mereka dengan memaksa mereka menguasai 2 subjek/ kemahiran dalam 1 masa.


P/S: Tak suka dan tak setuju sama sekali dengan anggapan: mereka-mereka yang menguasai Bahasa Inggeris lebih bijak/ hebat dari mereka-mereka yang kurang bagus dalam bahasa tersebut...!

Read more...

SPM... Ei Betul Ke...?!!!

Wednesday, March 23, 2011

Malam tadi aku tidur dalam debaran. Debaran aku terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Mimpinya aku membelasah 3 orang student aku yang bakal mendapat keputusan SPM 2010 mereka hari ini. Aku jarang mengingati mimpi-mimpi, tapi mimpi malam tadi agak jelas. Bagaimana aku bertemu dengan mereka bertiga dalam keadaan yang mencurigakan, seolah-olah sedang membuat satu kesilapan besar...! Aku tangkap mereka, ikat kaki tangan mereka dan mula membelasah mereka, seorang demi seorang. Yang anehnya seorang pun tidak melawan, malah tidak bersuara langsung untuk merayu atau memohon simpati...! Apa yang mereka lakukan hanyalah memandang aku dengan pandangan sayu memohon belas...

Pagi tadi aku ke sekolah seperti biasa. Lepas minum aku masuk ke kelas, menjalankan P&P seperti biasa. Keputusan rasmi SPM dijangka keluar sekitar jam 10 ke atas. Eh aku pulak yang semakin berdebar. Maklumlah ini keputusan SPM yang pertama bagi aku untuk subjek MPV di sekolah ini...

Jam 1020 pagi kelas aku tamat, masih tiada tanda-tanda keputusan rasmi telah dikeluarkan. Aku terus menuju bengkel. Dalam perjalanan ke bengkel telefon aku berbunyi, tertera nama Lan, seorang lagi guru MPV:

"Sham, rekod Sham MPV...! Tak pernah dapat GPMP serendah ini (GPMP = Gred Purata Mata Pelajaran. Lagi rendah lagi baik tau!). Ada sorang budak dapat A+ tu...! Sejarah...!"

"Ei biar betul Lan... Ko jangan main-main..."

"Baliklah bengkel, result ada depan aku ni...!"

Dalam tak sedar aku berlari menuju ke bengkel. Di bengkel sudah ada beberapa orang guru, termasuk Din, guru ICT. Nama pun guru ICT, awal-awal dia dah 'cilok' keputusan penuh dari GPK kami, sedut ke dalam pendrivenya. Jadi kami antara manusia terawal mengetahui keputusan penuh di sekolah kami...

Terus aku semak keputusan penuh mata pelajaran MPV, Menservis Motosikal:

Jumlah calon = 18 orang, A+ = 1, A = 3, A- = 8, B+ = 5, E = 1...

Peratus kelulusan = 100%. GPMP = 2.2

Alamak ada jugak yang dapat E, kesian budak ni. Puas dah aku cuba adjust dia dari dulu lagi tapi tak berjaya aku. Tapi kira oklah tu, ada juga subjek yang lulus, MPV dengan Sains. Subjek lain semua lingkup...! Naya betul...

Tapi secara keseluruhan, keputusan ini memang agak mengejutkan. Ini merupakan keputusan terbaik sejak mata pelajaran MPV diperkenalkan di sekolah ini. Nah sekarang, siapa kata budak-budak MPV tak boleh pakai? Budak-budak ini telah membuktikan. Yang lebih membanggakan majoriti mereka lulus hampir semua mata pelajaran. Kalau yang gagal pun kebanyakkannya dalam mata pelajaran ENGLISH dan MATH... Erm klise kan... Apa-apa pun syabas dan tahniah korang semua... Cikgu banggo dengan korang...!(walaupun aku komfem budak-budak ni tak pernah pun terbaca blog aku ni... hu hu...)

Berbalik kepada mimpi aku tadi. Kesemua 3 budak yang aku belasah dalam mimpi aku tu mendapat A's. Dan salah seorang dari mereka adalah satu-satunya pelajar yang mendapat A+ tersebut, sekaligus mencipta rekod dalam sejarah mata pelajaran MPV di sekolah ini...!

KENAPE...? TAK PERCAYE KE...?!!!


P.S: Syabas dan tahniah juga kepada semua yang mendapat keputusan SPM mereka hari ini. Samada yang berjaya atau pun tidak... Bagi yang berjaya: This is just the beginning... Bagi yang kurang berjaya@gagal: This is not the end of the world...

Read more...

Berkatkah...?

Monday, March 21, 2011

Yeah sesudah seminggu berlepak-lepak bercuti sakan, hari ini kembali menunaikan tanggungjawab. Kerja aku hari ini seperti biasa, tiada yang luar biasa. Cuma kejutan dari SU Kurikulum yang memaklumkan supaya markah P1 perlu dimasukkan ke dalam sistem selewat-lewatnya hari esok. Wah 2 hari je...? Takpe, aku punya markah dah beres, bila-bila masa boleh key in...

Suasana di bengkel agak meriah, maklumlah dah seminggu tak berjumpa, macam-macam cerita keluar. Bila keluar cerita lucu, pecah ketawa masing-masing. Mujur bukan di bilik guru, kalau tidak pasti ada yang menegur. Satu perkara yang menjadi kebiasaan di mana-mana sekolah, guru-guru bengkel (samada KH, Lukisan, MPV atau seumpamanya) biasanya agak gila-gila, kecoh atau pun orang kata jenis 'hu ha hu ha'... Maaf kalau tak betul tapi dari pengalaman aku, aku nampak begitu. Tapi sungguh pun hu ha hu ha bukan bermakna kami tak buat kerja tau...!

Cerita pasal kerja ni teringat aku akan satu artikel yang pernah aku baca berkenaan keberkatan dalam pendapatan kita. Menurut artikel tersebut antara tanda-tanda hilang keberkatan pada rezeki adalah seperti:

- Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak dan bertimbun.

- Harta yang diperoleh menerusi jalan tidak baik mudah habis dan terhakis tanpa diduga dan tidak disedari seperti kereta rosak dan kena saman.

- Berasa sombong dan tamak hingga bernafsu untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga terlupa dan tidak mementingkan ibadah.

- Berasa kedekut dan enggan bersedekah atau mengeluarkan zakat kerana menganggap perbuatan itu merugikan.

- Sering ditimpa bencana dan musibah yang tidak disedari seperti anak sakit, duit hilang, barangan rumah rosak walaupun baru dibeli. Ini kerana setiap perbuatan mungkar akan mendapat laknat daripada Allah.

Aku bukan nak mengajar orang atau nak mengata sesiapa, aku cuma nak bercerita berkenaan dengan diri aku. Aku mula memasuki alam pekerjaan pada tahun 2001, tapi bukan sebagai guru. Sebelum menjadi guru aku terlebih dahulu bekerja di sektor swasta. Kalau mengikut ijazah pertama aku, aku sepatutnya bergelar production engineer. Namun atas sebab-sebab teknikal (panjang kalau nak cerita, jadi aku ringkaskan saja), dalam surat perjawatan aku, aku hanya bertaraf supervisor. Namun tugas aku tetap merangkumi keseluruhan production line dan gajinya juga lumayan. Ahh apa aku nak kisah pasal pangkat, yang penting gajinya masyuk... Jika aku masih disana pada hari ini, pastinya gaji aku sekarang lebih sekali ganda dari gaji aku sebagai seorang guru pada hari ini.

Namun di sana aku kurang merasa ketenangan hidup. Malah sering kali aku merasa tanda-tanda seperti di atas. Mungkin disebabkan beberapa perkara yang aku lakukan, atau mungkin kerana cara hidup yang aku amalkan pada ketika itu. Kadang-kadang aku rasa macam Maher Zain pulak, wooppss...! Sehinggalah pada suatu ketika aku merasakan aku perlu STOP dan REFRESH. Kebetulan pada ketika itu aku mendapat tahu yang KPLI sedang dibuka, dan Kak Long aku beria-ia ingin aku memohonnya...

2005, secara rasminya aku bergelar seorang guru. Ya, guru bukan pilihan pertama yang aku inginkan sebagai kerjaya aku pada mulanya. Namun sehingga ke hari ini, dengan sejujurnya aku akui, aku sayang kerjaya ini dan amat-amat bersyukur kerana diberi peluang di dalam bidang ini. Walaupun tidak akan semewah seperti kerjaya pertama aku tetapi aku yakin, keberkatannya ada. Lebih-lebih lagi apabila setiap pagi ada sahaja orang-orang yang akan mendoakan kesejahteraan aku. Tak percaya? Setiap kali aku masuk ke kelas pasti semua pelajar akan bangun dan mengucapkan:

"SELAMAT SEJAHTERA CIKGU..."

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP