Sahabat Tanpa Suara

Kaya Vs Kayap

Sunday, December 26, 2010


Entry kali ini agak serius. Saje aku nak bagi pembaca-pembaca berat otak memikir sikit. Kalau setuju hak anda, tidak setuju pun terpulang pada kalian. Aku cuma nak share sikit hal ehwal dalam negara kita ni. Mungkin ramai yang dah tahu isu ini cuma sama juga seperti aku; kita rakyat biasa dan bawahan ini tak punya apa-apa kuasa. Yang ada hanya SUARA. Suara untuk menyatakan ketidakpuasan hati kita. Maka inilah yang aku lakukan melalui entry ini.

Apa Itu IPP?

Senang cerita IPP atau Independent Power Producer (contoh Syarikat YTL, Malakoff) adalah pihak ketiga yang menjana tenaga lalu dijual kepada TNB. Lalu tenaga tersebut diedarkan oleh TNB ke seluruh Malaysia sampailah ke rumah kita.

Kenapa Marah Dengan IPP?

Kenapa perlu ada pihak ketiga yang diperlukan untuk menjana tenaga di negara ini sedangkan TNB yang sudah berpuluh-puluh tahun beroperasi sepatutnya sudah mampu untuk menjana tenaga dengan keupayaan dan kemahiran sendiri? Malah dalam masa harga minyak dan gas di seluruh dunia semakin meningkat, IPP pula menikmati keuntungan yang sangat lumayan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Dalam masa yang sama yang menanggung kerugian adalah pihak TNB lalu untuk menampung kerugian tersebut, siapa yang perlu menanggungnya? Siapa lagi kalau bukan kita- PENGGUNA?

Tak faham? Di bawah aku petik tulisan SM Mohamed Idris, Pengerusi CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang). Hari ini SM Mohamed Idris ada diwawancara di dalam Mingguan Malaysia berkaitan dengan harga pasaran hartanah yang semakin meningkat secara sangat drastik Di Malaysia. Semoga tulisan beliau di bawah ini dapat sedikit sebanyak 'mencelikkan' kita berkaitan dengan isu ini.

SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menghentikan pembelian tenaga yang dikeluarkan oleh penjana tenaga bebas (IPP) kerana ia telah mengurangkan sumber Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan membebankan kepada pengguna.

Kami percaya TNB dengan pengalaman berdekad dalam pengeluaran tenaga tidak seperti IPP yang tidak mempunyai pengalaman apabila mereka memasuki industri ini, mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan tenaga dengan lebih cekap pada kos yang lebih rendah.

Tambahan pula, keuntungan yang diperolehi oleh TNB yang merupakan syarikat kawalan kerajaan, akan memberikan manfaat kepada orang ramai dan negara daripada syarikat swasta.

Memperolehi tenaga merupakan hak asasi manusia yang asas dan keselamatan negara dan oleh sebab itu pengeluaran dan bekalannya tidak seharusnya dibiarkan di dalam tangan syarikat swasta yang hanya mengejar keuntungan.

Jika syarikat ini berdepan dengan masalah kewangan pihak kerajaan dipaksa menyelamatkan mereka dengan menggunakan dana awam untuk memastikan bekalan tenaga diperolehi berterusan. Pihak berkuasa perlu mempelajari daripada kegagalan projek penswastaan tempatan dan antarabangsa dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Terdapat laporan bahawa rundingan sedang berjalan antara kerajaan dan lima IPP untuk semakan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama. Pihak berkuasa perlu meletakkan tekanan ke atas IPP untuk menyemak semula syarat dalam PPA untuk mengurangkan bayaran TNB kepada mereka yang menjejaskan kewangannya.

Jika mereka enggan, cukai keuntungan perlu dikenakan terhadap keuntungan mereka yang besar itu. Perkara ini perlu dilakukan dan tidak perlu bimbangkan kesan sampingan ke atas pasaran bon.

Namun begitu keruntuhan TNB akibat kemampuan kewangannya yang terjejas akibat daripada pembayaran yang besar kepada IPP akan memberikan kesan yang boleh menjejaskan tenaga, ekonomi dan sektor kewangan kita.

PPA generasi pertama dilakukan oleh TNB walaupun mendapat bantahan kuat bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ani Arope. Perjanjian ini dibuat dengan melanggar prinsip perkongsian swasta-awam. Tiada persaingan terbuka bagi projek itu. Kerajaan, bukannya TNB yang berunding dengan pencadang projek dan menekan TNB untuk menyempurnakan perjanjian itu

Tiada nilai untuk wang terakru kepada TNB di bawah perjanjian ini memandangkan IPP telah meningkatkan kos mereka termasuk kos pembinaan awal mereka, cukai, elaun kewangan dan kadar faedah. Tidak terdapat perkongsian yang sama daripada risiko mengakibatkan perjanjian itu berat sebelah di mana keuntungan diperolehi IPP dan kerugian ditanggung oleh TNB.

Melalui penswastaan, TNB menjadi penyumbang wang tunai kepada IPP yang membuat keuntungan besar, bukan melalui persaingan, kepakaran perniagaan dan inovasi tetapi hasil daripada peruntukan ‘ambil atau bayar’ dan ‘risiko awam dan keuntungan swasta’ dalam PPA.

Di bawah perjanjian ini yang tidak memberikan unsur ekonomi langsung, TNB dikehendaki membeli tenaga daripada IPP pada harga yang lebih tinggi berbanding kos penjanaannya sendiri, di mana dalam kes ini YTL Power Generation Sdn. Bhd., ialah 25 peratus. Ia juga perlu membayar bagi kapasiti yang tidak digunakan, iaitu tenaga yang tidak diperlukan. Ia juga perlu menanggung risiko sebarang kenaikan harga bahan api.

Akibat daripada syarat perjanjian yang tidak adil ini, sebahagian besar hasil TNB mengalir kepada IPP. Ia meningkat daripada RM9.2 bilion atau 54 peratus hasil TNB pada 2005 kepada anggaran RM19 bilion atau 65 peratus pada 2010. Daripada 2001-2010, bayaran TNB kepada IPP berjumlah RM78.3 bilion.

Dengan aliran hasil tetap yang besar setiap tahun ini, TNB boleh menjadi pemain global dalam industri tenaga tetapi sebaliknya telah memperkayakan segelintir keluarga yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan.

Pembayaran yang besar kepada IPP telah meletakkan kewangan TNB dalam keadaan tertekan dan telah menjejaskan harga sahamnya. Dalam tempoh kurang daripada setahun IPP muncul, harga saham TNB menjunam daripada sekitar RM20 sesaham pada 1993 kepada kurang daripada RM10 pada 1994 dan di bawah RM5 sewaktu Krisis Kewangan Asia pada 1997.

Sejak itu, harga saham telah pulih tetapi hanya sekitar 50 peratus daripada sebelum kemasukan IPP. Keruntuhan TNB telah dapat dielakkan oleh peningkatan tarif yang ditanggung oleh orang ramai. Sukar untuk dipercayai bahawa perbadanan yang dikawal kerajaan menjadi tempang untuk manfaat kepentingan segelintir syarikat swasta.

Keuntungan besar daripada PPA menggerakkan banyak IPP seperti YTL Corporation Berhad dan Malakoff Corporation Berhad daripada tidak dikenali kepada syarikat yang kaya dan terkenal. Amat sedikit daripada IPP ini yang menggunakan keuntungan yang diperolehi daripada kontrak ini untuk diberikan kembali kepada industri.

Dalam beberapa kes, sebaliknya keuntungan ini digunakan untuk mengembangkan empayar perniagaan dan kewangan di luar negara.

Amat mengejutkan bahawa kerajaan menganugerahkan projek baru dalam sektor lain daripada ekonomi kita kepada pemilik IPP yang enggan untuk merundingkan semula PPA mereka dengan asas yang lebih adil.

Mengapa memberikan mereka ganjaran untuk sesuatu yang tidak munasabah dan ketamakan? Mereka seharusnya tidak diberikan sebarang peluang ekonomi oleh kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan melainkan mereka bertindak secara munasabah dan bersetuju untuk menyemak semula PPA untuk mencapai keadilan.

TNB telah merayu kepada kerajaan untuk meningkatkan tarif bagi mengatasi kedudukan kewangannya yang terjejas. Usaha untuk memperbaiki prestasi dan merendahkan kos penyelenggaraan dan operasi telah diambil oleh TNB dan ini telah menghasilkan penjimatan kos yang ketara. Bagaimanapun, jumlah penjimatan yang boleh dicapai melalui cara itu amatlah terhad.

Di bawah persekitaran semasa di mana kita sedang berdepan dengan krisis ekonomi dan kewangan global serta pengguna berdepan dengan kadar inflasi yang tinggi dan peningkatan ketara dalam kos hidup, bayaran yang besar kepada IPP adalah tidak mapan dan tidak bermoral.

Tarif elektrik akan terus meningkat dan pelanggan elektrik akan menderita walaupun TNB berusaha dengan terbaik untuk meguruskan kosnya. Perubahan struktur tidak akan berjaya dalam mengurangkan beban pengguna jika bayaran berlebihan kepada IPP tidak ditangani.

Hanya satu perkara lagi yang masih belum ditangani ialah pengurangan kos IPP. Memandangkan kos IPP merupakan sebahagian besar kos TNB, sebarang pengurangan mempunyai kesan positif ke atas tarif elektrik.

Penulis ini merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

2 comments:

sz | m.s.s December 26, 2010 at 3:05 PM  

diorang makin kaya..kita makin kayapppp...

Sham December 27, 2010 at 12:20 AM  

itulah yang saya maksudkan...malang sungguh kita ye...

Post a Comment

Ha sekarang korang boley komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

!

!

  © Blogger template On The Road for shamdisini.blogspot.com 2010

Back to TOP