Sahabat Tanpa Suara

Mimpi dan Realiti...

Monday, July 6, 2015


Assalamualaikum...

Dah masuk trimester yang ketiga dah puasa kita tahun ni kan, korang sedar tak kita dah masuk 10 hari terakhir dah ni...? Fuh macam tak caya jer, ngeee... Dari satu segi aku merasa lega dengan semakin nak berakhirnya ramadan kali ini, namun aku juga bersyukur Alhamdulillah sesangat kerana aku masih diberi kekuatan untuk mengharunginya... Memang ini merupakan ramadan yang paling mencabar bagi aku (considering keadaan fizikal aku sekarang ini)...

Manakala dari satu segi yang lain sudah tentulah sebagai ummat islam kita akan merasa sedih dengan berlalunya ramadan ini...Yela sebab bulan pesta mengumpul pahala semakin berakhir, dan ianya hanya akan datang setahun lagi dari sekarang. herm entah kan sempat entahkan tidak, kan...

So bagaimana kutipan korang musim ini setakat ini, memuaskan tak...? Ok yang ini tak payah cerita lah kan, sendiri punya bakul sendiri kumpul lah... Just aku nak ingatkan dalam 10 hari terakhir ni DIA dah sediakan sesuatu yang SANGAT-SANGAT istimewa, kan...? So Anak cina makan, sindiri mau ingat...

Bangun je pagi tadi tiba-tiba je aku rasa nak cerita pasal mimpi aku... Aku jarang bermimpi sebenarnya, lebih-lebih lagi mimpi yang best-best, yang ada makna, yang ada moral disebaliknya; seperti yang aku alami malam kelmarin... Mimpi aku itu mimpi yang just nak menjelang waktu aku bangun sahur, terasa real sangat mimpi tu...

Mimpi aku itu berlatar belakang pertandingan... Aku menyertainya, bersama dengan ramai orang yang hampir sebaya dengan aku sahaja, dan pesertanya hanya lelaki sahaja...Macam-macam pertandingan yang kami sertai, ada yang berbentuk menguji kepintaran, kekuatan, kecergasan dan kepantasan...

Dipendekkan cerita, aku mengakhiri kesemua pertandingan tersebut pada kedudukan sederhana sahaja... Aku tidak menjadi juara pun, jauh sekali menjadi peserta yang mendapat pujian dan pujaan orang ramai... Namun secara peribadinya aku berjaya menamatkan kesemua pertandingan yang aku sertai, ye ada yang aku kalah tapi ada juga yang aku menang, cumanya markah terkumpul tidak melayakkan aku menjadi juara...

Namun aku tidak kecewa kerana di pengakhirannya aku tetap mendapat reward atas penyertaan aku itu... Rewardnya, haa part ni paling best... Untuk orang lain aku tak pasti tapi bahagian aku, rewardnya merupakan seorang BIDADARI, perghhhh...!! Pada permulaanya ianya membelakangi aku dan apabila ia berpaling, wajahnya sangat-sangat aku kenal... Rupa-rupanya bidadari tersebut adalah isteri aku sendiri... Wahhh jiwangla plaks... Ngeee...

Sekadar gambar hiasan

Wokey the next thing tak boleh cerita, bukan untuk tontonan umum... Hehee... Cumanya aku suka untuk refleks mimpi tersebut dengan kejadian di dunia sebenar... Seperti yang aku katakan di awal tadi ianya menjadi best sebab aku rasa ianya terkait rapat dengan apa yang aku alami di dunia realiti ini...

Sangat betul apabila aku umpamakan hidup ini sebagai medan pertandingan, atau medan UJIAN untuk lebih tepatnya... Dan lebih betul bila hasilnya ada ujian yang aku GAGAL, tidak melepasi kelayakan dan tidak mencapai piawaian yang dikehendaki... Namun aku tidak gagal kesemuanya, ada juga yang aku MENANG, berjaya mengatasi cabaran yang diberikan dan menepati kehendak-kehendak pertandingan... Dan paling utama aku tetap diberikan GANJARAN atas usaha yang aku telah berikan sepanjang pertandingan tersebut...

Yang paling memberi kesan kepada aku adalah apabila aku mengambil kira pengajaran dari mimpi aku ini... Betul, sejak kebelakangan ini aku dilanda dengan pelbagai UJIAN, perit aku menghadapinya, dan memang aku telah tewas beberapa kali, aku tersungkur. aku rebah... Namun aku yakin, sinar kemenangan tetap ada menanti aku, yang penting aku tetap berusaha dan tidak berputus harap kepadaNYA... Dan aku pasti akan menanti GANJARAN yang DIA sediakan untuk aku nanti...

**********************************

Ok done kisah mimpi, mari kita cerita pasal realiti plak... Beberapa hari yang lepas aku ke Bandar Kinrara Puchong, bertemu dengan Mr. Eddie Phang, seorang pembekal peralatan bagi mereka-mereka yang menjalani pembedahan laryngectomy, seperti aku... Kami diperkenalkan oleh doktor yang merawat aku, Dr Mawwadah... Rupa-rupanya Eddie telah lama membekalkan peralatan-peralatan post laryngectomy ni, samada kepada hospital mahu pun kepada individu-individu... Banyak peralatan-peralatan di pejabatnya, hampir complete untuk keperluan bekas-bekas pesakit kanser yang menjalani pembedahan pembuangan pita suara...

Antara peralatan-peralatan yang terdapat di pejabat Eddie Phang

Menariknya bersama Eddie ini, dia bukan hanya sekadar menjual peralatan-peralatan tersebut tetapi juga menyedia khidmat nasihat dan kaunseling berkenaan dengan kegunaan peralatan-peralatan yang terbabit... Aku tak sangka pula yang Eddie akan mencerita panjang lebar...Hampir 2 jam aku bersamanya, mendengar penerangannya malah siap diberi peluang untuk mencuba sendiri peralatan-peralatan yang terdapat di situ...

Tujuan utama aku bertemu dengan Eddie sebenarnya adalah untuk mencuba satu alat yang dipanggil electrolaryng... Ye memang pada permulaanya aku tidak berminat langsung kerana electrolaryng ini akan mengeluarkan suara yang mono tone, mono frekuensi, sebiji macam suara robot... Tetapi rupa-rupanya dengan perkembangan teknologi terkini, telah ada electrolaryng yang berfungsi dengan multi tone dan frekuensi... Yang aku tonton di youtube tu siap boleh berkaraoke lagi seorang pengguna tu... Wow sungguh mengujakan... Itu antara sebab utama aku ingin mencuba electrolryng ini...

Namun bila ditanya tentang harga, gulppp mencecah RM4000 ko... Herm kalau nak beli saja-saja memang takde ler... Tapi menurut Eddie, memandang aku adalah kakitangan kerajaan kemungkinan aku boleh membuat tuntutan pembelian melalui JPA... Cumanya aku tetap kena dahulukan dengan duit aku sendiri dahulu... Herm kalau boleh claim nampak macam menarik juga, balik nanti harus ku selidik dengan lebih jelas...

Mencuba electrolaryng teknologi terkini yang memiliki multi tone dan frekuensi

Selain electrolaryng, peralatan utama yang dibekalkan oleh Eddie adalah set TEP, iaitu set implan yang dimasukkan kedalam tekak bagi menggantikan fungsi pita suara yang telah dibuang... Sudah tentulah ini merupakan teknik atau cara yang paling mudah dan berkesan untuk bekas pesakit seperti aku ini untuk kembali bersuara... Namun ini juga merupakan kaedah yag paling banyak risiko yang perlu ditanggung oleh seseorang pengguna itu seperti risiko kebocoran, kerosakan dan lain-lainnya...

Herm mesti korang terpinga-pinga tak faham apa yang aku sampaikan ini kan...? Bagi yang dah lama folow cerita aku ni mungkin ada clue sikit-sikit kan...? Aku pun dah pernah menulis serba sedikit mengenai 3 pilihan yang aku ada untuk kembali bersuara disini>>... Tapi bagi yang tak tahu langsung tu pun takpe, lepas ni memang aku bercadang untuk buat entri-entri penjelasan yang lebih detail berkenaan kaedah-kaedah untuk kembali bersuara bagi bekas pesakit-pesakit kanser pita suara, yang menjalani pembedahan pembuangan peti suara, seperti aku ini...

Tapi dalam masa yang sama ini aku masih meneruskan pembelajaran aku untuk bersuara melalui kaedah esophangus speech... Satu teknik yang terbaik, free maintenance dan zero risiko... Dan ye, memang ada perkembangan yang baik untuk aku... Walaupun progresnya agak perlahan tapi grafnya masih mendaki, bukan statik malah tidak menurun... Aku sedar aku bukan seorang fast learner, hakikat ini aku sedari lama dah... tapi aku juga sedar walaupun aku agak lambat dalam mempelajari sesuatu yang baru, tetapi apabila aku sudah mendapat rentak, atau bila dah kena dengan tune dia, haa masa tu memang aku akan kicking a** lah... Kikiki...

Dan kalau benarlah petanda yang aku dapat melalui mimpi aku yang aku alami baru-baru ini, aku yakin sinar kemenangan ADA menanti untuk aku... Aku ingin berjaya dengan teknik ini... Aku akan PASTIKAN aku akan berjaya dengan teknik ini... Insha ALLAH, wish me luck wokey... ;-)

Gigih mendengar penerangan dari Mr Eddie Phang






Read more...

Khabar Gembira Di Bulan Ramadan...

Friday, June 26, 2015

Assalamualaikum...


So camana dengan Ramadan korang kali ni..? Masuk hari ini maka dah genap pun seminggu kita berpuasa kan...? Bagi aku sendiri, aku bersyukur sangat-sangat kerana setakat ini aku dapat mengharunginya dengan jaya... Bagi yang tahu 'keadaan' aku ni mesti tau betapa aku risau sebenarnya untuk menghadapi Ramadan kali ini... Tapi nampaknya ALLAH betul-betul mempermudahkan untuk aku... ALHAMDULILLAH...

Aku seorang yang tahan berpuasa, sebenarnya aku sudah mula berpuasa penuh seawal tadika atau darjah satu... Aku kurang ingat sejak bila tapi yang pasti PUASA PENUH ok... He hee bukan nak riak pulak tapi just nak bagitau yang aku memang jenis yang tahan berpuasa... Aku boleh bertahan lapar dan dahaga, tak jadi masalah bagi aku... Sejak dari aku kecil lagi...

Tapi Ramadan kali by far merupakan yang paling mencabar bagi aku... Puasa 'tanpa tekak' memang cabaran tahap 'legend'... Serius woo... Sampai pernah aku terfikir untuk 'membatalkan' sahaja puasa aku, bukan sekali tetapi beberapa kali... Terutama pada hari pertama ke hari yang ketiga... Fuh rasa macam budak-budak nak start belajar puasa balik... Tapi seperti yang aku kata tadi, ALLAH tolong aku, bak kata pepatah orang putih ni 'when going get tough, the tough get going' (eh betul ke...?) dan keadaan aku memang bertambah baik... Sehingga ke entri ini aku masih puasa full lagi tau... Ngeee...

Dalam keperitan aku menjalani ibadah puasa kali ini tiba-tiba ALLAH mendatangkan khabar gembira buat aku... Beberapa hari lepas isteri aku dihubungi oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah menyampaikan 2 perkhabaran... Satunya aku telah ditukarkan ke sekolah yang berhampiran dengan kediaman aku sekarang dan keduanya permohonan aku untuk ke jawatan dalam kumpulan pool telah diluluskan...

Ooo korang tak tau ek...? Ok bagi yang tak tahu tu sebelum ini aku bertugas di sekolah yang jaraknya 76 km dari kediaman, memakan masa 1 hingga 1 jam setengah untuk sampai... Sekarang aku telah pun ditukarkan ke sekolah yang jaraknya tak sampai 5 km pun dari kediaman... Best kan...? Best ssssangat... Dan paling penting yang keduanya itu, dengan lulusnya permohonan aku untuk dimasukkan ke dalam kumpulan jawatan pool bermakna aku layak untuk memohon diringankan beban tugas... Aku boleh nemohon untuk menjalankan kerja-kerja administration... Yelah dah takde suara nak mengajor camana kan...?

Kelmarin aku telah ke PPD mengadap pegawai yang bertanggungjawab... SATU lagi khabar gembira apabila pegawai tersebut memaklumkan yang kemungkinan besar aku akan ditempatkan di PPD memandangkan keadaan aku yang tak memungkinkan aku untuk mengajar di sekolah...

"Yelah no point juga cikgu duduk kat sekolah, bukan cikgu boleh mengajar lagi kan... Nak buat kerja-kerja perkeranian pun sekolah dah banyak kerani pun... So cikgu duduk di pejabat ni la ye... Nanti kita akan lantik cikgu ke suatu jawatan yang sesuai... Buat masa ini cikgu teruskan cuti cikgu dulu... Bila-bila cikgu dah sedia nanti cikgu boleh maklumkan kepada pihak kami..."

Amboi niceee je layanan dari pegawai PPD tu, nikmat jadi orang sakit ni... Ngeee...

Herm kalau betul aku ditempatkan di PPD, ini merupakan BONUS kepada berita-berita gembira yang aku dapat... Tapi perasaan aku agak bercampur baur antara gembira,serba salah dan saspender...

Gembira, ye aku gembira... Memang aku minat bertugas di bidang pentadbiran, aku tak nak menafikan... Dan aku rasa aku berbakat dalam pentadbiran... Bukti...? 4 tahun aku bertugas menjaga 1 department ketika berkerja di bidang private sebelum menyertai bidang pendidikan... Aku tahu aku mampu...

Serba salah, ada juga kerana aku rasa aku ditempatkan di situ bukan atas dasar kebolehan aku... Lebih kepada atas dasar ketidakupayaan aku sebenarnya... Apa pulak pandangan orang lain nanti, mesti ramai jugak yang meragui kemampuan aku...

Saspender, ini perasaan paling besar... Yelah setelah hampir setahun bercuti kan... Entah apalah kerja yang bakal aku galas nanti... Bagaimana pula aku nak compete dengan pekerja-perja yang lain... Herm just wait and see jelah kan...

Tapi aku masih belum mahu memikirkannya sangat... Belum masanya kerana aku masih belum mendapat hitam putihnya lagi... Lagipun kini aku sedang berhadapan dengan satu lagi cabaran sekarang ini... Cabaran yang lebih besar, yang akan menentukan keupayaan aku untuk kembali bersuara... Doktor yang bertanggungjawab mengendalikan terapi pemulihan pertuturan aku meletakkan sasaran untuk aku menguasai teknik esophagus speech sebelum berakhirnya Ogos ini... Itu cabaran sebenar aku ketika ini, itu yang harus aku kuasai dahulu...

So buat masa ini aku harus ketepikan dulu soal kerja, sekolah ke, PPD ke, layak ke tak layak ke, rileks dulu... Aku nak kembali bersuara, walaupun tidak seperti manusia normal tetapi at least boleh mengeluarkan suara... Itu matlamat utama aku ketika ini... Wish me luck...






Read more...

Salam Ramadhan...

Wednesday, June 17, 2015

Assalamualaikum...


Perkataan yg indah adalah ALLAH
Lagu yg merdu adalah AZAN
Media yg terbaik adalah AL-QURAN
Senam yg sihat adalah SOLAT
Diet yg sempurna adalah PUASA
Kebersihan yg menyegarkan adalah WUDHU
Perjalanan yg indah adalah HAJI
Khayalan yg baik adalah ingat akan  DOSA dan TAUBAT
Mudah-mudahan di bulan yg suci ini hadir membawa iman dan takwa...

Hermmm nampaknya ini tahun pertama aku berpuasa sebagai seorang laryngectomee... Insha Allah aku telah bersedia... Sesungguhnya aku bersyukur kerana masih diberi umur dan kesihatan untuk menyambut ramadhan kali ini... Semoga aku dapat menjadikan ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan-ramadhan yang sebelumnya... 

Pada sahabat-sahabat maya semua, Selamat Menyambut Ramadhan... Maafkan sekiranya ada yang terkhilaf sepanjang persahabatan kita di alam maya ini... Pose tau jangan tak pose... Nanti tak boleh dapat duit raye... Kui kui kui...

Read more...

Falshback Part 8: Ku Pulangkan(15 Jam Bertarung Maut) ...

Monday, June 8, 2015

Assalamualaikum...

Bagi sesiapa yang ketinggalan kisah-kisah sebelum ini bolehlah tengok Part 1 - Part 7 disini>>

**********


Keputusan telah dibuat: aku akan buang kanser ini, itu hal baiknya... Yang tak baiknya bersama-sama dengan kanser tersebut aku terpaksa korbankan sekali pita suara aku... Ye aku bakal kehilangan salah satu organ yang DIA 'pinjamkan' kepada aku, aku bakal kehilangan suara aku... Fuh besar nilai kehilangan tu kan... Tapi aku sentiasa memujuk hati dengan selalu berkata: aku bukan 'kehilangan' tetapi aku 'memulangkan' apa yang telah dipinjamkanNYA kepada aku...

Dari segi mental dan fizikalnya aku rasa aku sudah cukup bersedia... Aku berdoa, aku bertawakal, aku berserah kepadaNYA; sebagai persediaan mental... Sebagai persediaan fizikal pula, sudah puas aku tengok, study dan google kes-kes pasca pembedahan seperti yang bakal aku lalui nanti... Cumanya untuk membayangkan bagaimana keadaan aku khasnya nanti, masih agak kelam... Kurang bayangannya, takut untuk membayangkannya itu masih kuat juga...

Tapi mahu atau tidak, rela atau tidak aku harus juga menghadapinya... This is my journey... It is meant for me... Memang untuk aku, harus mengertilah...


Di pihak perubatan segala-galanya telah tersedia... Yelah dah tugas mereka, segalanya pasti mengikut jadual... Sehari sebelum pembedahan aku dimasukkan ke wad... Katil 20, wad 5H, Pusat Perubatan UKM, disitulah aku ditempatkan... Sejarah, memang sejarah... Seumur hidup aku, aku tidak pernah dimasukkan ke mana-mana hospital, atas sebab apa-apa penyakit pun... Namun disebabkan penyakit ini, ini kali kedua aku diwadkan... Pertama kali di wad ini juga, cuma katil yang berlainan; atas sebab biopsi untuk menentukan jenis ketumbuhan di dalam tekak aku ini dahulu... Aku pernah ceritakannya disini>>...

Namun pembedahan biopsi itu hanyalah pembedahan minor, Walau pun aku dipengsankan untuk pembedahan itu, risikonya masih amat kecil berbanding dengan pembedahan kali ini... Pembedahan kali ini prosedurnya jauh lebih besar dan berisiko... Menurut doktor, pembedahan bakal menelan masa 10 ke 15 jam... Bergantung kepada situasi semasa, termasuk respon fizikal aku ketika pembedahan, dan keadaan ketumbuhan itu sendiri... Tempoh recovery: 10 ke 14 hari, bergantung kepada tubuh badan aku... Fuh this is not just a big thing, this is HUGE...

Selain itu terdapat beberapa lagi risiko yang berkait rapat dengan keadaan semasa ketumbuhan di dalam tekak aku itu, antaranya adalah sejauh mana ia telah merebak... Menurut Dr Mawaddah yang bakal menjadi ketua team pembedahan itu nanti, apa yang merisaukannya adalah jika ketumbuhan itu telah merebak lebih jauh dari yang dijangkakan... Jika benar ianya telah merebak maka bukanlah setakat pita suara sahaja yang perlu aku korbankan... Antara lain yang turut akan 'terkorban' adalah thyroid aku dan beberapa kelenjar nimfa yang terletak di bahagian leher aku... Wow mengerikan bukan... INDEED...


Pagi sebelum pembedahan, beberapa jam sahaja lagi untuk aku bersuara seperti manusia normal, seperti korang-korang semua... Aku cuba untuk kelihatan cool, cool secool coolnya...Tapi dalam hati hanya ALLAH tahu, berdebar giler woo...! Seumur hidup aku inilah debaran yang paling hebat yang pernah aku rasakan...! Namun syukur juga aku mendapat support yang penuh dari semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat yang datang bertandang...

Finally masanya tiba juga, aku diberikan persalinan pembedahan, siap dengan 'shower cap' lagi... Sebelum ditolak ke dewan pembedahan aku di beri sebiji pil penenang, ianya berkesan- kurang sikit debaran yang kurasa... Sekali sekala aku merasakan macam dalam filem: biasakan korang tengok babak orang kena tolak dengan katil sorong tu... Pandangannya ke atas, tengok ke arah lampu, kejap kelam kejap cerah... Pastu shot dalam keadaan slow motion, surrounding sound suspende jer, diselang seli dengan bunyi geselan roda katil sorong- nyit nyit, nyit nyit... Well itulah yang aku rasakan, dalam perjalanan menuju ke dewan pembedahan... Pada masa ini aku rasa bagilah pil penenang ke apa ke, debaran tetap terasa di puncak... Dup dap dup dap dup dap dup dap dup dap..............................

Kini aku sudah di dalam bilik pembedahan... Debaran sudah hampir tiada... Suka aku bayangkan situasi aku seperti seorang anggota unit pemusnah bom... Cuba bayangkan, ketika mendapat panggilan untuk memusnah bom, pemusnah bom tersebut pastinya berdebar-debar untuk melaksanakan tugasnya... Sebaik tiba di tempat kejadian pasti debaran semakin kencang... Dia melangkah menuju ke tempat bom tersebut, dada berdebar-debar dup dap dup dap... 50 meter dari tempat bom diletakkan, hanya ALLAH yang tahu debarannya bagaimana... 10 meter dari tempat bom, kemuncak debaran, pastinya jantung rasa nak gugur dengan debaran tersebut... 

Sebaik tiba di tempat kejadian, debaran tersebut sudah sampai ke klimaks; makanya tiada lagi debaran yang menggegarkan jantung... Semuanya sudah di depan mata, apa lagi yang nak didebarkan, apa yang perlu dilakukan hanyalah: samada untuk berhadapan/ musnahkan bom tersebut dengan sebaik mungkin, atau terus membiarkan debaran menguasai diri dan membiarkan bom tersebut memusnahkan dirinya... 

Well begitulah metaforanya aku di dalam bilik bedah tersebut... Tiada lagi debaran... Aku menghela nafas panjang-panjang... Ini detik-detik terakhir aku bernafas sebagai seorang manusia yang normal... Namun, ku pasrah, ku akur... 786 Alhamdulillah syukur...

"Assalamualaikum..."

Suara yang cukup ku kenal menyapa... Siapa lagi kalau bukan Dr Mawwadah, dia tersenyum seperti biasa, ceria sokmo...

"Waalaikumusalam..." jawab aku...

"Apa khabar cikgu...? Cikgu dah sedia...?" soalnya...

"Tidak, tapi, just do it... Huhuhu... Yela lagi mau tanya ka...? Dah masuk dewan bedah kan, takkan tak sedia lagi kot..." sudah tentu itu kata-kata aku dalam hati jer... Yang sebenarnya terluah:

"Ye doc insha Allah dah sedia... Doc, tolong saya ye... Keluarkan kanser tu dari badan saya ni..."

"Iye cikgu, itulah sebabnya kita berada di sini kan... Insha Allah semuanya akan berjalan lancar..." tersenyum jer dia menjawab...

"Ok cikgu saya nak buat last preparation sekejap, lepas ni pakar bius akan datang untuk biuskan cikgu, then we can start the procedure ye..." katanya sambil berlalu pergi...

Selang beberapa ketika pakar bius yang dimaksudkan pun sampai... Sebenarnya kami dah berjumpa pun petang semalamnya... Dia bertanya beberapa soalan, untuk persediaannyalah sebagai pakar bius... Antaranya adalah seperti: pernahkah aku menjalani apa-apa pembedahan sebelum ini, adakah aku mempunyai sebarang penyakit kritikal, adakah aku mempunyai alahan terhadap sebarang ubat dan sebagai... Dan pagi ini sekali lagi dia bertanyakan soalan-soalan yang sama, untuk kepastian... 

"Baik incik, sekarang saya akan inject bius ye... Dalam 5 - 10 minit lagi incik akan 'tidur' ye..." sambil tangannya menjalankan tugasnya, membuat drip, menginject bius ke dalam tubuh aku... Aku terkebil-kebil, antara sedar atau tidak...

"Ya ALLAH ya tuhanku... Sesungguhnya ENGKAU yang menciptakanku, ENGKAU yang memberikanku nyawa, ENGKAU yang memberikanku kehidupan... Aku bermohon kepadaMU ya ALLAH, jika hidupku ini bernoktah disini maka ambillah aku dalam keadaan aku mengakui keesaanMU... Sesungguhnya TIADA TUHAN YANG AKU SEMBAH MELAINKANMU YA ALLAH... DAN SESUNGGUHNYA MUHAMMAD ITU PESURUHMU YA ALLAH...

Namun jika masih ada rezeki aku di atas bumiMU ini ya ALLAH, maka jayakanlah pembedahanku ini... Berilah aku ihsanMU, angkatlah penyakitku ini, berilah aku kesembuhan, berikanlah aku kesihatan...

Sesungguhnya segala yang aku miliki ini adalah milikMU, yang ENGKAU pinjamkan kepadaku... Maka hari ini aku pulangkan kembali hak MU yang ALLAH... Sesungguhnya aku redha dan aku bersyukur..."

Lalu segala-galanya gelap...






Read more...

Homestay Penang...

Wednesday, June 3, 2015

Assalamualaikum...


Dalam entry sebelum ini aku ada menceritakan trip aku berjalan-jalan ke Penang bersama keluarga besar RamSal aku kan...? And masa tu aku berjanji akan membuat satu post khas berkenaan dengan kediaman kami di sana... So aku buat entry ini khas untuk mempromosikan homestay ni pada korang semua... Kalau ikutkan aku, aku akan katakan highly recommended... Rumahnya luas, terletak di taman perumahan yang baru, bersih, dan paling penting tuan rumah dia tak berkira dan tak banyak songeh...

Cumanya ia bukan terletak di dalam pulau, jarak perjalanan dari homestay ke dalam pulau melalui jambatan pertama biasanya akan memakan masa sekitar 15 ke 30 minit... Bergantung kepada pemanduan anda... Kalau Schumacher aku budget dalam 5 minit setengah boleh sampai dah, kikiki buat lawak sikit... Oklah bagi sesiapa yang berhajat tu sila-silakanlah ye...Lets cekidout...


Seperti yang aku katakan tadi, ianya terletak di taman perumahan yang baru, jadi rumahnya pun agak baru dan bersih... Cumanya tuan rumah di tak upgrade/ buat apa-apa renovation berbanding dengan jiran-jirannya... Yelah bukan dia nak duduk pun kan, so aku rasa benda-benda tu tak menjadi priority baginya...


Ini ruang tamu dia, memang besar bagak kan... Sesuai sangat nak bergelemak anak-beranak sedara mara... Perabot dia pun tak banyak bagi aku sesuai juga untuk budak-budak bermain... Tv disediakan tapi minta maap chanel astro takde la... Kalau nak tengok juga kenalah punggah decoder dan piring sendiri ek...


Ini dapur dia, disediakan dapur memasak lengkap dengan periuk belanga kuali kuala pinggan mangkuk semua... Siap ada peti ais dan mesin basuh... Aku ada cadang kat tuan rumah kalau boleh sediakan bibik sorang lagi cun kan...


Rumah ni ada 4 bilik, 1 di bawah dan 3 di tingkat atas... Keempat-empat bilik dilengkapi dengan air cond... Ini bilik di tingkat bawah... 2 katil bujang bersama almari dan cermin solek... Just nice...


Ini pula adalah 3 bilik di tingkat atas... Bilik utama dengan katil queen, almari dan meja solek... Siap ada tilam bujang spare dia bagi... Oh ye, walaupun ada air cond, kipas siling turut dipasang oleh tuan rumah... Bilik 2 dan 3 juga hampir sama kelengkapannya, air cond, katil queen dan meja solek... Dua bilik ini berkongsi 1 bilik air...

Ok itu sahaja untuk kali ini, ini merupakan entry paling cepat aku pernah buat... 7 minit setengah dah siap... So sekali lagi aku ulang kalau korang ada berhajat ke Penang, dengan keluarga yang besar, tak kisah berada di luar pulau, makanya ini adalah homestay yang sangat sesuai untuk anda... Harga aku taknak sebutlah kat sini, korang call je nombor kat atas tu... Tapi serius, harga yang diberi nanti memang boleh 'adjust'... Cuma janganlah adjust sampai nak duduk free, agak-agakla der... Kikiki...






Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
My Ping in TotalPing.com

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP